ERA DEFISIT KEBENARAN (BAHAGIAN II)

Oxford Dictionary mentakrifkan post-truth sebagai “relating to or denoting circumstances in which objective facts are less influential in shaping public opinion than appeals to emotion and personal belief.“ Secara mudahnya kita dapat memahami bahawa post-truth suatu keadaan di mana fakta bukanlah satu perkara yang penting dan berpengaruh dalam pembentukan pendapat awam berbanding emosi dan keyakinan peribadi.

Mungkin sebab itulah istilah post-truth itu ditulis sedemikian, iaitu menggabungkan dua perkataan secara terpisah oleh tanda sempang di tengah-tengahnya. Tanda sempang itu boleh dimaksudkan sebagai ‘penolakan’ atau ‘memperlekehkan’, dan kerana itulah post-truth tidak lagi menghormati kebenaran sebagai perkara yang objektif.

Seorang penulis keturunan Serbia-Amerika, Steve Tesich (1942-1996) dikatakan sebagai orang yang pertama menggunakan istilah post-truth bagi menggambarkan situasi politik yang sedang berlaku di seluruh dunia akibat propaganda Amerika Syarikat. Tulisannya tersiar dalam majalah The Nation pada tahun 1992 dengan judul “A Government of Lies”. Beliau menyifatkan pemikiran masyarakat Amerika Syarikat dipengaruhi oleh sejenis penyakit yang dipanggil “Watergate syndrome”. Skandal Watergate telah memusnahkan kerjaya politik Richard Nixon (1913-1994), iaitu presiden Amerika Syarikat ke-37.

Steve Tesich menggambarkan masyarakat Amerika Syarikat semakin meremehkan kebenaran akibat terlalu banyak maklumat negatif disebarkan oleh kepimpinan Rumah Putih ketika mempertahankan keputusan membabitkan diri dalam Perang Vietnam, yang kemudiannya diulang kembali dengan membabitkan penjualan senjata secara rahsia kepada Iran (Iran-Contragate) dan Perang Teluk.

Richard Nixon adalah presiden Amerika Syarikat pertama yang terpaksa meletakkan jawatan (9 Ogos 1974) akibat skandal Watergate. Watergate merupakan sebuah hotel yang terletak di Washington DC. Kini, istilah Watergate dikaitkan dengan konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk kepentingan peribadi dan penyalahgunaan kuasa politik.

Tesich yang pernah memenangi Anugerah Akademi (Grammy Award) pada tahun 1979 melalui lakon layar yang digarapnya, Breaking Away , menggambarkan kegelisahan hidup masyarakat awam adalah disebabkan perilaku ahli politik yang berkuasa walaupun diberikan kebebasan membuat pilihan.

Selepas peletakan jawatan, Amerika Syarikat menarik diri daripada meneruskan pembabitannya di Vietnam. Perang Vietnam disifatkan sebagai kisah kegagalan dasar luar Amerika Syarikat dan tidak sepatutnya ditangani oleh Amerika Syarikat kerana ia lebih bersifat sebagai perang saudara, iaitu antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan.

Menurut Tesich “ We are rapidly becoming prototypes of a people that totalitarian monsters could only drool about in their dreams. All the dictators up to now have had to work hard at suppressing the truth. We, by our actions, are saying that this is no longer necessary, that we have acquired a spiritual mechanism that can denude truth of any significance. In a very fundamental way we, as a free people, have freely decided that we want to live in some post-truth world.”  (Rujuk: https://rampages.us/rocketscout/2017/01/23/a-government-of-lies-written-by-steve-tesich/)

Mungkin juga ia berlaku secara kebetulan, post-truth dianggap begitu subur berkembang pada era pemerintahan presiden Amerika Syarikat yang mewakili Parti Republikan. Selepas Nixon, Ronald Reagan (1911-2004) dipersalahkan kerana mengetepikan embargo penjualan senjata ke atas Iran yang diputuskan oleh Jimmy Carter ekoran kemenangan Revolusi Iran menyingkirkan pemerintahan boneka Amerika Syarikat, Reza Shah Pahlavi (1979). Reagan yang mengambil kuasa pada 20 Januari 1981, menggunakan kedudukannya untuk mencari jalan membebaskan pegawai kedutaan Amerika Syarikat yang ditahan semasa meletusnya Revolusi Iran, yang gagal dilakukan oleh Jimmy Carter.

Rundingan rahsia itu membabitkan ‘pertukaran senjata dengan para tahanan’ dan dalam pidatonya, Ronald Reagan berkata: Langkah paling signifikan yang bisa diambil Iran, kami indikasikan, adalah menggunakan pengaruhnya di Lebanon untuk menjamin pembebasan semua sandera yang ditahan di sana.” Reagan mengharapkan bantuan Iran untuk membebaskan rakyatnya yang ditahan, termasuk yang ditahan oleh Hizbullah di Lebanon. (rujuk: https://historia.id/politik/articles/main-mata-iran-dan-amerika-dalam-iran-contra-DbemQ). Iran ketika itu sedang berperang dengan Irak akibat perbalahan sempadan. Apa yang ditakuti oleh Amerika Syarikat ialah kehadiran tentera Rusia atau kemungkinan Iran meminta bantuan senjata daripada Rusia.

Bila keadaan itu berlaku, hegemoni Amerika Syarikat di Timur Tengah dan Afrika Utara menjadi semakin sukar, termasuklah membantu Israel membina pengaruhnya. Irak ketika itu berhadapan dengan ‘kekacauan dalaman’ yang mahu menggulingkan Saddam Hussein. Sebagai langkah strategik, Saddam memulakan asakan menceroboh sempadan Iran bagi membolehkan rakyatnya kembali bersatu menyokong kepimpinannya.

Selepas kegagalan George Herbert Bush (Sr) gagal mempertahankan jawatan presiden untuk penggal kedua, pendekatan presiden Amerika Syarikat dilihat lebih ‘mesra’ dengan Islam, walaupun masih menekan secara diplomatik. Bagaimanapun ia bertukar menjadi lebih tertekan ketika George Walker Bush (Jr) mengambil alih pemerintahan pada tahun 2001. Setelah beberapa bulan berkuasa, Bush menimbulkan masalah baharu untuk mengkambinhitamkan negara-negara Islam ekoran keyakinannya terhadap sebuah teori yang dikemukakan oleh Samuel P Huntington (1927-2008) mengenai musuh sebenar peradaban barat ialah Islam.

Pada 11 September 2001, berlaku tragedi yang mengubah perspektif politik antarabangsa di mana George Walker Bush menjadi semakin “gila untuk berperang”. Bagi mewajarkan tindakan dan rasional keputusan dasar Rumah Putih, beberapa fakta telah direkayasakan bagi membolehkan rakyat Amerika Syarikat dan masyarakat dunia menyokong tindakan Amerika Syarikat. Namun, ketika itu istilah post-truth belum popular walhal pengertiannya sudah dilaksanakan oleh George Bush secara meluas. Beliau berjaya membina ‘tembok kebencian’ dengan membawa naratif ‘ketakutan terhadap Islam’ menerusi kaedah penjulukan atau labelling. Iran dan Irak disifatkan sebagai paksi kejahatan manakala Al-Qaeda dituduh bertanggungjawab melakukan serangan ke atas World Trade Center dan bangunan Pentagon menggunakan pesawat komersial.

Sampai kini tidak ada bukti bahawa serangan tersebut dilakukan oleh al-Qaeda. Tetapi, George Bush berjaya memporak-perandakan negara-negara Islam dengan menyerang Irak (2003). Hingga kini Irak stabil walaupun Amerika Syarikat berjanji untuk membina semula Irak selepas Saddam Hussein berjaya dibunuh (30 Disember 2006). Iran pula ditekan oleh Amerika Syarikat menerusi sekatan ekonomi dan hanya dibenarkan menjual minyak untuk makanan.

Ketika Iran dipimpin oleh Mahmud Ahmadinejad, Iran dituduh memproses uranium untuk membangunkan senjata sedangkan apa yang berlaku ialah, Iran menggunakan teknologi pengayaan uranium untuk membina masa hadapannya dalam sektor tenaga kerana yakin bahawa rezab minyak dan gas yang ada akan kehabisan pada suatu ketika.

Menurut takrif post-truth, manusia sentiasa berusaha untuk memenuhi tuntutan kendiri (fully-satisfied pleasure’ akan melakukan apa sahaja pembohongan agar matlamatnya tercapai. Inilah yang dicadangkan oleh falsafah pemikiran politik yang dikembangkan oleh bekas diplomat Itali, Nicollo Micheavelli dan menjadi mazhab kepimpinan politik oleh negara dan individu. Atas landasan itulah Ignas Kalpokas menulis “promote and reinforce the post-truth narrative amongst others through affect, they will, at least temporarily, be able to diminish their deficit of existence.” (Ignas Kalpokas, A Political Theory of Post-Truth, 2018).

(bersambung)

 

Kamarun KH

 

No Comments

    Leave a reply