DRAMA MELAYU TIADA KUALITI

Sampah, buruk dan celaru. Itulah beberapa penilaian yang boleh dikategorikan terhadap nilai yang terhasil daripada beberapa siri drama tayangan petang setiap hari di kaca televisyen tempatan. Dari aspek komersial, drama-drama tersebut mampu meningkatkan populariti sesebuah stesen televisyen, tetapi dari nilai budaya dan agama terasa begitu mendukacitakan.

Sebelum ini  tayangan siri Bukan Kerana Aku Tak Cinta, adaptasi novel membuktikan betapa rendahnya moral dalam kehidupan masyarakat sekarang, kesemuanya kerana kesepaduan nilai agama begitu bercelaru. Sebelumnya, siri drama juga adaptasi novel popular Aku Isterinya mendapat sambutan menggalakkan.

Kini, drama bersiri berasaskan novel popular cukup berjaya memancing minat penonton, tapi sayangnya hanya tertumpu kepada corak hidup yang tidak membawa kepada nilai kekeluargaan dan keagamaan.

Adaptasi novel dipenuhi dengan nilai dan konflik, konflik rumah tangga, perebutan cinta, dendam, perebutan harta, cinta yang terkandas, penipuan dan sebagainya. Semua nilai-nilai ini tidak membantu mengatasi kemelut budaya dalam masyarakat, yang semakin hari semakin parah dengan penceraian, masalah sosial, keruntuhan akhlak, kematian tragis, kecondongan politik berpuak-puak dan saling “membunuh”, keserakahan akal budi, dan jika diselitkan dengan nilai-nilai agama, ianya banyak tertumpu kepada konflik kerana berpoligami.

Melihat kepada perkembangan tersebut, tentunya mempamerkan gaya hidup masyarakat Malaysia kerana hasil seni dan kreativiti itu mencerminkan cebisan kehidupan, walaupun setiapnya membuat penafian “tidak ada kaitan dengan sesiapa, sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal. Ia adalah rekaan”. Maksudnya, drama tersebut adalah bukan kisah sebenar, tetapi jalur yang ditonjolkan tetap mempunyai hubungannya dengan apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini masyarakat kembali memperkatakan atas dasar seni, ia tidak wajar disekat kreativiti walaupun ada ketikanya gambaran watak tidak munasabah dan keterlaluan, seolah-olah terbatas nilai kemanusiaan dan keinsanan pelakonnya. Ia adalah cerita yang memfokuskan kepada kekuatan watak, bukannya kepada kekuatan mesej walaupun drama ataupun sastera bertujuan menyemai nilai moral dan pemikiran positif kepada khalayak secara bersahaja, bermakna dan natural.

Sepatutnya, drama itu mampu memangkas dengan baik nilai agama dan menghormatinya sebagai sesuatu yang suci dan wajib dipertahankan. Atas dasar dan keinginan komersial, drama itu diselit dengan kisah cinta meskipun tidak sebebas drama-drama lain yang membabitkan adegan di kelab malam, bersekedudukan dan pergaulan bebas. Sampai bilakah kita perlu menunggu untuk melihat lahirnya filem-filem yang hebat seperti Ainun dan Habibie (kisah kasih sayang sejati bekas presiden Indonesia), Di bawah Lindungan Kaabah, Perempuan Berkalung Noda, Sang Pencerah atau The Pedlar (Father) yang membawa anugerah antarabangsa kepada penggiat filem Iran dan medium itu adalah satu saluran dakwah yang berkesan kerana nilai agama diterapkan secara halus, bersahaja dan menepati fitrah.

Penerbit filem ataupun production house di Malaysia tidak memberikan perhatian yang besar kepada penerbitan filem atau drama yang berasaskan nilai-nilai murni Islam, mungkin khuatir tidak mampu meraih hasil yang baik atau tidak laku di pasaran. Bahkan filem-filem yang dihasilkan dengan nilai kehidupan yang rendah, mampu meraih keuntungan yang besar misalnya Ombak Rindu.

Kita tidak menafikan bahawa pihak pemerintah sering kali memberi peringatan supaya media hendaklah lebih bertanggungjawab untuk membuktikan komitmen mereka dalam bidang pendidikan dengan tidak menyiarkan rancangan-rancangan yang boleh mendorong diri remaja kearah pemikiran yang rendah mutunya.

Penulis memahami masalah sekarang bukan semata-mata masalah media atau stesen penyiaran, tetapi masalahnya ialah tidak mempunyai tenaga manusia yang berkemampuan untuk menyediakan rancangan-rancangan yang dikehendaki.Yang dimaksudkan dengan tenaga manusia dalam penerbitan drama ialah penulis skrip, pelakon, pengarah dan penerbit.Kejayaan penghasilan sesebuah drama itu tidak bergantung semata-mata kepada skrip, kerana ada unsur-unsur lain yang berperanan seperti pelakon, pengarah, gerak kerja kamera dan lain-lain.

Meskipun ada beberapa drama atau filem yang baik, sayang sekali di luar layar perak kehidupan sesetengah pelakonnya lupa diri, bercakaran sesama sendiri kerana berebut kekasih, hidup mewah dan mempamerkan sikap sombong, berebut memancing duda kaya atau hartawan, menganjurkan majlis kahwin yang mewah dan lebih jelek lagi ialah memuatturunkan kata-kata kesat menyindir, mabuk gambar sendiri (selfie), dan berdua-duaan dengan pasangan bukan muhrim, berpakaian seksi di tepi pantai ketika bercanda, dan sebagainya.

Bukan salah kalau seorang pendakwah turut menjadi hero dalam filem atau drama, dan tentunya ketinggian pendidikan agama boleh diterjemahkan dalam lakonan yang bersahaja dan berkredibel. Ia bukan hanya sekadar kehadiran sebagai watak kecil yang memainkan peranan terhad, sekadar menguruskan jenazah, mengimamkan sembahyang berjemaah dan menjadi juru nikah. Banyak lagi aspek yang wajar diterjemahkan, misalnya, membingkaikan nilai-nilai agama ke dalam gerak kerja seharian. Kehadiran tokoh agama bukan dalam adegan yang bersifat khutbah atau mengajar secara langsung, ia perlulah diterjemahkan secara natural bagaimana prinsip Islam itu benar-benar membawa maksud “cara hidup.”

Apa yang digarap di TV kita banyak menyentuh perkara-perkara yang remeh dan mempunyai gesaan yang keterlaluan. Kadang-kadang diselit pula hukum-hukum yang berbentuk negatif dan menakutkan semacam menghukum pula. Slot seperti ini dapat diperhatikan ketika memperingati hari-hari penting dalam kalendar Islam dan disiarkan oleh stesen-stesen TV. Pendekatan yang berbentuk psikologi dengan isu-isu yang menggembirakan kurang sekali ditekankan.Dakwah seharusnya dilihat sebagai tumpuan yang menghiburkan selaras dengan ajaran silam dan selaras dengan persekitaran masyarakat.

Kita tidak mahu drama atau filem berunsur Islam hanya sekadar bermusim dan tempelan semata-mata sehingga menampakkan perjalanan ceritanya tidak relevan dengan tuntutan Islam secara menyeluruh dan mendalam. Mungkin kita boleh mencontohi bagaimana kejayaan filem-filem yang menterjemahkan biografi tokoh sehingga menampakkan realiti kehidupan sebenar watak, misalnya ketelitian David Attenborough menterjemahkan Mahatma Ghandi, seorang yang amat menekankan prinsip perjuangan tanpa keganasan meskipun akhirnya beliau sendiri terbunuh.

Catatan: Ibnu Hayyan

No Comments

    Leave a reply