DIKTATOR TETAP KEKAL DALAM NARATIF POLITIK MALAYSIA

Nurul Izzah Anwar yang mendapat jolokan sebagai ‘Puteri Reformasi’ tetap melabelkan Dr Mahathir sebagai ‘bekas diktator’ yang telah menyebabkan ‘begitu banyak kerosakan berlaku’ kepada negara dan juga kehidupan peribadinya. Sebagai anak sulong kepada pasangan Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah, Nurul Izzah merasakan betapa pedihnya hidup ketika ayahnya didakwa dan dipenjarakan akibat salah laku moral.

Ketika ayahnya dipecat dari kedudukan kedua tertinggi dalam pentadbiran negara, Nurul Izzah masih lagi belajar. Beliau menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang elektrik dan kejuruteraan elektronik dari Universiti Tenaga Nasional dua hari selepas Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara (2003). Anwar ditahan di penjara selama enam tahun, dan tempoh itu benar-benar menyiksakan hidupnya, apatah lagi dalam keadaan kes moral yang menggemparkan sejarah politik Malaysia.

Dalam kepayahan hidup itulah Nurul Izzah sentiasa terselubung dengan emosi kecewa sehingga beliau bersedia untuk memasuki dunia politik. Nurul Izzah bertanding di Lembah Pantai dan berjaya menewaskan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, yang juga adalah penyandang kerusi tersebut, Datuk Shahrizat Abdul Jalil. Beliau kekal selama dua penggal (PRU ke-12 dan 13) di Lembah Pantai sebelum berpindah ke Permatang Pauh dalam PRU ke-14.

Setelah Dr Mahathir berusaha menumpaskan UMNO dan BN, Nurul Izzah masih curiga dengan apa yang dikatakan ‘perjanjian’ untuk melantik bapanya sebagai Perdana Menteri menanti sekiranya Pakatan Harapan menang dalam PRU ke-14. PRU ke-14, Anwar masih belum bebas dalam kes liwat II, tetapi atas semangat mahu menjatuhkan BN, Nurul turut akur dengan kerjasama baharu yang terjalin sejak 2017 selepas Pakatan Rakyat terbubar akibat keenganan PAS untuk bekerjasama dengan DAP.

Setelah bapanya berjaya diampunkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Anwar kembali memasuki politik dengan bertanding sebagai ahli parlimen Port Dickson. Pada mulanya, Dr Mahathir meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri sementara untuk tempoh enam bulan, kemudian dilanjutkan kepada dua tahun dan seterusnya dalam Perhimpuan Agung Tahunan PPBM, timbul usul agar terus memimpin PH selama sepenggal. Mungkin kerana kecewa dengan perjalanan politik itu, Nurul Izzah melihat Dr Mahathir sengaja merancang agar Anwar terus berada dalam keadaan ‘menanti’.

Apabila bapanya menang tanpa saingan jawatan Presiden PKR, Nurul Izzah mula kecewa dengan tindakan beberapa ahli politik yang berusaha memecahbelahkan parti, maka beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang dan juga sebagai Naib Presiden PKR (17 Disember 2018). Pada 23 Mac lalu, Nurul Izzah turut mengumumkan peletakan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAS) dengan alasan tidak bersetuju Ronald Kindee dikekalkan sebagai Pengerusi PAC berdasarkan pengumuman PH bahawa tidak wajar melantik wakil dari parti kerajaan.

Ronald Kindee menyertai PPBM pada 18 Mac 2019 dan ketika dilantik sebagai pengerusi PAC pada 7 Ogos 2018 masih wakil rakyat UMNO sebelum mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas pada 12 Disember 2018. Peletakan jawatan Nurul Izzah yang disifatkan sebagai ‘patah hati’ itu bukan terhenti di situ, bahkan pada 24 Mac tersiar temu bual dengan akhbar Straits Times Singapura yang dengan jelas sikapnya tidak dapat bekerjasama dengan ‘bekas diktator.’

Akibat pengakuan tersebut, Nurul Izzah diserang oleh beberapa orang pemimpin PH. Bagaimanapun, Nurul Izzah tetap dengan keputusannya, dan bertegas bahawa “saya hanya mengulangi pendirian yang pernah saya sebutkan bertahun lalu. Tuan-tuan dan puan-puan boleh rujuk kenyataan kami semasa Konvensyen Pakatan Harapan”. Bagi Nurul Izzah, sampai bila-bila pun Dr Mahathir tetap merupakan ‘bekas diktator’ dan ini bercanggah dengan apa yang disifatkan oleh Presiden PAS, “Dr Mahathir bukan dictator, tetapi bertindak tegas.”

Ekoran kenyataan tersebut, Haji Hadi telah disifatkan oleh Anwar Ibrahim berusaha untuk ‘membodek’ dan dalam masa yang sama, Anwar tidak memberikan sebarang komen mengenai apa yang diperkatakan oleh anaknya yang sulong itu. Ketika Nurul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Anwar hanya mampu memberikan ulasan, beliau menghormati keputusan dan memberikan ruang Nurul ‘mencari ketenangan’. Nampaknya, Anwar tidak juga mampu memujuk Nurul yang dah ‘patah hati’. Nurul membayangkan kemungkinan bahawa dirinya mungkin tidak akan bertanding lagi dalam PRU ke-15.

Kisah Dr Mahathir sebagai ‘diktator’ dalam politik Malaysia kembali diceritakan semula setelah lebih lima belas tahun tenggelam. Era pemerintahan Dr Mahathir yang panjang telah dipanggil Mahathirisme, dan setelah lima belas tahun berlalu, dalam usia 93 tahun Dr Mahathir kembali menerajui politik Malaysia.

Ketika pertama kali diangkat sebagai Perdana Menteri ke-14 pada tahun 1981, Dr Mahathir memulakan langkah drastik dengan menyamakan waktu antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Untuk mendisiplinkan penjawat awam, Dr Mahathir memperkenalkan kad perakam waktu, manual prosedur kerja, carta aliran kerja, fail meja dan kumpulan meningkatkan mutu kerja.

Budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea Selatan, yang terkenal datang awal dan pulang lewat, setia kepada ketua dan organisasi seterusnya melahirkan Dasar Pandang ke-Timur. Ketika itu, setiap tindakan dan keputusan dasar yang dibuat oleh Dr Mahathir sukar untuk dibahas secara terbuka. Bila keputusannya dibahaskan, beliau dengan tangkas menyelar pengkritiknya sebagai ‘tidak patriotik’ dan dipengaruhi oleh budaya penjajah.

Kita mungkin masih ingat bagaimana Dr Mahathir menolak dan menempelak sesiapa sahaja yang mempersoalkan projek kereta nasional, Proton yang pada asasnya merupakan pemasangan kenderaan keluaran Mitsubishi dari Jepun. Bagi membolehkan kereta nasional itu mampu bersaing, keluaran Proton diberikan perlindungan manakala kereta import dicukaikan lebih tinggi.

Bila beliau memperkenalkan Dasar 70 juta penduduk, maka muncullah menteri-menteri kabinet begitu handal mempertahankan dasar tersebut bagi membolehkan pasaran domestik berkembang berbanding ketika itu, jumlah penduduk hanya sekitar 20 juta. Pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang pernah menyarankan agar diberikan ruang membawa masuk lebih ramai penduduk dari negara luar. Dalam suatu ilustrasi, akhbar The Star menggambarkan dengan jumlah penduduk seramai 70 juta, kawasan perumahan bakal melimpah hingga ke sebahagian pantai yang menghadapi Laut  China Selatan.

Bila Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Awam, bukan Islam mula memberikan tafsiran bahawa dasar tersebut berusaha mengislamkan pentadbiran awam kerana terpaksa bertindak balas dengan tuntutan politik ketika itu. Ia kemudiannya menjadi semakin berpolemik pada Dr Mahathir pada tahun 2001 mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, tetapi tidak menukarkan sistem perundangan negara berdasarkan syariah.

Kritikan-kritikan bahawa Malaysia masih mengamalkan perundangan penjajah, taghut, Islam kulit dan sebagainya disanggah dengan keras sehingga menuduh parti yang menjadikan Islam sebagai ideologi politik sebagai “melampau”, ‘ektremis’, dan menjual agama. Naratif politik Mahathirisme akhirnya berubah corak selepas berlakunya perpecahan dalam UMNO selepas 1988.

UMNO mula membawa masuk golongan korporat dalam politik dan secara halusnya berjaya menyingkirkan peranan besar golongan guru. Perubahan itu menyebabkan UMNO terus terjebak dengan ‘politik wang’, pembentukan kroni, amalan nepotisme dan perebutan projek-projek kerajaan sehingga meningkatkan potensi berlakunya rasuah. Kita mungkin ingat bagaimana bergeloranya politik UMNO dengan isu tersebut pada tahun 1995  apabila pemberian istimewa ‘lesen perniagaan dan pemilikan saham’, pembahagian ‘pink form’, pemberian permit import kereta terpakai dan sebagainya.

Ahli politik UMNO dan BN dilihat begitu mewah. Mereka memperoleh kekayaan baharu dengan cepat menerusi dasar penswastaan dan pensyarikatan Malaysia. Aset-aset yang dimiliki oleh parti dicair dan dipindahkan kepada individu tertentu dan kerana terlalu ingin cepat kaya, ahli politik UMNO mencagar atau menjual projek kepada bukan Melayu, yang kemudiannya melahirkan konsep Ali Baba (bukan Alibaba, syarikat pemasaran online yang ditubuhkan oleh Jack Ma).

Bukan setakat itu, aset-aset milik GLC difaraidkan kepada pihak tertentu sehingga menampakkan bukan Melayu terus mendapat peluang membina kekayaan besar. Ketika zaman Dr Mahathir, muncul tokoh-tokoh perniagaan yang kini menduduki senarai orang terkaya di Malaysia.

Antaranya, Ananda Krishnan (tauke judi Big Sweep yang memiliki Maxis, Astro, Binariang dan pemaju KLCC), Tan Sri Ganalingam (Ganad Advertising yang kemudiannya menguasai Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor), Tan Sri Vincent Tan ( dari seorang kerani bank menjadi hartawan melalui Kumpulan Berjaya, Interpacific (yang ada kaitan dengan Daim Zainudin selepas menukarkan Syarikat Pembinaan Maluri dan Sports Toto), Mirzan Mahathir (dari MISC ke Sepang International Circuits, Petron dan Kencana Petroleum), dan ramai lagi.

Mahathirisme dikritik hebat oleh DAP dan PAS yang ketika itu menggelar Dr Mahathir sebagai ‘bapa rasuah’ sehinggalah imej berkenaan cuba dikaburkan selepas beliau kembali membawa naratif politik Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbirkan oleh kleptokrat, parti dan pemimpinnya.

Ketika ini, Kerajaan PH tidak cukup kuat untuk mempertahankan ‘kegembiraan rakyat’ yang menumbangkan penguasaan BN selama enam dekad. Kerajaan PH dikatakan terlalu banyak mengalami kegagalan, dan kegagalan itulah yang mungkin menjadi sebab Nurul Izzah melihat ‘kerosakan’ yang semakin banyak dilakukan oleh ‘bekas diktator’.

Kerajaan PH tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakan janji atau manifesto, walaupun menurut penasihat komunikasi dan media Perdana Menteri, Kadir A Jasin, tidak semua tindakan Kerajaan PH adalah buruk.  Disebabkan kegagalan komunikasi, kebaikan yang dilakukan oleh Kerajaan PH saperti tenggelam.

Ini juga mencerminkan kegagalan penasihat komunikasi dan media Perdana Menteri sendiri, yang tidak cekap mengurus imej Kerajaan PH. Kadir A Jasin juga gagal dalam tanggungjawabnya untuk membina imej baik Perdana Menteri dan Kerajaan PH. Beliau gagal membentuk sikap kerjasama yang baik antara menteri kabinet, kerana seringkali bercanggah pandangan dan berbeza pendirian sehingga menyebabkan Perdana Menteri ‘turut kecewa’.

Rakyat semakin kecewa dengan pengisytiharan Kerajaan PH mengenai jumlah hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu. Dikatakan berjumlah lebih RM 1 trilion sedangkan angka rasmi menunjukkan sekitar RM 686 bilion pada akhir tahun 2017. Setelah Kerajaan PH mengambil alih, hutang negara telah dikatakan meningkat kepada RM 868 b pada akhir tahun 2018. Hutang ini dijangka akan meningkat lagi apabila bon Samurai direalisasikan pada hujung bulan ini. Nilai bon Samurai ialah RM 7.4 bilion.

Pada awalnya, bon Samurai yang diluluskan oleh kerajaan Jepun dikatakan untuk menolong membayar hutang. Dengan meminjam dalam bentuk mata wang yen dengan kadar 0.63 peratus untuk tempoh bayaran balik 10 tahun, pada mulanya ramai yakin ia mampu mengurangkan jumlah hutang. Tetapi, selepas melihat kepada cara Kerajaan PH memanipulasikan angka, bon Samurai tidak lagi dipercayai untuk mengurangkan hutang, bahkan menambahkan hutang.

Dengan membuat hutang baharu, Perdana Menteri meminta agar penjawat awam sedia ‘ikat perut’ dan ekonomi negara dapat dipulihkan dalam tempoh tiga tahun. Seruan tersebut menyebabkan rakyat mula mempersoalkan niat sebenar Kerajaan PH, mula curiga dengan penjualan aset-aset milik GLC yang diuruskan melalui Khazanah Nasional, pemindahan aset Tabung Haji bernilai RM 19.9 bilion kepada SPV, keinginan besar untuk mengeluarkan ‘kereta terbang’ dan kereta nasional ketiga sedangkan masalah asas rakyat tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Rakyat mengharapkan pendapatan mereka bertambah baik, kos sara hidup rendah dan seterusnya peluang pekerjaan diciptakan. Kesemuanya hanya ‘tinggal harapan’ manakala Kerajaan PH semakin banyak mengitar semula program kerajaan terdahulu yang dikritik sebagai tidak rasional dan menyusahkan rakyat. Pemberian pelbagai subsidi dan bantuan kepada rakyat yang dahulunya dianggap sebagai ‘dedak’ serta ‘hasil yang dicuri’ semakin membuktikan Kerajaan PH sebenarnya telah ‘menipu dan berbohong’. Akibatnya, rakyat semakin ‘merindui’ suasana kepimpinan BN, bukannya Kerajaan PH yang sedang melenyapkan aset-aset milik negara.

Rakyat mulai marah dengan Kerajaan PH yang tidak menunaikan janji; menjual aset untuk mendapatkan wang mudah dan dalam masa yang sama tidak berfikir untuk merancang program pembangunan ekonomi secara jelas. Apa yang dilakukan sekarang hanya bersifat ecera, untuk memenuhi tuntutan kapitalisme dan Mahathirisme 2.0. Itulah sebabnya Dr Mahathir kembali bertekad untuk menghalang karenah birokrasi dengan kembali mengamalkan budaya pengurusan lama bagi penjawat awam, menyalahkan sikap orang Melayu yang malas berusaha; Daim pula menyarankan orang Melayu agar tidak menggunakan emosi dan menumpukan kepada lojik; dan, Mahathirisme akan tetap dengan ‘ketegasannya’ untuk tidak mendengar kritikan serta kehendak rakyat kerana rakyat hanyalah alat untuk mendapatkan kuasa.

Setelah kuasa diperoleh, rakyat perlu tunduk kepada mereka yang berkuasa. Inilah yang sedang diulangi oleh Dr Mahathir, dan ‘kerosakan’ yang tidak boleh dikompromikan oleh Nurul Izzah sampai bila-bila. Seorang ‘bekas diktator’ akan tetap kekal dengan imej kediktatorannya apabila berkuasa, kerana sebagai ‘bekas diktator’ ia sangat cekap dan licik menggunakan kuasa.

Selagi Dr Mahathir berkuasa, politik Malaysia akan terus dibayangi naratif ‘diktator’.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply