Doktor, pensyarah boleh wakaf perkhidmatan

APABILA disebut wakaf, ia bukanlah sesuatu asing di negara ini. Ini kerana masyarakat sudah biasa dengan konsep wakaf yang boleh dilaksanakan dengan harta berbentuk kekal seperti tanah, bangunan, rumah dan wang tunai.

Lazim kita mendengar umat Islam negara ini melakukan wakaf harta seperti contoh paling popular wakaf al-Quran atau tanah dan bangunan dengan niat membantu golongan memerlukan, selain mengejar keberkatan hidup dan keredaan Allah SWT khususnya di akhirat kelak.

Namun, tidak ramai yang tahu, skop wakaf sebenarnya lebih luas lagi khususnya dalam amalannya di luar negara dengan antara wakaf yang belum popular di negara ini ialah wakaf perkhidmatan.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Amir Shaharuddin, berkata wakaf perkhidmatan adalah topik baharu yang sedang dibincangkan pada peringkat nasional ketika ini.

Amir berkata, perbincangan itu untuk memastikan sama ada kita boleh atau tidak mengiktiraf perkhidmatan sebagai antara bentuk wakaf.

Katanya, wakaf di negara ini memang sinonim dalam kehidupan umat Islam hingga tidak perlu diperkenalkan lagi, tetapi wakaf perkhidmatan dilihat perkara baharu yang mahu diketengahkan dan dibincangkan untuk diterapkan dalam antara bentuk wakaf.

Apatah lagi, kos perubatan dan pendidikan di negara ini yang semakin meningkat menjadikan wakaf perkhidmatan sebagai antara cara terbaik untuk meningkatkan sumbangan awam.

Malah, umat Islam boleh mempelbagaikan bentuk sumbangan yang sudah tentu membawa kepada implikasi melakukan amalan kebajikan yang diganjari dengan pahala.

Justeru persoalannya kini, apakah ulama dan cendekiawan syariah kita membolehkan perkhidmatan dijadikan bentuk wakaf.

Amir yang kini menjalankan penyelidikan mengenai wakaf perkhidmatan berkata, wakaf adalah ibadat kepada Allah SWT dan mempunyai peranan penting dalam menyelesaikan masalah umat Islam hari ini seperti pembasmian kemiskinan, kesihatan, pendidikan, pusat rumah anak yatim, masjid dan kediaman bagi orang yang memerlukan.

“Dalam Islam kita ada sedekah, zakat, hibah dan wakaf yang semua ini termasuk dalam infaq. Namun, dalam fahaman sekular, wakaf dianggap sumbangan yang berbeza dengan kefahaman Islam yang lebih terperinci.

“Apa yang membezakan antara sedekah, zakat, wakaf dan hibah adalah untuk zakat, ia adalah infaq wajib, manakala ibadat yang lain berbentuk amalan sunat.

“Wakaf menjadi signifikan kerana ia lebih kepada infaq untuk jangka panjang seperti projek besar yang dibina untuk impak dan manfaat masa depan.

“Sedekah pula sebagai contohnya apabila kawan memerlukan duit, lalu kita memberi sedekah yang ia memberi impak dalam jangka pendek,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan matlamat utama wakaf adalah untuk mengejar dan mendapatkan keredaan Allah SWT.

Katanya, mutakhir ini industri wakaf tumbuh bagai cendawan apabila banyak syarikat menjadikannya sebagai elemen perniagaan yang mereka mengambil antara 10 hingga 20 peratus keuntungan daripadanya sebagai pendapatan.

“Tindakan ini tidak kena kerana wakaf sepatutnya 100 peratus untuk pembangunan projek namun orang kita sekarang ini sudah lebih kreatif hingga menjadikannya sebagai sumber pendapatan perniagaan.

“Oleh itu, keredaan Allah SWT sangat penting dalam aspek wakaf. Sepatutnya wakaf untuk pembangunan masyarakat bagi jangka panjang, bukan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Berbalik kepada isu wakaf perkhidmatan, beliau berkata, ulama dan cendekiawan Islam daripada pelbagai mazhab berselisih pendapat mengenainya.

Katanya, hanya mazhab Maliki yang mempunyai perbincangan mengenai wakaf perkhidmatan dengan menggunakan istilah wakaf al-khadamat, manakala mazhab lain membincangkan wakaf dengan mengaitkannya dengan zat sesuatu barangan yang diwakafkan.

Beliau berkata, dua asas penting dalam wakaf ialah sifatnya berterusan dan bertujuan manfaat pembangunan masyarakat.

“Apabila kita menganalisa hukum dibincangkan fuqaha, kita dapat simpulkan semua hukum dikaitkan dengan dua istilah, iaitu wakaf mestilah bersifat berterusan.

“Sebab itu kalau kita tengok di Universiti Al-Azhar, Mesir, asetnya diurus dengan baik dan berkembang. Justeru pulangan itu boleh dijana untuk membiayai pendidikan secara percuma, sekali gus menimbulkan sifat wakaf yang berkembang dan berterusan,” katanya.

Dalam konteks negara ini, Amir berkata, negeri yang mempunyai peruntukan enakmen berkaitan wakaf perkhidmatan ialah Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor dan Perak.

“Lima negeri ini mengiktiraf kepakaran dan perkhidmatan yang mempunyai nilai daripada segi syarak sebagai wakaf perkhidmatan, iaitu dalam bentuk menyumbangkan kepakaran dan perkhidmatan.

“Wakaf perkhidmatan penting kerana ia cara yang membolehkan orang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang menyumbang idea dan tenaga mereka dalam bentuk wakaf,” katanya.

Justeru katanya, adalah penting untuk kajian dilakukan terhadap hubungan antara wakaf perkhidmatan dengan konsep kesukarelawanan, terutama aspek kesamaan dan perbezaan sebelum wakaf perkhidmatan diaplikasikan secara meluas di negara ini.

“Apatah lagi wakaf perkhidmatan sangat luas contohnya apabila seseorang doktor perubatan mahu mewakafkan kepakarannya.

“Persoalan wakaf bangunan dan wakaf dana selesai apabila hospital itu berjaya dibina termasuk dengan kelengkapan, tetapi timbul isu apabila tiada orang untuk menjalankan operasinya.

“Jadi, doktor dan pegawai perubatan yang berminat boleh mewakafkan kepakaran dengan berkhidmat di situ secara percuma hingga timbul persoalan apakah kepakaran sebegini diterima sebagai bentuk wakaf,” katanya.

Beliau berkata, contoh lain ialah universiti awam yang tidak menerima peruntukan penuh dan diminta diminta menjana pendapatan sendiri.

“Jadi ramai profesor yang sudah melepasi usia persaraan tetapi mempunyai kepakaran sangat berharga, mahu menyumbang kepakaran tanpa sebarang bayaran.

“Persoalannya bolehkah kita mengiktiraf sumbangan sebegitu sebagai wakaf atau mewujudkan istilah wakaf dalam bentuk konsultasi,” katanya.

Beliau berkata, hal sama berlaku pada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dan menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial serta perubatan di negara bergolak.

“Oleh itu, fuqaha semasa perlu melihat dan meneliti apakah boleh atau tidak negara kita menerima perkhidmatan ini sebagai bentuk wakaf,” katanya.

Amir berpendapat, wakaf perkhidmatan mungkin boleh diterjemahkan dalam bentuk institusi supaya ia lebih mudah diaplikasi.

“Sebagai contoh, bagaimana pensyarah yang mewakafkan perkhidmatannya tanpa dibayar gaji, dijemput ke sesuatu program di luar negara dan pensyarah itu dibayar. Sudah tentu timbul persoalan status bayaran berkenaan.

“Oleh itu, ulama dahulu tidak melihat bagaimana perkhidmatan itu boleh diwakafkan, sebaliknya hanya institusi yang seseorang boleh berwakaf.

“Ini bermakna, apabila pensyarah masuk ke dalam institusi itu, beliau mewakafkan dirinya, tetapi apabila dia keluar daripadanya, ia bukan lagi jatuh pada wakaf,” katanya.

Justeru Amir meminta lebih banyak kajian mengenai wakaf perkhidmatan dilakukan dengan lebih mendalam terutama bagaimana cara terbaik mengaplikasikannya dan kerangka pelaksanaannya.

Sumber : Berita Harian Online

No Comments

    Leave a reply