ELOK JUGA PH KALAH DI SEMENYIH

Sejak BN menang dalam PRK Cameron Highlands, PH nampaknya semakin gelisah untuk mempertahankan kemenangannya di kerusi DUN Semenyih yang dijangka akan diwakili oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) buat pertama kalinya dalam enam siri PRK selepas menang besar dalam PRU ke-14.

Meskipun kemenangan BN nanti, jika ianya berlaku tidak dapat mengubahkan apa-apa statusquo politik di Selangor, kemenangan tersebut tetap dianggap sebagai satu tamparan paling besar dalam sejarah PH yang berumur sembilan kerana kedudukannya yang secara lojiknya sebagai terbaik, menguasai kerajaan persekutuan dan negeri.

Ia dianggap demikian kerana ia berbeza dengan Cameron Highlands dari perspektif kuasa. Cameron Highlands memang milik BN, tetapi perspektif kuasa ia berada dalam dua kontinum yang berbeza, negeri dikuasai oleh BN manakala peringkat persekutuan oleh PH.

Semenyih juga dianggap berbeza daripada Cameron Highlands kerana sifat geografinya dan di situ juga terletaknya Empangan Semenyih yang menjadi salah satu kawasan memproses air bersih bagi sebahagian besar penduduk Lembah Klang. Empangan Semenyih siap dibina pada tahun 1986 dengan kos RM 400 meliputi kawasan seluas 1,500 ekar. Ia juga merupakan sebuah empangan yang terbesar dan dapat menampung bekalan air sebanyak 120 juta gelen sehari.

Empangan Semenyih pernah menjadi isu apabila takungan airnya pernah turun hingga ke paras yang rendah akibat kemarau dan menyebabkan berlakunya krisis air bersih di Lembah Klang beberapa tahun lalu, yang kemudiannya dicadangkan agar Empangan Langat II dibina bagi membekalkan air bersih yang mencukupi untuk penduduk Lembah Klang pada masa hadapan.

Semenyih merupakan kawasan yang sedang berkembang pesat dengan projek perumahan selepas kawasan-kawasan sekitar bandar raya Kuala Lumpur semakin tidak cukup tanah untuk menampung keperluan perumahan penduduk Lembah Klang, selepas ramai hanya mampu melihat rumah-rumah yang dibangunkan di Putrajaya dengan dongakan ‘marah dan benci’ akibat harga yang tidak terjangkau oleh akal dan keupayaan kewangan.

Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya Suku Ketiga Tahun 2018 yang dikemaskinikan sehingga 11 Januari 2019, jumlah pengundi ialah 54,503, iaitu 53,520 pengundi biasa, 951 orang pengundi awal dan 32 orang pengundi tidak hadir luar negara. Dari perspektif kaum, daftar pengundi 2013 menunjukkan 56.07 peratus adalah Melayu, 25.15 peratus Cina dan 17,23 peratus India. Bagaimanapun komposisi tersebut berdasarkan jumlah pemilih berdaftar pada tahun 2013 seramai 42,344. Daftar terbaharu menunjukkan pertambahan ketara jumlah pengundi Cina.

Setakat ini, dijangkakan tiga parti yang akan bertanding, iaitu UMNO yang mewakili BN, PPBM mewakili PH dan Parti Sosialis Malaysia. Ketiga-tiga parti yang dijangka bertanding sedang menyenarai pendek calon masing-masing. Bagaimanapun, pertandingan kali ini dianggap berligar antara PPBM dan UMNO sedangkan PSM dilihat kurang diyakini disebabkan ideologi politiknya masih asing dalam kalangan sebahagian besar pengundi Melayu.

Cabaran pertama yang perlu diatasi oleh PH ialah mengembalikan kepercayaan pengundi Melayu terhadap janji-janji yang pernah dibuat ketika PRU ke-14. Akibat ‘janji tidak ditepati’ menjadikan PH terpaksa menerima kekalahan yang besar dalam PRK Cameron Highlands, dan situasi yang sama mungkin akan mempengaruhi pola pengundian walaupun DUN Semenyih telah memberikan kemenangan kepada calonnya dalam PRU ke-14.

Saperti yang ditagih oleh pengundi DUN Semenyih, mereka lebih cenderung untuk memilih calon yang ‘menepati janji’ sebagaimana dijelaskan dari peribahasa Minangkabau, ‘Kato sapatah dipikiri, bajalan salangkah madok suruik’. Majoriti pengundi Melayu di DUN Semenyih adalah dari keturunan Minangkabau.

Dari perspektif sejarah, Semenyih asalnya merupakan jajahan takluk negeri Sembilan. Sebab itulah kebanyakan penduduk asal di Semenyih adalah keturunan Minangkabau. Orang Minangkabau amat menghormati orang yang berbudi bahasa dan sentiasa mengotakan janji. Atas sebab itulah PH perlu berhati-hati untuk berkempen di Semenyih, kerana pengalaman selama sembilan bulan sejak PH memerintah, belum ada yang berjaya ditunaikan.

Faktor kedua yang perlu diberikan penekanan oleh setiap parti yang akan bertanding ialah memilih calon tempatan yang ‘bersih’ dan ‘belum tercemar dengan pelbagai godaan kuasa’. Setakat ini, beberapa nama calon yang berada dalam senarai pendek PH mula dipertikaikan atas pelbagai sebab, antaranya “ calon luar’, ‘calon reject’, “kaki sapu projek’, ‘ahli majlis korup’ dan ‘zero politik/chipmore’.

BN pula sedang meneliti calon-calon yang boleh dianggap berkecuali sebagaimana yang dilakukannya di Cameron Highlands, biarpun sebahagian pemimpinnya mula melahirkan rasa kecewa. Calon yang berkecuali itu adalah dalam kalangan penduduk tempatan ataupun sekitarnya yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Ketiga, walaupun PH dilihat sebagai mempertahankan kerusi DUN Semenyih, kemenangannya pada PRU ke-14 bukanlah sesuatu yang boleh dianggap selamat. UMNO atau BN akan tetap berusaha mendapatkan semula kerusi tersebut, kerana kemenangan kali ini dilihat lebih manis daripada kemenangan-kemenangan sebelumnya, sebagai bukti kemantapan kerjasama dengan PAS.

PAS sedaya upaya akan membantu kemenangan buat calon BN sebagaimana dilakukannya ketika PRK Cameron Highlands. Perlu diingat bahawa PAS mempunyai penyokongnya yang kuat di Semenyih dan tentunya lebih mengharapkan penyokong-penyokongnya akan keluar mengundi pada hari pengundian iaitu 2 Mac 2019.

PH yang memerlukan sokongan bundar pengundi Cina dan India dilihat masih tidak memadai tanpa meraih sokongan sekurang-kurangnya 30 peratus pengundi Melayu. Tentunya, pengundi-pengundi Melayu di Semenyih lebih cenderung untuk ‘tunggu dan lihat’ apakah yang akan diperkatakan oleh pemimpin PH ketika tempoh berkempen. Seandainya PH terus membuat ‘kitaran balik soal beban hutang negara’ parti itu tidak dilihat boleh diberikan harapan sekali lagi oleh pengundi.

Ketika ini, pengundi Semenyih saperti muak dengan kenyataan ‘kerajaan berjimat’ kerana sejak PH mengambil alih pentadbiran, program menteri ke luar negara telah memakan perbelanjaan yang besar. Kalau dahulunya Najib dipersoalkan mengenai perbelanjaan ke luar negara, kini rakyat mula mengembalikannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang juga berbelanja besar untuk ke USA, Eropah dan Jepun. Lawatan luar negara oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi mula ditanya, apakah faedahnya kepada negara setelah 28 kali berlangsung dan tiada sedikit pun berita berjaya membawa masuk pelaburan asing.

Faktor keempat, PH hendaklah bersedia mengharmonikan kenyataan dan tindakan dalam kalangan menteri kabinet yang semakin sehari semakin bercelaru dan bercanggah. Umpamanya mengenai hasrat Kementerian Pengangkutan untuk menambah lebih banyak kamera AES di seluruh lebih raya bagi mengurangkan kemalangan.

Rakyat kini bukan sahaja mempersoalkan penambahan jumlah kamera, ia dikaitkan dengan harga bagi setiap kamera yang hendak dipasang. Sebelumnya, kerajaan BN dipersoalkan kerana harga sebuah ialah RM 170,000 dan didakwa berlipat kali ganda daripada harga sebenar. Dalam kenyataan Menteri Pengangkutan, harga sebuah kamera yang akan dipasang ialah RM 200,000 dan rakyat mula mempersoalkan kenapa lebih mahal? Kenapa tidak dikekalkan dengan harga yang pernah dianggap ‘harga sebenar’ sebelum mendapat kuasa memerintah?

Meskipun Menteri Pengangkutan menjawab bahawa kos pemasangan dan pengendaliannya bukan dari peruntukan kerajaan, rakyat tetap khuatir dari sumber manakah PLUS akan membelinya? Apakah selepas pemasangan AES itu selesai, PLUS dibenarkan untuk menaikkan kadar tol atau konsesinya dilanjutkan beberapa tahun lagi untuk ‘balik modal’?

Kalaupun kerajaan tidak berbelanja, tidak bererti rakyat tidak tertekan dengan pembelian AES itu? Rakyat akan membayar kadar tol yang tinggi atau dalam tempoh yang lebih panjang. Ia akan membawa kepada persoalan seterusnya, janji untuk menghapuskan tol tidak kesampaian sampai bila-bila.

Kini, warganet sedang mempersoalkan ‘janji’ seorang timbalan menteri berkenaan AES yang dijanji akan dihapuskan sebaik sahaja PH menang. PH telah menang, AES belum dihapuskan dan wang saman yang dibayar oleh pengguna belum dikembalikan. Alasan terbaharu timbalan berkenaan, apa yang disuarakan sebelumnya adalah ‘pendapat peribadi’ dan beliau tidak ada hak untuk ‘mendesak’ Menteri Pengangkutan melaksanakannya, bukan ‘bidang kuasa’. Ia dijangka akan ‘memakan diri’ PH dalam PRK DUN Semenyih.

Begitu juga dengan janji untuk ‘menurunkan kos sara hidup’ . Rakyat semakin tertekan dengan harga barangan yang semakin meningkat walaupun GST telah dihapuskan. Cadangan kerajaan untuk menaikkan tariff air bersih dan memperkenalkan ‘cukai gula’ juga akan menyebabkan PH perlu bersedia untuk memberikan penjelasan yang memadai kerana sebahagian besar pengundi Melayu di DUN Semenyih adalah petani dan pekerja bawahan.

Jika ada pun golongan pertengahan, mereka lebih terdedah dengan input daripada media sosial yang akhir-akhir ini kurang diberikan perhatian oleh kerajaan apatah lagi ada sedikit kesombongan daripada menteri yang menganggap komen, ulasan dan pandangan tersebut sebagai ‘tidak berfaedah’ dan ‘bukan standard’ yang perlu dilayan oleh seorang menteri.

Kelima, mungkin sedikit sebanyak rumusan kajian  yang dibuat oleh sebuah firma antarabangsa mengenai ‘populariti PH’ memberikan kesan dalam PRK DUN Semenyih. Firma tersebut melihat kemerosotan imej disebabkan kecelaruan dasar dan percanggahan pandangan antara kementerian, penyampaian perkhidmatan dan kaedah menangani ‘masalah rakyat’ boleh menyebabkan rakyat semakin ‘tawar dan hambar’. Inilah cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh PH jika ingin mengekalkan penguasaannya di DUN Semenyih sebelum proses pengundian berlangsung.

Sekiranya cabaran-cabaran ini tidak diatasi dalam masa terdekat dan ditambah dengan kecelaruan mesej kempen, hasrat PH untuk mengekalkan kerusi Semenyih tidak kesampaian. PH sepatutnya lebih berhati-hati, apabila menggunakan kaedah ‘menyerang personaliti tertentu’ dan menyalahkan ‘kerajaan sebelum’nya umpama ‘meminum racun sendiri’ kerana pengundi semakin memahami tindakan tersebut adalah satu bentuk escapism politik setelah apa yang dijanjikan gagal dilaksanakan.

Saperti keluh seorang pesara yang sudah lima tahun bermastautin di Semenyih: “Elok juga PH kalah” sekurang-kurangnya PH sedar kelemahannya.

 

Monosin Sobri

 

No Comments

    Leave a reply