Dunia Islam di tahun 2020

Dunia berputar dengan cepat dan pada setiap kitaran, peristiwa dan insiden membentuk berbagai isu berlatarbelakangkan konflik dan pencapaian. Khususnya bagi dunia Islam. Harapan kesatuan ummah tidak akan tercapai dengan mudah melainkan ia semakin dihimpit dengan geo-politik rantau dan masalah dalaman negara-negara Islam sendiri.

Bagi yang mengharapkan konflik berdarah di Timur Tengah akan selesai, mereka silap kerana tahun 2020 akan menyaksikan konflik baru antara pemerintah dan rakyat. Kebangkitan suara yang diharamkan demokrasi sebelumnya kini semakin lantang menuntut elitis pemerintah lebih bertanggungjawab.

Iraq, yang telah melalui fasa memerangi musuh militan dan percubaan demokrasi baru, kini berhadapan dengan realiti pemerintahan yang dituntut memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat. Rakyat sudah berjaya menumpaskan musuh bersama negara, kini giliran pemerintah memenuhi tugasannya kepada rakyat. Rakyat muak dengan ahli politik yang mencaturkan puak masing-masing daripada meyampaikan keperluan rakyat. Lebih utama rakyat mahukan negara Iraq ditentukan oleh rakyat dan bukan kuasa luar yang ada kepentingan geo-politik seperti Iran.

Lubnan pula menyaksikan kebangkitan rakyat menuntut tiada dominasi elemen luar dalam menentukan politik negara. Kehadiran Hizbullah yang mewakili kekuatan luar politik dengan campur tangan Iran mencaturkan kehidupan bernegara ditolak oleh rakyat.

Kepelbagaian puak yang dibahagi mengikut ketetapan kini dicabar kepada kerangka baru yang meletakkan golongan profesional teknokrat memimpin negara. Mesir akan terus mengulangi gaya kepimpinan kuku besi versi Hosni Mubarak 2.0. Kejayaan Abdul Fatah As-Sisi membatalkan kemenangan secara demokrasi Morsi akan dipertahankan atas alasan memastikan kestabilan politik Mesir dan kepentingan ekonominya.

Sesuatu yang menarik di Timur Tengah ialah hampir kesemua regim akan tertumpu untuk memberikan tekanan kepada Jamaah Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) sebagai musuh bersama. Alasan memerangi unsur militan yang membawa kepada keganasan akan dikaitkan dengan kelompok Ikhwan.

Salah satu garis pemisah yang membentuk hubungan tegang antara Arab Saudi dan Qatar adalah kerana Qatar dituduh memelihara dan melindungi Ikhwan melalui Kesatuan Ulama Sedunia yang berpusat di Doha. Ikhwan akan menjadi kambing hitam dengan peranan antagonis yang akan dipropagandakan menggugat kestabilan pemerintah TimurTengah. Blok dunia Islam yang sinonim dengan pelantar OIC sebagai titik kesatuannya tergugat dengan kebangkitan negara Qatar, Iran, Turki dan Malaysia yang menuntut OIC yang lebih efektif di bawah kepimpinan Arab Saudi.

KL Summit adalah hasrat yang mahukan dunia Islam tertumpu kepada membina kekuatan ekonomi dan keselamatan ummah serta keterampilan pemerintahan yang lebih demokratik dan  ketelusan memerintah. Seruan ini seolah mencabar sebahagian dunia Arab khususnya negara Teluk yang masih jauh rekod nilai demokratiknya. Indonesia dan Pakistan tertekan untuk ‘tidak menimbulkan masalah’ kepada kesatuan negara Islam dengan tidak menunjukkan sikapnya seperti yang ditegaskan oleh negara-negara utama dalam KL Summit baru-baru ini.

Malaysia berusaha secara proaktif menghimpunkan kepentingan dunian Islam di atas dasar menangani Islamophobia melalui kekuatan media dan ekonomi. Negara Arab Saudi akan meneruskan tradisi menjadi negara utama umat Islam dengan dasar yang lebih agresif menempatkan posisinya di mata dunia. Sepertimana yang dilakukan kepada Qatar dan Iran, tidak dinafikan negara lain yang dilihat tidak ‘mesra’ Arab Saudi akan mendapat amaran keras melalui berbagai cara. Malaysia perlu meningkatkan lagi secara diplomatik kaedah meyakinkan Arab Saudi bahawa peranan Malaysia adalah menyempurnakan kekurangan dan bukan menandingi Arab Saudi.

Turki mengalami masalah dalaman tersendiri dari sudut politik di atas populariti parti Erdogan yang semakin menurun. Peranan Turki dalam konflik Libya, Syria dan usaha melebarkan teknologi ketenteraannya ke paksi KL Summit akan sentiasa diragui oleh musuhnya. Peningkatan solidariti ummah di peringkat umumnya rakyat semakin meningkat dengan penindasan minoriti muslim di negara bukan Islam. Kesannya melebar kepada negara majoriti Islam dan ia akan memberi kesan kepada hubungan dagang dan diplomatik antara negara.

Negara Republik China akan terus berdepan dengan isu etnik Uyghyur. Sentimen orang Islam di seksa dan diragut kebebasannya beragama menjadi ledakan pada gerakan anti-China. Amerika akan tumpang gelombang ini atas kepentingan hak asasi manusia untuk memburukkam imej China. Di peringkat pemerintah, ia akan memberi tekanan kepada negara Islam yang ada kepentingan perdagangan besar dengan China termasuk Malaysia.

India di bawah Narendra Damodardas Modi akan ditanggap anti-Islam khusus dasar diskriminasi ke atas orang Islam dan bantaian ke atas Kashmir. Palestin tetap mendapat kedudukan teratas dalam semua konflik kemudian Kashmir dan seterusnya perang di Syria.

Negara Islam akan terus bersuara kepada penindasan ini namun dominasi Amerika Syarikat dan sekutunya di pentas dunia akan menyaksikan Rusia ambil kesempatan membentuk sekutu dengan pemimpin negara Islam. Arab akan kekal dasar proAmerika Syarikat manakala negara Islam lain akan melihat peluang menerokai hubungan lebih erat dengan Rusia walaupun perang di Syria telah menjejaskan imej Rusia kerana mempertahankan regim Bashir.

Pemisahan sekte (mazhab) Sunni-Syiah melembabkan dialog antara keduanya kerana perang geo-politik menguasai hubungan Sunni-Syiah dengan Iran dan Saudi memimpin konflik ini. Negara Islam tercabar dari pergolakan dalaman dan tahun 2020 akan menyaksikan gelombang tuntutan rakyat kepada kerajaan yang lebih telus dan bertanggugjawab kepada keselesaan hidup rakyat. Kepimpinan yang mampu menangani kecelaruan ini akan berjaya memimpin manakala di peringkat antarabangsa pilihan diplomasi dan rundingan menjadi jalan pemimpin Islam menangani krisis ummah dan konflik serantau dengan negara bukan Islam.

Tahun 2020 akan mengukir lebih cabaran tetapi ia akan meningkatkan kemunculan kepimpinan Islam yang lebih terbuka, progresif dan dihormati kawan dan lawan. Jalan kebencian kaum, ketaksuban puak dan mazhab tidak akan mendapat tempat walaupun suara-suara ini cuba mendominasi ummah untuk kepentingan undi sentimen.

Oleh Datuk Seri Dr. Mujahid Yusoff Naib Presiden Amanah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Sumber : malaysiadateline.com

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply