DIKOTOMI PEMIKIRAN

Sebulan lalu (23 Julai 2019) saya menerima kiriman buku kumpulan esei Dr Zabidin Haji Ismail. Zabidin adalah penerima anugerah Pejuang Sastera Negeri Perak (2014) dan Tokoh Budaya Perak (2015). Beliau cukup profilik dan telah menghasilkan sejumlah 38 buku dalam pelbagai genre kreatif dan nonkreatif, setakat ini.

Saya kenal beliau dengan baik kerana kami sama-sama bertugas di Kementerian Penerangan Malaysia walaupun tidak pernah ditempatkan dalam unit atau bahagian yang sama. Beliau  terbabit dalam penyusunan dan penyuntingan Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka (2007), antologi puisi tempatan paling tebal pernah diterbitkan di Malaysia.

Buku Dikotomi Pemikiran (2019) merupakan kumpulan esei penerima anugerah ijazah kehormat doktor persuratan World Academy of Art and Culture, Calirfornia (2013) inu mengandungi 51 garapan pemikiran sejak tahun tahun 1996,  merangkumi 10 bidang (agama, sastera, bahasa, budaya, sejarah, ekonomi, politik, pentadbiran awam, undang-undang dan komunikasi). Kesemua esei-esei yang diterbitkan dalam kumpulan ini sebenarnya merupakan cuplikan pemikiran beliau yang menerima pendidikan di empat buah universiti awam, iaitu diploma pentadbiran awam (UiTM), sarjana muda sains politik dan komunikasi (UKM), sarjana pengajian penerbitan (UM) dan doktor falsafah peradaban Melayu (UPSI).

zabidin

Namun bidang penulisan kesusteraan merupakan yang terbanyak (12 esei) dan diikuti oleh bidang sejarah (tujuh esei)  manakala pentadbiran awam (5),  politik dan komunikasi (masing-masing empat) dan masing-masing tiga dalam bidang agama, kebudayaan, ekonomi dan undang-undang.

Menurut Zabidin, dikotomi yang bermaksud ‘pemisahan’ itulah yang dipilih sebagai tajuk pilihan buku ini, yang bernuansakan ilmu sebagai ‘mutiara kehidupan’ dalam membimbing ‘perjalanan lurus’ agar tidak terapung-apung  ibarat ‘batang kayu’ hanyut ‘di sungai mengalir, terumbang-ambing digasak arus’. Itulah juga mungkin mendorong Zabidin untuk memahami pelbagai bidang ilmu sepanjang sejarah pendidikan tertiarinya, tidak cuba menjadi pakar dalam hanya satu bidang walaupun secara zahirnya saya dapat mengesan kecenderungan utamanya ialah budaya, sastera dan sejarah.

Zabidin turut membedah hal-hal yang menarik dalam wacana pemikiran sastera dengan menampilkan pemikiran politik bersumberkan novel Tengku Menteri (Talib Samat 1959- 2016) dengan menemukan nilai-nilai NAKOS (nasionalisme, antikolonialisme dan sosialisme).

Kajian Zabidin itu menemukan nasionalisme dijelmakan menerusi ujaran berbentuk nasihat dan ada ketikanya disampaikan dalam bentuk khutbah seperti kutipan kuliah agama Ustaz Zulkifli Muhammad. Bagaimanapun, Zabidin mengakui bahawa novel Tengku Menteri ‘tidak banyak boleh dikutip’ tentang variasi pengucapan nasionalisme.

Meskipun novel Tengku Menteri memerihalkan nilai-nilai antikolonial, Zabidin membuat kesimpulan bahawa mesej sedemikian tidak cukup ‘membangkit atau mencetuskan revolusi untuk menentang penjajah secara extreme’, tetapi berjaya memberikan kesan dengan halus.

Sosialisme pula merakamkan konflik yang muncul dalam kalangan pribumi akibat eksploitasi British terhadap sumber alam. Dengan mengangkat mesej sosialisme mengenai pengagihan kek ekonomi setelah kaum imigran mula dibawa masuk untuk tujuan tersebut. Ia disampaikan menerusi watak Long Jaafar yang menjumpai kawasan bijih timah di Larut, Perak. Sengaja disampaikan menerusi watak pratogonis bagi ‘menimbulkan keyakinan’ dan mereka adalah jutawan bijih timah yang menguasai kawasan Larut dan Bukit Gantang.

Ketika membedah mesej nasionalisme dalam novel-novel Ahmad Boestaman (1920-1983), Zabidin mengakui bahawa novel mampu menyampaikan mesej perjuangan politik tanah air secara halus dan pemikiran politik futuristik. Ahmad Boestaman berjaya menyampaikan pemikiran politik dalam novel-novel tulisannya, tetapi, jelas Zabidin, ‘pembaca memerlukan back-up teks sosial, yakni mengetahui latar sejarah perjuangan politik pengarang di dunia nyata sebelum menikmati dan menghayati’ novel tokoh perjuang politik kiri ini.

Seorang pemikir bangsa, menggunakan apa sahaja wadah untuk menyalurkan pemikirannya dan bagi Zulkifli Muhammad (1927-1964), ia turut ‘dialirkan’ menerusi sajak yang kemudiannya diadunkan dengan menarik oleh Talib Samat dalam biografi Pemikiran Bahasa dan Sastera Zulkifli Muhammad dari Perspektif Islam (DBP, 2002).

Walaupun Zulkifli Muhammad dikesan hanya menulis 13 kuntum puisi sepanjang hayatnya, Allahyarham telah berjaya menempatkan ‘nama dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden’, menyeruak mesej Islam dan nasionalisme dalam korpus pemikiran. Semangat kebangsaan yang diserukan itu kerana Tanah Air ini sedang dicengkam penjajah’ dan gagasan Malayan Union sebagai ‘crown colony’ telah menyebabkan jiwa dan perlakuan penduduknya disandera agar tidak memiliki bahagia.

Falsafah politik yang dikembangkan dalam pemikiran Zulkifli Muhammad adalah berteraskan Islam dan menolak dominasi pemikiran barat yang digagaskan oleh Charles Darwin, Karl Marx, Aguste Comte dan Aristotle kerana mereka menjauhkan diri dari Tuhan sedangkan Islam mengajar penganutnya  kerana “Aku datang, aku mengerang, aku pulang kerana-Nya dan untuk-Nya” (Aku Hamba Tuhanku, Berita Minggu, 27 Mac 1961).

Dalam antologi sajak, Istana Kasih 2 (2007) selenggaraan Onn Abdullah dan Sabariah Bahari, kita menemukan “rangkaian puisi yang puitis penuh rasa romantika dan asmaradana yang tulus dari lubuk kalbu para penyair”,   menyelami mesej perkahwinan dan cinta. Dalam antologi ini, penyair lelaki menulis 14 buah sajak mengenai perkahwinan manakala 21 sajak mengenai cinta sedangkan hanya lima kuntum puisi mengenai perkahwinan dan enam belas puisi mengenai cinta dihasilkan oleh penyair perempuan.

Dalam 19 kuntum puisi mengenai perkahwinan, hanya empat penyair perempuan berminat untuk mengungkapkannya, tetapi tidak diungkapkan secara terus, hanya berkisar pada nasihat, suami, isteri dan anak-anak. Ini kerana ‘perkahwinan bukan sebuah sandiwara, untuk dihebahkan dalam media, dengan rasa megah dan riak, tapi akhirnya runtuh berselerak’ (Pena Mutiara, “Perkahwinan”).

Perkahwinan bagi Mohd Hashim dalam “Terima Kasih Perkahwinan” kerana “..menghantarku ke laman rumah tangga, untuk bersila dianjung harapan, meribai sebuah kebahagiaan….memperkenalkan aku kepada tanggungjawab.”

Bagi Sabariah Bahari pula, harapan daripada perkahwinan itu adalah “…kita bina astaka peringatan, kau dan aku akan bersatu, menjalin harmoni menyulam kasih, menggalung mutiara cinta kita, biar bersih putih , dan mewangi selamanya.”

Mengenai mesej cinta, Zabidin dapat mengesani daripada 37 kuntum puisi, cinta antara makhluk adalah yang amat dominan (30) berbanding cinta kepada Allah (4) dan kepada kematian (3). Bagaimanapun, ia tetap digarap dengan lebih banyak oleh penyair lelaki berbanding wanita dalam antologi Istana Kasih 2 ini dan agak melankolik juga apabila Chai Loon Guan menulis: Kekasih, dalam buana persetiaan/ kaulakarkan lautan cinta/ kaubirukan warna laut/ bersama alunan rindu/ mesra kasih/ yang dalam/ aroma cinta yang mewangi.” (“Warkah Buat Kekasih III”).

Ketika menilai kepengarangan Suhaimi Haji Muhammad (1934-2014), antara tahun 1950 hingga 2010, terdapat 33 antologi puisi perseorangan, 27 antologi puisi bersama, 3 antologi cerpen perseorangan, 4 antologi cerpen bersama, dua kumpulan esei. 89 esei dan kritikan di akhbar dan majalah, 10 kata pengantar, dua kumpulan drama bersama, tiga buah antologi puisi selenggaraan, sebuah kamus dan sebuah buku biografi.

Suhaimi menyalurkan ungkapan puisi bersandarkan aliran pemikiran realisme, surealisme, mistikisme dan eksistensialisme. Namun menurut Zabidin, Suhaimi lebih cenderung kepada aliran surealisme berbanding realisme dan eksistensialisme. Suhaimi juga dilihat sebagai penyair sufi yang begitu menonjol di Malaysia setelah menghasilkan antologi Wujud. Antologi ini memuatkan 206 puisi mengenai ketuhanan, tasawuf dan kebatinan. Antologi itu telah berjaya mengungkapkan persoalan cinta martabat tinggi, cinta terhadap al-Khalik sehingga Shahnon Ahmad menyifatkan Wujudmembawa kita bermesra dan berpaut dengan Allah…ternyata saudara (Suhaimi) sudah berada di tahap yang sangat saya rindui.”

Siri Bercakap Dengan Jin oleh Tamar Jalis turut menarik perhatian Zabidin.  Ia merupakan siri yang paling lama bersiaran dalam majalah Variasari mulai April 1981 hingga Januari 2005 (23 tahun enam bulan). Ia bukan sahaja memecah rekod penulisan di Malaysia, bahkan di dunia, iaitu sebanyak 221 siri telah dibukukan dalam 16 buah buku. Ada pihak menganggarkan bahawa siri tersebut telah dicetak lebih sejuta naskhah dan menjadi siri paling popular di Malaysia.

siri Jin

Nama sebenar Tamar Jalis ialah Mohamad Radzi bin Mahmud. Beliau dilahirkan di Beruas Perak pada 13 September 1940 dan meninggal dunia pada 26 Ogos 2018 ketika berusia 78 tahun di kediamannya di Kota Damansara.

Sebelum diterima bekerja sebagai pemberita sambilan, Tamar Jalis menjadi buruh kasar membina penjana elektrik di Cameron Highlands, buruh keretapi dan juruteknik rendah. Antara tahun 1964-1966, berkhidmat sebagai askar wataniah dan antara 1970 hingga 1977, bertugas sebagai kerani pengedaran di Utusan Melayu, Ipoh. Pernah menulis cerpen dewasa dan dua buah cerpen iaitu Menanti Ayah dan Samad Toja memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan.

Zabidin yang berasal dari etnik Rao begitu cergas membuat penyelidikan mengenai leluhurnya, bukan sahaja cuba memahami adat dan budaya sekitar Perak, bahkan turut merantau hingga ke Indonesia dan beberapa buah negeri yang diketahui ada hubungan bersaudara. Beliau turut menghasilkan buku Biografi Tokoh Rao (2012) dan  Masyarakat Rao di Malaysia: Analisis Sosio Budaya (bersama Talib Samat, 2013). Antara tokoh-tokoh Rao yang memasuki arena politik tanah air ialah Dato’ Zaharah Sulaiman (UMNO), Yusuf Rawa (PAS) dan Tan Sri Rafidah Aziz (bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Melihat kepada kesungguhan Zabidin ‘mencari ilmu’ dan ‘meneroka pelbagai aspek budaya, sastera dan bahasa’ penerbitan buku  Dikotomi Pemikiran ini dapat membantu kita memahami bahawa ilmu itu tidak berkesudahan. Ilmu sentiasa berkembang dan Zabidin merupakan salah seorang yang bukan sahaja berusaha memenuhi tuntutan tersebut, bahkan beliau tidak kedekut berkongsi apa yang difahami dan diselidikinya.

Meskipun buku yang memuatkan 51 buah rencana dan kumpulan kertas kerja atau kertas pembentangan di pelbagai majlis, Zabidin masih boleh mengakui bahawa ‘lautan ilmu’ itu memang luas. Atas kesedaran itu Zabidin sedia menerima dan mengakui bahawa ‘masih banyak kekurangan’ tetapi tidak bermakna, akar yang digarapnya tidak berguna. Ia tetap boleh dimanfaatkan dalam ‘ketiadaan rotan’.

Saya pun tidak mampu untuk menyorot kesemua esei yang ada dalam buku ini, kecuali beberapa esei yang saya anggap menarik, walaupun telah membaca kesemua 51 buah esei yang dikumpulkan dalam Dikotomi Pemikiran.

Nama Buku                 : Dikotomi Pemikiran (465 halaman termasuk indeks)

Nama Penulis              : Dr Zabidin Haji Ismail

Nama Penerbit            : Karya Cipta, 2019

 

Kamarun KH

 

 

No Comments

    Leave a reply