DONG ZONG MEMANG ‘RASIS’ (BAHAGIAN III)

Selepas berjaya mempengaruhi British untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam Laporan Fenn-Wu, Dong Zong menjadi semakin ‘besar kepala’ sehingga sanggup mengetepikan matlamat sistem pendidikan yang terkandung dalam Laporan Razak 1956.  Laporan Razak (sempena nama Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Abdul Razak Hussein) yang bertujuan untuk membentuk semula sistem pendidikan Tanah Melayu berdasarkan rangkuman daripada dua laporan sebelumnya, iaitu Laporan Barnes (yang disetujui oleh orang Melayu) dan Laporan Fenn-Wu (yang dipersetujui oleh pejuang pendidikan Cina dan India).

Laporan Razak (1956) sedia bertolak ansur untuk mewujudkan dua jenis sekolah rendah, iaitu sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah jenis kebangsaan, yang kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tami (SJKT). Bagi SK bahasa pengantarnya ialah bahasa Melayu manakala SJKC ialah bahasa Cina dan SJKT ialah bahasa Tamil.

Terdapat sejumlah 17 cadangan yang terkandung dalam Laporan Razak di mana matlamat terakhirnya ialah membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Antara cadangan utama dalam Laporan Razak itu ialah: (1) semua sekolah mempunyai kurikulum yang sama; (2) bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar utama; (3) mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah; (4) bagi SJK, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi bahasa pengantar; (5) Sekolah-sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama; (6) penubuhan satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum; (7) guru-guru sekolah rendah dan menengah adalah bekelayakan; (8) sistem pendidikan sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Rendah (SMR), Sekolah Menengah Atas (SMA) dan Pra Universiti; dan (9) semua guru diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah Nazir Persekutuan ditubuhkan.

Apabila Perikatan menang dalam Pilihan Raya 1955, Tunku Abdul Rahman menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula dasar pendidikan yang sedia ada. Pada 7 Mei 1956, Tun Abdul Razak mengemukakan laporan tersebut (yang kemudiannya dikenali sebagai Laporan Razak) dan dijadualkan akan dikuatkuasakan pada tahun 1957. Laporan Razak turut mencadangkan untuk pemansuhan Ordinan Pelajaran 1952, tetapi sebahagian kandungan Laporan Razak tidak diterima oleh masyarakat Cina atas sebab ‘matlamat akhir’ yang menginginkan agar semua kanak-kanak dari semua kaum mengikuti sistem pendidikan yang sama berpengantarkan bahasa kebangsaan.

ketuanan politik melayu

Thock Ker Phong menjelaskan: ‘matlamat akhir’ ini dipersepsikan oleh masyarakat Cina sebagai sesuatu yang boleh membawa penghapusan sekolah Cina. Tambahan pula para pemimpin Dongjiaozong juga membantah cadangan laporan yang menetapkan hanya bahasa Inggeris dan bahasa Melayu digunakan dalam peperiksaan umum. Mereka beranggapan bahawa peruntukan ini merupakan satu alat yang berupaya menyebabkan penukaran bahasa pengantar di sekolah Cina” (Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina, 2005:46).

gerakan pendidikan Cina di Malaysia

Cheong Yuen Keong pula berpendapat “Parti Perikatan yang menerajui kerajaan mulai tahun 1955 menghadapi masalah pembinaan sebuah negara yang berdaulat. Salah satu faktor yang menghalang usaha-usaha ke arah pembinaan satu negara ialah sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh kerajaan kolonial. Kerajaan Perikatan tahu masalah pendidikan perlu diselesaikan dengan formula kompromi.” (Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia: Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002), 2013:41-42).

‘Matlamat Akhir’ yang dijadikan asas kebimbangan masyarakat Cina dalam Laporan Razak menyebut: Tujuan dasar pelajaran hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.” (Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak), Perenggan 12).

Bagi pejuang pendidikan Cina, dasar pendidikan menengah dianggap mengelirukan kerana tidak menyatakan dengan jelas mengenai status sekolah menengah Cina, sama ada sekolah menengah vernakular dimasukkan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan atau tidak. Di suatu pihak, atas ketidakjelasan itu, Laporan Razak ditafsirkan turut memberikan kebenarangan kepada sekolah-sekolah menengah vernakular untuk menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan digunakan dalam peperiksaan awam. Akhir tahun 1956, kerajaan mengumumkan bahawa bahasa pengantar peperiksaan awam, iaitu Lower School Certificate (LCE) hanya akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan ia menimbulkan dilemma dalam kalangan mereka yang mengikuti sekolah-sekolah vernakular.

Laporan Razak dikatakan ada satu lagi kelemahan, iaitu tidak menyatakan dengan jelas mengenai bantuan terhadap sekolah-sekolah Cina. Ini bermakna dalam Laporan Razak, penekanan utama ialah menjadikan kurikulum pendidikan sebagai asas utama perpaduan, dan sekolah-sekolah vernakular tidak lagi dibenarkan mengajar kurikulum yang diimport daripada Cina ataupun India (Laporan Razak, Perenggan 115). Soal bahasa bukanlah perkara pokok, tetapi disebabkan ‘matlamat akhir’ itulah menyebabkan pejuang-pejuang pendidikan Cina melobi agar sistem pendidikan Cina terus dikekalkan berkembang di mana bahasa ibunda adalah bahasa utama dalam pengembangan ilmu pengetahuan.

Secara mendalamnya, Laporan Razak dilihat mempunyai beberapa kontradiksi sebaik sahaja dilaksanakan.  Pada tahun 1960, satu Jawatankuasa Pelajaran yang diketuai oleh Abdul Rahman Talib telah ditubuhkan bagi ‘menyemak dan meninjau semula’ mengenai pelaksanaan Laporan Razak. Jawatankuasa ini turut memberikan perhatian yang serius terhadap tentangan masyarak Cina mengenai pendidikan menengah, yang akhirnya merumuskan bahawa semua pelajar menyambung pendidikan menengah di sekolah menengah kebangsaan (SMK) atau sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK). Sekolah-sekolah menengah Cina berhadapan dengan dilemma, di mana para pelajar berhadapan dengan peperiksaan awam yang menggunakan bahasa yang berbeza dengan bahasa pengantar yang digunakan di sekolah.  Sekolah-sekolah yang tidak mengikuti sistem pendidikan kebangsaan akan ditamatkan bantuan subsidi manakala sekolah-sekolah yang tidak bersedia menerima penukaran ke SMJK akan didaftarkan sebagai sekolah persendirian.

Kemuncak kepada Laporan Rahman Talib (1960) ialah penggubalan Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran 1961 telah menyebabkan pendidikan Cina merasa cemas, apabila ia memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran (Seksyen 21 (2)) untuk menukar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan dengan berpengantarkan bahasa kebangsaan. Masyarakat Cina melihat, Akta Pelajaran 1961 sebagai langkah agresif kerajaan untuk membina satu sistem pendidikan kebangsaan berdasarkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Orang Melayu turut merasa bimbang kerana bahasa Melayu terus berhadapan dengan persaingan dengan bahasa Inggeris yang dijadikan bahawasa pengantar di sekolah-sekolah tertentu, termasuk sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh organisasi keagamaan bawaan kolonial, yang kemudiannya dikenali sebagai ‘conforming school’ atau sekolah-sekolah mubaligh dan sekolah aliran Inggeris.

Orang Melayu mahukan sekolah-sekolah Inggeris ditukarkan menjadi sekolah menengah kebangsaan manakala bagi membolehkan pelajar-pelajar yang tamat SJKC dan SJKT memasuki ke sekolah menengah yang berpengantarkan bahasa Melayu, kelas-kelas peralihan diperkenalkan. Masyarakat India turut merasa kebimbangan kerana tidak muncul sekolah-sekolah menengah berbahasa Tamil, dan kerana itu, para pelajar yang belajar di SJKT perlu diberikan peluang untuk memasuki sekolah-sekolah menengah kebangsaan menerusi ‘kelas peralihan’. Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Too Joon Hing (1911-2002) menuduh bahawa Laporan Rahman Talib ‘menyeleweng’ daripada prinsip-prinsip asal yang terdapat dalam Laporan Razak. Jawatankuasa itu didakwa melampaui tugas yang diamanahkan dan telah mengubahnya.

Too Joon Hing dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dalam kabinet pertama selepas mencapai kemerdekaan (1957) dan meletakkan jawatan pada tahun 1959 atas prinsip perjuangannya mengenai masyarakat Cina, termasuk pendidikan Cina. Too merupakan pengkritik yang banyak mempertahankan sistem pendidikan Cina, termasuklah menentang Akta Pendidikan 1961. Dalam PRK Teluk Intan 1961, Too bertanding atas tiket bebas dan menang.

Kesan daripada pelaksanaan Akta Pendidikan 1961 (dipinda 1962), sekolah-sekolah Cina mengalami kemerosotan pelajar dalam era 1970-an sehinggalah muncul gerakan untuk memperkasakan semula sekolah-sekolah jenis kebangsaan dengan menuduh, sekolah-sekolah kebangsaan sebagai ‘medan Islamisasi’. Keadaan ini berlaku sekitar akhir tahun 1970-an apabila reaksi masyarakat Melayu-Islam kembali menjadikan Islam sebagai ‘cara hidup’ setelah terkesan dengan kebangkitan politik Islam seluruh dunia ekoran kejayaan Revolusi Iran dan perkembangan Islamisme.

Sekolah-sekolah kebangsaan didakwa turut menyuburkan ‘rasa takut’ terhadap Islam apabila kecenderungan para pelajar Melayu-Islam untuk tidak lagi memakai uniform sekolah yang tidak dianggap ‘Islamik’ dan memupuk amalan gaya hidup Islam, termasuk mengadakan amalan sembahyang berjemaah selepas selesai sesi pagi dan menggalakkan pelajar-pelajar Islam berjemaah sebelum pulang selepas sesi petang. Azan turut dikumandangkan di surau-surau di sekolah dan ini menyebabkan sebahagian keluarga bukan Islam memandang ia sebagai suatu perancangan halus untuk mengislamkan anak-anak mereka.

Awal tahun 1980-an, kebangkitan Islam telah mempengaruhi sebahagian besar masyarakat Melayu sehingga menyebabkan sebahagian bukan Islam melihat petanda itu sebagai sesuatu yang bakal mencabar kerukunan hidup masyarakat majmuk. Hal ini tidak terkecuali di peringkat sekolah kerana pelbagai seruan dan cadangan untuk mempraktiskan Islam secara menyeluruh diperhebatkan dengan kesedaran baharu. Bukan Islam melihat, kecenderungan ini bakal menyebabkan asas dan nilai budaya mereka akan hilang sekiranya ia tidak diperjuangkan secara berterusan, termasuklah sistem pendidikan Cina.

Akibat diperkenalkan kouta kemasukan ke pusat pengajian tinggi dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar peperiksaan awam (kecuali dalam mata pelajaran Sastera dan bahasa Mandarin atau Tamil), pertubuhan kemasyarakat Cina mula berjuang untuk menubuhkan sebuah universiti yang berpengantarkan bahasa Cina. Perjuangan menubuhkan Universiti Merdeka telah dimulakan pada tahun 1967,

Menteri Pendidikan ketika itu, Khir Johari pada akhir 1967 telah mengeluarkan pemngumuman bahawa kerajaan akan meminta kedutaan asing membenarkan para pelajar Malaysia untuk menyambung pendidikan di luar negara selepas mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini bermakna peluang untuk mendapatkkan pendidikan di luar negara bagi mereka yang tidak mempunyai kelulusan Cambridge School Certificate (CSC) atau Malaysian Certificate Education (MCE) tersekat mulai tahun 1968. Rasional sekatan tersebut dilakukan ialah bagi membolehkan mereka yang menyambung pengajian di luar negara tidak berhadapan dengan masalah mencari pekerjaan selepas tamat belajar kerana kelulusan CSC atau MCE dijadikan asas.

Masyarakat Cina pula melihat ia adalah suatu kehilangan untuk mereka mendapatkan pendidikan di University Nanyang (Singapura) dan universiti-universiti di Taiwan. Larangan tersebut dilihat sebagai bermotif politik. Apabila larangan itu dikuatkuasakan, bilangan pelajar yang memasuki ke sekolah-sekolah vernakular Cina semakin merosot, tiada peluang untuk meneruskan pendidikan universiti. Dong Jiao Zong menghantar surat bantahan meminta Menteri Pendidikan menarik balik larangan tersebut dan apabila ianya ditolak (25 Oktober 1967), maka lahirlah gerakan untuk menubuhkan Universiti Merdeka sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan Cina di Malaysia.

 

(bersambung)

 

MONOSIN SOBRI

No Comments

    Leave a reply