ERA DEFISIT KEBENARAN (BAHAGIAN V)

POST-TRUTH adalah versi terbaharu propaganda. Post-truh dan propaganda mengetepikan perihal moral, fakta atau kebenaran namun matlamatnya adalah sama. Dalam politik, post-truth digunakan untuk memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan manakala propaganda digunakan dalam dua keadaan yang saling berkaitan, iaitu mendapatkan dan mengekalkan kuasa.

Kaedahnya adalah sama, jika post-truth menggunakan berita palsu (fake news), berita yang ditokoh tambah (hoaxs) bagi menimbulkan ‘rasa benci’, propaganda adalah sama jika tujuannya ialah menjatuhkan elit politik yang berkuasa. Cuma propaganda digunakan oleh elit politik yang berkuasa untuk mempertahankan kuasa, dengan cara menyembunyikan perkara negatif dan menukarkannya dengan hal-hal positif terhadap sistem pemerintahan kendaliannya.

Propaganda adalah rangkaian maklumat atau mesej yang disampaikan kepada umum atau orang awam untuk mempengaruhi fikiran dan pendapat. Maklumat yang disampaikan itu tifak bersifat mutlak positif dan objektif.  Ia dilakukan dalam perspektif sumber atau sebelah pihak. Tujuannya ialah membentuk persepsi atau merubah pola berfikir orang lain.

Berdasarkan perspektif sumber, propaganda dibahagikan kepada tiga jenis: propaganda putih (white propaganda), propaganda hitam (black propaganda) dan propaganda kelabu (grey propaganda). Propaganda putih, sumber maklumat dapat dikenal pasti dengan jelas dan dilaksanakan secara terbuka. Propaganda hitam atau juga disebut propaganda tersembunyi hanya menempelkan sumber bagi dilihat sebagai asli atau autentik, walhal ia tidak dapat disahkan.  Propaganda kelabu, adalah propaganda yang sumbernya terlihat neutral pada pandangan umum, tetapi ia digerakkan oleh pihak lawan atau kumpulan yang dikomisyenkan (diupah, outsourcing atau dijadikan entiti di luar parti politik dan elit politik) untuk melaksanakan teknik dan aktiviti perhubungan awam.

Seperti juga post-truth, teknik yang digunakan dalam propaganda dikaitkan dengan teori agenda-setting,  iaitu media dapat membentuk pendapat umum atau persepsi mengenai  berita yang dianggap penting dan tidak penting. Orang yang mengatur arus berita (gatekeepers) yang keluar melalui media massa disebut sebagai spin doctor. Tugas sebagai spin doctor tentunya dipegang oleh wartawan, pengarang atau penyunting dalam institusi media. Oleh itu, seorang propagandis adalah mereka dapat menguasai  media, boleh menggunakan kemahiran untuk membentuk pendapat atau persepsi, menggunakan teknik propaganda hitam.

Walaupun sumbernya tidak jelas, sesuatu isu yang tersebar terbukti melanggar etika atau norma tertentu, terutamanya dalam propaganda hitam. Propaganda jenis ini biasanya digunakan untuk menyebarkan fahaman ekstremis atau membentuk stereotype dan membangunkan stigma negatif terhadap pihak lawan atau institusi yang disasarkan oleh  pihak-pihak berkepentingan.

Propaganda akan dianggap berjaya sekiranya dapat membina keyakinan awam terhadap musuh politik atau lawan dengan memperlekehkannya melalui “ratib kebencian” dan merepresentasikan  ‘mereka adalah benar’ serta ‘mampu menyelamatkan’ daripada ‘keburukan atau kemusnahan yang sedang berlaku’.

Abad ke-19, konsep propaganda semakin berkembang bersama tindakan atau perbuatan, propaganda by deed atau propagande par le fait. Propaganda jenis ini menganjurkan tindakan-tindakan anarki, mempromosi kekerasan fizikal untuk melawan musuh-musuh politik, termasuk memulakan siri demonstrasi jalanan dan menyerang institusi-institusi yang ada kaitannya,   isu yang dijadikan komoditi serangan. Ia akhirnya memberikan motivasi kepada proses perubahan termasuk menurunkan keyakinan awam terhadap pemerintah dan gerakan pemberontakan (revolusi). Dalam skala yang kurang momentumnya, ia membentuk ‘gerakan reformasi’

Dalam kes Indonesia pada tahun 1997, reformasi bertukar kepada perlawanan politik yang memaksakan Suharto berundur. Semasa proses interim, BJ Habibie dilantik sebagai presiden dan beliau berjanji akan melakukan pilihan raya bebas dan boleh diterima oleh rakyat Indonesia. Pembaharuan tersebut telah membawa kepada pertukaran rejim dan seterusnya melemahkan parti Golkar, dari sebuah parti besar kepada parti yang kurang bermaya dan terpaksa bergabung untuk kembali ke pentas politik.

Gerakan Reformasi turut menjangkiti Malaysia apabila Anwar Ibrahim disingkirkan dari jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan atas tuduhan salah laku moral. Parti yang memerintah berpecah, tetapi belum mampu digugat sepenuhnya sehinggalah dilumpuhkan oleh serangan propaganda besar sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (2018). Sebahagian besar mesej yang digunakan untuk memperlekehkan kerajaan terdahulu belum dapat dibuktikan benar, termasuklah perjalanan pilihan raya yang ‘kotor’ dan ‘berat sebelah’.

Dakwaan Malaysia diperintah oleh elit politik rasuah, memaksa masyarakat menilai semula dengan kaedah yang berbeza. Ini disebabkan kleptokrasi itu sebahagiannya digunakan untuk ‘membiayai keperluan massa’ dan diagih-agihkan dalam bentuk subsidi, bantuan sara hidup, dana politik dan sebagainya. Namun, kebenaran daripada dakwaan tersebut sedang dibuktikan menerusi proses undang-undang. Ia memerlukan masa yang panjang dan proses pembuktian tersebut turut memberikan gambaran buruk secara tidak langsung kepada elit politik yang sedang berkuasa apabila tindakan-tindakannya dilihat ‘mengulangi’ apa yang pernah didakwanya berlaku. Kesemuanya telah mengundang kepada penyemarakan berita-berita palsu, satira politik (termasuk karikatur) dan penyebaran hoaxs.

Dakwaan bahawa negara berdepan dengan masalah hutang yang besar, tergadai kepada pelabur dari China akhirnya menjadikan elit politik yang berkuasa semakin tidak dipercayai. Jumlah hutang negara tidak menunjukkan pengurangan, malah semakin bertambah. Angka RM 1 trilion dilihat sebagai nilai ambang atau jumlah yang disasarkan. Proses penjualan aset-aset (termasuk saham) milik entiti yang berkaitan dengan kerajaan ditafsirkan sebagai tindakan kurang cermat dan merugikan. Ia membawa kepada pengulangan menggunakan kuasa politik bagi membina crony-capitalism, termasuk cadangan untuk memperbaharui konsep Persyarikatan Malaysia dan dasar Pandang ke Timur yang gagal mencapai matlamatnya.

Persoalan-persoalan tersebut akan terus mewarnai lanskap politik Malaysia sehingga ada andaian bahawa gabungan parti pemerintah hanya mampu bertahan selama sepenggal. Ketika ini, gabungan tersebut belum menunjukkan kerjasama yang bersinergi dan sentiasa menimbulkan politicking dan political bashing. Berdasarkan beberapa tinjauan pendapat awam, tahap keyakinan parti pemerintah menurun dan telah menukarkan ‘keterujaan kepada ‘harapan kecewa’.

Dalam sepuluh siri Pilihan Raya Kecil yang diadakan selepas PRU ke-14, gabungan parti pemerintah tewas lima kali. Ia lebih memalukan apabila kalah secara berturut-turut bermula dengan PRK Cameron Highlands. Gabungan parti pembangkang turut mencipta hatrik, menang tiga kali secara berturut-turut di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Ia  lebih “mengaibkan” apabila undi yang diperoleh calon parti pemerintah lebih kecil daripada undi majoriti di PRK Tanjung Piai manakala di Kimanis, berulang karma politik terhadap parti yang memerintah (Cameron Highlands dan Rantau). Calon (tidak puas hati dengan keputusan PRU) yang membawa kes ke mahkamah gagal mengejar impiannya (M Manogaran, Dr Streram dan Karim Bujang).

Istilah propaganda mula dikesan pertama kali digunakan pada tahun 1622. Tulisan itu diberi judul Congregatio de Propaganda Fide  meceritakan perihal Paus Gregorius XV menubuhkan sebuah institusi untuk mengembang dan menyebarkan agama Katholik Rom di Itali dan beberapa buah negara lain.

Menurut istilah, perkataan propaganda berasal daripada istilah Latin, propagare yang bermaksud ‘percambahan’. Konsep ini asalnya merujuk kepada aktviti para petani memperbanyakkan anak benih dengan melakukan proses percambahan dari induk, termasuk aktiviti tut dahan pokok.

Jacques Ellul (1912-1994), mentakrifkan propaganda sebagai aktiviti pemerintah, parti politik dan kumpulan berkepentingan melancarkan siri penerangan untuk mencapai tujuan politik secara berterusan dalam jangka masa pendek. Ia digunakan secara terancang oleh sesebuah kelompok atau pertubuhan bagi memperoleh penyertaan aktif atau pasif menerusi manipulasi psikologi. (Propaganda: The Formation of Men’s Attitude, 1962)

Manakala Harold D Lasswell (1902-1978) mentakrifkan propaganda sebagai kawalan pendapat atau pemikiran yang dilakukan menerusi simbol-simbol tertentu. Simbol-simbol itu digunakan sebagai perlambangan untuk menyampaikan pendapat yang lengkap dan tepat mengenai imej yang ingin diberitahu atau dibentuk dalam pemikiran khalayak sasaran. Ia mungkin disebarkan dalam bentuk cerita, gambar, lelucon ataupun bentuk-bentuk lain dalam komunikasi sosial. (The Theory of Propaganda, 1927).

Ralph D Casey (1897-1977) menyatakan propaganda adalah satu tindakan yang dilakukan secara sengaja dan atas kesedaran untuk memantapkan sesuatu bentuk sikap atau pendapat,  berkaitan sesuatu doktrin atau dasar (ideologi). Ia merupakan satu usaha menyebarkan fakta dalam konteks objektif dan kejujuran sebagaimana dilakukan oleh Hitler ke atas rakyat Jerman. Dengan menggunakan konsep “Bangsa Pilihan”, Hitler berjaya mengawal sebahagian besar pemikiran masyarakat  dan seterusnya meningkatkan semangat ‘kekitaan’,  membolehkan mereka kekal berkuasa dan mencapai impian sebagai ‘empayar politik besar’. (The Analysis of Propaganda, 1950).

Berdasarkan kaedah yang digunakan, propaganda dikelasifikasikan dua kategori, iaitu coersive propaganda (CP) dan persuasive propaganda (PP). CP bermaksud, propaganda yang dilancarkan menggunakan kaedah ‘ancaman atau kekerasan’ bagi menimbulkan ‘rasa takut’ khalayak. Apabila khalayak mengalami ‘rasa takut’, perasaan itu ditingkatkan kepada ‘rasa terancam’ dan seterusnya mengarahkan kepada satu tindakan berdasarkan cadangan yang dikehendaki. Misalnya, dengan menakut-nakutkan ‘rakyat terhadap penguasaan syarikat dari China’, maka dianjurkan rakyat Malaysia tidak mengundi parti yang sedang memerintah jika tidak mahu ‘negara tergadai’.

Contoh-contoh mengenai kegagalan pakej pembangunan infrastrutur mega dengan China disebarkan secara meluas, termasuklah kegagalan kerajaan Sri Lanka membayar hutang pembinaan sebuah pelabuhan dan sebuah negara di Afrika yang terpaksa mengetepikan mata wang sendiri atau didakwa menerima pakai matawang China (remimbi atau yuan).

PP pula bermaksud propaganda yang menggunakan kaedah penyampaian maklumat atau mesej bagi menimbulkan ‘rasa ingin’ atau dalam bahasa politik ‘perubahan’. Menerusi pernyataan secara berulang-ulang dan menggunakan fakta tertentu (setengah masak), khalayak akan terpengaruh untuk membuat keputusan (memilih gabungan parti berkenaan) dengan alasan, ‘mengurangkan kos sara hidup’ atau mengembalikan kesejahteraan rakyat. Antara ideanya ialah ‘menghapuskan GST’, ‘menghapuskan tol’, ‘pendidikan percuma hingga ke ijazah pertama’, dan melaksanakan ‘reformasi institusi’ agar tidak dikaitkan dengan kepentingan politik dan dikuasai atau dipengaruhi oleh sesebuah parti politik.

Dilihat daripada perspektif sistem, propaganda dibahagikan kepada dua, iaitu symbolic interaction propaganda (SIP) dan propaganda by deed (PBD). SIP ialah propaganda yang menggunakan simbol-simbol atau lambang yang boleh menawarkan tafsiran tertentu sama ada dalam bentuk bahasa lisan, tulisan, gambar atau isyarat-isyarat agar pemikiran khalayak mudah teransang dan memberikan tindak balas (respons) yang diharapkan. Misalnya menggunakan istilah ‘pencuri’, ‘perompak’ dan ‘dedak’. PBD pula adalah propaganda yang menggunakan perbuatan nyata untuk menyogokkan mesej kepada khalayak agar menerima mesej yang disalurkan dan mengambil tindakan sebagaimana dikehendaki.

Antara teknik propaganda yang digunakan ialah pemberian nama (name calling) kepada musuh;  menyamakan sesuatu denggan kemuliaan dan keluhuran (glittering generalities); pengiktirafan (testimonial);  pemindahan (transfer) dalam bentuk simbol atau pengaruh untuk sumber manakala jelek untuk musuh; card stacking dengan menggunakan seni mengelabui mata dan pemikiran demi mencapai hasrat kelompok yang disokongnya;  merakyat dan menyederhanakan (plain folks) bagi meraih kepercayaan umum (dengan cara walk-about, turun padang, menziarahi kematian orang biasa dan tidak dikenali,  bersahor atau berbuka puasa di rumah rakyat biasa, dan memberi makanan kepada ternakan seperti lembu atau kambing; band-wagon menarik simpati orang ramai untuk menyertai tindakan sesuai dengan kehendak propagandis; dan reputable mouthpiece, membujuk khalayak dengan rayuan, kenangan silam (nostalgia) dan menyanjungi seseorang yang mempunyai nama baik.

Bagaimanapun, kadangkala pelbagai teknik propaganda disatukan bagi memperoleh kesan yang besar. Ada ketikanya gabungan antara testimonial dan reputable mouthpiece boleh menarik minat awam yang besar, misalnya dalam kempen mempercayai kekesanan sesuatu perkara. Gabungan ini banyak digunakan dalam iklan ubat atau makanan tambahan, dengan melantik personaliti tertentu dan kenyataannya, bahan yang digunakan itu telah berjaya mengembalikan ‘kelelakian’ walhal apa yang diiklankan itu tidak berdasarkan rekod farmaseutikal dan kesan sampingan akibat penggunaannya. Benar, herba adalah penawar dan bahan yang boleh merawat penyakit, tetapi, tidak semua herba berkhasiat kerana di dalamnya turut mengandungi kimia semulajadi.

Akibatnya, seperti ditulis oleh Tim Nichols, masyarakat mula membunuh ‘kepakaran’ sedangkan untuk menjadi seorang pakar, ia memerlukan latihan berterusan dan disiplin yang kental. Inilah yang dinamakan ‘pseudo-science’ yang bukan sahaja bohong bahkan menipu orang ramai dengan ketakjuban kata-kata dan analisis data tanpa bukti yang jelas dan ilmiah. Akhirnya, ramai yang tewas dan terpaksa merujuk semula kepada pakar perubatan dalam situasi terlewat dan parah.

Propaganda akan terus berkembang, walaupun masyarakat semakin berpengetahuan akibat munculnya pengkhususan kerja dan kaedah kerja ‘business not as usual.’ Maklumat menjadi bahan yang teramat cepat mempengaruhi sedangkan sebahagian besar adalah ‘propaganda’ dan dalam persekitaran saling berhubung hadir sebagai ‘post-truth’.

(bersambung)

 

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply