Enggan ikut ulama muktabar, bercanggah amalan sahabat

BERASA sudah alim hingga tidak perlu mengikut ulama muktabar yang diiktiraf atau tradisi pendidikan sebenar menjadi penyakit berbahaya yang menimpa umat Islam akhir zaman.

Lebih teruk lagi, apabila mereka berasa sudah cukup dengan merujuk al-Quran dan hadis, sekali gus meminggirkan tafsiran serta penjelasan oleh ulama.

 Sangkaan mereka itu sebenarnya bercanggah dengan realiti yang berlaku dalam salafusoleh termasuk sahabat Nabi SAW.

Tidak semua dalam kalangan generasi sahabat yang mengeluarkan fatwa, sebaliknya hanya beberapa sahaja dalam kira-kira 120,000 sahabat yang mempunyai keilmuan tinggi dalam bidang fatwa.

Dalam kitab Fadail A’mal, ulama besar dan ahli hadis India, Maulana Muhammad Zakaria Kandhalawi menyebut satu jemaah dikhususkan untuk mengeluarkan fatwa.

Senarai mufti dalam kalangan sahabat didahului empat Khalifah ar-Rasyidun, iaitu Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar al-Khattab RA dan anaknya Abdullah, Uthman Affan RA serta Ali Abi Talib RA.

Sahabat lain, ialah Abdul Rahman Auf RA, Ubai Ka’ab RA, Abdullah Mas’ud RA, Muaz Jabbal RA, Ammar Yasir RA, Huzaifah al-Yamani RA, Salman al-Farisi RA, Zaid Thabit RA, Abu Musa Asyaari RA dan Abu Darda’ RA.

Justeru, menjadi sunah sahabat RA secara umumnya akan merujuk kepada mereka yang berilmu dalam kalangan mereka dan bukannya terus membuat kesimpulan hukum berdasarkan al-Quran, hadis dan qiyas.

Tidak semua dalam kalangan sahabat yang mempunyai keupayaan ilmiah untuk berinteraksi dengan hukum-hakam atau berkelapangan untuk mendalami ilmu.

Malah, sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis seperti Abu Hurairah RA pun, sekiranya berbeza pandangan dengan yang lebih alim itu, pendapat yang lebih diterima pakai adalah senarai sahabat mufti terbabit.

Sunah sama turut berlaku dalam lapisan tabiin atau pengikut sahabat Nabi SAW dan generasi seterusnya, sekali gus menyaksikan sebahagian sahaja yang mendalami sedangkan ummah menjadikan mereka sebagai tempat rujukan agama.

Sebahagian sahabat RA kekal di Madinah dan ada yang menetap di Makkah, manakala sahabat lain berhijrah ke kota yang baru dibuka oleh tentera Muslim, sekali gus mengajar dan mendidik umat Islam.

Ibnu Umar pula memilih untuk menetap di Madinah yang menjadi tumpuan pusat keilmuan kerana umat Islam akan menziarahi Rasulullah SAW dan antara anak muridnya ialah Nafi’ Maula Ibnu Umar (budak) yang kemudian menjadi guru kepada Imam Malik.

Ibnu Mas’ud umpamanya berhijrah ke Kufah dan mengajar yang silsilah ilmunya, Alqamah ibnu Qays, Ibrahim Nakha’i dan Hammad Abi Sulaiman yang akhirnya mendidik Imam Abu Hanifah.

Daripada silsilah Imam Malik dan Imam Abu Hanifah itu, muncul Imam Shafie yang kemudian menjadi guru kepada Imam Ahmad ibnu Hanbal.

Setiap imam mazhab itu diikuti oleh anak murid masing-masing yang menyaksikan mazhab terbentuk, berkembang dan menjadi kukuh, sekali gus menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.

Bagaimanapun, gesaan merujuk ulama dalam persoalan agama, bukan bermakna menafikan tuntutan belajar, sebaliknya mengelakkan fitnah kekeliruan apabila ramai yang berasa sudah layak mengeluarkan fatwa meskipun tidak mempunyai keilmuan mencukupi.

Malah, gesaan itu juga dapat mendidik jiwa umat Islam khususnya ummah akhir zaman supaya merendah diri dan tidak sombong berasakan sudah memiliki keilmuan setaraf atau sama dengan ulama silam.

Oleh Nazmi Yaakub

Sumber : Berita Harian

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply