Mahathir Yang Meroyan

Saya pernah kagum dengan perjuangan dan idealisme politik Dr Mahathir. Pada  suatu ketika,  Dr Mahathir dilabelkan sebagai ‘ultra Malay’. Kekaguman itu bagaimanapun bertukar jadi ‘benci dan marah’ setelah memerhatikan gelagat politik  yang disifatkan oleh Ahmad Sabri Cheek ‘lebih Machiavelli daripada Machiavelli’.

Benar atau tidak, ia terpulang kepada penilaian anda sendiri. Bagi saya, ada kebenarannya. Petunjuknya, Mahathir tidak senang orang lain lebih ‘berjaya daripada kejayaan dirinya’. Sebab egonya terlalu super hingga boleh mencecah tahap supremacy atau hegemonik.

Ketika saya mula didedahkan dengan teori dan falsafah politik (1970-an), saya begitu berminat untuk membaca buku Malay Dilemma yang ditulisnya dengan niat menjatuhkan Tunku Abdul Rahman ekoran kekalahan yang dialami di Kota Star dalam PRU ke-3 (1969). Setelah berpeluang, saya membaca buku itu yang dimasukkan dalam kategori ‘red spot’: boleh baca tetapi tidak boleh dibawa balik sebagai buku pinjaman biasa.

Saya meminjamnya setiap kali ada masa terluang di antara masa kuliah untuk tempoh sebulan. Saya agak perlahan membaca buku berbahasa Inggeris ketika itu, namun saya cuba habiskan juga atas keinginan ‘luar biasa’ mencari makna ‘ultra Malay’. Tahun 1982, saya memasuki perkhidmatan awam, dan ketika itu buku Malay Dilemma diperkatakan semula, Dr Mahathir sudah setahun menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Tidak ada sebab untuk terus dibiarkan ‘haram’ dan ‘dikunci pembacaan terbuka oleh seluruh rakyat Malaysia’ yang berminat. Selepas pengharaman ditarik balik (1981), buku Malay Dilemma diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ibrahim Saad dengan tajuk Dilema Melayu (1982). Buku itu menjadi “buku bacaan wajib” untuk dihadam dan dibahas dalam kumpulan kecil, perbincangan tidak formal.

Ia tidak lain tidak bukan ialah untuk memahami pemikiran Dr Mahathir. Ketika itu sudah muncul formula ‘pendisiplinan penjawat awam’ menerusi perubahan waktu (disamakan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung), penggunaan punch-card, datang awal-pulang lewat (kerja pejabat), memakai tanda nama dan kurangkan bercakap, buat kerja.

Penjawat awam mula diserang ‘budaya kerja Jepun’ dan dikehendaki meniru kaedah bekerja dengan amalan budaya QCC -Kawalan Mutu Kerja dan Manual Prosedur Kerja. Sampai sekarang apabila sesuatu tindakan itu dilakukan, ia perlu bersandarkan SOP –standard operating procedure.

Sebelum PRU tersebut (1969), Dr Mahathir dengan bangganya berkata beliau ‘tidak memerlukan sokongan bukan Melayu untuk menang’ dan mengharapkan pengundi Melayu tidak menyokong calon PAS, iaitu Yusuf Rawa. Setelah kecewa, penyokong PAS didakwa tidak ‘jujur’ dan diprotes oleh pengundi bukan Melayu, Mahathir tewas. Apabila tewas, beliau menyalahkan Tunku Abdul Rahman dan dikritiknya secara terbuka.

Beliau mengkritik dasar pentadbiran Tunku yang dikatakan ‘terlalu berlembut dengan bukan Melayu’ termasuklah menyerahkan Singapura kepada PAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew (surat terbukanya). Ia kemudian dikupas secara lebih serius dan panjang dalam Malay Dilemma. Kata-kata sinis terhadap Tunku hingga kini menjadi ‘igauan sejarah’ .

Pada tahun 1987, Tunku pernah menyifatkan Dr Mahathir adalah ‘pengkhianat’ dan enggan bekerjasama. Tunku dan Tun Hussein Onn memberikan sokongan kepada Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan Presiden UMNO.

Period pertama dekad pentadbiran (1981-1990), Dr Mahathir menyerang Singapura agar sedia  ‘meminda atau menyemak semula perjanjian air’. Isu itu tidak selesai sehinggalah beliau meletakkan jawatan sebagai  Perdana Menteri ke-4 (2003). Nyata, Mahathir hanya menggunakan isu itu untuk menjaga dan mengekalkan imejnya sebagai ‘ultra Malay’, dengan tujuan  terus mencengkam UMNO.

Namun, cengkaman itu tidak mampu dipertahankan selama-lamanya. Mahathir perlu mencari ‘jalan keluar’ sehinggalah muncul cadangan untuk membina jambatan baharu menggantikan Tambak Johor. Jambatan baharu itu dibina lebih tinggi di mana kapal boleh melaluinya dan air Selat Tebrau akan mengalir deras.

Singapura tidak bersetuju, maka Mahathir tetap dengan keputusannya. Ia membina sebuah jambatan baharu di kawasan Malaysia, dan akan disambungkan di bahagian Singapura dengan struktur sedia ada. Ia kemudiannya dikenali dengan jolokan Jambatan Bengkok.

Mahathir menggunakan naratif Jambatan Bengkok sebagai ‘ugutan politik’ untuk ‘memaksa Singapura’, agar bersetuju meminda kadar jual-beli air untuk dua perjanjian yang telah dimeterai. Perjanjian Pertama (1961) memberikan kelonggaran untuk menyemak semula harga air selepas 25 tahun.

Ia kemudian dibuat semula dan tamat pada bulan Ogos 2011. Bagi Mahathir, ia mesti dibuat dengan tegas kerana Singapura sudah banyak kali ‘menyakitkan hati’ Malaysia dan dakwaan, loji-loji air turut dijadikan ‘pengkalan pengintipan’. Hanya dengan menggunakan isu air boleh ‘mengajar’ Lee Kuan Yew.

Perjanjian Kedua (1962) dan dijangka tamat 2061. Singapura diberikan hak untuk menarik dan menggunakan 250 juta gelen air mentah setiap hari dari Sungai Johor. Sebagai imbalannya, Singapura diwajibkan memberi Johor air terawat sehingga 2% daripada air yang diimport.

Singapura menerusi Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) menguruskan operasi Loji Rawatan Air Sungai Johor dan Empangan Linggiu sehingga tahun 2061. Perjanjian Air 1962 sah untuk tempoh 100 tahun. Ironinya, Singapura pula akan menjual air yang dirawat kepada Johor dengan harga yang tinggi. Singapura memperoleh untung berlipat ganda.

Sebagai Ketua Penerangan UMNO, Mustapha Mohamed (2000) diberikan tanggungjawab untuk melebarkan ‘permusuhan Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew’ menggunakan isu air. Menurut laporan, Mustapha (yang tewas dalam PRU 1999) perlu bekerja keras bagi membuktikan ‘kuat bekerja’, membuat kajian selama dua minggu dan seterusnya menulis buku kecil mengenai bantahan Malaysia terhadap perjanjian air yang berat sebelah dan perlu dirunding semula.

Bagi Mahathir dengan cara ‘menaikkan kemarahan rakyat Malaysia’ menggunakan isu air, ia akan mengubah sikap dan tindakan Singapura.  Ia sebenarnya, suatu tindakan Mahathir untuk membolehkan orang Melayu memberikan sokongan ‘tidak berbelah bahagi’ setelah UMNO diharamkan (1988). Secara tidak langsung, memadamkan hasrat gabungan parti-parti pembangkang menukarkan kerajaan (1990).

Ketika itu, Tengku Razaleigh sudah menubuhkan Parti Melayu Semangat ’46 dan UMNO telah diharamkan. Mahathir kekal sebagai Presiden UMNO (Baru) dan mula menjadi seorang yang ‘hilang sifat ultra Malay’ dengan dasar-dasar yang merugikan orang Melayu, iaitu penswastaan dan persyarikatan Malaysia.

Namun, atas kebimbangan yang dibayangkan menerusi ‘polarisasi kaum’, Dr Mahathir mula membentuk pandangan strategiknya yang kemudian dikenali Wawasan 2020. Wawasan 2020 disifatkan sebagai tindakan untuk ‘melupuskan semangat Dasar Ekonomi Baru-DEB’ yang berakhir tahun 1990.

Mahathir menjadi lebih ‘global’ dengan memberikan penekanan mengubah struktur ekonomi menerusi perubahan dasar– dasar perindustrian berat (Industrial Master Plan), penubuhan HICOM, projek kereta nasional (1985), dasar persyarikatan Malaysia, Dasar Penswastaan- akhirnya berakhir dengan ‘kemarahan rakyat’ dengan amukan ‘kroni, nepotisme dan korupsi’ pada tahun 1998.

Survival politik Mahathir masih kuat, walaupun tergoncang dengan Reformasi yang dilakukan oleh kumpulan penyokong Anwar Ibrahim. Ketika itu, Mahathir mempunyai barisan menteri kabinet yang sanggup ‘bekerja bersama-samanya’ dan mereka bersedia ‘menggempur’. Ketika itu, undang-undang yang ada cukup kuat  ‘mengekang’ apa sahaja yang boleh ditakrifkan ‘menganggu ketenteraman awam’ dan dikategorikan sebagai ‘menghasut’.

Hal itu tidak menjadi kenyataan. Singapura kekal dengan keputusan ‘tidak bersetuju’.  Pembinaan Jambatan Bengkok boleh menyukarkan negara kecil itu ‘menambak pantai’ dan ‘memperbesarkan wilayahnya’.

Ia kemudiannya menjadi punca ‘kemarahan’ Dr Mahathir kepada penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran, tidak bersedia menyambung projek berkenaan walaupun dilaporkan sudah dimulakan di akhir pentadbiran Dr Mahathir. Abdullah bersedia membatalkannya dan membayar ganti rugi kepada kontraktor terbabit.

Dinsman, seorang penulis pernah yang menulis Puisi Panjang Untuk Mahathir (1982 dan edisi baharu 2018) kagum dengan idealisme politik Dr Mahathir akhirnya menyindir apabila negara dilanda krisis pada tahun 1997.

Pemecatan Anwar Ibrahim, yang pada awalnya dikatakan berpunca daripada ‘kegawatan pendekatan bagi menyelesaikan kemelut ekonomi’ telah ditakdirkan menjadi ‘kegawatan Mahathir’. Mahathir terpaksa berhempas pulas, menggerakkan seluruh mekanisme kerajaan dan parti untuk ‘menjatuhkan Anwar’. Krisis itu dilabelkan sebagai ‘konspirasi politik’ (Dinsman, Gawat: Gagalnya Formula Mahathir, 1998).

Jika dalam Malay Dilemma Dr Mahathir menyatakan antara punca kegagalan kerajaan ialah ‘kedudukan kuasa yang besar’ telah menyebabkan ‘kelekaan’. Selepas  kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri ke-7, beliau amat mengharapkan pengundi-pengundi Melayu mahupun wakil rakyat UMNO  ‘melompat parti’. Ia mengharapkan dirinya memperoleh kuasa yang cukup. Kuasa itu dapat mengimbangi kuasa DAP dan PKR.

Kuasa itulah juga dapat menjadikan PH lebih kuat. Namun bagi PPBM, tanpa sokongan orang Melayu, mereka terpaksa bergantung kuasa dengan bukan Melayu dan itu sudah berlaku. Sebab itulah Dr Mahathir menyindir, politikus Melayu sudah hilang “’kemelayuan”,  setiap orang mahu menjadi pemimpin dan setiap pemimpin parti mahu jadi perdana menteri.

Bukankah itu paradoks? Paradoks yang awalnya dianggap ‘melemahkan’. Kini, diharapkan dapat dikembalikan untuk memperkuatkan parti atau ‘kemelayuan’ menerusi sokongan besar terhadap PPBM. Dulu beliau mengisahkan tentang ‘kehilangan kuasa politik Melayu’ dan ketika itu, beliau merasainya setelah orang Melayu semakin berpecah kerana politik.

Sebahagian besar punca perpecahan itu adalah tindakan Dr Mahathir sendiri. Dr Mahathir memang bijak melaksanakan ‘pecah dan perintah’ tetapi kali ini, ‘pecah dan perintah’ sudah menyemarakkan ‘pecah-pecah-perintah-parah’. Itulah keparahan Pakatan Harapan yang sedang berlaku.

Usaha dan tindakan Dr Mahathir dalam tempoh 14 bulan (sejak kembali berkuasa pada 10 Mei 2018) mendapat kupasan menarik Ab Jalil Backer dalam koleksi 42 rencana kewartawanan yang dibukukan dengan tajuk Dilema Mahathir. 40 rencana adalah dari kolumnya di Sinar Harian manakala dua lagi adalah analisis Mahathirisme dalam perspektif kemenangan Pakatan Harapan dan memunculkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke-7.

Dr Mahathir Mencipta sejarah sebagai perdana menteri tertua di dunia, dengan kemenangan bersejarah menumbangkan Perikatan/BN setelah berkuasa selama lebih enam dekad (1957-2018). Suatu rakaman perjalanan sejarah politik Malaysia Baharu, penuh enigma-ilusi-euforia-batas neo-Mahathirisme sebelum Pakatan Harapan ‘tersungkur dari dalam dimakan anai-anai’ , membuak-buak mencari jalan membina koloninya sendiri.

Suatu perenungan tajam dari seorang wartawan yang pernah melihat Dr Mahathir dengan kekaguman tersendiri pada awalnya bertukar jadi ‘sedikit marah dan kecewa’.  Kuasa telah mengubahkan perspektif dan prinsip perjuangan dan nilai-nilai ‘kemelayuan’ yang ada. Mungkin sedikit persamaan itulah menyebabkan saya minat untuk membaca ulang apa yang ditulis oleh Abd Jalil Baker yang dikumpulkan dalam kompilasi ini.

Ia tidak menyebabkan rasa jemu walaupun pembacaan sehari dua ini adalah ulangan daripada pembacaan eceran dan terputus-putus sebelumnya. Saya hanya mengambil masa beberapa jam untuk selesai sejak menerima buku ini (21 Mei 2020) yang dipesan (17 Mei 2020) secara dalam talian. Terima kasih Ab Jalil Backer yang turut menandatangani buku itu  sebagai dorongan untuk saya membaca “Terima Kasih Sudi Membaca!”.

Meskipun ia tidak diberikan analisis dalam kerangka ‘teori politik’ saya tetap dapat menulis nilai dan budaya politik Mahathir. Dr Mahathir masih tegar dengan hegemoni (teori yang dikembangkan oleh Antonio Gramsci) dan  kemudian dikerangkakan untuk menilai Mahathir oleh John Hilley (John Hilley, Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru, 2009); mikropolitik (In-Won Hwang, Personalized Politics: The Malaysian State under Mahathir, 2003), padat dengan paradok (Khoo Bo Teik, Paradoxes of Mahathirism: An Intelectual Biography of Mahathir Mohamad, 1995); crony-capitalism (Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, 2007); politik pembohongan (Macheal Backman, Asia Future Shock: Business Crisis and Opportunity in the Coming Years, 2007); dan politik perkauman atau aspirasi Bangsa Malaysia (Mohamed Mustapha Ishak, Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa Dalam Masyarakat Pelbagai Etnik, 2014; dan Cheah Boon Kheng, Malaysia: The Making of Nation, 2002).

Dalam Malaysia Baharu yang ‘gagal dan keliru’, tulis Jalil ‘ia adalah satu dilema kepada ‘maverick Mahathir’ yang sebelum ini terkenal sebagai Perdana Menteri terulung, negarawan terhebat dan ahli politik luar biasa.

 “Hari ini, Mahathir memimpin satu pentadbiran yang gagal menunaikan manifesto, berbalah sesama sendiri dan lebih banyak berpolitik berbanding bekerja sebagai satu pasukan. Mahathir sudah hilang suara seorang negarawan dan pemimpin umat Islam’ (hal.xi). Terakhir, Mahathir telah menimbulkan persekitaran politik ‘serba salah’ kerana merasakan dirinya sahaja betul dan hebat.

Jalil memberikan amaran, “aura Tun Dr  Mahathir sebagai pemimpin masyarakat Islam dan orang Melayu telah beransur-ansur pudar. Jika tidak diuruskan dengan baik sejarah mungkin akan menghakimi beliau dengan kejam kali ini.” (hal.11).

Kalau dilema difahami sebagai pemikiran atau rasa bersimpang siur  akibat banyak pilihan, maka Mahathir sekarang ‘semua salah’ sebab tidak ada banyak pilihan. Mahathir hanya ada dua pilihan, bersara terus dari politik dan meneruskan perjuangan tanpa nokhtahnya itu.

Nampaknya, Mahathir sedang menuju ke ‘pekasam’. Bukan lagi ‘lengan’ yang dicelupnya, celupannya juga telah sampai ke ‘kaki’ dan ‘hati’ dengan berkata, mansuhkan Parlimen. Parlimen sudah tidak berfungsi, tidak boleh berbahas. Parlimen hanya untuk ‘mendengar titah ucapan’. Sebab itulah sebaik sahaja selesai titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong pada 18 Mei 2020, Dr Mahathir disebelah petang mengadakan Sidang Media.

Namun Anwar Ibrahim tidak hadir walaupun ia turut dihadiri oleh Mat Sabu, Lim Guan Eng, Khalid Samad dan Mukhriz. Mahathir tidak boleh menerima alasan pandemik (COVID-19) sebagai alasan “kalau mahu berbahas, tak dibenarkan sebab masalah pandemik. Sekarang ini semua orang sudah bebas membeli belah dan makan di kedai tapi dalam Dewan (tidak dibenarkan). Kita bukan mahu apa, kita cuma mahu duduk di kerusi kita tapi tidak dibenarkan satu hari pun, cuma beberapa jam saja. Sepatutnya tidak ada masalah untuk lapan hari dengan cara yang dibuat pada hari ini.”

Selepas meletakkan jawatan, sebab sebenar kepada pertimbangan itu belum dapat dijelaskan dengan tepat, Mahathir semakin berusaha ‘kembali meracau’ dengan acuan ‘pengkhianatan dari dalam PH’ yang disasarkan kepada Muhyiddin Yassin. Anwar Ibrahim yang gagal untuk kali ketiga dalam ‘saga penantian dan gelora kerusi Perdana Menteri’ menuduh, ia adalah ‘pengkhianatan oleh kem Azmin Ali’.

Dalam analisis Jalil. Dr Mahathir amat mengharapkan kedudukan Bersatu (PPBM) menjadi kuat kerana beliau sedar, tanpa sokongan Melayu-Islam, parti yang diasaskannya bersama Tan Sri Muhyiddin dan Daim Zainudin tidak akan ke mana. PPBM yang hanya menang 13 kerusi daripada 52 kerusi yang ditandingi dalam PRU ke-14, boleh dikembirikan bila-bila masa oleh PKR dan DAP.

Sebab itulah, DAP dan PKR (penyokong) sangat mahukan ‘proses peralihan kuasa’ ditetapkan dengan jelas dan dipercepatkan, bimbang, semakin lama Dr Mahathir berkuasa, semakin tumpul aspirasi Malaysia Baharu. Mahathir sentiasa mencari ruang untuk membolehkan PPBM menggantikan UMNO dengan pelbagai kemungkinan.

Kaedah pertama ialah menerima sesiapa sahaja wakil rakyat UMNO ‘melompat parti’. Namun mereka perlu terlebih dahulu berada dalam ‘cooling period’ sekurang-kurangnya setahun atau diterima selepas ‘proses penapisan’ yang ditetapkan.

Bagi Mahathir, ia mungkin berjaya dengan andaian: pemimpin-pemimpin yang melompat parti akan diikuti oleh penyokong-penyokong mereka di peringkat akar umbi.

Hal ini tidak berlaku, jiwa UMNO tetap kental walaupun pemimpin mereka bersedia ‘mengkhianati perjuangan’. UMNO  di peringkat akar umbi tetap mahukan parti orang Melayu terbesar itu  bernafas dan bangkit daripada kekalahan dan  melakukan serangan balas terhadap Dr Mahathir. Atas keinginan itu,  dikeluarkan kembali kenyataan-kenyataan ‘tidak konsisten’ dan ‘bercanggah’ sepanjang hampir dua tahun tempoh berkuasa dibandingkan ketika menerajui UMNO. Ia berbeza jauu ketika mengepalai Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP.

Andaian kedua, Mahathir ‘bakal mengharamkan UMNO’. Sehingga ke hari peletakan jawatannya (24 Februari 2020), Mahathir tidak melakukannya. Mahathir memahami, sekiranya UMNO diharamkan, ia akan ‘dilemparkan’ lebih kejam daripada zaman dirinya ‘memecat Anwar Ibrahim’ atau ketika ‘UMNO diharamkan’. Pengharaman UMNO (1988) oleh keputusan mahkamah umpama ‘blessing’ bagi Dr Mahathir melemahkan pengaruh Tengku Razaleigh.

Begitu juga dengan keputusan Anwar bersalah atas salah guna kuasa. Mimpi Anwar sebagai Perdana Menteri terkandas. Keputusan mahkamah itu telah memberikan ‘kemenangan legal’ kepada Mahathir, tetapi ‘kemenangan moral’ dipertikaikan sehingga kini.

Mahathir ‘sangat mengharapkan keputusan Mahkamah’ akan menyebabkan UMNO diharamkan sekali lagi. Sebab itulah sebaik sahaja mengambil alih kuasa, digunakan tekanan ke atas Najib: menggelidah, membuat laporan ‘rampasan aset dan barang berharga’ walaupun dalam keadaan umat Islam baharu sahaja memulakan ibadat berpuasa.

Seluruh Malaysia gempar, jutaan wang tunai dirampas, ratusan atau ribuan beg tangan berjenama dan agak melucukan bila ‘cokelat dalam peti sejuk’ pun turut disita. Kesemuanya itu untuk menggambarkan betapa ‘kleptokratnya Najib’. Sayangnya, semua tekanan itu belum berakhir walaupun Mahathir pernah memberikan jaminan bahawa ia akan selesai dalam tempoh yang singkat kerana ‘cukup bukti.’

Episod tersebut kemudiannya bertukar kepada ‘episod penganiayaan dan balas dendam’. ‘Kejahatan Najib’ menjadikan Mahathir semakin tertekan. “Kejahatan Najib” mendapat sokongan semula orang Melayu dan anak muda.

Akibatnya, Mahathir begitu resah dengan fenomena “bosskur” dan ‘Apa Malu Bosskur’. Mahathir ‘berbulu’ (aib yang besar) bila kemunculannya dalam PRK tidak dapat membantu kemenangan calon yang mewakili  Pakatan Harapan.

Ia bermula dengan Cameron Highlands (DAP), Semenyih (PPBM) dan teramat ‘bera’ (malu) di Tg Piai. Calon PPBM tewas ‘knock-out’. Bahkan sebelumnya, ada kecelaruan pandangan antara tukang kempen PH, termasuk menteri-menterinya. Syed Saddiq  berkomenter mengenai ‘arwah’  (calon PPBM). Hasilnya, calon ‘arwah’ memperoleh undi kurang daripada separuh undi majoriti. Lojiknya, Syed Saddiq sudah mengharapkan calon PPBM kalah.

Kesemuanya itu menambahkan Dilema Mahathir. Biarpun Jalil belum merungkaikan ‘tabularasa politik Dr Mahathir’ selepas ‘meletakkan jawatan’ sebagai Perdana Menteri, kumpulan rencana kewartawanan ini mampu memberikan kita sebahagian peribadi dan budaya politik Mahathir yang berkecamuk dan kental dengan doktrin politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.

Saya yakin, pengamatan Jalil dalam ‘rakaman kewartawanan’ itu boleh dijadikan rujukan penting kepada peminat politik Malaysia termasuklah mereka yang memuja dan juga membenci Mahathir, walaupun ia bukan “analisis sains politik’; hanya “pemerhatian dan kritikan terhadap kerajaan hari ini” yang terlucut kuasa dan aktor-aktornya sedang hebat meroyan.

Nama Buku: Dilema Mahathir

Nama Penulis: Ab Jalil Backer

Nama Penerbit: Kutubkata  Resources, 2020

Jumlah Halaman: 177

Harga : RM 35

KAMARUN KH

 

 

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply