Dr M beri amaran pemimpin korup ditunjukkan ‘pintu keluar’

BANGI, 15 Syawal 1439H, Jumaat – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran pemimpin yang didapati korup serta terbabit dengan salah guna kuasa akan ditunjukkan pintu keluar.

Dr Mahathir yang kini berada di Indonesia dalam lawatan rasmi dua hari berkata, kerajaan baharu harus mempelajari daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Sistem yang sedia ada ini berfungsi dengan baik, tetapi kita mempunyai seorang ketua yang tidak amanah dan menyalahgunakan kuasa yang ada.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah sebuah pimpinan yang tidak terlibat dengan aktiviti korupsi dan kita telah bersetuju bahawa mana mana pimpinan yang dipercayai terlibat dengan korupsi dan salah guna kuasa di dalam menguruskan kewangan negara akan ditendang dari kerajaan.

“Kita perlukan bukti yang kukuh untuk menghadapkan beliau ke mahkamah. Kita perlu memastikan bahawa semua wang yang dicuri itu sumbernya dari 1MDB. Kita perlu tampilkan bukti menunjukkan bagaimana Najib, isteri beliau dan Jho Low menyalah gunakan kuasa mereka,” katanya dalam pertemuan dengan rakyat Malaysia di Jakarta.

Tanpa menyebut nama rakyat Malaysia yang dipercayai lari ke luar negara berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu serta siasatan berkaitan 1MDB dan skandal lain, Dr Mahathir berkata:

“Saya tidak pasti jika mereka telah diculik atau telah melarikan diri, tetapi kami akan cari sampai jumpa.”

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan masa untuk memulihkan ekonomi negara dan antara langkah yang diambil ialah dengan mengembalikan semula pelaburan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui menerima laporan mengatakan terdapat beberapa ‘pegawai’ dalam pentadbiran BN sebelum ini meminta saham percuma daripada para pelabur berpotensi.

“Apabila pelabur tidak melabur, kita tidak boleh menyediakan peluang pekerjaan dan rakyat akan menderita,” katanya.

Ketika sesi soal jawab, seorang rakyat Malaysia bertanyakan soalan berkenaan rancangan Kementerian Pendidikan untuk pembelajaran aras tinggi.

Dr Mahathir mengaku bahawa sistem pendidikan sedia ada agak ketinggalan zaman dan tidak sesuai untuk era digital ini.

“Kita bergantung kepada guru yang mempunyai tahap kemahiran yang berbeza. Kita mencari jalan untuk menerapkan sistem menggunakan pemacu atau cakera yang disediakan oleh pakar untuk Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,” katanya.

No Comments

    Leave a reply