ECRL: RM 21.5 BILION BUKAN PENJIMATAN?

 

Hari ini muktamadlah kisah ‘penggantungan’ ECRL sejak Julai tahun lalu.

Hari ini juga rakyat seluruh Malaysia mula membuka mulut semula di samping berfikir apakah makna penjimatan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung dengan ECRL. Kenyataan itu menyebut, kos pembinaan dan operasi ECRL telah dipersetujui sebanyak RM 44 bilion berbanding kos asal yang dibuat oleh kerajaan terdahulu RM 65.5 bilion. Ia berkurangan sebanyak RM 21.5 bilion.

lALUAN ASAL

Kos menjadi lebih rendah disebabkan perubahan jajaran. Akibat perubahan jajaran, ia memendekkan landasan berkembar dari 688 kilometer kepada 648 kilometer. Pendek sebanyak 40 kilometer.

Berdasarkan laporan sebelumnya, kos pembinaan sekilometer ialah RM 98 juta. Kos baharu yang dipersetujui ialah RM 68 juta sekilometer.

Kos menjadi kurang kerana tidak lagi perlu membina terowong untuk merentasi Banjaran Titiwangsa di Bentong, Pahang untuk ke Gombak. Dari Mentakab, ECRL terus ke Jelebu, Negeri Sembilan.

Perancangan awal pembinaan landasan berkembar sepanjang 688 kilometer membabitkan perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Tumpat Kelantan. Ia meliputi sebahagian besar pesisir Laut China Selatan bermula dari Kuantan. Beberapa stesen yang dirancang  ialah Kg Raja, Telaga Papan, Dungun, Kuala Terengganu, Tok Bali, Kota Bahru dan Tumpat di pesisir pantai.

Landasan tidak lagi akan bermula atau berakhir di Pengkalan Kubur, Kelantan. Ia hanya berakhir dan bermula di Kota Bahru sebelum di Tok Bali, yang menjadi stesen penumpang dan kargo.

Mungkin juga kerana gambaran sentiment pengundi di Rantau tidak menyebelahi PH, laporan awal menyatakan Rantau menjadi salah satu laluan baharu ECRL telah dikeluarkan dalam perjanjian tambahan yang dimuktamadkan itu.  Pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Kewangan, Lin Guan Eng  dianggap sebagai ‘janji politik’. Janji yang tidak boleh dipercayai, sebab itulah Rantau dan Port Dickson diketepikan.

Menariknya, Kuala Klawang menjadi jajaran laluan ECRL yang baharu. Ini sesuatu yang dapat kita duga, sebabnya Dr Mahathir amat mengharapkan kepimpinan Tan Sri Rais Yatim untuk menentukan kekuatan PPBM di Negeri Sembilan. Sebagai Pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Rais tentu amat berterima kasih kerana Jelebu akan mendapat ‘limpahan pembangunan’ selepas ini.

Jelebu, terutamanya Kampung Esok merupakan kampong yang bersempadan dengan Pahang. Jajaran baharu ECRL bermula dari Kota Bahru akan berhenti di Mentakab, Pahang. Ini bermakna Jelebu akan menjadi suatu destinasi persinggahan yang bakal menarik lebih banyak pembangunan kerana ia telah lama diketepikan oleh kerajaan pusat.

Jelebu masih mempunyai tanah-tanah kerajaan yang belum dibangunkan, tetapi, ia mungkin akan kehilangan sebahagian flora dan faunanya atas kepentingan pembangunan. Tentunya, dengan pembinaan landasan berkembar, mungkin boleh menaikkan Jelebu sebagai pusat komersial produk daripada buluh, yang memang tumbuh subur di sepanjang jalan menghala ke Semenyih dan Hulu Langat.

Difahamkan, sejak sekian lama beberapa agensi kerajaan diberikan tanah untuk menempatkan institusi latihan mereka di Jelebu. Universiti Malaya memperoleh sebidang tanah yang luas di Mukim Titi untuk membangunkan Stesen Biologi. Bersebelahannya, Jabatan Penerangan Malaysia diberikan tanah seluas 50 ekar untuk membina institut latihan. Semuanya belum ada kemajuan yang jelas, kecualilah Pusat Pemantapan Akidah oleh agensi agama Islam.

laluan baru

Tentutnya pembinaan landasan berkembar merentasi Kuala Klawang sebelum singgah di Kajang amat menarik. Ia akan melintasi kawasan perbukitan dan tentunya keindahan panorama sepanjang perjalanan tersebut boleh meningkatkan industri pelancongan, termasuklah untuk bermalam di Kuala Klawang yang terkenal dengan Nenas Titi, yang manis dan tidak  lidas .

Sebelumnya Putrajaya tidak termasuk dalam laluan ECRL. Tetapi kali ini menjadi salah satu stesen selepas Kajang sebelum ditamatkan di stesen terakhir di Pelabuhan Kelang. Ini bermakna, Gombak turut diketepikan.

Mungkin kerana Gombak tidak lagi memerlukan suntikan pembangunan oleh Kerajaan PH, ia diketepikan kerana di situ sudah semakin padat dengan pembinaan premis perniagaan dan penempatan.

Akibat perubahan bilangan stesen, tiada pembinaan terowong, memendekkan landasan dan pengecilan spesifikasi teknikal secara jelasnya rakyat boleh memahami mengenai perbezaan kos. Jadi, rumusan bahawa ECRL yang baharu dimuktamadkan untuk diteruskan bukanlah satu bentuk penjimatan.

Orang ramai memahami, penjimatan itu berlaku apabila harga yang lebih murah ditawarkan dengan spesifikasi yang setara. Maknanya, pengecilan spesifikasi bukanlah suatu penjimatan dalam maksud sebenar, ia adalah suatu bentuk pengurangan.

Reaksi spontan orang ramai ialah ECRL yang bakal diteruskan telah memberi tekanan kepada Lim Guan Eng dan Anthony Loke. Lim Guan Eng dikatakan tertekan sebanyak dua kali, iaitu tidak menyertai kumpulan yang merundingkan semula harga sebaliknya Tun Daim diberikan kepercayaan oleh Dr Mahathir.

Sebagai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sepatutnya menjadi salah seorang pasukan perunding harga. Sejak awal-awal lagi Dr Mahathir menyatakan, untuk merundingkan semula harga, ia memerlukan seseorang yang boleh diterima.

Berdasarkan kenyataan tersebut. Lim Guan Eng kurang layak untuk menjadi perunding di peringkat antarabangsa, mungkin kerana sifatnya yang mudah ‘melenting’ apabila pandangan dan pendapatnya tidak diterima.

Mungkin itulah gambaran sebenar selain keceluparannya dalam beberapa perkara telah menyebabkan berlaku kesilapan. Kesilapan-kesilapan yang pernah berlaku ialah ‘silap perpuluhan’, ‘silap membaca laporan’, ‘silap kira’ dan sebagainya. Kesilapan-kesilapan tersebut boleh membawa implikasi kewangan yang besar dan boleh memalukan negara.

Anthony Loke yang pernah memberikan ‘hadiah’, pengundi Rantau terus terkilan kerana apa yang dicakapkan tidak menjadi kenyataan. Anthony mungkin pada suatu ketika menggunakan ‘hadiah’ itu untuk menarik sokongan pengundi Rantau agar menyokong calon PH.

Dengan ‘hadiah’ yang tidak kesampaian pada hari terakhir kempen PRK DUN Rantau menyebabkan pengundi boleh membuat kesimpulan, PH memanglah ‘mudah berjanji, realitinya tidak mengotakan janji’. Beliau juga tidak dapat membawa ‘kemenangan’ kepada penduduk Seremban setelah Rantau diketepikan.

Stigma pemimpin PH mudah berjanji tapi sukar melaksanakan janji memang sudah lama melekat dalam minda orang ramai selepas genap 100 hari pertama Kerajaan PH. Anthony Loke semakin tidak disukai oleh orang ramai kerana ‘ketegasan’nya untuk menambahkan penggunaan kamera bagi mengesan kesalahan trafik, yang sebelumnya dijanji akan dihapuskan sekirang PH berjaya mengambil alih Putrajaya.

Jumlah kamera ditambah manakala denda yang dikenakan tidak ada lagi diskaun. Keputusan ini menjadikan beliau seorang menteri yang tidak ‘mesra’ termasuklah kepada pemandu-pemandu teksi kerana tidak bersedia menghapuskan perkhidmatan e-hailing, termasuk Grab.

Penantian berikutnya ialah apakah Tun Daim telah berjaya memberikan syarat baharu dalam perundingan harga tersebut, termasuklah mengutamakan pekerja dan kontraktor tempatan untuk membina landasan ECRL itu. Kalau sebelumnya, dalam kempen PH, didedahkan bahawa semua pekerja peringkat teknikal dibawa masuk daripada China, maka apakah kali ini akan diseimbangkan dengan pekerja tempatan. Pekerja tempatan wajib diutamakan dan menghadkan pekerja asing di pelbagai peringkat.

Tetapi, yang lebih utama perlu dilenyapkan oleh Kerajaan PH, penyambungan semula pembinaan ECRL ialah stigma “Malaysia Tergadai Kepada Negara Asing”, stigma yang dicipta dan diperhebohkan oleh kempen politik PH sendiri. Apakah rundingan harga yang dipersetujui ini tidak akan ‘membebankan Kerajaan PH’ dengan hutang dan faedah yang tinggi? Sesuatu yang perlu dijawab dan dijelaskan dengan baik, kerana setakat ini Kerajaan PH amat lemah dalam kaedah berkomunikasi untuk orang awam.

Berdasarkan perubahan-perubahan spesifikasi dan pemendekan landasan, perbezaan kos sebanyak RM 21.5 billion atau 32.8 peratus bukanlah suatu penjimatan. Ia adalah suatu bentuk pengurangan akibat pengecilan spesifikasi dan perubahan teknikal. Kerajaan PH tidak boleh berbangga dengan ‘penjimatan’ tersebut, kerana ‘penjimatan’ itu sebenarnya tidak tepat. Jika ‘penjimatan’ terus disimfonikan, ia tidak akan memadamkan ‘kebohongan’ dan manipulasi angka oleh Kerajaan PH.

Analoginya mudah, kos lama adalah harga sebuah vila yang dibina di kawasan bukit; harga baharu ialah sebuah aparment yang dibina di kawaasan lembah yang sudah lengkap infrastruktur asas. Tentunya, harga vila adalah lebih mahal kerana kesukaran membina dan terpaksa mengangkut bahan binaan, perkakasan menaiki bukit apatah lagi sifatnya berbeza. Itulah perbandingan dan bukannya penjimatan apabila membeli sebuah aparment yang lebih kecil dan berada di lembah. Itulah namanya kalau ingin mengatakan ia adalah penjimatan, biarlah ia adalah setara.

Umpama kita membeli ketika ada promosi dan diberikan diskaun, bukan sahaja kita membayar harga rendah, kualitinya adalah setanding, tidak berkurang saperti ECRL yang baru dimuktamadkan perundingan dengan China Communication and Construction Company oleh Tun Daim Zainudin. Memang beliau seorang yang terkenal “kedekut” kerana “berjimat” tetapi dalam kes ini, beliau sudah membuang tabiat asalnya “value for money”.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply