DERHAKA BUKAN PENYELESAIAN BIJAK

Islam menyaran umatnya menjauhi sikap “khuruj” iaitu melakukan pemberontakan, penderhakaan dan lain-lain cara penentangan dengan cara yang salah. Ini bermakna, sekiranya wujud kesilapan oleh pemerintah, kita tidak boleh sesuka hati menentang.

Sebaliknya kita disyariatkan untuk menasihat dan menjelaskan kesilapan itu dengan cara-cara yang betul, sejajar dengan situasi yang dibenarkan oleh agama.

Amalan itu merupakan ajaran Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ramai yang lupa apabila keghairahan dan ketaksuban menguasai diri sehingga sanggup menderhaka kepada raja (pemerintah). Lebih dahsyat lagi ada yang sanggup menghasut masyarakat membenci raja. Perbuatan ini ternyata bertentangan dengan syariat Islam.

Teguran terhadap pemerintah mestilah berunsur ikhlas dan dibuat secara berhemah. Ia tidak boleh diiringi oleh hasad dengki dan dilakukan tanpa mengira baik atau buruk.

Sifat ikhlas itulah sepatutnya mengikat seseorang mukmin dan membuatkannya tidak lepas daripada ikatan taat setia kepada pemerintah. Pemerintah tidak selalunya benar dan tidak juga mencapai darjat maksum. Tetapi mereka yang ingin memperbetulkan kesilapan itu perlulah mengikut mekanisme yang dibenarkan oleh syariat.

Apa yang penting, kita perlu mentaati umarak iaitu pemerintah. Meskipun ada kesilapan mereka, kita tidak harus “menghukumnya” dengan menderhaka kerana ia ditegah oleh syariat. Mempraktikkan sikap khuruj bukanlah jalan penyelesaian yang bijak dan adil.

Dan harus diingatkan juga bahawa sumpah setia kepada pemerintah bukan seperti kalung yang boleh dipakai dan ditanggalkan sesuka hati. Kewajipan taat setia itu tetap berterusan selagi pemerintah itu masih ada atau bertapak di negeri tersebut. Seseorang Muslim tidak boleh menarik diri daripada perjanjian taat setia itu.

Berdasarkan kepada panduan agama, para ulama telah bersepakat mengenai kewajipan taat kepada pemerintah. Ia meliputi seorang imam (pemimpin) yang berkuasa terhadap seluruh negara bagi kaum Muslimin atau pemimpin yang menguasai negeri-negeri tertentu. Dalam konteks sebuah negara yang stabil, setiap orang yang berada di bawah kekuasaannya wajib yakin bahawa pemerintah berhak mendapat taat setia rakyat. Ini merupakan kewajipan syariat.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melepaskan ketaatan (daripada pemerintah), nescaya akan menemui Allah tanpa memiliki hujah (alasan). Dan barang siapa meninggal dunia tanpa ikatan taat setia, maka kematiannya (seperti) kematian jahiliah.” (Riwayat Muslim).

Kita mesti taat kepada pemerintah pada perkara yang bukan maksiat terhadap Allah. Tidak ada kebaikan bagi masyarakat kecuali dengan jemaah. Dan urusan jemaah tidak akan berjalan lancar melainkan dengan adanya ‘imamah’ (kepimpinan). Dan tidak akan lurus atau bergerak lancar sesuatu kepimpinan kecuali dengan ketaatan. Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW menegaskan dalam suatu hadis yang bermaksud: “Barang siapa taat kepadaku, sesunggunya dia taat kepada Allah. Barang siapa bermaksiat (melakukan kesalahan di sisi agama) kepadaku, sesungguhnya dia telah bermaksiat kepada Allah. Barang siapa taat kepada Amir (penguasa), sesungguhnya dia taat kepadaku. Dan barang siapa yang bermaksiat kepada Amir, sesungguhnya dia bermaksiat kepadaku.” (Riwayat Bukhari).

Rasulullah SAW pernah ditanya, apakah harus kita memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat dengan pedang atau menggunakan sebarang kekerasan. Nabi Muhammad SAW menjawab menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang pemerintah dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah itu tetapi tetap tidak melepaskan ketaatan kepada pemerintah tersebut.” (Riwayat Muslim).

Meskipun apa yang diperintah atau dilaksanakan oleh umarak tidak menyenangkan hati kita, kita tidak sepatutnya menentang atau tidak mahu menerimanya selagi apa yang diperintah dan dilaksanakan itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunah.

Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sabda: “Seseorang Muslim wajib memperkenankan (menerima) dan taat berkaitan apa sahaja (yang diperintahkan oleh ulil amri), suka atau tidak suka. Tetapi apabila ia (orang Muslim) diperintahkan berbuat maksiat, maka ketika itu tidak boleh diperkenankan (diterima) arahan itu dan juga tidak boleh taat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perhatikan bagaimana perseimbangan yang indah ini jika berlaku kepincangan di mana-mana. Tentu kita tidak menyukainya kerana Allah tidak memerintah dengan perkara fahsya dan juga mungka dan tetap menegaskan kepadanya bahawa perkara tersebut adalah tetap dilarang keras dalam agama dan perlu dijauhi dan ditinggalkan tanpa sebarang kompromi.

Ia bermakna, perlu dipisahkan antara amalan jahat pemerintah dan perbuatannya, barulah tindakan kita akan seimbang dan adil serta ada batasannya. Tidaklah sampai rakyat akan membenci dan memusuhi pemerintah.

Cukuplah bagaimana keseriusan para ulama dalam menjelaskan akidah yang murni ini dalam kitab-kitab mereka sebagai bukti akan betapa agungnya kewajiban taat kepada pemerintah.

Ini ditegaskan oleh Alllah SWT dalam firmannya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatilah Rasul-Nya serta Ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kamu kepada al-Quran dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

(Surah An-Nisa ayat 59)

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply