Elak Islam dipolitikkan – Jawatankuasa tertinggi libatkan semua parti ditubuh

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu minggu lalu merupakan langkah pertama bagi mengelakkan Islam daripada terus dipolitikkan di negara ini.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Pengerusinya, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan (Perak), Datuk Dr. Afifi Al-Akiti yang menyifatkan langkah meletakkan jawatankuasa tertinggi itu di bawah kuasa Majlis Raja-raja Melayu sebagai tepat serta mendapat sokongan parti politik di negara ini, sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Beliau yang juga Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford memberitahu, jawatankuasa ter­tinggi berkenaan bakal melibatkan semua parti politik termasuklah UMNO, Pas dan DAP.

“Ini penting kerana kita tidak mahu Islam terus dipolitikkan. Sebab itu jawatankuasa tertinggi ini diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja Melayu.

“Setiap parti akan ada seorang wakil orang Islam di dalam jawatankuasa tertinggi ini dan nama-nama wakil tersebut juga telah diterima,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Isnin lalu, raja-raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan yang dianggotai lima orang ahli termasuk tokoh agama dan akademik bagi menambah baik institusi-institusi Islam di peringkat Persekutuan.

Jawatankuasa tertinggi itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji dan dibantu oleh Afifi sebagai Timbalan.

Tiga lagi panel terdiri daripada bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Majlis Letak Kerja dan Pe­nyam­paian Watikah Pelantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kepada ahli jawatankuasa akan berlangsung pada Khamis ini.

Jawatankuasa tertinggi berke­naan akan memberi penum­puan kepada pelbagai aspek pentadbiran Islam meliputi badan berkanun serta agensi kerajaan, bidang kehakiman, mahkamah syariah, perundangan, isu halal termasuklah melihat kepada pindaan undang-undang yang menyentuh mengenai Islam sekiranya ada keperluan.

Jawatankuasa tertinggi ini akan melakukan perbincangan dan kajian termasuk menerima pandangan daripada wakil pelbagai agama lain selama 150 hari atau lima bulan sehingga hujung tahun ini sebelum satu laporan lengkap mengenai syor-syor penstrukturan semula dikeluarkan.

Dalam pada itu, Afifi memberitahu, bagi menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963, jawatankuasa tertinggi itu akan melibatkan dua lagi panel dari Sabah dan Sarawak sebagai tambahan berbanding lima panel sedia ada.

Beliau berkata, dua lagi panel akan diumumkan pada majlis penyerahan watikah pelantikan Khamis ini.

Sumber : Utusan Online

No Comments

    Leave a reply