Ketika ini ‘demam politik’ terus melanda parti yang mewakili kerajaan atau pembangkang . Keadaan ini turut dipengaruhi oleh pemilihan dalaman parti yang menjadi tunjang kerajaan iaitu PKR. Begitu juga dengan perhimpunan parti termasuk Muktamar Pas dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) serta beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) . Parti baharu juga mewarnai dunia politik tanah air dengan penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM). Mungkinkah ada lagi parti baharu yang akan muncul atau sebaliknya ada parti politik yang akan dibubarkan?

Amanah, serpihan Pas yang mempunyai 100,000 ahli mahu menambah keahlian sehingga 500,000 orang menjelang PRU akan datang. Bersatu yang baharu setahun jagung sudah tentu akan berusaha menambah keahliannya bagi memperkukuhkan kedudukan sebelum Dr. Mahathir Mohamad mengakhiri tugas sebagai Perdana Menteri. Bersatu juga mahu dilihat sebagai wadah politik pilihan orang Melayu dan Bumiputera. Dalam hal ini, tidak hairanlah, timbul pelbagai spekulasi bahawa ramai anggota UMNO termasuk dalam kalangan ahli Parlimen mahu menyertai Bersatu. Bagaimanapun harus diingat, sudah ada kenyataan yang mahu Bersatu berhati-hati ‘mengutip’ mereka ini malahan ada yang menentang. Adakah menjelang PAU yang pertama selepas PRU-14, akan muncul nama-nama baharu yang akan meninggalkan UMNO? Tunggu dan lihat.

Eloklah UMNO fokus kepada PAU yang dijangka dihadiri hampir 6,000 perwakilan pada 29 dan 30 September ini. Perhimpunan bersejarah ini tidak boleh menampakkan kelesuan parti. Tidak perlu semeriah dahulu kerana UMNO bukan lagi sebuah kerajaan yang mahu membincangkan pelbagai dasar untuk dilaksanakan. Suasana dijangka hambar apabila tidak banyak ruang pameran atau jualan seperti dahulu. Sokongan media terutama milik kerajaan seperti RTM dan Bernama akan merosot. Nada mereka akan berbeza. Itulah realitinya. Tidak banyak media yang ‘berkampung’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, biarlah PAU kali ini sekurang-kurangnya menyamai ‘kemeriahan’ Muktamar Pas pada minggu lalu. Jika Pas memenangi dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu, UMNO atau Barisan Nasional (BN) juga masih ada Pahang dan Perlis. Membawa slogan UMNO Sebuah Perjuangan, ramai yang ingin melihat sejauh mana semangat perwakilan untuk membantu UMNO bangkit semula. Masa untuk ‘bercakap kosong’ diselang-seli pantun dan seloka sudah berlalu. PAU perlu fokus untuk mempertahankan parti atau membiarkannya ‘ditelan’ parti lain. Lupakah lima anggota Parlimen yang sudah meninggalkan parti itu. Tidak guna menangisi pemergian mereka yang sanggup meninggalkan sebuah keluarga besar yang sedang dalam kesusahan dan kedukaan.Mereka ada alasan tersendiri untuk ‘menghalalkan’ tindakan yang diambil. Persepsi ramai, ada tawar menawar untuk melompat, mempunyai kepentingan perniagaan dan mahu ‘menyelamatkan diri’. Jika benar alasan itu mendorong mereka berhijrah, sudah tentu mereka `tidak mampu’ mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket BN.

Kos PRK juga amat besar. Lebih baik wang itu digunakan untuk membangunkan kawasan Parlimen berkenaan. Tidak ada undang-undang yang boleh menghalang mereka melompat parti. Mereka tidak wajib mengosongkan kerusi walaupun dari segi moralnya, mereka perlu berbuat demikian kerana kemenangan adalah atas tiket BN @ UMNO. Justeru apabila melangkah keluar janganlah terlalu ghairah memberi pelbagai alasan yang menampakkan keburukan parti. Ingatlah, kekalahan dan kemenangan semasa PRU-14 bukan semata-mata disebabkan parti tetapi mereka yang ada di dalam parti.

Selak pernah menulis mengenai isu ini di bawah tajuk Biarkanlah mereka pergi membawa diri dan Mana mungkin 9 Mei tersungkur, 9 Julai bangkit. Musibah yang berlaku sedikit sebanyak melibatkan peranan anggota parti itu termasuk yang sudah mengucapkan selamat tinggal. Sempena PAU, lihat semula peranan masing-masing. Jangan cepat menuding jari dan mencipta pelbagai alasan. Lumrah politik, ketika di kemuncak, tidak ada siapa yang sanggup meninggalkan parti selepas menang. Ketika diulit keselesaan, tidak ada yang sanggup menanggung risiko dipecat sekiranya suara mereka sumbang menegur kepemimpinan parti.

Akhirnya apabila tersungkur, tidak ramai yang mempunyai kekuatan atau daya tahan untuk bangkit semula. Ibarat ketika berada di atas bahtera yang sedang bocor atau hilang arah pelayaran, ada yang sanggup terjun ke laut dan membiarkan kapal itu tenggelam. Dalam situasi cemas, mereka ini lebih senang mengabaikan kepakaran yang ada bagi menyelamatkan bahtera itu.