Dua Jiran Rasulullah di Syurga

Zubair radhiyallahu ‘anhu sangat merindukan syahid. Setiapkali memasuki medan peperangan, kerinduan akan mati syahid itu membuncah dalam jiwanya. Namun, takdir berkata lain. Setiap ikut dalam perang, Zubair tidak pernah terbunuh.

 

Disebabkan begitu besarnya keinginan mati syahid, Zubair memberi nama anak-anaknya dengan nama-nama para syuhada. Dia memberi nama anak lelakinya dengan nama ‘Abdullah sempena nama ‘Abdullah bin Jahsy, orang yang pertama kali digelar dengan gelaran Amirul Mukminin dan salah seorang yang gugur sebagai syahid dalam Perang Uhud.

 

Anak lelaki yang lain bernama Mush’ab sempena mencontoh nama Mush’ab bin Umair, seorang yang gugur sebagai syahid dalam perang Uhud. Ada juga anak lelaki yang bernama Hamzah, sempena mencontoh nama singa Allah dan rasul-Nya, iaitu Hamzah bin Abi Muthalib.

 

Seperti halnya dengan Thalhah bin Ubaidillah radhiyallahu ‘anhu, Zubair adalah orang kaya. Hartanya cukup melimpah. Meski begitu, dia gemar mensedekahkan hartanya kepada fakir miskin. Disebabkan kesukaannya bersedekah hingga dia tidak meninggalkan harta benda sedikitpun. Beliau adalah sosok sahabat yang mencurahkan jiwa dan hartanya di jalan Allah .

 

Zubair dan Thalhah bin Ubaidillah hidup dalam keadaan keduanya saling bersaudara kerana Allah, hingga Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda, “Thalhah dan Zubair adalah dua jiranku di syurga (nanti).”

 

Setelah terbunuhnya ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, Zubair dan Thalhah berperang melawan ‘Ali bin Abi Thalib  dalam sebuah peperangan yang dinamakan dengan perang Jamal. ‘Ali pun keluar untuk menemui Zubair, lalu dia berkata kepadanya, “Wahai Zubair, tidakkah kamu mendengar sabda Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam yang ditujukkan kepada dirimu: “ Sesungguhnya kamu akan memerangi ‘Ali (saat itu) kamu berbuat zhalim kepadanya.’”’

 

Setelah mendengar perkataan ‘Ali itu, Zubair langsung teringat akan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tersebut, maka dia bersama Thalhah bin Ubaidillah pun segera mundur dari medan pertempuran.

 

Akan tetapi, para pembuat fitnah (kerusuhan) menolak untuk mundur, kecuali setelah mereka membunuh Zubair dan Thalhah.

 

Pertama kali mereka membunuh Thalhah; dan tatkala Zubair sedang mengerjakan solat, tiba-tiba seorang laki-laki yang biasa dipangil dengan nama Ibnu Jurmuz membalingkan anak panahnya ke arah Zubair, hingga akhirnya Zubair pun terbunuh.

 

Selanjutnya, Ibnu Jurmuz pergi ke tempat ‘Ali bin Abi Thalib dengan maksud untuk menemuinya. ‘Ali berkata, “Sungguh aku telah mendengar Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‘ Berilah khabar buruk kepada orang yang membunuh Ibnu Shaffiyah –maksudnya Zubair- bahawa dia akan masuk neraka.’”

 

‘Ali radhiyallahu ‘anhu pergi untuk melihat jenazah Zubair yang telah berlumuran darah. ‘Ali membalikkan jenazah Zubair itu guna menciumnya. Ketika itu beliau menangis sambil berkata: ”Demi Allah, sungguh dia adalah pedang Allah yang selalu membela Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam.”

 

Jasad Zubair pun dikuburkan di sebelah jasad Thalhah agar mereka berdua dapat saling berdampingan di dalam kubur, sebagaimana ketika berada di dunia. Mereka telah menjadi dua orang yang saling bersaudara, lalu mereka berdua akan menjadi jiran Rasulullah  di dalam syurga. (hidayatullah.com)

No Comments

    Leave a reply