Di mana revolusioner Islam Melayu?

Pada 1979, Bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn dari Umno pernah mengatakan, “You wonder why we spend so much [money] on Islam… [if we do not] Parti Islam [PAS] will get at us.”

Sementara PAS, sebagai reaksi menyahut, “PAS would define the [Umno] government’s Islamisation as cosmetics, long on symbolism but short on substance.”

Kedua-dua entiti politik ini, harus disebutkan di sini, menggunakan agama untuk terus berkuasa (atau berkuasa).

Yang satu menyatakan terangan, bahawa pemerintah mencurahkan duit yang besar untuk urusan “mentadbir Islam” dan segala yang berkaitan untuk menyaingi PAS, sedang PAS memandang usaha itu hanya satu solekan dan memperagakan Islam yang benar adalah di pihak mereka.

Penggunaan Islam sebagai “political conveniences” ini harus diingatkan, berlaku dari awal lagi yakni sejak kemasukan Islam. Barbara Watson Andaya, dan Leonard Y. Andaya dalam “A History of Malaya” (1982) pernah menyatakan, penganutan agama Islam oleh raja-raja di rantau Melayu satu masa dahulu berlaku kerana ia adalah cara atau saluran paling mudah untuk mengekalkan kuasa, walaupun tidak dinafikan memang agama Islam itu menarik perhatian mereka.

Pun, menurut mereka “terdapat juga anak-anak raja yang ketandusan akhlak hanya memakai Islam yang dapat mendatangkan kemanfaatan dan sesuai dengan selera mereka sahaja…”

Raja Melayu zaman dahulu kala ini, yang memerlukan para ulama atau agamawan sebagai pengesah kepada setiap tindak-tanduk mereka telah membawa para lebai, dan agamawan ke dalam istana.

Agamawan ini diupah untuk menulis kitab dan segala macam panduan keagamaan, sementara mereka bersenang-lenang menikmati kekayaan rantau Melayu dan sesekali bekerjasama dengan penjajah (dengan pelbagai cara) sehingga menyebabkan konflik dan perang saudara khusus sepanjang kurun ke 15-19 diwarnai oleh politik kotor.

Agamawan ini yang ikut mendapat kenikmatan kuasa, bermaharajalela dengan menggunakan Islam, menerusi hukum-hakam yang diterbitkan dalam karangan mereka itu.

Persenyawaan agama dan istana ini memungkinkan satu bentuk, pendekatan, atau kerangka baharu Islam yang menyedihkan. Ia menyedihkan kerana ia telah mengkesampingkan Islam Muhammadi (atau Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad) yang menjuarai hak-hak orang kecil dan tertindas.

Sebagai misalan jarang umat Melayu (contoh oleh mereka yang membalak bersama Islam) menyebut mengenai Hilf al-Fudhul atau Deklarasi Belia yang ikut ditandatangani oleh Rasulullah sebelum baginda rasmi menjadi seorang Nabi di usia 40 tahun.

Antara penandatangan kovenan Hilf al-Fudhul selain Nabi Muhammad saw adalah Zubair bin Abdul Muttalib dan beberapa belia daripada bani Hasyim, bani Asad bin Abd al Uzza, Bani Zuhrah bin Kilab dan Bani Taim bin Murrah.

Pemuda-pemuda ini berhimpun di kediaman Abdullah bin Jud’an lantas membuat satu deklarasi dan berikrar untuk berpersatuan, membela hak orang teraniaya, merebut dan menekan kembali penindas sehingga terpulih hak-hak kaum kecil.

Ini ekoran seorang Badwi dari dusun Zubaid telah berdagang di kota Mekah dan dikhianati Ash bin Wail (bapa Amru bin Ash), seorang tokoh bangsawan Quraisy yang telah mengambil barangan dari tangan Badwi itu tanpa membayar dengan harga setimpal.

Cubalah kita tanyakan tentang Hilf al-Fudhul atau Deklarasi Belia ini kepada penentang ICERD, dan beritahu kepada mereka bagaimana nasib Orang Asli dapat terbela dengan hak asasi manusia yang jitu. Mereka akan berdalih macam-macam alasan.

Haih, peringatan: Melayu tidak menganut Islam Muhammadi.
Profesor Shaharuddin Maaruf dalam “Yang Abadi dan Abdi Dalam Sastera Nusantara” menyifatkan pensebatian Islam dan istana sudah mengukuhkan jiwa feudal Melayu. Beliau merujuk Hang Tuah sebagai salah satu sempadan (bukan teladan):

“Kesedaran agama Hang Tuah juga tertakluk kepada nilai-nilai feudal. Justeru, kita mendapat kesan dalam jiwa feudal itu unsur-unsur agama dan feudal bercampur aduk, malah mungkin juga bergabung menjadi sintesis atau takrif baru.”

Penggunaan agama (dalam hal ini Islam) telah mengakibatkan perpecahan bangsa Melayu yang begitu dahsyat. Islamisasi Umno, dan radikalisasi PAS malangnya tidak menyumbang apa-apa kepada bangsa Malaysia (jangan lupa Malaysia adalah aneka bangsa dan kepercayaan) secara keseluruhan.

Kacukan Islam-Istana

Takrif baru Islam yang merupakan kacukan Islam-Istana (yang saya selalu rujuk sebagai Islam Parameswara) dianuti oleh pelbagai lapisan Melayu. Sementara para agamawan bersikeras mempertahankannya sebagai Islam yang sejati.

Mereka melakukannya dengan kitab karangan sendiri, fatwa, ceramah dan kuliah di masjid atau pondok; dan hari ini dengan sebaran media sosial.

Umat Melayu yang memang sudah menganut sekte “Islam Parameswara” ini beriman dengan sungguh-sungguh dan bangkit secara ekstrim melawan apa sahaja yang dirasakan bercanggah atau cuba mencabar keabsahan jiwa feudal tersebut.

Makanya hak asasi manusia yang dirasakan akan menggugat kedudukan mereka dimomokkan. Kumpulan liberal yang menjadikan hak asasi manusia sebagai salah satu agenda diberi gelar yang buruk dan LGBT dengan mudahnya dijadikan contoh kenistaan kelompok ini.

Sementara kumpulan minoriti Islam seperti Syiah dan Ahmadiyyah dikhuatiri akan menyebabkan persaingan yang sengit segera dipadamkan sumbunya dengan pelbagai fatwa dan larangan berupa sekatan.

Inilah ciri khas agama Islam di rantau ini yang perlu difahami oleh orang luar, yang sering tertarik dengan (kononnya) keunikan Islam dan Melayu.

Tanpa usaha atau gerakan untuk membetulkan Islam Parameswara dan jiwa feudal ini, agar Islam Muhammadi diperkenalkan buat pertama kalinya, sebarang usaha untuk memajukan Melayu sukar dilakukan.

Soal malas rajin Melayu adalah hal lama yang sudah selesai. Melayu memang rajin lagi kreatif, tetapi ada yang malas dan “djadoel”.

Yang paling malang bukan Melayu pemalas tetapi Melayu tidak peduli. Itu juga seerti dengan malas. Islam-Parameswara dan jiwa feudal inilah yang mencorakkan parokialisme yang sedang melanda umat Melayu.

Hakikat bahawa kerajaan telah berubah dari Barisan Nasional ke Pakatan Harapan bukan isyarat bahawa parokialisme ini sudah dirawat. Bahkan, ia semakin mengental dan membentuk rupa baharu yang lebih kemek. Melayu terbanyak makin malas (tidak peduli).

‘Revolusioner agama’

Siapakah yang diharapkan untuk membetulkan acuan Islam Parameswara-Jiwa Feudal di atas? Negarawan bernama Dr Mahathir Mohamad di usia 94 tahun?

Atau penunggu kedudukan yang disandang beliau, yang sedang rakus membilang hari untuk mengganti?

Adakah agamawan yang menciap fatwa saban hari di Twitter? Atau menteri agama yang seronok berkanda dinda? Atau kumpulan pemikir yang berhimpun atas nama seni di Universiti Kebangsaan Malaysia beberapa bulan lalu?

Yang sangat kita perlukan ialah bukannya Islam untuk menjaga kuasa, tetapi Islam untuk melawan kuasa (zalim). Kita memerlukan orang tertindas yang menggunakan Islam sebagai wahana aktivisme untuk menentang penindasan, diskriminasi dan kekejaman. Untuk itu kita memerlukan “religious revolutionaries”.

Kita tidak punya. Maaf. Kita hanya ada pemalas (baca tidak peduli). Sila duduk, dan jangan lari.

Islam-Parameswara campur jiwa feudal campur malas (tidak endah, tidak bersikap) mengalir dalam darah kita, Melayu.

Di Pakistan, kita pernah mendengar nama Iqbal. Di Turki kita pernah mendengar nama Said Nursi. Di Iran sebagai contoh, “religious revolutionaries” mengisi hidup dan jiwa orang bawah. Nama seperti Jalal Al-e Ahmad dan Ali Shariati antara yang di bibir meniti. Atau sekarang Ayatullah Yusuf Sanaei (meskipun beliau masih tergolong dalam kategori mullah).

Kita di Malaysia cuma ada “self appointed intellectuals” yang berjuang dari ballroom hotel, kafetaria dan rumah kopi, itu lebih baik sedikit dari pejuang hak asasi yang terbang dengan kelas bisnes untuk membantu orang susah (katakan di Yaman atau Syria) sambil mengemaskini status Facebook menyelar (katakan) Maszlee Malik. Itu pun jauh lebih baik dari ilmuan yang berfansuri dan berhamzah setiap malam Sabtu.

Kita tak punya “religious revolutionaries” yang dapat mengatakan kepada (katakan) Zulkifli al Bakri: “alahai ini semua pendekatan Islam-Parameswara dan jiwa feudal, boleh tidak berfikir di luar kotak”.

Tiada “religious revolutionaries” yang tergamak mengatakan tiada yang dapat dibetulkan seribu tahun lagi kalau balik-balik yang kita kincah metode yang sama.

“Religious revolutionaries” yang tulen memang tak ada, dan ia menjadi bertambah sukar apabila Hannah Yeoh, dan Steven Sim yang bukan Melayu dan Islam pun memilih untuk menempuh jalan yang serupa, mengetuk pintu mereka.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Oleh Faisal Tehrani

Sumber : freemalaysiatoday

No Comments

    Leave a reply