Merenung kembali perjalanan sejak dari detik kemerdekaan yang berlantaikan perjuangan datuk nenek kita, bagaimanakah kita untuk merumuskan keadaan negara kita hari ini?

Apakah jenama Malaysia terkini? Adakah kita masih lagi sebuah negara pertanian seperti awal kemerdekaan dahulu? Adakah kita negara yang telah melahirkan bakat insan yang hebat dalam teknologi terkini atau kita masih tercari-cari jenama kita dalam masa negara-negara lain sudah berjaya mengekalkan jenama mereka sendiri sejak bertahun lamanya.

Jika kita ingin melihat negara tersebut pada masa akan datang, maka lihatlah pada generasi mudanya pada masa kini. Maka di manakah kedudukan generasi muda masa kini? Adakah peratusan penyertaan mereka dalam sektor penting negara telah meningkat berbanding sedekad dahulu atau semakin menurun? Mungkin kita boleh berbangga dengan kehadiran muka-muka muda yang menerajui sektor utama negara, namun adakah kehadiran mereka adalah representasi adil dan menyeluruh untuk golongan muda di negara ini? Adakah kehadiran mereka hanya sebagai pelengkap majlis?

Kita perlu mengiktiraf kehadiran generasi muda dalam sektor penting negara seperti ekonomi, teknologi, pendidikan, kesihatan, malah sektor-sektor seperti pertanian dan peruncitan. Peluang sama rata untuk bersaing secara sihat perlulah diberikan kepada mereka tanpa mengurangkan penglibatan generasi terdahulu yang boleh dilibatkan sebagai mentor kepada generasi muda negara ini. Tiada yang tua maka tiadalah yang muda. Kita perlu berpegang kepada ayat ini, namun ayat seperti siapa dahulu makan garam perlulah dibuang jauh-jauh kerana itulah yang akan mengakibatkan negara ini mundur daripada terus bersaing setaraf dengan negara-negara lain.

Kita perlu maju dengan acuan kita sendiri. Tidak ada ertinya kemerdekaan jika kita maju dalam acuan yang ditentukan orang lain. Tidak ada gunanya kita merdeka, tetapi pada zahirnya kebergantungan ekonomi kita pada kuasa luar masih pada tahap lama. Kita perlu membina suatu empayar ekonomi yang disegani yang akan menaungi negara yang lain. Malaysia perlu menjadi tempat rujukan dalam pelbagai aspek, baik dari segi pembangunan, pendidikan, sosial, agama dan lain-lain bidang lagi yang dapat membantu keamanan dan kestabilan sejagat. Kita perlu berganding bahu menjadikan Malaysia hebat kembali seperti Zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana pedagang asing mengiktiraf kekuatan dan kehebatan negara ini.

Malaysia perlu kekal mengamalkan dasar perkongsian kuasa bijak antara kaum yang perlu dicontohi negara lain. Banyak negara membangun lain cuba mengamalkan dasar ini, namun keberkesanannya amat diragukan. Negara kita bertuah kerana dasar itu merentas zaman dan juga merentas batasan kaum dan agama. Dengan kata lain, dasar yang diwujudkan kerajaan sesuai untuk diaplikasikan semua warga negara tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan. Dasar kerajaan perlu melibatkan semua lapisan masyarakat. Kita perlu membuang sifat lama seperti tidak menghormati waktu, rasuah dan korupsi serta sifat toleransi antara kaum.

Budaya menjaga kroni perlulah dihapuskan sama sekali kerana tidak membawa manfaat kepada negara secara keseluruhan. Ia cuma menguntungkan sesetengah pihak dan menindas pihak lain. Rasuah akan melambatkan proses demokrasi. Proses dan sistem dalam pentadbiran awam perlulah bersih dan telus supaya tiada lagi ruang yang kabur atau tersekat yang menyebabkan masyarakat mula bosan dan sangsi terhadap keberkesanan kerajaan dalam memerintah.

Malaysia perlu mempunyai generasi muda yang berhemah, berkualiti dan berpandangan jauh jika ingin memastikan untuk 100 tahun akan datang negara ini tidak akan dijajah dalam apa jua bentuk. Mungkin untuk tempoh itu, kita akan menguasai sebahagian ekonomi dunia, kita akan menjajah sejarah peradaban dunia serta kita akan menjajah dan mencorak perjalanan sosial dunia.

Generasi pejuang kemerdekaan telah melihat negara ini bertatih dan generasi kini perlu melihat Malaysia berlari dan memintas negara lain dalam pelbagai aspek. Setiap perjalanan bermula dengan langkah pertama. Ayuh Malaysia, mulakan langkah pertama kita hari ini.

Mohammad Noorizzuddin Nooh

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).