Orang pekak adalah orang yang bermasalah dalam pendengaran manakala orang bisu pula bermasalah dalam pertuturan. Dari segi teorinya mereka berbeza tetapi mengalami masalah yang sama iaitu bermasalah dalam komunikasi lisan. Dari segi anatomi dan fisiologi pula, pekaklah yang menyebabkan seseorang menjadi bisu dan tidak boleh bertutur seperti orang biasa. Jika boleh bertutur pun, pertuturan mereka sukar difahami.

Pendengaran memainkan peranan utama dalam kebolehan seseorang bertutur. Prasyarat bagi membolehkan seseorang kanak-kanak menghasilkan pertuturan mana-mana bahasa adalah kebolehan mereka mendengar, mempunyai organ pertuturan yang normal, tiada kecacatan pada bahagian otak serta saraf-saraf yang terlibat dalam pendengaran dan pertuturan. Bagaimanapun orang pekak tidak memiliki semua prasyarat tersebut menyebabkan pemikiran mereka sukar memproses maklumat daripada bunyi bahasa menyebabkan golongan ini berterusan mengalami penderitaan selagi pemulihan tidak dilakukan. Mereka juga sukar memahami rancangan radio dan televisyen dan ketidakmampuan mendengar menyebabkan mereka tidak boleh bertutur.

Penderitaan ini menjadikan hidup mereka kesepian kerana mereka tidak mampu menikmati bunyi alam, seni nyanyian, bunyi muzik, bunyi haiwan dan bunyi-bunyi lain. Mereka juga ada penderitaan paling dahsyat iaitu apabila tidak dipedulikan orang ramai.

Tanggapan yang mengatakan orang pekak tidak ada bahasa adalah salah kerana orang pekak sebenarnya ada bahasa dan boleh berkomunikasi. Mereka berkomunikasi menerusi gerak badan dan makna diperoleh melalui pengamatan terhadap gerak badan. Bahasa ini dikenali bahasa isyarat tetapi malangnya, bahasa isyarat tidak difahami oleh ramai orang.

Disebabkan masalah kefahaman juga, `sengsara’ golongan ini semakin bertambah. Ketika orang biasa berkomunikasi secara lisan dan maknanya didapati melalui pendengaran lain pula dengan orang pekak. Perbezaan cara berkomunikasi ini menyebabkan golongan ini tertekan dari segi emosi dan sukar berdepan dengan orang ramai menjadikan mereka lebih selesa berada dalam kelompok mereka sahaja sekali gus melebarkan lagi jurang persahabatan dengan orang biasa.

Salah faham atau salah anggapan yang berpunca daripada saling tidak faham-memahami boleh berlaku antara orang pekak dengan orang biasa. Di samping itu, perbezaan saluran komunikasi bukan sahaja mewujudkan perbezaan pertuturan tetapi budaya, cara berfikir dan gaya hidup juga. Kumpulan ini mudah rasa tersinggung kerana tidak memahami dengan tepat tentang apa-apa yang diperkatakan dan lebih malang lagi situasi ini boleh membawa kepada penindasan, diskriminasi, hilang peluang dan rendah diri. Walaupun secara mata kasar, orang pekak tidak ditindas tetapi disebabkan masalah komunikasi, golongan ini kelihatan terpinggir dalam arus perdana masyarakat. Mereka juga lemah dalam pelajaran, terkebelakang dalam ekonomi dan kalaupun bekerja hanya sekadar `pekerjaan tahap rendah’.

Dalam pendidikan, orang pekak seolah-olah `dipaksa’ belajar bahasa pertuturan dan menulis berdasarkan struktur bahasa lisan yang sangat sukar dikuasai. Bayangkanlah betapa sukarnya orang pekak belajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui isyarat. Kalau murid-murid biasa yang boleh mendengar pun sukar belajar bahasa Inggeris walaupun bertahun-tahun mempelajari secara formal apatah lagi orang pekak.

Kajian juga mendapati kebanyakan orang pekak mengalami penderitaan dan konflik personaliti bukan kerana mereka pekak tetapi disebabkan sikap ketidakpedulian dan pengasingan oleh anggota masyarakat terhadap mereka termasuk ibu bapa sendiri. Terdapat kes ibu bapa dan ahli keluarga masih sukar memahami dan tidak boleh berkomunikasi dengan anak pekak. Lantas si anak dibiarkan bersendirian dan melakukan aktiviti secara sendiri-sendiri sehingga menambahkan lagi `penderitaan’ bagi anak pekak. Derita akibat didenda dan dipaksa bertutur adalah pengalaman lazim pelajar pekak semasa di alam persekolahan menyebabkan ramai mengalami ketidakyakinan diri, diperlekeh, merasa rendah diri dan dicemuh serta dikeji masyarakat. Dalam kebanyakan majlis sosial pula, mereka selalunya dibiarkan keseorangan, tidak ada tegur sapa atau sambutan ramah mesra. Mereka berada dalam kelompok sendiri dan tidak `dimasukkan’ dalam kelompok ramai.

Ketika zaman sebelum memasuki alam persekolahan, kanak-kanak pekak sukar bergaul dan bersosial dengan rakan sebaya kerana masalah komunikasi dan kefahaman terhadap norma-norma sosialisasi. Keadaan ini menyebabkan kumpulan itu tersisih kerana bermasalah dalam mengikuti peraturan bermain, sukar mematuhi peraturan dan sukar memberikan respons.

Apabila bersekolah pula, murid-murid pekak tidak berpeluang berada dalam kelas yang sama dengan murid biasa. Diskriminasi bermula apabila perkara ini menjadi peraturan walaupun bertujuan baik. Pengasingan ini menyukarkan golongan tersebut berada dalam komuniti apabila tamat persekolahan.

Seperkara lagi, kurikulum yang diikuti adalah kurikulum yang sama seperti murid biasa sedangkan murid pekak belajar bahasa pengantar melalui isyarat. Keadaan ini sudah tentunya sesuatu yang sangat susah bagi murid pekak. Setelah tamat alam persekolahan, remaja pekak akan menempuh alam pekerjaan dan ramai dalam kalangan orang pekak tidak dapat pekerjaan yang baik. Akibatnya mereka terpaksa menampung kehidupan dengan bantuan ahli keluarga dan sumbangan kerajaan. Kesukaran ini berterusan apabila mereka berkahwin dan mempunyai anak.

Kebelakangan ini isyarat orang pekak mula mendapat tempat dan diangkat statusnya sebagai salah satu bentuk bahasa yang setanding dengan bahasa pertuturan. Ini dapat dilihat di New Zealand, yang mana bahasa isyarat orang pekak diangkat melalui proses undang-undang sebagai salah satu bahasa rasmi negara di samping bahasa Maori dan bahasa Inggeris. Pengiktirafan isyarat orang pekak juga berlaku di kebanyakan negara Eropah dan negara yang menganggotai Komanwel.

Apabila orang pekak dapat belajar melalui bahasa isyarat seperti murid-murid kaum Cina, India, Kadazan dan Dusun yang belajar melalui bahasa sendiri, mereka mungkin lebih berjaya dan derita yang dialami semakin mengecil.

Bagaimanapun di negara ini, bahasa isyarat orang pekak masih belum diiktiraf sebagai satu bahasa dan juga tidak digunakan dalam pendidikan. Ketika kebanyakan negara di dunia ini sudah mengorak langkah mengiktiraf bahasa isyarat sebagai salah satu `bahasa persekolahan’, orang pekak di Malaysia masih menanti perubahan ini. Mereka menanti dengan penuh sabar. Tetapi persoalannya berakhirkah penantian ini?

Oleh DR. ABDULLAH YUSOFF