DI SEBALIK PRAKTIK POLIGAMI RASULULLAH  

Perkahwinan secara mudahnya dapat diklafikasikan kepada dua bentuk, iaitu monogami dan poligami. Monogami ialah perkahwinan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, manakala poligami merupakan perkahwinan seorang lelaki dengan beberapa orang wanita pada satu-satu masa. Poligami dari sudut bahasa adalah menghimpunkan berbilang isteri dalam satu masa. Mengikut Kamus Dewan pula, bererti amalan beristeri lebih daripada seorang pada masa yang sama. Dalam Bahasa Arab, poligami disebut sebagai ta’ddad al-zawjat.

Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen 23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan.

Akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan memberi butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan. Selain dari itu, pemohon juga kena menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri telah diperolehi mengenai perkara tersebut.

Perdebatan tentang poligami dari tahun ke tahun tidak pernah berhenti diperbincangkan. Perkara ini terjadi mungkin kerana masih ada pihak yang belum berpuas hati dengan ijtihad hukum yang telah dikeluarkan oleh beberapa ulama dan pakar agama. Poligami sebenarnya telah dikenal masyarakat sejak zaman dulu. Dalam Perjanjian Lama, misalnya, disebutkan bahawa Nabi Sulaiman memiliki 700 isteri bangsawan dan 300 gundik. Poligami juga meluas dalam masyarakat Arab Jahiliah, juga pada bangsa Ibrani dan Sicilia yang kemudian melahirkan sebahagian besar bangsa Rusia, Lithuania, Poland, dan sebagainya,

Praktik  poligami telah dikenal dan diperbolehkan sebelum Islam lahir dan perkara ini berlaku di kalangan penganut agama lain seperti Yahudi, Majusi dan Buddha. Agama-agama tersebut membolehkan poligami dengan jumlah yang tidak terbatas. Demikian juga dalam agama Kristian, tidak terdapat keterangan yang melarang pengikutnya untuk berpoligami.

Dalam Islam, poligami merupakan ajaran yang diperbolehkan dengan dasar firman Allah dalam surah al-Nisa, ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

 

Poligami dalam Perdebatan

Secara sepintas lalu ayat di atas mengandungi justfikasi praktik poligami, kerana di dalam ayat tersenyum terdapat kalimat yang menyatakan fankihuu maa thaaba lakum minan nisaai. Bagi memahami petunjuk ayat ini, mesti dilihat secara utuh dan tidak terpotong-potong. Apabila dilihat dari konteks asbabun nuzul, ayat di atas turun dalam keadaan masyarakat yang sedang mengalami krisis kerana umat Islam baru sahaja mengalami peperangan yang mengakibatkan banyak korban dan banyak wanita yang telah menjadi janda serta anak-anak yang menjadi yatim.

Sementara status janda dan anak yatim dalam budaya masyarakat Arab ketika itu adalah sangat rendah bahkan dianggap sebagai satu keaiban. Dalam keadaan inilah surah al-Nisa ayat 3 turun dan salah satu hikmahnya adalah untuk memuliakan status sosial mereka kerana si suami atau si ayah gugur di medan peperangan.

Tokoh reformis Mesir, Muhammad Abduh berpendapat bahawa boleh saja lelaki berkahwin lebih daripada satu, tetapi harus memenuhi syarat adil. Keadilan yang dimaksud meliputi tempat tinggal, pakaian, makanan dan hubungan suami isteri. Namun demikian, kesan poligami pada umumnya membawa bencana dalam kehidupan rumah tangga, kerana itu poligami dianggap tidak sesuai dengan prinsip dasar Islam.

Menurut Abduh, syarat keadilan sangat sukar dipenuhi oleh lelaki. Bahkan Abu Zahrah, bapa ushul fiqh, menyatakan mustahil seorang lelaki dapat bersifat adil terhadap isteri-isterinya, dengan berdasarkan kepada ayat al-Quran, surah al-Nisaa ayat 129 yang bermaksud: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Abu Zahrah berpendapat ayat ini merupakan ayat yang menasakh (menghapus) ayat terdahulu dalam surah al-Nisaa, ayat 3, tentang bolehnya berpoligami. Fatimah Mernissi, seorang aktivis feminis Maghribi, menganggap poligami sebenarnya merupakan satu cara bagi lelaki untuk merendahkan wanita. Sementara itu, beberapa sarjana lain seperti Sayyid Ahmad Khan dan Mumtaz Ali mengatakan bahawa Islam hanya bertoleransi terhadap poligami yang dilakukan pada zaman dahulu sebelum Islam, dan pada masa sekarang institusi perkahwinan yang semestinya ialah konsep yang ideal menurut al-Quran, iaitu monogami atau suami hanya beristerikan seorang isteri sahaja.

Pakar tafsir terkenal Indonesia, Quraish Shihab menyatakan terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam memahami ayat 3 surah al Nisaa, antaranya iaitu:

  • Ayat di atas ditujukan kepada penjagaan anak yatim yang hendak menikahi mereka tanpa berlaku adil. Oleh itu dapat difahami bahawa izin berpoligami hanya diberikan kepada penjaga anak yatim, bukan kepada setiap orang. Namun demikian, kerana redaksi teks ayat tersebut bersifat umum, dan kerana kenyataan bahawa sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat baginda telah mengamalkan poligami meskipun tidak menjaga anak yatim. Maka tidak tepat menjadikan ayat di atas hanya terbatas kepada para penjaga anak yatim.

  • Kata khiftum yang biasa diertikan takut, dan juga dapat bererti mengetahui, menunjukkan bahawa sesiapa yang yakin atau menduga bahawa tidak akan berlaku adil terhadap isteri-isterinya (baik yang yatim mahupun bukan yatim), maka mereka itu tidak diperbolehkan berpoligami menurut ayat di atas. Yang diperbolehkan berpoligami adalah mereka yang yakin atau menduga kuat bahawa dirinya dapat berlaku adil. Sedangkan sesiapa yang masih ragu adakah boleh berlaku adil ataupun tidak, maka tidak diperbolehkan.

  • Ayat di atas menggunakan kata tuqsithu dan ta’dilu  yang keduanya diterjemahkan dengan berlaku adil. Terdapat ulama yang memberi erti yang sama kepada kedua perkataan tersebut. Ada juga ulama yang membezakan makna keduanya dengan menyatakan bahawa tuqsithu adalah berlaku adil antara dua orang atau lebih, keadilan yang menjadikan kedua-duanya gembira. Sedangkan ta’dilu adalah berlaku baik terhadap orang lain mahupun diri sendiri, tetapi keadilan itu boleh jadi tidak menggembirakan salah satu pihak. Apabila makna kedua perkataan ini difahami, maka hal ini bererti bahawa izin berpoligami hanya diberikan kepada mereka yang menduga bahawa keputusannya untuk berpoligami dapat menggembirakan semua isteri yang dinikahinya.

  • Firman Allah s.w.t “maka nikahilah apa yang kamu sukai bukan siapa yang kamu sukai” bukanlah bermaksud untuk mengisyaratkan bahawa wanita kurang berakal kerana pertanyaan yang menggunakan kata apa adalah untuk yang tidak berakal dan siapa untuk yang berakal. Akan tetapi pemilihan kata itu bertujuan untuk menekankan sifat wanita itu, bukan orang tertentu, nama ataupun keturunannya. Bermaksud bahawa dengan menggunakan kata apa bererti wanita yang bersifat bagaimana yang hendak dinikahi, janda ataukah anak gadis, cantik ataukah tidak, orang baik atau kah tidak, dan lain sebagainya.

  • Huruf و  pada ayat di atas bukan bererti dan, melainkan bererti atau sehingga dua-dua, tiga-tiga atau empat-empat bukan izin menjumlah angka-angka tersebut sehingga boleh berpoligami sampai sembilan atau bahkan lapan belas wanita. Secara redaksional ayat di atas tidak bermaksud demikian. Selain itu, Nabi saw juga secara tegas memerintahkan Ghilan Ibnu Umayyah al-Thaqafi yang pada masa itu mempunyai sepuluh orang isteri agar mencukupkan dengan empat orang sahaja dan menceraikan yang selebihnya.

Oleh hal demikian itu, Quraish Shihab merumuskan bahawa ayat tentang poligami di atas menunjukkan kebolehan berpoligami. Itu merupakan pintu kecil yang hanya dapat dilalui oleh sesiapa yang sangat memerlukan dan dengan syarat yang tidak ringan. Ayat di atas juga tidak menganjurkan untuk berpoligami selama masih dapat bermonogami, kerana Islam mendambakan kebahagiaan keluarga, sedangkan kebahagiann itu antara lain disokong oleh cinta kepada pasangan. Cinta yang sebenarnya menuntut agar seseorang tidak mencintai kecuali kepada pasangannya. Terdapat ungkapan yang menyatakan bahawa “Tidak ada di dalam hati dua cinta, sebagaimana tidak ada dalam wujud ini dua Tuhan.”

Poligami Rasulullah

Pembahasan tentang poligami dalam pandangan al-Quran hendaknya tidak ditinjau dari segi ideal atau baik dan buruknya sahaja, tetapi perlu dilihat juga daripada sudut pandang penetapan hukum dalam pelbagai kondisi yang mungkin terjadi. Dan perlu diingat juga, bahawa Nabi saw berpoligami sehingga sembilan orang wanita, di mana kesemuanya itu kecuali Aisyah adalah merupakan janda-janda yang sebahagian di antaranya adalah berusia senja yang tidak lagi memiliki daya tarikan yang memikat. Dengan demikian, pernikahan baginda kesemuanya bertujuan untuk dakwah atau membantu, melindungi dan menyelamatkan para wanita yang kehilangan suami.

Antara isteri-isteri Nabi s.a.w adalah Saudah binti Zam’ah, seorang wanita tua di mana suaminya meninggal dunia di perantauan (Habsyah) sehingga ia terpaksa kembali ke Mekah, menanggung beban kehidupan bersama anak-anaknya dengan risiko dipaksa murtad.

Hindun binti Abi Umayyah yang dikenal dengan Ummu Salamah pula merupakan janda daripada Abdullah al-Makhzumi yang gugur dalam peperangan Uhud. Pada mulanya Ummu Salamah menolak pinangan Nabi s.a.w sebagaimana ia menolak pinangan Abu Bakar dan Umar sebelumnya. Namun akhirnya, Ummu Salamah bersedia menerima pinangan Nabi s.a.w demi meraih kehormatan dipersunting oleh utusan Allah dan demi anak-anaknya.

Ramlah, puteri Abu Sufyan, meninggalkan ibu bapanya untuk berhijrah ke Habsyah  bersama suaminya, tetapi si suami kemudian memeluk agama Nasrani di sana dan menceraikannya sehingga ia hidup bersendirian di perantauan. Maka melaui Negus, penguasa Habsyah, Nabi s.a.w melamarnya dengan harapan mengangkatnya daripada jurang penderitaan, sekali gus menjalin hubungan dengan ayahnya yang pada masa itu merupakan salah satu tokoh utama kaum musyrikin Mekah.

Huriyah binti Alharis pula adalah puteri kepada ketua suku dan termasuk salah seorang yang ditawan tentera Islam. Nabi s.a.w menikahinya dan memerdekakannya dengan harapan kaum Muslimin dapat membebaskan para tawanan yang mereka tawan sehingga hasilnya seperti yang baginda harapkan, iaitu semua tawanan yang dibebaskan pada akhirnya memeluk agama Islam. Huriyah sendiri memilih untuk menetap bersama Nabi s.a.w dan enggan kembali bersama ayahnya.

Hafsah, puteri Umar bin Khattab, ketika suaminya meninggal dunia, ayahnya merasa sedih melihat anaknya hidup sendiri. Maka Umar menawarkan puterinya itu kepada Abu Bakar untuk dinikahi, namun Abu Bakar tidak menerimanya. Kemudian ditawarkannya kepada Uthman, dan Uthman pun diam. Kemudian Nabi s.a.w bersedia menikahi Hafsah demi persahabatan dan demi tidak membezakan Umar dengan Abu Bakar yang sebelum itu puterinya telah dinikahi oleh baginda, iaitu Aisyah.

Shafiyah binti Huyay, puteri pemimpin Yahudi daripada Bani Quraizah yang ditawan setelah kekalahan mereka dalam pengepungan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w, dengan diberi pilihan untuk kembali kepada keluarganya atau tinggal bersama Nabi s.a.w dalam keadaan bebas merdeka. Shafiyah memilih untuk tinggal bersama Nabi s.a.w. Shafiyah akhirnya hidup bersama Nabi s.a.w dan pernah pada suatu ketika, ada orang yang mengejeknya sebagai perempuan bertubuh rendah, maka Nabi s.a.w menghiburkannya dan mengecam keras pengejeknya itu.

Zainab binti Jahesy, sepupu Nabi s.a.w yang dinikahkan langsung oleh Nabi s.a.w dengan bekas anak angkat dan hamba baginda, Zaid bin Harithah. Rumah tangga mereka tidak bahagia sehinggalah mereka bercerai. Dan sebagai memikul tanggungjawab di atas pernikahan itu dahulu, Nabi s.a.w menikahi Zainab di atas perintah Allah dengan tujuan untuk membatalkan adat jahiliyah yang menganggap anak angkat sebagai anak kandung sehingga ayah angkatnya tidak boleh menikahi bekas isteri anak angkatnya tersebut (lihat surah al-Ahzab: 36-37).

Zainab binti Khuzaimah, suaminya gugur dalam perang Uhud dan tidak seorang pun daripada kaum Muslimin pada masa itu yang berminat untuk menikahinya. Maka Nabi s.a.w pun menikahinya. Itulah para Nabi s.a.w yang kesemuanya adalah janda kecuali Aisyah yang baginda nikahi setelah bermonogami (beristerikan seorang isteri sahaja) sampai umur baginda 50 tahun.

Fitrah untuk hidup secara berpasangan merupakan satu lumrah kehidupan manusia. Bagi memenuhi dorongan biologi ini, umat Islam terikat dengan peraturan perkahwinan yang berteraskan syariat. Perkahwinan bahagia berteraskan kasih sayang dan kemesraan menjadi motivasi dan penggerak ke arah kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebaliknya, perkahwinan yang retak akan menghasilkan simpton-simpton ketidakteguhan peribadi yang membawa kesan negatif, bukan sahaja kepada diri bahkan juga masyarakat.

Oleh hal demikian itu, adakah kita meneladani Rasulullah s.a.w hanya dengan mengambil contoh pernikahan baginda yang singkat dan tidak meneladani pernikahan baginda yang bermonogami jauh lebih lama daripada berpoligami? Dan adakah kita meneladani baginda hanya dengan mengambil baju luaran, iaitu berpoligami dan mengabaikan bahawa wanita yang baginda nikahi itu adalah janda yang sudah berumur?

Oleh Ibanah Suhrowardiyah Shiam Mubarokah

No Comments

    Leave a reply