ERA DEFISIT KEBENARAN (BAHAGIAN III)

Kemenangan Donald Trump (USA) dan Rodrigo Duterte (Filipina) diakui sebagai kemenangan cemerlang post-truth. Fenomena ini membuktikan, tidak ada negara yang boleh mengekang cakupan post-truth dalam mempengaruhi keputusan pemilihan, dari jawatan paling hinggalah jawatan tertinggi.

Ken Wilber merungkaikan kemenangan Trump dalam Pilihan Raya Presiden 2016 berkait rapat antara nihilisme, narsisme, skeptisme dan post-modernisme. Aliran falsafah nihilisme, bangkit daripada keinginan manusia berfikir untuk menolak semua nilai dan kepercayaan sedia ada, atau pernah menjadi ‘ikatan sosial’ yang kuat. Falsafah ini turut menekankan bahawa moral sebenarnya tidak wujud, dan sebarang nilai moral adalah dicipta secara abstrak.

Narsisme pula membawa maksud perasaan cinta terhadap diri sendiri secara berlebihan. Maka itulah mereka yang menyimpan banyak gambar swafoto, sentiasa memperbaharui detik-detik masa yang dilaluinya di media sosial, bergambar dengan selebriti dan terasa begitu teruja bertemu, merakamkan apa sahaja yang dilihat menarik atau sebaliknya untuk dimuatnaik di media sosial, memberikan komen bersandarkan ‘apa yang dirasai’ bukan apa yang difikirkan secara rasional adalah sebahagian daripada narsisme.

Skeptisme ialah aliran pemikiran yang sentiasa mempersoalkan apa sahaja, termasuklah perkara-perkara yang sudah diyakini sebelumnya. Kelompok ini sentiasa hidup dalam keraguan, dan kerana itu mereka berusaha menukarkan perkara-perkara yang diterima sebelumnya menurut perspektif baharu, termasuklah apa yang sedang berlaku tentang ‘kontrak soial’ di Malaysia. Golongan tersebut berusaha memecahkan persoalan itu bagi membentuk apa yang dikenali sebagai ‘kebersamaan’.

Post-modenisme pada mula merupakan aliran pemikiran yang berkembang dalam bidang seni, sastera, seni beni sebagai lanjutan daripada makna kemodenan. Ia bermula pada akhir Abad ke-20. Apa yang berlaku dalam aliran pemikiran ini ialah tidak ada satu teori yang mendokongnya, ia boleh jadi campur-aduk beberapa teori dan diperbaharui. Sayangnya, dalam usaha membentuk teori sendiri, post-modernisme kadangkala mengalami ‘kegencatan total’ dan ‘mati sendiri’.Bagaimanapun, secara mudah untuk difahami, post-modenisme merupakan pembaharuan kepada makna kemodenan, atau juga dipanggal modenisme yang sedar diri.

Dengan mengambil contoh apa yang berlaku dalam kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016 dan kemenangan Donald Trump, Ken Willber cuba menghuraikan post-truth dalam kerangka falsafah, kerana bidang itu adalah kepakarannya. Beliau menulis buku berjudul Trump and a Post-Truth World yang diterbitkan 2017 oleh Shambahala Publications Incorprated, Colorado. Disifatkan kemenangan Trump sebagai sesuatu yang ‘menggemparkan’ dan ‘kejutan mabuk (staggering shock)’. Ia berdasarkan pilihan pengundi dibuat bukan lagi bersandarkan prinsip ‘kebenaran sejagat (universal truth)’ sebaliknya ‘kebenaran’ yang dibentuk menerusi perspektif dan interpretasi individu. Tidak ada lagi kerangka moral manakala andaian-andaian yang menjadi pegangan lebih kepada keyakinan terhadap ‘berita bohong (fake news), emosi dan hoax (berita yang dicanai khusus untuk tujuan positif daripada maklumat sekerat). ‘

Indonesia juga turut mengalami virus post-truth. Berita-berita palsu dan dikelasifikasikan sebagai hoax bukan sahaja ditulis atau dicipta oleh orang biasa, malah turut membabitkan kumpulan-kumpulan berkepentingan, ahli akademik dan pakar-pakar yang sama ada menyokong atau menentang seseorang calon. Sebab itu kadangkala berita-berita sedemikian nampak ada unsur-unsur ilmiah walaupun dalam bentuk rumusan tergesa-gesa dan disaluti dengan emosi.

Organisasi masyarakat termasuk kumpulan yang berpendidikan agama atau ulama turut membabitkan diri untuk menyokong atau menentang seseorang calon, termasuklah sokongan mereka terhadap gandingan Jokowi-Maaruf Amin. Mereka memanfaatkan ayat-ayat al-Qur’an sengaja bebas bagi menampakkan bahawa pilihan perlu dilakukan secara jelas, menyokong kepada kumpulan yang ada kaitannya dengan agama.

Malaysia tidak terkecuali daripada perselingkuhan post-truth apabila mempamerkan wajah agama untuk menegatifkan seseorang calon. Contoh paling klasik ialah ‘haram’ menyokong parti yang bekerjasama dengan bukan Islam dan jika berlaku pertarungan antara calon beragama dan bukan Islam, tidak pula diajak untuk memilih calon beragama Islam atas asas, bukan mewakili parti yang dipersetujui.

Dalam PRK Tg Piai, Johor ada kempen untuk menolak calon beragama Islam kerana parti itu bekerjasama dengan parti dominasi bukan Islam sedangkan calon yang disokong itu secara sahihnya bukan Islam. Ini bermaksud, pilihan bukan berasaskan ‘peribadi calon’ tetapi hubungan calon antara parti yang membentuk gabungan. Ia sudah dimulai dengan ‘confirmation bias’.

Menariknya juga apabila menteri membuat kenyataan bersifat post-truth. Kemenangan parti lawan akan mengakibat negara huru-hara sedangkan belum pernah berlaku huru-hara dalam lanskap politik Malaysia apabila parti pembangkang menang mana-mana pilihan raya kecil. Bahkan, andaian awal bahawa ‘penyerahan kuasa’ akibat kekalahan BN tidak akan berlaku dengan mudah, seumpama bantahan menyambut kemenangan Donald Trump atau rempuhan penyokong-penyokong Prabowo yang tidak boleh menerima kekalahannya. Andaian tersebut tidak berlaku, sebaliknya, Dr Mahathir berjaya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7.

BN tidak melakukan reaksi balas yang berlebihan sebagaimana berlaku ketika Pakatan Rakyat menggelonsorkan ‘permainan politik’ dengan mengacah undi popular sepatutnya menentukan siapakah yang berhak memerintah. Benar, Pakatan Rakyat memperoleh undi popular yang lebih besar, tetapi peraturan permainan tidak begitu. Sistem politik Malaysia seumpama keputusan liga bolasepak, kemenangan dimuktamadkan dengan kiraan mata dan bukan jumlah gol yang dijaringkan.

Tidak cukup dengan desakan agar ditentukan berdasarkan ‘undi popular’, timbul pula dakwaan bahawa proses perjalanan pilihan raya penuh dengan muslihat dan kotor. Namun, kawasan yang dimenangi tidak pula dikatakan ‘kotor’ dan ‘rasuah’. Ia seumpama ketika PAS terkenal dengan dakwaan ‘pengundi hantu’ sebelum keputusan PRK diumumkan. Bila keputusan menyebelahi PAS, tidak timbul kisah ‘pengundi hantu’ (PRK Kuala Terengganu, 2009).

Sebelum keputusan pilihan raya mengesahkan Donald Trump menang, peramal-peramal pendapat umum yang sejak lama dibanggakan boleh membuat ramalan yang tepat, seperti Economist/YouGov. Bloomberg, IBD, ABC, Fox News. Monmouth, CBS News, Reuters dan New York Times, Hilary Clinton akan menang antara selisih 1 hingga 6 peratus. Dalam semua sesi debat presiden, para peramal tetap memberikan rumusan Hillary akan menang. Akhirnya, semua peramal-ramal perlu melihat semula kaedah mereka mengumpul pendapat awam.

Hal yang sama turut berlaku apabila Parti Warisan diramalkan menang di Kimanis. Akhirnya, ahli akademik yang berbangga dengan hasil tinjauannya terpaksa membuat pengakuan, mereka silap membaca sentimen  pengundi dan memahami ‘hati dan perasaan pengundi dengan tepat’.

New York Times ketika mengulas mengenai pembohongan pasukan kempen Donald Trump (menuduh Hillary Clinton dan Obama menubuhkan ISIS, kadar pengangguran 42 peratus dan terdapat lebih 30 imigran) menulis : We have entered an age of post-truth politics” manakala kem Trump menjelaskan maklumat yang disebarkan itu adalah fakta alternative.  Tahun 2015 dan 2017, Trump dinobatkan sebagai “lie of the year” .

Ketika mengulas mengenai tunjuk perasaan membantah kemenangan Trump, Simon Blackburn, Profesor Falsasah University Cambridge ia membuktikan bahawa masih ramai lagi rakyat Amerika Syarikat menghargai dan menghormati kebenaran. Namun, era pentadbiran Trump penuh dengan kontroversi, dan kini beliau sedang berhadapan dengan tindakan untuk memecatnya.

Trump merupakan presiden ketiga dalam sejarah politik Amerika Syarikat yang diundi oleh Dewan Perwakilan untuk didakwa menerusi perbicaraan di Dewan Senat atas kesalahan menyalah guna kuasa, selepas Andrew Johnson pada 1868 dan Bill Clinton pada 1998. Richard Nixon meletak jawatan sebelum beliau didakwa pada 1974. Dalam undian terbaharu yang dilakukan pada 6 Januari 2020, Trump terselamat daripada pemecatan apabila pengundian di Dewan Senat berkeputusan 57 perwakilan menolak dan 43 menyokong. Ia merupakan kejayaan bersejarah buat Trump yang dianggap ‘pembohong’ dan menjadi contoh politik post-truth dalam dekad ini.

Ulang tahun pertama pentadbiran Trump, Transparency International mendapati indeks rasuah di Amerika Syarikat telah mengalami penurunan paling besar sejak tahun 2011. Bulan Oktober 2018, Pew Research Center melaporkan daripada 25 buah negara yang dijadikan sampel mengenai pandangan mereka terhadap dua tahun pentadbiran Trump berbanding tahun-tahun terakhir kepimpinan Obama (2016), berlaku penurunan besar dalam indeks persepsi kecuali di tiga buah negara, iaitu Rusia, Israel dan Kenya. Misalnya, Belanda turun dari 60 mata kepada 37 (2017) dan 34 (2018); Jerman daripada 57 kepada 35 (2017) dan 30 (2018);  Kanada dari 65 kepada 43 (2017) dan 39 (2018); Jepun daripada 72 kepada 57 (2017) dan 67 (2018), Australia daripada 60 kepada 48 (2017) dan 54 (2018) dan Perancis daripada 63 menjadi 46 (2017) dan 38 (2018). Sebab yang jelas ialah ‘kebohongan’ dan personaliti Trump tidak disukai oleh ramai pemimpin dunia dan masyarakat antarabangsa.

Post-truth adalah pada mula dianggap satu hal tidak normal. Kini post-truth semakin menjadi perkara normal apabila berita palsu, hoax dikutip secara meluas dan dikongsi tanpa ada rasa bersalah.   Bagi masyarakat yang berbudaya dan beradab, tindakan tersebut merupakan satu bentuk penyimpangan sosial manakala masyarakat Islam melarangnya kerana ia adalah fitnah. Penyebaran fitnah secara berleluasa dikatakan petunjuk besar dunia akhir zaman.

 

(bersambung)

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply