Elak Menghormati Orang Kaya Kerana Kekayaannya

Dalam masyarakat moden yang materialistik dan kapitalistik, maruah atau kehormatan seseorang seringkali dilihat dari harta kekayaan yang dimilikinya. Ertinya semakin seseorang kaya raya, ia akan semakin dikagumi dan dihormati oleh orang ramai. Sementara orang-orang miskim semakin tersingkir dan sering dihina. Penghormatan kepada orang kaya yang semata-mata disebabkan kekayaannya tidak dibenarkan di dalam Islam berdasarkan hadits marfu’ yang diriwayatkan Al-Baihaqi sebagai berikut:

 

وَمَنْ تَوَاضَعَ لِغَنِيٍّ لِغِناَهُ فَقَدْ ذَهَبَ ثُلُثَا دِيْنِهِ

 

Ertinya: “Dan barangsiapa merasa rendah diri di hadapan orang kaya kerana kekayaannya sungguh orang itu telah lenyap atau hilang dua pertiga agamanya.”

 

Merasa rendah atau menghormat kepada orang kaya semata-mata kerana kekayaannya bukanlah akhlak terpuji. Orang-orang kaya dihormati sepatutnya bukan kerana hartanya yang berlimpah tetapi kerana amal-amal kebaikannya, seperti bertakwa kepada Allah SWT, ramah kepada sesame manusia, gemar bersedekah, suka menolong fakir miskin, ambil berat terhadap kepentingan orang ramai dan mewakafkan hartanya di jalan Allah.

 

Barangkali kita bertanya, mengapa Islam melarang menghormati kepada seseorang kerana kekayaannya? Jawabnya, banyak alasannya, di antaranya adalah:

 

Pertama, kerana manusia lebih mulia daripada harta benda.

 

Manusia adalah makhluk terbaik dan paling mulia yang diciptakan Allah SWT sebagaimana termaktub dalam Surat Al-Isra’ ayat 70, yang berbunyi:

 

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

 

Ertinya: “Dan sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami bawa mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan, dengan kelebihan yang sempurna.”

 

Seseorang yang menghormati orang kaya semata-mata kerana kekayaannya, sesunguhnya ia telah merugikan keimanan dan keislamannya sendiri. Kesalahan bukan pada orang kaya yang dihormati tetapi pada dirinya sendiri sebab telah menempatkan nilai kemanusian beserta seluruh potensi spiritualnya di bawah harta benda duniawi. Rasulullah SAW mengecam orang tersebut dan dikatakan telah lenyap dua pertiga agamanya.

Kedua, kerana kekayaan berupa harta benda bukanlah kekayaan yang sebenar.

 

Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan dari Abi Hurairah:

 

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

 

Ertinya: “Bukanlah yang dinamakan kaya itu kerana banyak harta, tetapi yang dinamakan kaya sebenarnya adalah kayanya jiwa.”

 

Hal-hal spiritual seperti: keimanan, ketakwaan, kesabaran, sikap tawakal, kesalehan, keramahan, kedermawanan dan sebagainya, itu jauh lebih berharga daripada hal-hal yang bersifat duniawi seperti harta benda atau kekayaan. Di hadapan Allah SWT harta manusia tidak ada ertinya sehingga harta itu benar-benar dialihkan menjadi harta spiritual berupa amal-amal kebaikan.

 

Ketiga, kerana mengakibatkan orang-orang miskin tidak dihargai dalam masyarakat.

 

Jika sikap menghormati orang kaya kerana kekayaannya dibenarkan, maka akan timbul sikap sebaliknya yakni orang-orang yang tidak kaya atau miskin tidak dihargai. Dan inilah yang terjadi di masyarakat.ramai orang miskin direndahkan dan dihina. Ini masalah besar yang tidak pernah dipermasalahkan hingga seolah-olah telah diterima sebagai kebenaran.

 

Jika permasalahan itu dikaitkan dengan hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa merasa rendah di hadapan orang kaya kerana kekayaannya sungguh orang itu telah lenyap atau hilang dua pertiga agamanya”, maka pemikiran terbaliknya adalah barang siapa merasa lebih tinggi di hadapan orang miskin dalam bentuk merendahkannya kerana kemiskinannya maka sungguh orang itu telah lenyap pula atau hilang dua pertiga agamanya.

 

www.nu.or.id

No Comments

    Leave a reply