ERA DEFISIT KEBENARAN (BAHAGIAN 1)

Post-Truth atau terjemahannya pasca-kebenaran diperkatakan secara meluas di seluruh dunia selepas Oxford Dictionary memasukkannya sebagai istilah baharu dalam sejarah perkamusan kendaliannya. Perkataan tersebut dipilih kerana popularitinya setelah dua peristiwa besar yang berlaku di Amerika Syarikat dan Britain pada tahun 2016.

Amerika Syarikat ketika itu sedang hebat persaingan untuk merebut wakil calon Parti Republikan dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada bulan November 2016. Sebelum pemilihan dibuat, satu rangkaian pemilihan pendahuluan dan kaukus presiden perlu diadakan. Persaingan begitu sengit dalam Parti Republikan berbanding Parti Demokrat.

Dalam kempen pemilihan pendahuluan, Parti Republikan menyeranarikan 17 calon yang akan bertanding. Antaranya, Donald Trump,  Senator Ted Cruz (dari Texas),  John Kassich (Gabenor Ohio), Senator Marco Robio (Florida).  Jed Bush (Gabenor Florida). Setelah melepasi pemilihan 3 Mei 2016, hanya tiga calon telah disenaraipendekkan, iaitu Trump, Kassich dan Ted Cruz.  Akhirnya, akibat tidak dapat melakukan konvensi bersaing (contested convention), Cruz dan Kassich menamatkan kempennya dan memberikan laluan kepada Donald Trump untuk membawa cabaran bersaing dengan calon Parti Demokrat, Hillary Clinton (telah mengesahkan pencalonannya selepas menewaskan Bernie Sanders).

Permulaan persaingan dan kempen Pemilihan Presiden Amerika Syarikat ditandai dengan kemunculan satu suasana politik yang tidak lagi melihat sesuatu fakta itu sebagai suatu kebenaran, bahkan ia membabitkan persaingan antara persepsi. Kesan daripada persaingan persepsi itu telah memberikan kemenangan besar kepada Donald Trump walaupun beliau bukanlah merupakan calon terbaik dan berpengalaman dalam perihal politik di Amerika Syarikat berbanding Hillary Clinton.

Kemenangan Donald Trump menjadikan istilah post-truth memasuki era baharu menerusi slogan ‘America for American’ bagi membolehkan ‘America Great Again’. Maknanya, kempen Trump bersandarkan semangat nasionalisma Amerika yang tidak mahu dikongsikan dengan lain-lain bangsa bukan Amerika dan dalam cadangannya, menyekat kemasukan kaum imigran dari serata dunia. Bagi mengekang kemasukan imigran daripada Amerika Latin dan Amerika Tengah, Trump bercadang untuk membina tembok di sempadan Mexico. Pintu-pintu masuk akan diperketatkan bagi menyekat kemasukan imigran daripada Asia Barat .

Di Britain, mula tersebar ‘kebimbangan’ terhadap aliran keluar wang ke beberapa negara lain akibat kemasukan pekerja daripada beberapa buah negara Eropah, terutama daripada negara-negara yang pernah berada dalam pengaruh ideologi komunis. Buruh-buruh dari Eropah dibenarkan bekerja di Britain atas semangat Kesatuan Eropah. Kebimbangan itu kemudiannya dilempiaskan menerusi kempen keluar daripada Kesatuan Eropah yang dikenali sebagai Brexit. Akibatnya, Teresa May dipilih menggantikan David Cameroon akibat isu Brexit (13 Julai 2016). Teresa May juga gagal dan akhirnya meletakkan jawatan pada 24 Julai 2019.

Teresa May digantikan dengan Boris Johnson dan seterusnya bertungkus lumus untuk mendapat kelulusan bagi memastikan Britain tidak lagi menganggotai Kesatuan Eropah. Setelah mengalami proses referendum yang panjang dan sukar, akhirnya Britain secara rasminya keluar daripada Kesatuan Eropah pada 30 Januari 2020. Kisah Brexit itu menjadikan post-truth mencapai tahap yang menyebabkan suasana geopolitik berubah-ubah dan sukar diramalkan menerusi kaedah biasa.

Para pengkaji pendapat awam, pada mulanya yakin bahawa Hillary Clinton boleh memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat berdasarkan sokongan golongan kapitalis dan pengalamannya sebagai seorang diplomat. Namun, kecekapan kumpulan kempen Donald Trump mengeksploitasikan kulit puteh di Amerika Syarikat dan golongan pekerja menjadikan beliau memenangi 304 Kolej Elektrol berbanding Clinton hanya mampu meraih 227. Penyokong-penyokong Demokrat berusaha menghalang upacara angkat sumpah Trump dan kemenangannya dibantah dengan beberapa insiden tunjuk perasaan serta ‘ancaman’ California untuk keluar daripada gagasan Amerika Syarikat. California merupakan sebuah negeri yang terkaya dan sebahagian pekerja di Lembah Silikon adalah kaum imigran, termasuk dari China, India dan lain-lain negara.

Post-truth semakin berkembang dan dalam arena politik, telah membentuk teori baharu yang cenderung kepada pertarungan persepsi, di mana parti yang berjaya menguasai persepsi akan dikira berupaya menang dalam pemilihan. Hal ini turut berlaku di Malaysia, pada Pilihan Raya Umum ke-12 (2008), Pakatan Rakyat berjaya menguasai ‘permainan persepsi’ dan seterusnya kedudukan BN semakin menguncup dalam PRU ke-13 (2013). Dalam PRU ke-14, BN benar-benar tersungkur dengan pertarungan persepsi akibat pengaruh Dr Mahathir dan kesepakatan parti-parti pembangkang menubuhkan Pakatan Harapan. Dalam PRU ke-13, meskipun PAS masih bersama Pakatan Rakyat, kepimpinan PH tidak begitu mantap menyebabkan BN terus berkuasa walaupun dengan jumlah kerusi yang lebih kecil (133 kerusi Dewan Rakyat) dan kembali berkuasa di Kedah, selepas berlaku peralihan kuasa di Perak (Februari 2009). Pakatan Rakyat kekal di Selangor dan Pulau Pinang, manakala PAS semakin berkuasa di Kelantan.

Menariknya, selepas kemenangan PH dalam PRU ke-14, berlaku ‘exodus’ pemimpin BN sebagai wakil rakyat bebas dan menyertai parti pimpinan Dr Mahathir. Akibatnya, kedudukan BN di Sabah bertukar dan Shafie Afdal (Parti Warisan) menggantikan Musa Aman (dari BN). Kini kedudukan BN seperti dihujung tanduk walaupun dalam PRK Kimanis berjaya mengekalkan penguasaannya, yang dahulunya dimenangi oleh Anifah Aman dengan majoriti kecil. Kini, BN mempunyai dua kerusi di Dewan Rakyat iaitu Kinabatangan dan Kimanis. Wakil rakyat Kinabatangan sedang berhadapan dengan perbicaraan rasuah dan salah guna kuasa ketika Bung Moktaradin dilantik sebagai Pengerusi FELCRA.

Sejak itu hampir setiap hari post-truth menjadi ruang perbincangan media sosial mahupun ‘parlimen kecil’ di mana-mana perhimpunan awam atau kumpulan kecil golongan seminat dalam politik. Mereka membicarakan banyak perkara, tetapi yang lebih mengecewakan parti pemerintah ialah ‘persepsi awam’ terhadap kerajaan. Banyak perkara yang dianggap ‘tidak kena’ dan ‘pembohongan’, khususnya mengenai Buku Pakatan Harapan atau manifesto PRU ke-14.

Sebenarnya, istilah post-truth telah muncul lebih awal lagi daripada keputusan Oxford Dictionary untuk memasukkannya sebagai ‘word of the year’ bagi tahun 2016. Menurut Presiden Kamus Oxford, Casper Grathwohl, istilah post-truth akan terus menguasai minda masyarakat untuk tempoh yang lebih lama walaupun sejak tahun 2016, perbincangan masyarakat dunia dipicu oleh wacana politik di media, sama ada media massa atau media sosial apabila pendapat peribadi lebih diyakini berbanding pendirian institusi. Misalnya, kisah Lembaga Tabung Haji berhadapan dengan masalah kecairan tunai yang dicetuskan oleh Rafizi Ramli. Akibatnya, berlaku pengeluaran simpanan besar-besaran pemegang akaun TH dan ini menyebabkan pendeposit hilang peluang untuk mengerjakan haji menurut jangka masa yang ditetapkan. Jika masih berhajat menunaikan fardhu haji, mereka terpaksa membuat pendaftaran baharu.

Kini, TH terus menjadi sasaran orang awam apabila kerajaan PH membuat keputusan untuk memindahkan aset yang dikumpulkan beberapa tahun sebelumnya, atas alasan ‘bukan perniagaan teras’. Akibat pemindahan tersebut kepada sebuah syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan, TH telah melupuskan kepentingannya dalam pemilikan ladang kelapa sawit di Indonesia. Masyarakat terus mengecam tindakan tersebut kerana TH hanya mampu membayar dividen terendah sejak ianya ditubuhkan. Hal yang sama turut menjadi kebimbangan masyarakat apabila semakin banyak aset yang berorientasikan kepentingan Melayu-Islam berpindah tangan kepada syarikat-syarikat asing dan tempatan yang tiada hubung-kait dengan Bumputera.

Begitu juga dengan perkiraan hutang negara. Di akhir pentadbiran BN, hutang negara dilaporakan berjumlah RM 686 bilion dan dalam tempoh 20 bulan ditadbir oleh PH, hutang telah meningkat kepada lebih RM 800 bilion. Rakyat semakin sedar, istilah perakaunan kreatif yang diamalkan oleh kerajaan PH sebenarnya adalah nilai ambang yang menjadi sasaran dalam tempoh lima tahun, iaitu hutang negara meningkat kepada lebih RM 1 trilion. Penjelasan Menteri Kewangan mengenai kaedah memasukkan tanggungan dan kadar faedah yang dikenakan itu bukanlah sesuatu yang meyakinkan kerana, sebahagian tanggungan adalah dibuat oleh pihak swasta dengan jaminan kerajaan.

Rakyat mula mempersoalkan tentang hutang 1MDB yang dijadikan isu besar untuk menumbangkan BN. Lama kelamaan, rakyat sudah tidak percaya bahawa hutang 1MDB tidak dapat dibayar kerana aset yang dipunyai oleh badan pelaburan itu lebih besar, bahkan untuk pembangunan bandar Malaysia sahaja anggarannya melebihi RM 100 bilion. Maknanya, jika tujuan membayar hutang (RM 30 atau 40 bilion), 1MDB perlu menjual separuh aset-aset yang dimiliki. PH tidak melakukan hal tersebut, sebaliknya berusaha menjadikan 1MDB sebagai penyebab kepada kelumpuhan ekonomi dan kegagalan untuk menunaikan janji seperti pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti, penghapusan kutipan tol, pembatalan projek infrastruktur mega dan runding semula kontrak yang dalam peringkat pelaksanaan.

Kini, alasan bahawa 1MDB punca segala masalah dan amalan kleptokrasi tidak lagi dapat dijual oleh PH. Meskipun proses undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO yang dikaitkan dengan dana 1MDB sedang berlangsung, masyarakat mula mempersoalkan apa yang berlaku selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4. Persoalan kerugian MAS, perniagaan mata wang asing (Forex), pembelian Maju Junction dan TH Selborn oleh TH (yang ketika itu dipengerusikan oleh abang ipar Dr Mahathir, Tan Sri Razali Mohd Ali), bail-out MISC (dikuasai oleh Mirzan Mahathir), penguasaan Tun Daim Zainudin dalam syarikat-syarikat yang dipindahkan menerusi dasar penswastaan dan merger & acquisition institusi kewangan pada tahun 1990-an, kegagalan Proton (sebelum sebahagian sahamnya dijual kepada Geely), kematian projek bilet besi oleh Perwaja Steel, kegagalan pembinaan infrastruktur Multimedia Super Coridor (MSC), dan perihal 1BestariNet oleh YTL Communication untuk menjadikan persekitaran pembelajaran maya di sekolah-sekolah seluruh negara. Warna-warni inilah yang akan mempengaruhi persekitaran politik Malaysia sehingga PRU ke-15.

Dalam menghadapi serangan tersebut, PH dilaporkan telah gagal untuk meyakinkan masyarakat umum walaupun menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, PH telah berjaya menunaikan 70 peratus janjinya. Rakyat masih mempersoalkan kenapa 30 peratus lagi janji itu tidak dapat ditunaikan. Bagaimanapun, kerana rakyat mempunyai kebebasan berpendapat dan melihat sendiri apa yang berlaku, rakyat tetap merasakan kerajaan PH terus berbohong dalam isu-isu yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.

Rakyat mempersoalkan mengenai penghapusan GST kerana dianggap penyebab kenaikan kos sara hidup, penghapusan kutipan tol bukan mengurangkan caj dan melanjutkan tempoh konsesi, dan lebih menyeramkan ialah pengecilan peluang pekerjaan serta pembuangan pekerja akibat pengecilan operasi atau model perniagaan. Hari ini, rakyat menyambut ‘kegembiraan kemenangan PH’ dengan rasa kecewa dan kesal kerana ‘salah pilih’.

Selagi persepsi ‘kecewa dan salah pilih’ itu tidak dapat dihapuskan dalam pemikiran rakyat, PH dilihat tidak akan berjaya mengekalkan kuasanya untuk penggal kedua. Apatah lagi dalam keadaan parti-parti komponen PH berkrisis dan saling bercakaran sesama sendiri, post-truth akan tetap menjadi bahan perbincangan yang besar dalam media sosial. Usaha kerajaan PH memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar dilihat suatu kerugian yang memerangkap PH walaupun masih ada beberapa akta yang boleh digunakan untuk mengekangnya, seperti Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Dua akta ini adalah berkaitan dengan hukuman selepas penyiaran ‘berita palsu’ atau ‘komunikasi jelek’ sedangkan Akta Anti Berita Tidak Benar bersifat langkah pencegahan di peringkat awal.

Malangnya, banyak tindakan yang berlaku dilihat oleh masyarakat umum tidak selari dengan peruntukan undang-undang termasuklah melepaskan Lim Guan Eng daripada pertuduhan membeli sebuah banglo lebih rendah daripada harga pasaran, pembabitannya dengan sebuah syarikat yang ada kaitan dengan projek terowong dasar laut, penolakan kes semburit yang membabitkan seorang menteri walaupun salah seorang pelakunya membuat laporan polis, kes gangguan seksual yang membabitkan Anwar Ibrahim terhadap Yusuf Rawther, pembabitan anak Mat Sabu dengan dadah, pembabitan wakil rakyat dengan dadah di Puchong, Selangor yang masih belum diketahui kandungan air kencingnya, dan lebih menyeramkan ialah pendedahan rakaman audio komunikasi antara suami dan isteri (Najib dan Rosmah) yang belum disahkan ketulenannya (tidak memerlukan pengesahan pakar audologi dari luar negara) serta cadangan memperkenalkan semula pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Persekitaran sedemikian boleh menyemarakkan post-truth dalam lanskap politik negara sebagaimana tersebarnya ‘berita palsu’ mengenai wabak corona yang diakibatkan oleh virus di bandar Wuhan, China. Akibat kenyataan kurang tegas menyebabkan kerajaan PH didakwa lebih mementingkan ‘pendapatan pelancongan’ berbanding kesehatan rakyat, dan ia berbeza dengan Singapura. Singapura mengambil langkah yang lebih tegas, sedangkan Malaysia ketika itu masih bertahan dengan dasar menggalakkan pelancongan termasuklah memberikan visa selama setahun kepada rakyat China dan India. Bagaimanapun setelah diserang oleh warganet dan pelbagai pihak, Malaysia akhirnya menangguhkan pemberian visa kepada pelancong China terutama yang datang daripada wilayah Hubei dan wilayah-wilayah yang dijangkiti oleh wabak tersebut.

Industri pelancongan dikatakan rugi jutaan ringgit kerana pembatalan tempahan penginapan dan penerbangan ekoran wabak berkenaan. Industri pelancongan Malaysia pernah terjejas dengan tersebarnya wabak JE, selesema burung dan SARS. Ketika JE melanda, tempat percutian di Port Dickson sepi seketika, disebabkan wabak itu mula dikesan di kawasan penternakan babi di Bukit Pelanduk, Kg Pacitan dan Kg Sawah yang berada dalam daerah Port Dickson.

 

(bersambung)

 

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply