DR MAHATHIR ‘KHIANATI’ PH DAN MANDAT RAKYAT

SETELAH hampir enam bulan meletakkan jawatan perdana menteri (PM), Dr Mahathir memberikan sebab kenapa beliau berbuat demikian. Jelas Dr Mahathir, dirinya berbuat demikian kerana ‘tidak mahu mengkhianati orang-orang yang menyokong saya…parti-parti dalam gabungan PH’ dan ‘menghidupkan semula UMNO’.

Kenyataan Dr Mahathir itu memperlihatkan dirinya seolah-olah kental dengan prinsip walaupun dari ukuran lain beliau boleh sahaja dikelasifikasikan sebagai pengkhianat kepada PH. Ada dua sebab dianggap sebagai ‘pengkhianat’: tidak menyerahkan kuasa kepada Majlis Presiden PH dan menunaikan janji ‘peralihan kuasa’. Semua keputusan dibuat secara bersendirian sehingga PH seumpama ‘anak ayam kehilangan ibu’ dalam keadaan belum pandai ‘menjaga keselamatan diri’.

Mahathir's Slam

Mahathir mengkhianati PH kerana meletakkan jawatan tanpa melakukan sebarang perundingan dengan pemimpin tertinggi dalam pakatan tersebut, sebaliknya membuat keputusan secara unilateral. Ia seolah-olah melakukan kembali sikap keras kepalanya dan tidak pernah melihat apa yang berlaku adalah kegagalan diri sendiri.

Biarpun dijustifikasikan sebagai ‘formaliti’, peletakan jawatan tersebut jelas satu tindakan yang telah membelakangkan persetujuan awal parti-parti yang membentuk PH. “Formaliti’ adalah satu hal yang biasa bagi Mahathir. Setiap kali keputusan yang dibuat, ia akan memperkatakan ia bukan sahaja prerogatif bahkan ia wajar dilakukan tanpa campur tangan pihak lain. Ia adalah prinsip yang menjadi haknya untuk dipertahankan walaupun prinsip itu bukanlah bukanlah sebuah pertanggungjawaban dalam kesepakatan.

Ketika PH dibentuk, pemimpin-pemimpin parti komponen memberikan persetujuan kepada Dr Mahathir untuk melakarkan agenda ‘menumbangkan BN’ dan menjadikannya sebagai Perdana Menteri ke-7.

Namun, sepatutnya sebelum meletakkan jawatan sebagai PM ke-7, Dr Mahathir wajar mengembalikan persetujuan tersebut kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk membuat keputusan serta mencari pengganti bagi mengelakkan ‘mandat rakyat’ yang diperoleh dalam PRU kekal bersama PH. Ia berbeza dengan teladan Mazlee Malik. Apabila kedudukannya dinasihat berhenti, beliau segera ‘menyerahkan jawatan itu kepada PM’. Sepatutnya, Dr Mahathir melakukan perkara yang sama. Sebelum menulis surat peletakan jawatan, jawatan PM ke-7 diserahkan kepada Majlis Presiden PH untuk menentukan siapakah penggantinya, bukan menjadikan ‘mandat rakyat’ yang diterima pada PRU ke-14 terkontang-kanting selama seminggu (sehingga pelantikan PM ke-8 pada 1 Mac 2020).

Ia tidak berlaku. Sebaliknya PH menjadi semakin ‘huru-hara’ sehingga memunculkan PH Plus yang terpaksa berdepan dengan kritikan dan penghinaan daripada mereka yang menyokongnya pada PRU ke-14. PH dihina kerana sepanjang ‘kekosongan’ berlaku perebutan untuk menentukan siapakah calon paling layak di mana dua watak utama masing-masing membuat ‘dakwaan’ mempunyai jumlah yang mencukupi. Hakikatnya, gabungan sokongan dua watak utama belum cukup untuk membuktikan sokongan PH cukup untuk membentuk kerajaan semula.

Akibatnya, banyak perkara yang pada suatu ketika dipendam telah dikeluarkan bagi ‘menjatuh’ atau ‘mendiskredit’ seseorang. Misalnya, Dr Mahathir menyatakan bahawa Anwar ‘memang gila-gila nak jadi perdana menteri’. Dakwaan ini memberikan suatu persepsi bahawa Anwar lebih utamakan jawatan daripada memperkuatkan parti dan mempertahankan PH.

Ia jelas apabila Dr Mahathir kemudiannya dikatakan ada formula baharu namun Anwar tetap bertegas bahawa tidak ada calon yang lebih layak selain dirinya. Akhirnya, Anwar bersama PKR bertegas, jika ada calon lain dan PH terus bersetuju dengan calon berkenaan, ia bersedia membawa PH keluar.

Kemelut itu kemudian memunculkan pula nama Shafie Afdal sebagai alternatif selepas ‘kemasukan semula Dr Mahathir ditolak oleh PKR’, yang akhirnya juga ditolak. Namun dalam percaturan itu, nama Mukhriz terus menjadi sebahagian daripada ‘komoditi politik’ di mana jika Shafie adalah PM , Anwar akan dilantik sebagai Timbalan PM 1 dan Mukhriz adalah TPM II.

mahathir pengkhianat

Rakyat mula terkedu dan ada juga mula merasa mual dengan percaturan itu. Rakyat mual kerana sudah terlalu lama perjalanan politik Malaysia dipengaruhi oleh dua watak tersebut, dan kini bertambah satu lagi karakter yang dikarikaturkan sebagai ‘abang botak’.

Percaturan tersebut memberikan seperti satu pengesahan, Dr Mahathir tidak akan berhenti berpolitik selagi hayatnya ada hanya semata-mata untuk menentukan kedudukan Mukhriz terjamin. Faktor Mukhriz juga dilihat sebagai salah satu punca permusuhan Mahathir-Najib yang kemudiannya dikembangkan dengan kemunculan 1MDB.

Sebab itulah Dr Mahathir begitu ‘cemerlang’ memerangkap Najib dengan skandal tersebut sehingga terbongkar ada rancangan untuk ‘memenjarakan Najib’ secepat mungkin. Ada pandangan, Najib bakal dipenjarakan selewat-lewatnya bulan November 2019. Atas kemahuan itu Dr Mahathir mengerahkan seluruh kuasa eksekutif dan badan kehakiman mempercepatkan proses perbicaraan walaupun dalam banyak perkara ‘masih kekurangan bukti’.

Sehingga Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM, proses perbicaraan Najib berkaitan dakwaan ‘merompak dan mencuri’ belum dapat dibuktikan dengan baik, bahkan ada di antaranya dikatakan kurang sempurna. Kesannya, Najib semakin memperoleh ‘sokongan moral’ manakala Mahathir terus dipersoalkan niat dan perilaku politiknya.

Ada dalam kalangan rakyat dan pemimpin politik kembali membongkar ‘rahsia terpendam’ dan ‘rencana Mahathir’ selama 22 tahun sebagai PM ke-4 yang juga tidak kurang hebat walaupun tidak diistilahkan sebagai skandal. Naratif yang pernah dibongkar oleh mendiang Barry Wain (wartawan Wall Street Journal) pada tahun 2007 kembali diperkatakan.

Kisah pembelian dua buah bangunan oleh Tabung Haji, iaitu TH Selborn dan TH Perdana kembali dipersoalkan bagaimana Dr Mahathir mengarahkan ‘abang ipar’nya membayar dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Tidak kurang juga persoalan ‘kerugian’ berbilion ringgit pembabitan Bank Negara Malaysia dengan perniagaan mata wang asing (forex), memfaraidkan harta UMNO dan syarikat-syarikat yang ditubuhkan pada zaman Tun Razak, pemilikan UMBC oleh Daim Zainudin, ‘bail-out’ seperti MISC (dipunyai oleh Mirzan Mahathir), dan seterusnya kisah Kadir Jasin yang mendapat ‘habuan besar’ sebagai proksi saham Realmild.

mahathirtokrasi

Kesemua tindakan Dr Mahathir dilihat daripada pelbagai perspektif termasuk menghina orang Melayu sebagai “malas” dan “mudah lupa” sebagai strategi untuk mengkayakan kroni-kroninya, termasuk permulaan dasar penswastaan serta pemaksaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membeli elektrik daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan harga yang lebih tinggi.

Seolah-olah membuka ‘lembaran misteri’ kenapa Najib diseret kejam dengan 1MDB. Pertama ialah 1MDB membeli stesen-stesen janakuasa bebas dan pembelian tersebut akan menyebabkan pengusaha-pengusahanya tidak lagi meraih keuntungan besar daripada TNB. Kedua, 1MDB merupakan syarikat pelaburan yang dijamin oleh kerajaan, maka keuntungannya akan dikembalikan kepada kerajaan, bukan kepada individu tertentu sebagaimana dilakukan pada zaman PM ke-4 menerusi pelbagai istilah ‘turnkey project’, ‘build and transfer’ dan ‘perundingan terus’.

Ketiga, sebaik sahaja Dr Mahathir kembali berkuasa, beberapa nama hebat dalam sektor korporat muncul semula walaupun pada zaman PM ke-5 dan PM ke-6 nama-nama itu ‘tenggelam’. Ting Khek Ping kembali dengan idea membangun Langkawi walaupun pada tahun-tahun terakhir beliau ‘kehilangan taring’ selepas gagal dengan Projek Bakun manakala Tan Sri Abu Shahed bersemangat untuk mengambil alih pemilikan Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) sedangkan beliau gagal dengan Perwaja Steel dan mendapat keuntungan besar daripada penjualan TH Perdana. Nama lain ialah Tan Sri Halim Saad, kembali berkeinginan untuk memiliki semula PLUS walhal pada zaman Dr Mahathir, ia turut dibeikan ‘bail-out’.

Keempat, ada persepsi muncul setelah Dr Mazlee Malik ‘dipaksa’ meletakkan jawatan beberapa hari sebelum pembukaan penggal persekolahan sesi 2020. Antara salah satu perkara yang dibangkitkan oleh Mazlee dalam sidang media peletakan jawatannya, atas ‘semangat Hang Tuah’ mengembalikan jawatan Menteri Pendidikan adalah ‘projek sarapan pagi’ dan ‘internet di sekolah-sekolah’.

Orang ramai ‘membayangkan tekanan yang diterima oleh Mazlee’ setelah pihaknya enggan menyambung semula kontrak kepada YTL Communication setelah berakhir pada bulan Julai 2019. KPM berhasrat untuk membuka tender baharu bagi membekalkan perkhidmatan internet dan jalur lebar ke sekolah-sekolah dalam konteks pembelajaran maya dan BestariNet.

YTL Communications memperoleh untung besar menerusi kontrak tersebut walaupun perkhidmatannya tidak memuaskan. KPM dikatakan rugi menerusi ‘terma kontrak’ di mana terpaksa menanggung penggunaan elektrik menara telekomunikasi yang dibina dalam kawasan sekolah.

Pihak YTL meneroka pasaran lebih luas dengan memancarkan signal ke luar kawasan sekolah manakala kelajuan internet untuk sekolah begitu perlahan. Bahkan, beberapa intrumen terpaksa dibatal atau ditangguhkan kerana masalah ‘kelajuan internet’ yang menyiksakan. Dengan beberapa kelemahan yang lain, KPM membuat keputusan dalam proses tender semula, empat buah syarikat telekomunikasi dipelawa untuk meneruskan perkhidmatan dan tidak termasuk YTL Communications.

mazleel nabi

YTL dikatakan mempunyai ‘hubungan baik dengan Dr Mahathir’ dan atas ketegasan Dr Mazlee, akhirnya dipaksa memulangkan jawatan tersebut. Rakyat melihat inilah ‘kekuatan kroni’ dan boleh mengguncang ‘ketegasan seorang menteri’. YTL juga diberikan hak mengoperasikan ERL, sebuah projek mega infrastruktur pada zaman PM ke-4 dalam melengkapkan kemudahan pengangkutan ke KLIA.

Sendu ‘kemarahan itu’ terbuka semula. Biarpun Dr Mahathir menuduh ‘UMNO dan budaya kleptokrat’, dirinya juga turut terbabit sama kerana legasi itu terlalu besar jika dibandingkan dengan Najib. Cuma, apa yang berlaku pada zaman PM ke-4 ia tidak menjadi begitu terbuka berbanding zaman Najib akibat belum muncul secara meluas “citizen journalist”.

Namun, ia bukan bermakna zaman PM ke-4 tidak ada budaya kleptokrasi, kerana ketika itu UMNO dianggap sebagai ‘lubuk emas’ dan berduyun-duyun menerima kemasukan mereka yang bergelar korporat dan bakal korporat. Asalnya UMNO ditunjangi dalam kalangan guru, dan setelah budaya korporat mempengaruhi politik UMNO, semakin ramai golongan guru dipinggirkan dan menjauhkan diri. Sebabnya, tidak ada kemampuan untuk membiayai pemilihan dan menjaga parti. Parti sudah dikuasai oleh korporat. Mahathir juga salah dalam hal itu kerana membiarkan politik wang bermaharajalela, dan tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang ‘memburu kontrak’ apabila aktif bersama UMNO.

Sebab itu, rakyat tidak yakin dengan Dr Mahathir yang bercakap untuk ‘menghapuskan budaya kleptokrat’. Beliau dilihat gagal melakukannya, kerana beliau telah berjaya memperkayakan ‘anak beranak’. Jika benar-benar jujur, ingin menghapuskan kleptokrat, beliau perlu bersedia tidak bertindak seperti ‘ketam’ kerana sebahagian kekayaan anak-anaknya muncul ketika dirinya sebagai PM ke-4.

Apakah dengan menuduh Najib dan UMNO mengamalkan ‘budaya kleptokrat’ akan mengalihkan persepsi terhadap tindakannya mengkayakan kroni dan anak-anaknya terhapus? Ia tidak akan semudah itu. Sampai bila pun rakyat akan berkata, anak-anaknya kaya kerana ‘ayah kasi’ dan benarlah apa yang diungkapkan oleh Harold Lasswell, politik ialah “siapa?, mendapat apa?”.

Kini, Dr Mahathir bekerja keras untuk membantu Mukhriz berada di depan. Beliau akan tentukan, selagi hayatnya ada, Mukhriz tetap diberikan perhatian, jika tidak, dirinya tidak akan diam. Sebab itulah, bila dirinya sudah tidak diterima sebagai calon PM jika PH Plus kembali berkuasa, disarankan Shafie Afdal dengan Anwar sebagai TPM 1 dan Mukhriz TPM II. Rakyat semakin bijak boleh membaca, termasuklah ketika menghina Najib apabila Mukhriz tewas dalam persaingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO dan disingkirkan sebagai MB Kedah (2016).

Akhirnya, Dr Mahathir semakin tidak dipedulikan oleh rakyat, biarpun berhasrat (mungkin) membentuk sebuah parti baharu setelah ‘hilang keahlian dalam PPBM’ dan ada ura-ura bergabung dalam Parti Warisan. Apakah Parti Warisan bersedia menerima Dr Mahathir dan konco-konconya yang sudah ‘lalok’ itu? Apakah Parti Warisan akan berhadapan ‘defisit keyakinan’ dalam PRU ke-15 selepas menerima kemasukan Dr Mahathir? Majoriti rakyat sudah menganggap Dr Mahathir bukan sahaja ‘pengkhianat’ bahkan ‘liabiliti’ dalam politik Malaysia. Faktor Dr Mahathir semakin tidak relevan lagi.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply