DONG ZONG MEMANG ‘RASIS’ (Bahagian 1)

Semasa Aidilfitri lalu kita dihebohkan dengan video semburit. Semasa Aidiladha kali ini kita berhadapan pula dengan polemik penolakan Dong Zong terhadap khat Jawi dalam subjek Bahasa Malaysia SJKC dan SJKT Tahun 4 yang akan dilaksanakan mulai tahun depan. Tahun depan ialah sepatutnya kita berbangga kerana Wawasan 2020 mungkin dilihat sebagai satu kejayaan perjalanan sebuah bangsa Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju. Walau bagaimanapun, Malaysia Baharu telah menganjakkan sasaran tersebut ke tahun 2030, sebab dalam laluan tersebut, beberapa indikasi menunjukkan sasarannya sudah tersasar.

Dengan hebohnya khat Jawi, sepilah buat beberapa ketika kisah peralihan kuasa yang terhebat melalui dorongan video semburit tetapi tidak bermakna Anwar Ibrahim bebas  berbicara dan mencanangkan kedudukan sebagai Perdana Menteri ke-8. Dalam satu surat yang bertarikh 14 Ogos 2019, Bendahari PKR Negeri Terengganu, Haji Wan Ismail Wan Long meminta Pengurus Malaysia Airports Berhad memberi kebenaran menggunakan Bilik Kenyir bagi menyambut kedatangan Presiden PKR itu pada 24 Ogos 2019 sekitar jam 10.30 pagi.

Ramai yang tidak pasti apakah Anwar sudah ditabalkan sebagai PM8 sehingga Bendahari PKR Terengganu ‘berani mati’ menulis surat berkenaan dengan tajuk “LAWATAN RASMI YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM PM8 KE TERENGGANU” dan meminta semua AJK Cabang/Pemuda/Wanita menyambut dan menghantar kepulangannya pada jam 10.30 malam pada hari yang sama. Biarlah! Biarlah apa yang dikatakan orang, asalkan pemimpin PKR bahagia dan Anwar bahagia dengan jolokan PM8 yang belum tentu dapat dinokhtahkan.

Kita tinggalkan ‘labu dan labi-labi’ sama ada akan terhasil buah yang menggunung atau ‘terjun ke lembah penghinaan’. Kita fokuskan kepada apa sebenarnya Dong Zong mahu, dengan mengubah sedikit tajuk rencana bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia yang pernah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina, Apa Lagi Yang Cina Mahu selepas tolak campur dan perhitungan mereka terhadap pilihan raya umum ke-13.

Zaini menulis rencana itu berdasarkan keputusan PRK Hulu Selangor (25 April 2010) dengan mengambil kira kecenderungan pengundi Cina yang tidak berpihak kepada calon BN, sedangkan banyak faedah yang mereka perolehi sepanjang pemerintahan Perikatan dan BN sejak merdeka. PRK tersebut menyaksikan pertandingan antara, MIC-BN diwakili oleh P Kamalanathan dan calon PKR-Pakatan Rakyat, Mohd Zaid Ibrahim.

Sebelum itu, Zaid Ibrahim banyak mendapat faedah daripada penyertaannya dalam politik UMNO, termasuk pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi dan digantung keahliannya pada 2 Disember 2008. Pernah menjadi Ahli PArlimen Kota Bahru selama sepenggal (2004 hingga 2008). PRU 2008, Zahid tidak bertanding dan pada 10 November 2008, beliau menerima surat tunjuk sebab daripada UMNO berkaitan surat terbuka yang ditulisnya dan perjumpaan dengan dengan ahli-ahli Parlimen bagi mendesak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam PRK tersebut, Zahid yang menyertai PKR (13 Jun 2009) telah tewas dengan majoriti 1,725. Menurut analisis Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan, 70 peratus pengundi Cina tidak menyokong BN manakala pengundi India, kembali menyokong BN atas kapasiti calon yang dilihat bersih dan dinamik. PRU ke-13, P Kamanathan  berjaya mengekalkan kerusi Hulu Selangor dan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. Setelah KPM kembali berpecah kepada dua, iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (Julai 2015), P Kamalanathan kekal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan manakala Mary Yap Kain Ching berpindah sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Sekitar tahun 2009, KPM berhadapan dengan beberapa tekanan daripada Dong Zong dan Dong Jiazong apabila dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) hendak diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah membuktikan berlaku kemerosotan pencapaian akademik para pelajar Bumiputra dalam dua mata pelajaran tersebut. PPSMI mula dilaksanakan pada tahun 2003 atas kehendak Dr Mahathir walaupun pada asasnya tokoh-tokoh pendidikan menolaknya berdasarkan perakuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa pendidikan yang berkesan hendaklah dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing, bukannya bahasa asing.

Menurut laporan, kelemahan ketara dalam pelaksanaan PPSMI ialah:

  • Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
  • Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53–58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
  • Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun 2008 mencapai tahap profisiensi.
  • Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
  • Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.

(Kenyataan Akhbar Menteri Pendidikan Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 8 Julai 2009).

Dalam kenyataan yang sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut:

Selain daripada pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007. Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil SJK(T).

Kerajaan juga telah memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan langkah-langkah berikut untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

  • Menambah bilangan guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid. Ini termasuklah 1000 orang guru luar negara, 600 orang guru bersara dan 12,333 guru tambahan daripada IPGM, IPTA dan IPTS. Keutamaan akan diberikan kepada sekolah luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan guru terbaik. Pihak Kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris gred DG 41 bagi kelas besar seperti kelas yang melebihi 35 murid di Tahun Satu dan Dua untuk meningkatkan ”contact time” antara guru dan murid.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SK Tahap I ditambah sebanyak 90 minit daripada 240 minit menjadi 330 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 90 minit daripada 210 minit menjadi 300 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi SJKC/T Tahap I ditambah seratus peratus iaitu daripada 60 minit menjadi 120 minit seminggu manakala bagi Tahap II ditambah sebanyak 30 minit daripada 90 minit menjadi 120 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Tingkatan Satu hingga Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 200 minit menjadi 280 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bagi MUET untuk Tingkatan Enam ditambah sebanyak 80 minit daripada 320 minit menjadi 400 minit seminggu.
  • Peruntukan waktu bahasa Inggeris bagi Matrikulasi ditambah seratus peratus iaitu daripada 3 jam menjadi 6 jam seminggu.
  • Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris diperkenalkan kepada semua murid Tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di kalangan murid di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
  • Makmal bahasa Inggeris akan diwujudkan di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
  • Teknologi maklumat akan dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.
  • Pelajaran tatabahasa Inggeris akan diberikan penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.
  • Untuk mendedahkan murid dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, elemen sains dan teknologi akan diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Pada 25 November 2012, Dong Zong menganjurkan bantahan mengenai penambahan peruntukan masa belajar bahasa Malaysia yang dicadangkan oleh KPM sebagai persediaan menghapuskan kelas-kelas peralihan (remove class) bagi pelajar SJKC dan SJKT sebelum dibolehkan memasuki Tingkatan Satu Sekolah Menengah. Penambahan masa belajar bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular dibimbangi oleh Dong Zong sebagai ‘langkah mengetepikan pendidikan Cina’.

Menurut Presiden Dong Zong ketika itu, Yap Sin Tian “Kami menggesa kerajaan memenuhi kehendak rakyat, melaksanakan dasar sekolah pelbagai bahasa dan pastikan ia terkandung dalam dasar persekolahan arus perdana, untuk memberi layanan yang adil dan memelihara ciri-ciri pendidikan vernakular.”  Para penunjuk perasaan membantah tambahan masa belajar bahasa Malaysia di sekolah vernakular turut membawa spanduk “Membantah KPM meminggirkan SJKC, SJKT, Sekolah Tamil, Sekolah Mubaligh dan SMJK” sedangkan hakikat sebenar ialah membolehkan para pelajar memahami dengan baik proses pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia apabila memasuki sekolah menengah.

Tidak timbul soalan untuk menghapuskan sekolah-sekolah vernakular, tetapi Dong Zong dan pemimpin politik di bawah Pakatan Rakyat mengeksploitasikan isu tersebut sebagai tindakan ‘menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.’ Antara pemimpin yang hadir dalam perhimpunan di Padang Bolasepak Petaling Jaya itu ialah Khalid Samad (PAS), N Surendan (PKR), Dr Tan Seng Giaw (DAP) dan Datuk Chua Soon Bui (SPP). (Rujuk Malaysia Insider, 26 November 2012).

Mengulas mengenai bantahan Dong Zong, Tan Sri Muhyiddin berkata ’kerajaan sememangnya bertindak adil terhadap semua jenis sekolah dan mahu meningkat kualiti pendidikan di semua aliran’. Dakwaan Dong Zong kononnya PPPM boleh menjejaskan pendidikan di sekolah aliran Cina dan Tamil adalah ‘tidak betul sama sekali dan merupakan satu tanggap yang salah’. Semua sekolah. Kecuali sekolah menengah persendirian Cina yang mengelolalak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan menerima faedah daripada pelan tersebut (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025).

Jelas Muhyiddin lagi, “Semua rakyat Malaysia sokong PPPM kenapa Dong Zong tak sokong. Yang menyokong Dong Zong pun hanya beberapa pertubuhan. Banyak lagi pertubuhan yang tak sokong Dong Zong kerana dia tahu Dong Zong ada muslihat politik. Saya tidak ada kepentingan politik. Saya melihat dari segi kepentingan pelajaran. Sebab itu kita bersetuju (dengan pelan ini).

Setiap apa yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan (khususnya KPM) seringkali berniat jahat dan bertujuan merosakkan bahasa Cina dan masa depan bahasa itu walaupun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kalau itulah nak dibuat, mungkin dah berpuluh-puluh tahun dulu kita dah buat. Yang terbukti dalam Barisan Nasional sehingga 55 tahun merdeka, tidak ada buat begitu. Tidak ada sekolah Cina ditutup, tiada bahasa Cina tak boleh diajar, tambah guru Cina pun ada, tambah sekolah Cina pun ada,” tambah Tan Sri Muhyiddin.

Mengenai standard bahasa Melayu di SJKC, Muhyiddin menjelaskan: memang teruk, tu sebab mereka kena masuk Kelas Peralihan setahun dulu, baru boleh masuk Tingkatan Satu. Jadi, bagi membantu pelajar Cina, Kerajaan cadangkan supaya kelas Bahasa Melayu ditambah di sekolah Cina supaya tak payah masuk Kelas Peralihan dan tak rugi setahun, boleh terus masuk Tingkatan Satu selepas Darjah Enam. Benda baik macam ni pun, Dong Zong boleh bantah?

Dong Zong pernah dikaitkan sebagai alat DAP. Tetapi, saya tidak melihat ia sebagai alat DAP sahaja kerana proses penubuhannya telah dimulai oleh MCA. Itulah sebabnya Dr Redhuan Tee Abdullah pernah menyifatkan DAP dan MCA tetap memainkan agenda yang sama, walaupun pada permukaannya kedua parti itu dilihat bermusuh. Redhuan pernah menyifatkan kededua parti dominasi Cina (MCA totoknya adalah Cina manakala DAP walaupun sebagai pelbagai etnik, penguasaan kaum Cina adalah lebih dominan berbanding kaum lain) itu saling bertindak sehaluan untuk kepentingan pendidikan Cina, yakni tatkala DAP lambung, MCA smash begitulah disebaliknya. Dalam bermusuh mereka sebenarnya bersatu. (Rujuk: https://tanwir.my/dap-lambung-mca-smash/).

(bersambung).

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply