DI BAWAH NAUNGAN KENABIAN DAN KERASULAN

Peristiwa di Gua Hira

Apabila umur Rasulullah SAW hampir mencecah 40 tahun, renungan dan fikiran Baginda SAW terhadap hal-hal silam telah meluaskan lagi kecerdasan akal Baginda SAW mengenai kaum Baginda. Ketika itu, Baginda SAW mula merasa ingin bersendirian. Rasulullah SAW mengambil bekal roti gandum dan air lalu pergi ke Gua Hira di atas Bukit Nur yang jauhnya kira-kira dua batu dari Makkah. Gua Hira merupakan gua yang panjangnya empat hasta dan lebarnya 13/4 mengikut ukuran sekarang.

Isteri Rasulullah SAW sentiasa memberi sokongan kepada Baginda SAW. Rasulullah SAW menetap di Gua Hira selama sebulan pada bulan Ramadan. Rasulullah SAW memberi makan kepada orang miskin yang datang kepadanya. Baginda SAW menghabiskan masa dengan beribadat dan berfikir mengenai alam sekeliling. Rasulullah SAW menyedari bahawa di sebalik kejadian alam ini, ada kekuasaan yang mewujudkannya. Rasulullah SAW merasa tidak yakin dengan pegangan kaum Baginda yang mengamalkan akidah-akidah syirik serta gambaran yang teraba-raba. Sayangnya, waktu itu Baginda SAW tidak mempunyai jalan yang jelas mahupun cara tertentu serta hala tuju yang dapat memberinya ketenangan dan kepuasan.

Sebenarnya, tindakan Rasulullah SAW mengasingkan diri di Gua Hira merupakan salah satu perencanaan Allah ke atas Baginda SAW sebagai persiapan menghadapi satu urusan yang sangat besar. Mana-mana jiwa pun yang berperanan untuk mempengaruhi kehidupan manusia dan menukar kebiasaan mereka ke arah yang lain, mestilah berkhulwah (bersendiri) terlebih dahulu untuk jangka waktu tertentu, mengasingkan diri dari segala hiruk-pikuk dunia dan kesibukan hidup ini. Jiwa tersebut mesti melepaskan diri terlebih dahulu daripada sebarang keinginan kecil manusia yang menyibukkan kehidupannya.

Begitulah Allah merencanakan untuk Muhammad SAW perbekalan sebelum memikul amanah yang sangat besar, yang akan merubah keadaan di muka bumi serta membetulkan garisan sejarah. Allah merencanakan agar Muhammad SAW beruzlah dalam masa tiga tahun sebelum mengangkat Rasulullah SAW dengan tugas kerasulan. Semasa tempoh beruzlah ini, Rasulullah SAW memperuntukkan masa sebulan dalam setahun untuk berkelana sambil menghayati kejadian alam di samping mencari-cari rahsia yang tersirat di sebaliknya. Apabila telah diizinkan oleh Allah, akhirnya sampai masa untuk Rasulullah SAW berurusan dengan rahsia tersirat itu.

Jibrail Menyampaikan Wahyu

Apabila genap umur Rasulullah SAW 40 tahun (usia kematangan; dikatakan bahawa para rasul diutuskan pada peringkat umur ini), jejak-jejak kenabian mulai memancar dan bersinar pada diri Baginda SAW – yang dimaksudkan dengan jejak-jejak itu ialah, mimpi. Rasulullah SAW, pada tempoh ini tidak bermimpi melainkan mimpi-mimpi yang terang dan nyata, seperti terang dan nyatanya suria pagi. Hal ini Rasulullah SAW alami selama enam bulan; mimpi ini adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

Pada bulan Ramadan tahun ketiga Rasulullah SAW beruzlah di Gua Hira, sampailah kehendak Allah untuk melimpahkan rahmat-Nya kepada penduduk bumi. Maka, Rasulullah (SAW) dianugerahkan kenabian, di mana Jibrail turun kepada Baginda SAW membawa ayat-ayat al-Quran. Berdasarkan kepada bukti-bukti, memungkinkan kita untuk menetapkan hari bersejarah itu berlaku pada waktu malam 21 Ramadan, hari Isnin bersamaan 10 Ogos 610M. Ketika itu, usia Rasulullah SAW secara tepatnya ialah 40 tahun qamariyyah (perkiraan bulan), enam bulan dan 12 hari, iaitu kira-kira 30 tahun shamsiyyah (perkiraan matahari), tiga bulan dan 12 hari.

Aisyah r.ha meriwayatkan satu kisah berkaitan peristiwa kerasulan ini yang menjadi obor menerangi kegelapan manusia dari kekufuran dan kesesatan; obor dari cahaya ketuhanan ini berjaya merubah corak kehidupan manusia serta sejarah. Aisyah r.ha berkata, “Permulaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah mimpi-mimpi yang baik semasa tidur. Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi itu sangat jelas, sejelas suria pagi.”

Kemudian timbul keinginan Rasulullah SAW untuk bersendirian. Lalu, Rasulullah SAW bersendirian di Gua Hira, beribadat di dalamnya beberapa malam sebelum kembali kepada isterinya mengambil bekalan. Setelah habis bekalan, Rasulullah SAW kembali semula kepada Khadijah r.ha untuk mengambil bekalan seperti sebelumnya. Akhirnya, datanglah kebenaran kepadanya ketika Rasulullah SAW sedang berada di Gua Hira. Datang malaikat Jibrail kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Bacalah!” Rasulullah SAW menjawab, “Aku tidak tahu membaca.” Kata Rasulullah SAW, “Lalu, Jibrail memelukku sehingga aku merasa sangat sesak, kemudian dilepaskannya aku sambil dia berkata lagi, ‘Bacalah!’ Aku menjawab, ‘Aku tidak tahu membaca.’ Lalu, dipeluknya aku kali ketiga kemudian dilepaskannya, seraya berkata, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah; Bacalah. Tuhanmu Maha Pemurah.” (maksud surah Al-‘Alaq, ayat 1-3)

Lalu, Rasulullah SAW pulang dengan perasaan yang gementar. Apabila sampai kepada Khadijah r.ha, Rasulullah SAW berkata, “Selimutkan aku! Selimutkan aku!” Maka, Rasulullah SAW pun diselimuti sehingga hilang keresahannya. Rasulullah SAW berkata kepada Khadijah r.ha, “Apa yang terjadi padaku?” Rasulullah SAW menceritakan kepada Khadijah r.ha apa yang berlaku kepadanya. Rasulullah SAW berkata, “Aku bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku padaku.” Lantas, Khadijah r.ha menyahut, “Tidak sekali-kali! Demi Allah, Dia sekali-kali tidak akan mempersiakan kamu kerana engkau seorang yang suka menghubungkan tali persaudaraan, menanggung bebanan orang yang susah, menolong orang yang fakir, memuliakan tetamu dan engkau selalu membantu sebarang perkara kebenaran.”

Kemudian Khadijah r.ha membawa Rasulullah SAW berjumpa Waraqah bin Nawfal bin Asad bin Abd al-Uzza, iaitu bapa saudara Khadijah r.ha. Waraqah menganut agama Nasrani semasa jahiliah; beliau menulis kitab dalam bahasa Ibrani dan kandungan kitab Injil yang beliau tulis sebanyak yang dikehendaki Allah. Waraqah ialah seorang yang telah tua dan buta pula. Khadijah r.ha berkata kepadanya, “Hai, bapa saudaraku, dengarkan apa yang anak saudaramu akan ceritakan.” Waraqah berkata kepada Rasulullah SAW, “Hai, anak saudaraku, apa yang engkau lihat?” Rasulullah SAW pun menceritakan apa yang dialaminya kepada Waraqah. Kemudian Waraqah berkata, “Itulah Namus yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa. Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya kalau aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.”

Lalu, Rasulullah SAW bertanya, “Apakah mereka akan mengusirku?” Jawab Waraqah, “Betul, tidak seorang pun lelaki yang membawa seperti yang engkau bawa melainkan dia akan dimusuhi. Kalaulah aku masih ada pada hari engkau mengalaminya, pasti akan aku tolong engkau dengan sungguh-sungguh. Tidak lama selepas itu, Waraqah meninggal dunia, dan wahyu terhenti. Al-Tabari dan Ibn Hisham meriwayatkan hadis yang menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW keluar dari Gua Hira setelah dikejutkan dengan wahyu yang pertama. Kemudian, Rasulullah SAW menyambung semula ibadahnya sebelum Baginda SAW kembali semula ke Makkah. Periwayatan oleh al-Tabari memberi gambaran mengapa Rasulullah SAW keluar dari gua itu. Nasnya adalah seperti berikut:

Rasulullah SAW menceritakan selepas menyebut mengenai kedatangan wahyu, “Tidak seorang pun makhluk Allah yang paling aku benci selain penyair atau orang gila. Aku tidak berupaya memandang ke arah mereka berdua. Aku berkata, ‘Sesungguhnya orang yang jauh ini (dimaksudkan diri Baginda sendiri), jika seorang penyair atau orang gila, pasti nantinya akan dibicarakan sampai bila-bila oleh orang Quraisy. Biarlah aku panjat ke puncak bukit dan mencampakkan diriku hingga terbunuh agar dapat aku berlapang diri.” Kata Rasulullah SAW lagi, “Lalu aku pun keluar dari gua untuk melangsungkan niatku itu, sehingga apabila aku berada di tengah-tengah bukit, aku mendengar suara dari langit yang berkata, ‘Hai, Muhammad! Kamulah Rasulullah, dan aku adalah Jibrail!” Lalu, aku angkat kepalaku. Tiba-tiba aku lihat Jibrail dalam rupa seorang lelaki, dan kakinya di ufuk langit. Kata Jibrail, ‘Hai, Muhammad! Kamulah Rasulullah, dan aku adalah Jibrail!’ Lalu aku berhenti merenung ke arahnya sehingga melupakan tujuan aku naik ke bukit itu.

“Aku tidak melangkah ke depan atau berundur ke belakang. Kemudian aku memalingkan mukaku ke arah lain di ufuk langit. Maka, setiap arah yang aku pandang, dia tetap ada di situ sebagaimana yang kulihat tadi. Aku terus sahaja terdiam kaku tidak berganjak ke hadapan atau berundur ke belakang, sehinggalah Khadijah menghantar orang untuk mencariku. Puas mereka mencariku (tidak berjumpa) sehingga mereka pulang semula ke Makkah, dan aku masih lagi tercegat di tempatku. Kemudian, Jibrail beredar daripadaku dan aku pun beredar pulang kepada isteriku.

“Apabila aku sampai kepada Khadijah aku pun duduk bersandar di pahanya sambil mendekap padanya. Khadijah berkata, ‘Wahai Abu al-Qasim, ke mana engkau? Demi Allah, aku telah menghantar orang untuk mencari engkau sehinggalah mereka sampai ke Makkah dan pulang ke rumah.’ Aku pun menceritakan kepada Khadijah apa yang kulihat. Khadijah berkata, ‘Terimalah berita gembira, hai anak bapa saudaraku, dan tetapkan dirimu. Demi diri Khadijah yang berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya aku mengharapkan engkau akan menjadi nabi kepada umat ini.

“Kemudian Khadijah bangun dan pergi menemui Waraqah untuk memberitahunya apa yang terjadi. Waraqah berkata, ‘Quddus! Quddus! Demi diri Waraqah yang berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya dia didatangi oleh Namus yang pernah datang kepada Nabi Musa. Sesungguhnya dialah nabi kepada umat ini. Khabarkan kepadanya, ‘Tabahlah!’

Khadijah r.ha pun pulang dan memberitahu Rasulullah SAW akan kata-kata Waraqah itu. Setelah Rasulullah SAW selesai daripada uzlahnya dan kembali ke Makkah, Baginda SAW pergi bertemu Waraqah. Setelah mendengar sendiri berita daripada Rasulullah SAW, Waraqah berkata, “Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya engkau adalah nabi kepada umat ini. Sesungguhnya telah datang kepadamu Namus agung yang pernah datang kepada Musa.”

 

Wahyu Terhenti

Tempoh terhentinya wahyu adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Saad daripada Ibn Abbas, yang menggambarkan bahawa ia memakan masa beberapa hari. Adapun tempoh yang sering dikatakan mengambil masa tiga tahun atau dua tahun setengah adalah tidak sahih sama sekali. Namun, di sini bukan tempatnya untuk berbincang mengenai hal ini. Semasa tempoh terhentinya wahyu, Rasulullah SAW berada dalam keresahan dan dukacita serta diselubungi kebingungan. Al-Bukhari meriwayatkan dalam kitab al-Tabir seperti berikut:

“Dan terhentilah wahyu dalam satu tempoh. Nabi SAW sangat berdukacita sehingga berkali-kali Baginda cuba mencampakkan dirinya dari puncak bukit yang tinggi, maka Jibrail menjelma kepadanya dan berkata, ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya engkaulah Rasulullah yang sebenar.’ Lalu, tenanglah kegelisahan Baginda dan jiwanya tenteram semula. Kemudian Baginda pun pulang. Namun, apabila masih berpanjangan tempoh terhentinya wahyu itu, Baginda melakukan lagi seperti yang telah dilakuan. Apabila sampai ke puncak bukit, Jibrail menjelma kepadanya sambil berkata seperti yang dikatakan sebelum itu.”

Jibrail Membawa Wahyu Kedua

Ibn Hajar berkata, “Yang demikian itu (yakni terhenti wahyu beberapa hari) adalah bertujuan untuk menghilangkan kegerunan yang menimpa Rasulullah SAW dan supaya timbul keinginan Rasulullah SAW agar perkara itu berulang kembali.” Setelah hilang kebimbangan dan ternyata kepada Rasulullah SAW perkara yang sebenar, dan Rasulullah SAW sendiri telah mengetahui dengan yakin bahawa Baginda SAW telah diangkat menjadi nabi Allah Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi; dan yang datang kepada Rasulullah SAW itu adalah duta pembawa wahyu yang menyampaikan kepadanya berita dari langit; apabila keinginan dan penantian Rasulullah SAW terhadap wahyu menjadi sebab keteguhan dan kesanggupannya menanggung kejadian itu jika ia berulang, maka setelah semua ini, datanglah Jibrail buat kali kedua.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW menceritakan mengenai tempoh terhentinya wahyu dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Ketika aku sedang berjalan, aku mendengar suara dari langit. Aku pun mendongak padangan ke langit. Tiba-tiba aku dapati Jibrail yang pernah datang kepadaku di Gua Hira sedang duduk di atas kerusi antara langit dengan bumi. Lalu, aku pun duduk berlutut sehingga rebah ke bumi. Kemudian, aku datang kepada isteriku dan berkata, ‘Selimutkan aku! Selimutkan aku!’ Mereka pun menyelimutkan aku. Lalu, Allah menurunkan firman-Nya:

Maksudnya: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan kepada Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan (pada) pakaianmu, maka hendaklah kamu bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.”

(Al-Muddaththir: 1-5)

Kemudian, wahyu pun mulai turun berturut-turut.

Kumpulan-kumpulan Wahyu

Sebelum membincangkan secara terperinci mengenai kehidupan Rasulullah SAW sebagai rasul dan nabi, ada baiknya disentuh serba sedikit jenis-jenis wahyu yang merupakan sumber risalah dan bekalan dakwah Rasulullah SAW. Ibn al-Qayyim membahagikan wahyu kepada beberapa peringkat:

Pertama: Mimpi yang benar – ia adalah permulaan wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW.

Kedua: Wahyu yang ‘dicampakkan’ (dibisikkan) oleh malaikat ke dalam fikiran dan hati Rasulullah SAW tanpa Rasulullah SAW melihat malaikat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Roh Kudus meniupkan ke dalam diriku bahawa setiap jiwa tidak akan mati melainkan setelah disempurnakan rezeki. Oleh kerana itu, bertakwalah kamu kepada Allah, carilah rezeki dengan cara yang baik. Janganlah disebabkan kelewatan rezekimu, kamu sanggup mencarinya dengan cara menderhakai Allah. Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah tidak dapat dicapai melainkan dengan ketaatan.”

Ketiga: Malaikat menjelma kepada Rasulullah SAW dalam rupa seorang lelaki lalu berbicara dengannya sehingga Baginda SAW benar-benar faham apa yang diperkatakan. Pada peringkat ini, ada kalanya sahabat juga dapat melihat malaikat itu.

Keempat: Malaikat datang kepada Rasulullah SAW seperti gemersik bunyi loceng. Inilah cara yang paling berat dirasakan oleh Rasulullah SAW. Malaikat meresap ke dalam tubuh Rasulullah SAW sehingga peluh Baginda SAW memercik pada hari yang dingin; sekiranya Rasulullah SAW sedang menunggang kenderaan pada waktu itu, kenderaan yang ditungganginya itu akan menderum ke bumi. Pernah sekali wahyu dalam bentuk ini datang ketika paha Rasulullah SAW berada di atas paha Zaid bin Thabit. Zaid terasa berat sehingga hampir-hampir meremukkan pahanya.

Kelima: Rasulullah SAW melihat malaikat dalam rupa asal, lalu malaikat mewahyukan kepada Baginda SAW seperti apa yang dikehendaki Allah. Cara ini berlaku dua kali seperti firman Allah dalam surah Al-Najm.

Keenam: Allah mewahyukan terus kepada Rasulullah SAW, iaitu ketika Raulullah SAW berada di atas semua lapisan langit semasa peristiwa Mikraj, iaitu perintah (wahyu) kewajipan fardu solat dan selainnya.

Ketujuh: Kalamullah (ucapan Allah) kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan malaikat sebagaimana Allah ‘berbicara’ dengan Nabi Musa bin Imran. Martabat ini adalah sabit dengan jelas berlaku kepada Nabi Musa a.s melalui nas al-Quran yang menyebutnya. Martabat ini berlaku kepada Rasulullah SAW sabit melalui hadis Israk.

Sebahagian ulama menambah martabat yang kelapan, iaitu Allah ‘berbicara’ dengan Rasulullah SAW secara berhadapan tanpa sebarang hijab. Ini adalah persoalan khilafiyah (yang diperselisihkan) dalam kalangan salaf dan khalaf. Begitulah yang disebutkan oleh Ibn al-Qayyim, di samping sedikit ringkasan mengenai jenis-jenis wahyu.

No Comments

    Leave a reply