DINAMIKA POLITIK PROGRESIF YANG ‘TERSUNGKUR’

Malaysia Baharu (New Malaysia) dan Malaysia Lama (Old Malaysia) menjadi bahan perbincangan menarik ketika Kerajaan Pakatan Harapan tersungkur daripada kesilapan pemain-pemainnya sendiri. Ibarat pasukan bolasepak, semangat juangnya menjadi kurang bermaya selepas lima belas minit permainan dimulakan dan akhirnya terpaksa mengangkat tangan mengakui kalah ketika berada di minit ke-30 separuh masa pertama.

Akibat tidak ada keharmonian dan keserasian antara pemain-pemainnya. ada pemain cuba menjaringkan gol sendiri manakala yang lain pula hilang semangat mengumpan bola di pintu gawang lawan. Mereka ‘memegang bola’ dengan harapan bola itu dapat menghasilkan gol hanya mengharapkan tuah kaki sahaja. Melihat kepada situasi itu, maka penjaga gol mengambil keputusan keluar padang dan mengangkat tanda menyerah kalah.

Itulah yang berlaku dalam budaya politik Malaysia Baharu. Gagasan Malaysia Baharu hanyalah satu daripada beberapa slogan yang berjaya mencuri kemenangan pada PRU ke-14, 9 Mei 2018. Tetapi, gagasan Malaysia Baharu tidak lengkap dan subur bercambah menjadi pohon kehidupan yang dapat meneduhkan ramai orang.

Pohon itu kini semakin layu, meskipun masih boleh hidup, dijangka tidak mampu mengeluarkan bunga dan berbuah yang sepatutnya boleh dituai sebelum PRU ke-15. Kalau pokoknya adalah dari klon ‘musang king’, akibat salah pemangkasan dan percambahan menerusi ‘perkahwinan silang’, ia bertukar menjadi ‘durian gila daun’ atau hanya ‘batang durian tanpa daun’. Kalau dibiarkan akan ditumpang oleh dedalu dan induknya mati dicekik ‘akar dedalu’.

Episod terbaharu ialah mencari kepastian kumpulan manakah yang mempunyai kepercayaan majoriti. Untuk tujuan itu, sekali lagi Yang di Pertuan Agong berusaha menemui 222 Ahli Parlimen manakala Dr Mahathir bertemu mata dengan semua pemimpin-pemimpin utama parti. Antaranya, Presiden UMNO, Presiden PAS, Presiden PKR, Setiausaha Agong DAP, Gabungan Parti Sarawak, Presiden Amanah (PAN), Presiden Bersatu (PPBM), ketua ‘pengkhianat’ PKR, Azmin Ali dan Parti Warisan.

Azmin dan konco-konconya dilabelkan sebagai pengkhianat oleh Presiden PKR dan Lim Guan Eng kerana plot ‘rampasan kuasa’ yang gagal pada hari Ahad, 24 Februari 2020 di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. Plot yang dikatakan bakal menamatkan kerjasama politik yang membentuk Malaysia Baharu itu sebenarnya masih kuat dengan nilai-nilai konservatif, termasuk politik identiti.

Politik identiti merupakan ciri dominan dalam Malaysia Lama. Wawasan ideologi politik Malaysia terus mahukan dominasi politik mestilah berakarkan kepada ‘ketuanan Melayu’ manakala Malaysia Baharu dengan idealisme ‘kebersamaan’. Atas hasrat ‘kebersamaan’ itu akhirnya orang Melayu dikatakan akan kehilangan ‘sentuhan’ dan keistimewaannya bahkan untuk bercakap mengenai pengupayaan Melayu-Islam ia semacam satu kesalahan besar yang bakal merombak cita-cita Malaysia Baharu.

Dalam situasi itulah kedengaran semacam satu ugutan yang jelas. DAP akan memutuskan kerjasama atau keluar daripada PH sekiranya matlamat Malaysia Baharu diabaikan. Ketika Dr Mahathir hadir dan berucap dalam Kongress Maruah Melayu, ia turut diselar oleh segelintir pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang sendiri. Lim Kit Siang mempersoalkan, jika hal yang sama dibuat oleh bukan Melayu, apakah ia dilihat sebagai perspektif perkauman?

Ketika DAP turut campur dalam kontroversi tulisan jawi, orang Melayu mula bangkit untuk memperkatakan tentang pembelian produk dan perkhidmatan halal. Ada gesaan agar bukan pengeluar produk Bumiputra-Islam, produk tersebut tidak menggunakan tulisan jawi atau jenama yang ada unsur-unsur Melayu-Islam. Jika produk itu telah diberikan status halal, pengurusan dan pemantauan label halal dicadangkan agar menggunakan logo multibahasa, sebagaimana berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Cemas sebahagian pemimpin politik DAP sehingga melabelkan gerakan kesedaran tersebut sebagai tindakan sabotaj ekonomi yang boleh merugikan negara. Ia sudah cukup menggambarkan bahawa identiti Melayu-Islam cukup kuat berpengaruh walaupun pernah diejek sebagai Melayu Malas, Melayu Mudah Lupa dan masih bergantung kepada usahawan bukan Melayu.

Persoalan bias etnik bukan perkara baharu dalam politik Malaysia. Bahkan, pada suatu ketika, Lim Kit Siang pernah lakukan apabila mengkritik tindakan ‘banduan wanita dipaksa latih tubi’ hanya keran menyangka tahanan itu adalah wanita keturunan Cina. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa memohon maaf dan memanjangkan permohonan itu kepada kerajaan China. Maknanya, tindakan silap Lim Kit Siang telah memalukan negara, sedangkan siasatan mendapati banduan wanita itu adalah keturunan Melayu. Lim Kit Siang tidak membuat permohonan maaf, bahkan membiarkan isu itu mati secara natural.

Ketika DAP dipersoalkan untuk membuktikan bahawa parti itu bukanlah sebuah parti perkauman, akibat pemilihan CEC yang begitu dominan kepada bukan Melayu, Lim Guan Eng membuat sedikit penjajaran memasukkan Zairil Khir Johari. Ia berlaku akibat kesilapan komputer (computer glitch) yang akhirnya menjadi amalan silap yang bercapah, silap kira, silap titik, silap baca laporan dan paling memilukan ialah silap memahami aliran tunai bayaran balik tuntutan GST.

Dalam tempoh 21 bulan kerajaan yang digelar Malaysia Baharu, PH mengalami defisit keyakinan daripada rakyat Malaysia atas banyak perkara. Amat menyedihkan ialah tidak berlakunya pembatalan kutipan tol, penghapusan bayaran balik pinjaman pendidikan (PTPTN), penurunan kos sara hidup, pengenalan cukai-cukai baharu (cukai digital, cukai gula, cukai petak bagi menggantikan cukai hak milik strata dan pindaan duti ke atas kereta pemasangan tempatan), kegagalan SST, kenaikan jumlah hutang negara, nilai ringgit yang merosot, kejatuhan nilai saham, aliran keluar pelaburan asing, pemberhentian pekerja (penjualan syarikat, penutupan syarikat, perubahan model perniagaan dan pemindahan operasi kilang ke negara lain), tiada pelaburan baharu masuk, ancaman penghapusan pencen penjawat awam dan pengenalan status kontrak pelantikan baharu, mencari kesilapan kerajaan Malaysia Lama (1MDB, TH, ECRL, kontrak MRT 2 dan 3, pembinaan landasan berkembar KTM dan pembinaan pelbagai infrastruktur mega) akhirnya menjadi karma politik yang menjengkelkan.

PH terpaksa melakukan ‘serangan maklumat’ bagi menggambarkan Malaysia Lama benar-benar ditadbirkan secara kleptrokrasi. Bukan sahaja pemimpin-pemimpin utama UMNO didakwa, bahkan pencarian bukti yang belum memadai telah memalukan PH sendiri. Setelah berbulan-bulan dibawa ke mahkamah, rakyat semakin mual dengan pelbagai persoalan teknikal sehingga menganggap bahawa tindakan itu adalah satu bentuk penghinaan terancang. Semakin besar penghinaan, semakin besarlah kesan boomerang terpaksa diterima oleh PH. Ia tidak mampu membaiki imej PH, bahkan rakyat yang semakin celik maklumat membalasnya dengan apa yang berlaku ketika pentadbiran Perdana Menteri ke-4.

Cerita-cerita lama yang tiada kesudahannya dibentang semula. Kisah pembelian semula saham MAS, bail-out MISC (yang dimiliki oleh Mirzan Mahathir), kerugian TH (bayar harga mahal untuk dua bangunan di Kuala Lumpur, kegagalan projek hartanah, kerjasama dengan Maju Holding pembinaan MEX ke Putrajaya, ERL yang menguntungkan YTL dan lenyapnya PERNAS, pemilikan UMBC, kontrak fiber optics,  pembelian tenaga daripada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan perjanjian konsesi lebuh raya yang disambung bagi menghalang kenaikan tol). Kesemuanya itu menghidupkan semula crony-capitalism yang cuba dikurangkan oleh Najib.

Ketika ini, Dr Mahathir belum mampu tersenyum walaupun dilantik sebagai Perdana Menteri Interim. Beliau perlu membuktikan sokongan yang mencukupi jika mahu terus kekal sebagai Perdana Menteri dalam persekitaran yang lain, bukan lagi Malaysia Baharu. PH sudah menjadi kerdil dengan hanya 92 kerusi Parlimen dan empat buah negeri bakal berubah.

UMNO dan PAS sudah menyatakan pendirian yang jelas, bersedia menyokong Dr Mahathir sekiranya tidak membabitkan DAP. Bagaimanapun, serpihan PKR yang ketuai oleh Azmin akan mengambil langkah yang serupa sekiranya Anwar menyertai pakatan baharu. Ini bermakna, Dr Mahathir akan kehilangan sokongan daripada serpihan PKR, iaitu 11 kerusi. Azmin mungkin juga boleh meletakkan syarat, tidak akan bergabung sekiranya membabitkan DAP kerana Lim Guan Eng sudah mengeluarkan kenyataan “pengkhianat PH”.

Serba salah Dr Mahathir, YDPA berusaha mencari penyelesaian terbaik, tetapi, politikus tidak boleh berkompromi dengan DAP dan Azmin tidak lagi boleh menerima Anwar. Andainya, kumpulan 11 menyertai kelompok pembangkang, bermakna pembangkang sudah menguasai 71 kerusi. Bolehkah Dr Mahathir menerima semula DAP? Soal itu terus dibangkitkan kerana ada pandangan bahawa punca PPBM keluar daripada PH juga ada kaitan dengan sikap DAP yang sering mempersoalkan apa yang membabitkan Dr Mahathir.

Malaysia Baharu sudah dilihat semakin menyebabkan DAP ‘besar kepala’. Apakah Dr Mahathir boleh menjinakkan DAP agar lebih menghormati nilai-nilai konservatif yang masih kekal dalam jiwa sebahagian besar pemimpin PPBM? Jika pun PKR-DAP dan PAN terus bersatu tekad untuk bersama, dengan 92 kerusi yang dimiliki, ia masih belum mampu meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8.

Pakatan Pembangkang mungkin boleh bersatu untuk memberikan tekanan lebih kuat kepada Dr Mahathir sekiranya pakatan baharu dibentuk semula dengan semangat Malaysia Baharu, iaitu dengan 118 kerusi. Ia tidak bermakna apa pun dengan kejutan yang dibuat oleh Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM. Kedudukan itu tidak akan dihormati malah imej Dr Mahathir terus terjejas seteruk-teruknya.

UMNO dan PAS boleh menerima PPBM dan PKR. Tetapi, UMNO dan PAS tidak boleh menerima DAP. Azmin dan konco-konconya mungkin boleh menerima DAP, tetapi tidak mungkin menerima semula Anwar. Tetapi, apakah GPS dan Warisan boleh menerima Anwar? Apakah Dr Mahathir tidak terasa kedudukannya tergugat apabila Anwar berada dalam pakatan baharu nanti? Apakah Anwar akan membatalkan hasratnya untuk menjadi pengganti Dr Mahathir? Apakah pelan ‘peralihan kuasa’ akan dihidupkan semula sebelum PRU ke-15? Makin lama makin banyak teka-teki dan spekulasi. Yang menariknya, Malaysia Baharu akan menjadi isu perbalahan yang semakin sukar selagi DAP dan PKR seia sekata untuk merealisasikannya agar politik identiti tidak lagi menjadi ‘politik kebencian’?

Hakikatnya, nilai-nilai konservatif masih tebal dalam gelanggang politik Malaysia. Nilai-nilai itulah juga menjadi asas terbelahnya Pakatan Harapan, bukan kerana dendangan politik UMNO dan PAS semata-mata. UMNO dan PAS tetap memperjuangkan persoalan itu, kerana itulah kekuatan yang ada pada mereka. Nilai-nilai Malaysia Baharu belum jelas, malah asas liberalisme yang dipamerkan telah membangkitkan ‘kebencian’. Orang Melayu-Islam tetap mempertahankan kerana mereka tidak mahu ‘ayam dikepuk mati kelaparan’ dan ‘itik di air mati kehauasan’. Malaysia adalah negara yang dibentuk berasaskan Kemelayuan dan Keislaman; lain-lain budaya dan kepercayaan dibolehkan asalkan tidak menghina atau mengecam Melayu dan Islam.

Akhirnya, dinamika politik progresif Malaysia Baharu tersungkur, biarpun Mujahid mengeluh pedih kerana beliau telah dilihat ‘sombong, angkuh dan besar kepala’ dengan kenyataan-kenyataannya sendiri: Saya Menteri, ada ijazah tapi minda kerdil, saya bukan bodoh, saya ada kelulusan agama maka orang yang mengkritik belum tentu ada pengetahuan agama. Mindanya berpusing-pusing, namun Rahmatal Lil’Alamin belum menzahirkan corak dan gerak kerja yang dapat difahami dengan baik. Ia masih bersifat retorik dan penterjemahannya belum boleh dianggap membumi. Kerangkanya hanya ada dalam minda menteri, sebab itulah beliau rasa terkilan apabila gagasan itu dikritik. Ia adalah refleksi kegagalannya sendiri, bombastik dan seperti awan gelap yang menutupi keindahan cahaya bulan purnama. Bukan rindu yang sendu, tetapi gulana dalam pertapaan minda.

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply