ERA DEFISIT KEBENARAN (BAHAGIAN IV)

Post-truth ditandai dengan keyakinan bahawa sesuatu yang dianggap benar itu adalah ‘kebenaran’ tanpa melihat kepada fakta dan kebenaran itu sendiri. Dalam politik Malaysia persoalan yang sama turut berlaku apabila ada dakwaan pembabitan Datuk Sri Najib Razak dan isteri dalam perkhidmatan e-hailing Grabcar. Grabcar dikatakan menjadi punca terbesar kemerosotan pendapatan pemandu teksi.

Grabcar umpama perkhidmatan ‘teksi sapu’ yang dibenarkan beroperasi tanpa ada sekatan. Mungkin berbeza ialah Grabcar ditempah oleh pelanggan menerusi aplikasi dalam talian atau dikenali sebagai e-hailing. “Teksi sapu” menunggu penumpang di kawasan-kawasan tertentu. Pengalaman naik ‘teksi sapu’ agak menyeramkan. Saya diminta “menipu” sekiranya di pertengahan jalan berlaku sekatan pihak polis. Ketika itu (1975) saya terpaksa menggunakan perkhidmatan “teksi sapu” untuk pulang ke rumah sewa di Kubang Kerian, sekitar jam 8 malam. Perkhidmatan bas terakhir dari Kota Bahru ke laluan tersebut sekitar jam 6 petang.

Pemandu teksi sebelum boleh beroperasi mesti mempunyai permit teksi dan lesen khidmat pengangkutan awam (PSV) manakala fizikal kenderaan wajib diperiksa oleh PUSPAKOM setiap enam bulan. Ia berbeza dengan perkhidmatan Grabcar. Kenderaan tidak perlu diperiksa dan mendapat kelulusan PUSPAKOM. Apa yang disyaratkan kenderaan berkeadaan baik, usia tidak melebihi tujuh tahun dan mempunyai akaun dengan Grabcar.

Grabcar diasaskan oleh salah seorang anak lelaki pemilik dan pengedar kereta jenama Nissan atau nama lama ialah Datsun di Malaysia. Pada mulanya aplikasi e-hailing itu ditawarkan kepada perkhidmatan teksi “myTeksi”, kemudianya dikembangkan sebagai  aplikasi ‘berkongsi kereta’ persendirian. Perkhidmatan itu menjadi cepat berkembang sebagai alternatif pengangkutan awam disebabkan ia mudah dan pelanggan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan teksi, terutama ketika pemandu-pemandu teksi menukarkan waktu bekerja. Kadar tambangnya juga lebih murah daripada tambang teksi.

Kadangkala pemandu teksi ada yang  ‘curi tulang’, enggan menggunakan meter dan meletakkan harga tambang sesuka hati. Ada sesetengah pemandu teksi tidak menjaga kebersihan teksi mereka, dan bila ditanya, jawabnya selamba: bukan saya punya. Saya hanya pemandu gantian. Teksi ini saya sewa daripada orang lain. Pemandu pertama pula menyewa daripada syarikat.

Bagi mengembangkan perkhidmatan,   Grabcar membeli perkhidmatan Uber dan seterusnya ibu pejabat Grabcar berpindah dari Kuala Lumpur ke Singapura pada bulan Mac 2018.  Grabcar berkembang pesat hampir ke seluruh Asia Tenggara, ia sudah meluaskan perkhidmatannya kepada Grabfood,  dan bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan sewaan pengangkutan udara.

Beberapa persatuan, syarikat dan orang perseorangan berkaitan dengan perkhidmatan teksi mengemukakan bantahan kepada kerajaan dan peluang tersebut digunakan oleh Pakatan Harapan bagi meraih sokongan. Pakatan Harapan turut mendakwa bahawa sebahagian saham Grabcar dipunyai oleh Najib dan Rosmah. Mereka berjanji akan menghapuskan perkhidmatan tersebut sekiranya menang PRU ke-14.

Pakatan Harapan menang, perkhidmatan Grab tidak dihapuskan sebaliknya mensyaratkan para pemandunya perlu mempunyai lesen PSV. Pengusaha pemandu teksi sekali lagi berhimpun menyatakan bantahan, tetapi tidak dilayan oleh Menteri Pengangkutan. Apabila pemandu teksi berdemonstrasi di Langkawi, tindakan tersebut dilabelkan sebagai biadab dan Menteri Pengangkutan mengeluarkan kenyataan, demonstrasi bukan budaya Malaysia. Ia seolah-olah mengulangi cerita lama apabila menteri-menteri era BN melabelkan demonstrasi jalanan, perhimpunan BERSIH sebagai bukan budaya Malaysia.

Kini, perkhidmatan Grabcar semakin mahal dan ada ketikanya hampir menyamai tambang teksi. Dakwaan Najib dan Rosmah mempunyai saham dalam perkhidmatan itu meleset dan tidak dapat dibuktikan. Perkhidmatan e-hailing terus berkembang dan muncul beberapa lagi syarikat yang menawarkan perkhidmatan yang sama, dengan kadar tambang yang lebih murah, antaranya MyCar, Big Blue Customer, EZCab dan Mula.

Sehingga September 2019, dilaporkan ada 31 buah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing di Malaysia. Namun, Grab terus kekal sebagai jenama utama dan membentuk persekitaran generik sebagaimana kita pernah ingat ubat gigi itu dengan menyebutnya Colgate walhal setibanya di pasar raya kita mungkin membeli Darlie atau Sensodyne.

Dakwaan tersebut menjadi salah satu contoh bagaimana post-truth telah digunakan bagi menentang kerajaan yang memerintah dan akhirnya memberikan kemenangan kepada parti yang mengambil peluang di atas keresahan pemandu teksi itu. Ralph Keyes, The Post-Truth Era: Dishonesty and Deception in Contemporary Life (2004) mengutip pandangan Sissela Bok, anak perempuan pasangan pemenang nobel, Gunnar Mydral (1974) dan Alva Mydral (1982): “We are all on the receiving end of a great many more lies than in the past.” Gunnar Mydral memenangi hadiah nobel dalam bidang ekonomi manakala ibunya, Alva menerima hadiah nobel keamanan. Sisela merupakan keturunan Amerika-Sweeden merupakan Profesor Falsafah di University Brandels dan tahun 1978 dianugerah Hadiah Orwell di atas penulisannya, Lying: Moral Choice in Public and Private Life.  Kini, Sissela adalah Profesor Falsafah dan Etika di Universiti Harvard.

Menurut Keyes, ‘kebohongan’ adalah kenyataan palsu yang dibuat dengan sengaja untuk tujuan menipu. Pembohong adalah orang yang dengan sengaja menyampaikan maklumat palsu, berniat untuk menipu. Kebohongan dan pembohong tumbuh subur apabila media menjadi milik peribadi dan boleh sampai kepada semua orang dengan mudah. Kebohongan boleh dilakukan oleh semua orang atau sesiapa sahaja dan semakin banyak mengandungi unsur sensasi, ia akan menjadi semakin cepat tular. Disebabkan oleh kebohongan, ruang awam di media menjadi semakin sesak dengan kebohongan, maka tidak hairanlah ada kajian mengatakan 90 peratus berita yang tersiar dalam media peribadi adalah berita bohong, palsu dan hoaks.

Kajian Eldermen Barometer pada tahun 2017, 80 peratus responden tidak lagi mempercayai media dan lebih mempercayai kandungan media sosial yang lebih cepat, mudah diakses dan mendapat simpati awam yang meluas. Kajian Ipsos/Buzzfeed pada bulan Januari 2017 mendapati 55 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat membaca berita menerusi facebook manakala 18 peratus pula mendapatkan berita-berita menerusi media yang mudah diperoleh.

Melihat kepada kecenderungan tersebut, tulis Meriam Redondo, pensyarah Media Sosial dan Kewartawanan Siber Universiti Camilo Jose Cela, sebuah universiti swasta di Madrid, Sepanyol, “Credibility is therefore a battle for everyone—new and established platforms alike. And systematic verification (analogue and digital) could be a sign of quality that distinguishes true journalism and allows it to reconnect with audiences in both cases. (Meriam Redondo, “Verify After The Global Storm” UNO Magazines, N0.27:2017.)

Keyes menggunakan istilah post-truth dua belas tahun sebelum ianya dipilih sebagai “word of the year 2016” dan dua belas tahun selepas Steve Tesich menyiarkan artikelnya di majalah The Nation (1992) ,  “A Government of Lies”, yang dikesan sebagai tulisan pertama mengunakan  istilah tersebut bagi menggambarkan era kebohongan, yang dilakukan oleh Amerika Syarikat semasa membabitkan diri dalam Perang Teluk.

Kebohongan di media boleh berlaku dalam dua situasi yang berbeza, secara sembunyi-sembunyi di mana pelakunya  cuba mengelak daripada identitinya dikenali, atau dikenali sebagai anonym atau annonimus dan secara terang-terangan. Mereka yang melakukan pembohongan secara terang-terangan merupakan orang yang berusaha menimbulkan sensasi bagi mendapat populariti.

Elit politik dikatakan golongan yang paling besar melakukan pembohonang secara terang-terangan kerana ingin meraih publisiti secara meluas. Seringkali elit politik melakukannya menerusi kenyataan politik (politic statement) yang disampaikan ketika berpidato, menjawab pertanyaan media, sidang media ataupun siaran media. Retorik politik itu bukan semua boleh dikesan dengan mudah oleh khalayak secara langsung, melainkan ia memerlukan akal yang sehat dan pengetahuan yang luas. Atas sifat itulah banyak khalayak tertipu dan percayakan ‘kebohongan’ sebagai sesuatu yang ada kebenarannya.

Kita mungkin ingat apa yang dilakukan oleh Joesef Goebels pada era Hitler, semakin besar pembohongan, semakin ramai orang mempercayainya; jika kebohongan diulang berkali-kali, ia akan dianggap benar; dan, dalam usaha menyakinkan khalayak, beberapa fakta wajib diulang berkali-kali dan kesungguhan melakukan secara berterusan (tanpa jemu) itu adalah penting dan paling mustahak bagi menentukan kejayaan. (Sharyl Attkisson, The Smear: How Shady Political Operatives and Fake News Control What You See, What You Think, and How to Vote, 2017:12).

Itulah sebabnya ramai yang terpengaruh dengan penipu, kerana seorang penipu sentiasa gigih ‘menipu’ selagi apa yang dihajatinya belum tercapai. Ini juga yang dilakukan oleh dunia pemasaran dalam usaha mereka membina jenama atau meraih simpati pembeli. Bahkan, dalam situasi politik kita sering menyaksikan perilaku ‘perayu undi’ sanggup melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi pengundi dengan pujuk rayu: singgah menyapa di rumah, menemui golongan miskin, berlakon alim, dan boleh tumpang bersembahyang di rumah-rumah tertentu walaupun sudah bersembahyang sebelumnya (dengan pelbagai alasan, termasuk sembahyang sunat). Sebelumnya, seruan azan kadangkala tidak diendahkan, masih bersembang di kedai kopi atau berceloteh mengenai proses ‘peralihan kuasa’.

Sharyl Attkisson memerihalkan bagaimana ‘berita palsu’ telah mencorakkan pemikiran ramai orang bukan sahaja mengawal minda manusia, bahkan mempengaruhi keputusan dalam keputusan politik. Ia begitu cepat berkembang dan berpengaruh kerana menyanjungi pendapat peribadi. Dari pendapat peribadi itu ia mempengaruhi pendirian kelompok dan seterusnya membentuk pendapat umum.

Persoalan moral dan ketepatan fakta diketepikan, yang penting ialah interpretasi atau perasaan rakyat, people’s sentiment.  Perasaan rakyat hanyalah generalisasi, bukannya meliputi keseluruhan atau sebahagian besar populasi. Inilah yang dapat kita fahami dengan apa yang menyebabkan ramalan para peniliti pendapat awam tidak lagi menepati dengan keputusan sebenar dalam PRK Tg Piai dan Kimanis. Ia lebih menarik untuk dilihat bagaimana PPBM gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya dengan 524  kepada kekalahan melampaui 15,86 undi majoriti. Kimanis BN dapat mempertahankan kerusi dari majoriti 156 kepada 2,029 undi. Seperti rumus Anwar, fikir langkah untuk memenangi hati rakyat yang terluka. (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/01/536447/fikir-langkah-memenangi-hati-rakyat-yang-terluka)

Berita palsu menurut John H Johnson (dikutip oleh Sharyl) mempunyai lima kategori: (1) berita itu sememangnya bohong; (2) kecondongan berita dan berpihak; (3) salah interpretasi atau salah guna data; (4) keseluruhannya berita berbentuk atau berbau propaganda; dan (5) tidak tepat (imprecise) dan dilaporkan secara tidak cermat (sloppy reporting). Teknologi turut digunakan untuk menyebarkan berita palsu, termasuk mengubah imej asal seseorang untuk menggambarkan “false realities to fool the most discriminating eye”. (Sharyl Attkisson, 2017:252-254). Fenomena ini sudah lama berlaku dalam politik Malaysia, bahkan ada persekitaran yang meloyakan digambarkan menerusi penyebaran video, audio mahupun gambar pegun terhadap seseorang yang dibenci atau rapat dengan seseorang pemimpin, termasuk dalam kalangan pembantunya.

Tulis seorang pensyarah dari Universitas Sanata Dharma, sebuah universiti Katholik di Jokjakarta, Indonesia, Haryatmoko “Kebohongan menyuburkan ideologi. Masalahnya, kebohongan bukan hanya bentuk mekanisme pertahanan diri, melainkan dirancang, diciptakan, dikembangkan, dan direkayasa ke dalam wacana publik. Kebohongan jadi bagian dari serangan strategis terkoordinasi yang dimaksudkan untuk menyembunyikan kebenaran, mengacaukan publik dengan menciptakan pertentangan yang awalnya tak ada. Tujuannya, menghentikan kemajuan dalam kehidupan bersama demi kekuasaan.” (https://kompas.id/baca/opini/2017/11/15/ketika-emosi-dominasi-politik/?_t=uu1YsqFppNdKyo7wNvPa3lspVdDTQ53kKFs9O7093A5yVH6nbutsPgEqlqs3P1)

 

(bersambung)

 

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply