DINODAI LAGI

Pelantikan seorang peguam yang pernah mewakili Parti Keadilan Rakyat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun lalu bukan sahaja turut mewarnai perbualan Aidilfitri, bahkan menyebabkan ramai rakyat semakin kecewa dengan pendirian Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7.

Meskipun Latheefa Koya telah meletakkan jawatan dalam parti sebaik sahaja mengetahui berita pelantikannya, ia tidak dapat merungkai banyak kebimbangan masyarakat terutama mengenai pengalamannya sebagai pengurus baharu yang bukan sahaja memerlukan kecekapan pengurusan bahkan tatacara soalsiasat berhubung dengan salah guna kuasa dan rasuah.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki memberikan komitmen akan bekerjsama dengan bossnya yang baharu itu walaupun masyarakat mempertikaikan kelayakannya untuk mengetuai badan penyiasat yang khabarnya akan dibebaskan daripada pengaruh politik dan bergerak secara bebas.

Pelantikan tersebut, walaupun diakui oleh Latheefa Koya telah membebaskan diri daripada pengaruh politik, orang ramai melihat ia bukanlah menjamin sepenuhnya peguam yang lantang bercakap mengenai kebebasan itu dapat memisahkan dirinya daripada pengalaman berpolitik, terutama dalam keadaan sedikit kekeruhan dengan bakal Perdana Menteri menanti.

Latheefa mengkritik apa yang dilakukan oleh Anwar secara terbuka apabila Anwar mula berusaha memperkuatkan kedudukannya selepas mendapat pengampunan bebas daripada Yang di Pertuan Agong lebih setahun lalu dengan amalan kroni dan nepotisme dalam parti dan bagi penyokong Anwar, ia adalah sesuatu yang tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia boleh menjejaskan parti.

Persoalan pertama yang bermain dalam persepsi awam ialah bagaimana Dr Mahathir yang menerajui Pakatan Harapan boleh menodai apa yang terkandung dalam Buku Harapan walaupun dikatakan bukan ‘kitab suci’ kerana terang-terangan melanggar janji untuk menjadikan SPRM bebas dan diletakkan dibawah Parlimen.

Ada yang mempersoalkan apakah pelantikan tersebut memenuhi tatacara yang sedang diperkatakan mengenai Parlimen. Setakat ini belum ada penjelasan mengenai kaedah pelantikan itu kecuali melalui kenyataan, ianya telah dipersetujui oleh Yang Di Pertuan Agong.

Pengasingan kuasa dan tanggungjawab SPRM daripada kongkongan Jabatan Perdana Menteri kepada kuasa Parlimen merupakan salah satu daripada transformasi institusi yang dijanjikan oleh PH sekiranya gabungan itu memenangi PRU ke-14 di samping satu lagi komitmen untuk tidak melantik mana-mana personal politik menduduki jawatan dalam agensi kerajaan.

Sebelum ini, seorang ahli politik dilantik sebagai Duta Malaysia ke China dan kemudiannya beberapa orang lagi dalam pengurusan universiti awam dan GLC, termasuklah seorang isteri kepada seorang pegawai lantikan politik mengepalai Amanah Ikhtiar Malaysia. Dr Mazlee Malik yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UIAM turut menerima kritikan hebat daripada masyarakat kerana dalam masa yang sama beliau adalah Menteri Pendidikan.

Menariknya dalam kes Dr Mazlee Malik ialah ulasannya mengenai pelantikan tersebut bahkan beliau turut berazam untuk kembali ke UIAM selepas dua penggal atau 10 tahun aktif berpolitik. Masyarakat melihat ia bukan sahaja mempunyai ‘conflict of interest’ bahkan sesuatu yang dirancang teliti oleh Menteri Pendidikan untuk menyelamatkan kedudukannya sekiranya prestasinya sebagai ahli politik tidak menjadi walaupun dirinya dianggap pakar dalam bidang ‘good governance’.

Ada juga pandangan bahawa pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua SPRM yang baharu ada kaitannya untuk membendung beberapa orang pemimpin PKR yang begitu kuat mendesak Dr Mahathir untuk mempercepatkan proses penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim sebagaimana dijanjikan sebelum ini. Dr Mahathir masih diingati oleh masyarakat sebagai Perdana Menteri sementara walaupun tempoh kesementaraan itu masih panjang dan sukar diramalkan.

Awalnya, dikatakan bahawa Dr Mahathir akan melepaskan jawatan itu selepas enam bulan dan sebagai persiapan, Anwar saperti memaksa salah seorang wakil rakyat PKR meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau bertanding dan kembali sebagai Ahli Parlimen. Anwar sudahpun menjadi Ahli Parlimen selepas menang PRK Port Dickson, tetapi belum terjamin kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Akhir tahun lalu, resolusi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah membuat satu persetujuan untuk Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir tempoh (edah) PRU ke-14, dan beberapa pemimpin lain mengharapkan Dr Mahathir menerajui kepimpinan Kerajaan PH sehingga sepenggal.

Dr Mahathir dalam beberapa kenyataannya tetap memberikan jaminan bahawa beliau akan melepaskan jawatan tersebut, tetapi hingga sekarang belum jelas bilakah tarikh peralihan kuasa itu. Tempoh yang diketahui sekarang ialah selepas dua tahun, bermakna tinggal lagi sepuluh bulan daripada sekarang.

Dalam ‘penantian’ tersebut, Anwar perlu berhati-hati agar tidak dilihat gopoh kerana kegopohannya bakal mengulangi apa yang pernah berlaku pada tahun 1998. Selepas menang jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO (1995), Anwar dilihat begitu gigih untuk menyusun kedudukan juak-juaknya dalam kerajaan, termasuk melantik hampir kebanyakan Setiausaha Politik menteri-menteri Melayu adalah kroninya di samping Menteri Besar.

Bagaimanapun keghairahan Anwar itu berjaya dikesan oleh orang kuat Dr Mahathir, termasuk Tun Daim Zainudin yang sudah berada di luar kabinet dan Tan Sri Sanusi Junid. Akhirnya sebuah video mengenai langkah tersebut tersebar, dan semakin menjadi punca keretakan dengan Dr Mahathir. Ia menjadi cepat dinokhtahkan apabila ada laporan Anwar terbabit dengan salah laku moral, yang bagi Dr Mahathir ‘amat jijik’ dan tidak boleh dikompromikan.

Akibat pemecatan Anwar, lahirlah sebuah parti baharu yang mempunyai tujuan ‘membebaskan Anwar’ dengan mengalunkan secara lantang prinsip reformasi dan tuduh menuduh yang menyeruakkan rasa pertelingkahan politik yang hebat. Bagaimanapun, atas sifat banyak perkara yang tidak dipersetujui oleh Dr Mahathir terhadap penggantinya, beliau memainkan peranan melahirkan ‘politik kebencian’ terhadap dua Perdana Menteri selepasnya, iaitu Tun Abdullah dan Najib.

Kempen memburuk-burukkan pentadbiran Abdullah menyebabkan BN mula kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat (BN mampu menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen) pada PRU ke-12 dan seterusnya, apabila Najib mengambil alih pentadbiran pada tahun 2009, Dr Mahathir kembali berkempen untuk kemenangan BN. Dalam PRU ke-13, dengan sokongan Dr Mahathir, prestasi BN tidak begitu menyerlah sebaliknya menurun kepada 133 kerusi (2013). Ini menggambarkan faktor atau aura Dr Mahathir tidaklah hebat. Kejayaan terbesar ialah mengalahkan penguasaan PAS di Kedah setelah Mukhriz dijanjikan sebagai Menteri Besar jika BN menang.

Dr Mahathir menjadi hebat ialah ketika melontarkan kempen membenci Najib dan menumbangkan BN selepas mendapat sokongan daripada dua parti terbesar dalam Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PKR. Pakatan Rakyat yang ketika itu terumbang-ambing disebabkan ketiadaan pemimpin yang boleh dianggap boleh menyatukan ‘parti pembangkang’, perpecahan gabungan akibat keengganan PAS tunduk kepada DAP ekoran menjadi ‘penaja’ penubuhan PAN, dan isu yang melanda UMNO ekoran pemecatan Muhyiddin, Shafie Afdal dan Mukriz. Gabungan pembangkang saperti mendapat ‘nafas baharu’ apabila Dr Mahathir muncul membentuk gagasan pembangkang menerusi Pakatan Harapan.

Strategi ini kemudiannya berjaya melenyapkan penguasaan BN selama 61 tahun (Sejak 1957) dan Najib dipersalahkan kerana enggan berundur sebelum PRU ke-14. Selain keengganan berundur secara terhormat, Najib juga dikatakan enggan menerima nasihat agar diadakan pilihan raya lebih awal, iaitu ketika PH masih belum tersusun dan masih bermasalah.

Penodaan Dr Mahathir turut dipersoalkan oleh sebahagian rakyat Malaysia termasuk dalam isu kesetiaan kepada UMNO dan membawa masuk semula idealisme politiknya ke dalam PH. Dengan membelakangkan persetujuan dalam PH. Dr Mahathir membuat keputusan lebih awal tanpa merujuk kepada Majlis Pemuafakatan PH. Dari isu yang membabitkan penerimaan bekas wakil rakyat BN ke dalam PPBM hinggalah pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Ada pandangan, ia adalah prerogative Perdana Menteri. Atas keistimewaan tersebut, Perdana Menteri boleh melakukan apa sahaja keperluan untuk mengukuhkan kedudukan partinya, dan pelantikan Latheefa Koya adalah satu daripada tindakan untuk menggugat pengaruh Anwar daripada terus berkembang dalam PH. Sebelumnya, PKR turut bermasalah apabila kelompok penyokongnya berpecah antara kumpulan Anwar dan kumpulan Azmi.

Berdasarkan strategi itu, sebagai pakar ‘pecah dan perintah’, Dr Mahathir akan terus melakukan tindakan yang dianggap tidak selaras dengan keputusan bersama dalam PH. Sebab itulah ada dalam kalangan pemimpin PKR bukan sahaja lantang bersuara agar ditetapkan dengan jelas proses peralihan kuasa bahkan ada yang sanggup mendesak beliau meletakkan jawatan.

Inilah sebahagian warna–warni politik yang sedang dilukiskan oleh Dr Mahathir untuk mewajahkan Malaysia Baru yang sebenarnya masih dikaitkan dengan Mahathirisme. Anwar memahami, jika beliau bertindak lebih keras terhadap tindakan Dr Mahathir, kedudukannya juga bakal berubah. Sebahagian besar penyokong PKR sudah muak dengan kronisme dan nepotisme Anwar, yang berusaha menjadikan parti itu dikuasai oleh kelompoknya. Kelompok yang dilantik oleh Dr Mahathir dalam kabinet PH agak ‘kurang senang’ dengan kronisme Anwar, setelah memberikan ruang yang lebih luas kepada Rafizi untuk melakukan ‘grand design’ parti. Mungkin juga rasa tersisih apabila Anwar mengambilalih kuasa.

Saperti diketahui umum, Dr Mahathir yang prokapitalisme akan menggerakkan ekonomi-politik berdasarkan keperluan kapitalisme. Sebab itulah dalam banyak hal yang membabitkan pemberian subsidi, Dr Mahathir melihat ia adalah sesuatu yang tidak membantu pertumbuhan dan kecekapan, misalnya pemberian ‘wang percuma’ kepada peneroka. Dua hari kemudian, Dr Mahathir menukarkan pendiriannya sebagaimana pernah menukarkan pendirian terhadap kedudukan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC). Mungkinkah perubahan pendirian itu ada kaitannya dengan ‘rungutan Anwar’?

Inilah apa yang disifatkan sebahagian ciri Mahathirisme, iaitu menodai apa yang diperjuangkan oleh kehendak muafakat (konsensus), sebab beliau memang terkenal dengan idea menentang tradisi atau maverick: Orang tidak hiraukan tradisi atau adat kebiasaan. Juga tidak menghiraukan pemuafakatan bersama yang menjadi norma baru PH.

Aidilfitri kali ini turut diselubungi ‘noda politik’ yang merungkaikan erti Mahathirisme yang tidak banyak berubah dari zaman Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Ia dikembangkan  semula dalam versi baharu  Malaysia Baharu.

 

Mahanor Saleha.

No Comments

    Leave a reply