DILEMA ISU BAYARAN TINGGI PENDAKWAH

Tidak dapat dinafikan, salah satu faktor kepada kefahaman dan penghayatan masyarakat Islam yang mendalam terhadap ajaran agamanya ialah atas sumbangan dan peranan pendakwah. Di atas tanggungjawab yang berat dan beban yang dipikul dalam mencorakkan kefahaman ajaran Islam, sudah tentu pendakwah perlu diberi apresiasi dan ganjaran yang sewajarnya.

Namun demikian, ada di dalam kalangan sesetengah pendakwah di negara ini yang ‘menikmati’ status itu dengan meletakkan bayaran yang tinggi. Pendakwah itu seolah-olah mengambil kesempatan di atas jasa besarnya dalam membimbing umat Islam ke landasan yang betul dengan mengenakan bayaran yang tidak wajar. Adakah persepsi ini betul-betul berlaku di tengah-tengah masyarakat yang haus ilmu agama? Betulkah pendakwah meletak bayaran tinggi tanpa kompromi kepada pihak penganjur?

“Isu mengenai bayaran tinggi oleh sesetengah pendakwah di negara ini pada asasnya bukanlah salah pendakwah. Masyarakat dan pihak yang menganjurkan program ceramah yang terlebih dulu meletakkan bayaran tinggi kepada pendakwah. Masyarakat yang mengajarkan kepada pendakwah untuk meletakkan harga tinggi” kata pendakwah yang juga pensyarah USIM Prof Rugayyah Tibek.

“Disebabkan pihak penganjur nak kejar keramaian (crowded) dan populariti seorang pendakwah, mereka sanggup untuk membayar tinggi pendakwah berkenaan. Mereka tak peduli dengan kandungan atau materi yang disampaikan oleh pendakwah adakah berkesan mempengaruhi orang ramai yang hadir atau sebaliknya.”

Pendapat yang senada turut dikongsikan oleh Prof Emeritus Datuk Mahmood Zuhdi yang menyatakan bayaran tinggi dimulakan oleh masyarakat yang berlumba-lumba menjemput pendakwah yang dianggap ‘selebriti’. Berikutan itu, orang ramai tidak wajar mempertikai pendapatan pendakwah kerana niat asal pendakwah adalah untuk menyampaikan ilmu.

Mahmood Zuhdi juga menyatakan bahawa “pendapatan pendakwah tidak boleh distrukturkan secara bertulis mahupun kod etika tertentu. Sebaliknya, kita perlu membudayakan berdakwah seperti para pendakwah pada zaman dahulu. Kita tidak boleh berkeras kerana masyarakat masih dalam proses belajar” katanya seperti yang dipetik dalam akhbar Harian Metro.

Apabila masyarakat telah terbiasa menerima bayaran yang ditetapkan oleh sesuatu masyarakat, maka ia menjadi budaya dalam menentukan bayaran penceramah pada masa berikutnya. Padahal, pada mulanya para pendakwah berdakwah dengan niat tulus, ikhlas dan semata-mata untuk mensyi’arkan Islam. Namun, seiring dengan populariti dan sambutan orang ramai, ada juga sesetengah penceramah yang terperangkap dengan situasi itu dan mula menetapkan harga yang tinggi.

Walau bagaimanapun, Rugayyah mengingatkan orang ramai untuk tidak bersikap prejudis atau bersangka buruk kepada pendakwah. Hal ini kerana para pendakwah itu juga manusia biasa yang memerlukan keselesaan hidup dan tanggungjawab sebagai kepala rumah tangga.

“Kita juga perlu bertimbang rasa dengan pendakwah kerana mereka juga perlu memberi belanja kepada istri dan anak, membeli minyak kenderaan, membuat kajian untuk mempersiapkan ceramah dan masa yang ditinggalkan untuk berceramah”.

“Selain itu, terdapat penceramah yang mengambil bayaran yang diterima oleh penganjur tetapi sebahagian diagihkan kepada pihak yang lebih memerlukan seperti anak yatim, orang miskin atau disumbangkan kepada institusi pengajian agama, masjid dan mahad tahfiz. Kita tidak boleh su’uzan (buruk sangka) kepada pendakwah kerana mereka berbuat amal sedekah itu secara diam-diam”.

Perkara yang menjadi isu ialah apabila penceramah itu meletakkan harga tinggi sedangkan dia mempunyai jawatan tetap seperti menjadi pensyarah dan pegawai kerajaan. “Pendakwah yang bekerja tetap, cukuplah bagi saguhati dan mengganti tambang yang telah dibelanjakan” saran Rugayyah lagi.

Pada masa yang sama, “Kita juga perlu adil dan berbaik sangka dengan penceramah yang sumber mata pencaharian sepenuhnya berasal daripada berceramah. Ada kalanya penceramah meletakkan harga tinggi disebabkan keperluan untuk kemudahannya untuk bergerak dan belanja pengurusan ceramah. Sebab itu penceramah perlu kereta yang selesa, upah pemandu, setiausaha yang menyusun agenda dan jadual ceramah, membeli baju dan sebagainya”.

Apapun, perkara penting yang ditekankan kepada pendakwah ialah niat asal dalam berceramah. Berapapun bayaran yang diterima, itu bukan isunya. Isu utama ialah biarlah dalam berdakwah itu bertunjangkan kepada niat murni semata-mata untuk dakwah, meneruskan risalah Nabi dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Jangan kerana telah menjadi ‘selebriti’ dan idola orang ramai, lupa kepada tujuan asal berdakwah. Apatah lagi terjerembab dalam godaan habuan material sehingga sanggup menggadaikan kesucian dan moral ajaran Islam yang menegah kepada umatnya untuk menjual agama demi tujuan komersial.

Oleh: Amin Fadlillah dan Masitah Esa

No Comments

    Leave a reply