ESOK YANG DINANTI

Esok adalah hari kemuncak yang akan menentukan.

Beberapa hari lalu, Semenyih menjadi sebuah pekan yang sangat sibuk; sibuk dengan suara-suara, sibuk dengan lalu-lintas yang keluar masuk, sibuk dengan segala macamnya yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Semenyih yang jaraknya sekitar 36 kilometer ke selatan dari Kuala Lumpur mengumpulkan begitu banyak janji yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Akibat peraturan yang mengikat, janji-janji yang ingin dilafazkan tertangguh sementara waktu; ertinya janji itu akan tidak akan dijanjikan sekiranya kuasa hegemoni di situ bertukar menjadi sebuah kekalahan yang fatal.

Janji yang sudah dibuat, terpaksa pula ditarik balik kerana takut dipertaruhkan sebagai satu kesalahan. Elit-elit politik, baik dari kelompok kuasa hegemoni mahupun kelompok yang agresif merenggut ruang pengaruh, sibuk menjelaskan masing-masing kelebihan yang bakal dinikmati oleh penduduk Semenyih. Ia hanya bergantung kepada kesanggupan 53,411 pengundi yang berdaftar dari sejumlah anggaran penduduk seramai hampir 110,000 orang pada tahun 2000 dalam tiga mukim, iaitu Semenyih (49,076 orang), Hulu Semenyih (46,766 orang)  dan Beranang (14,071 orang).

Esok adalah giliran untuk 53,520 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawabnya manakala seramai 951 adalah pengundi awal (termauk 109 pengundipos).   Jangkaan SPR, sekitar 70 peratus pengundi berdaftar akan keluar mengundi antara jam 8 pagi hingga 5.30petang. Pengundian awal sudah berlangsung pada 26 Februari lepas. Keputusannya mungkin akan diketahui sekitar jam 9 malam, atau mungkin lebih lewatnya sekiranya berlaku pengiraan semula dan peti-peti undi lambat tiba ke tempat penjumlahan.

Beberapa hari sebelumnya, bekas Menteri Besar Selangor yang kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi memberikan ingatan kepada pengundi Semenyih, seolah-olah mereka akan dipasungkan jika tidak memilih calon PH, yang diwakili oleh menantu bekas penyandang yang meninggal dunia akibat jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Calon PH, dari PPBM masih muda, usia sekitar 30 tahun, tetapi awal-awal lagi telah dipersoalkan mengenai biodatanya yang ada di media sosial. Muhamad Aiman Zainali, dikatakan cuba berbohong mengenai status pengajian ijazah lanjutan, yang kemudian diperbetulkan belum berjaya menghabiskan kerana terpaksa menangguh menjaga nenek yang sakit. Beliau sepatutnya dikatakan tamat pada tahun 2016.

Tiga tahun lamanya Aiman tidak mengemaskinikan biodata, dan sikap tidak cakna itu dianggap saperti ‘menipu’. Aiman juga tidak menjelaskan kelulusan ijazah keduanya, dan kerana itu ramai warganet meragui apakah ada ‘jalan cepat’ untuk ke PhD tanpa syarat lulus peringkat sarjana terlebih dahulu? Persoalan itu menjadi sedikit liabiliti kepada calon PH.

Aiman yang pada mulanya dilihat ‘tidak kisah’ dengan biodata sendiri, akhirnya membuat penjelasan, tetapi tidak menafikan dirinya belum mempunyai ijazah sarjana, hanya memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan. Aiman, yang dipilih oleh PPBM sebagai calon mewakili PH semakin terperangkap: mahu bina hospital di Semenyih, tetapi dijawab oleh Menteri Kesihatan, belum ada keputusan dasar mengenainya, tidak termasuk dalam senarai projek KKM untuk dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-11.

Beberapa hari lalu, Aiman kembali berjanji: Mala mini menang, esok 3 haribulan akan diselesaikan semua masalah yang dihadapi oleh penduduk Semenyih. Ramai juga warganet mula ketawa, sebaik sahaja berubah tarikh, tidak ada agensi kerajaan yang bekerja kerana ia adalah hari minggu, hari kelepasan kecualilah bagi petugas di UTC, RTC ataupun pintu masuk negara.

Janji Aiman untuk menyelesaikan semua masalah dalam masa yang singkat, akhirnya terjerumus dalam satu pengumuman lain apabila ada pemimpin dalam Kerajaan PH mengatakan, PH tidak mempunyai  ‘lampu ajaib’, tidak mampu menyelesaikan masalah atau semua janji dalam tempoh yang singkat. Aiman kantoi lagi.

Timbalan Presiden PPBM yang berada di sebelah Aiman ketika ‘frasa’ itu dilafazkan saperti mencebik, apatah lagi dengan perawakan Tan Sri Muhyiddin yang sukar senyum, kesipuan. Sebagai tokoh politik yang memahami dunianya, Muhyiddin membuat pengakuan lain, kelemahan Aiman berkomunikasi dan mengungkapkan ideanya akan cuba diperbaiki.

Jika beliau menang, akan dibimbing, dibimbing cara ‘presentation’ dengan khayalak dan depan kerumunan, termasuk juga penampilan agar mesra atau ‘down-to-earth’. Alasannya, Aiman adalah seorang bagus, kuat bekerja. Itu hanya alasan, kerana PPBM sebenarnya saperti tersilap pilih. Mahu tidak mahu,

Aiman perlu dipertahankan, untuk membawa masuk ‘pemain gantian’ tidak dibolehkan. Aiman sudah terpateri ‘ayam sabung’ PH untuk berhadapan dengan tiga lagi calon, iaitu bekas pegawai tadbir UKM, Zakaria Hanafi (BN); Kuan Chee Heng atau uncle kentang (Bebas)  dan Nik Afiq Abdul (PSM).

Meskipun pertandingan itu berhadapan dengan persaingan empat penjuru, perhatian masyarakat lebih tertumpu antara PH dan BN. Ini kerana, PH dilihat terpaksa bermati-matian mempertahankan kerusi tersebut setelah memenanginya dalam PRU ke-14 manakala BN, berhasrat menjadi pembangkit moral yang kedua selepas berjaya mempertahankan PRK Cameron Higlands pada 26 Januari lalu.

Sebagai seorang yang matang, Zakaria tidak tersepit dengan janji-janji populis sebaliknya berusaha untuk menjadi ‘jambatan dan penghubung’ penduduk Semenyih dengan Kerajaan PH agar bukan sahaja didengar bahkan diberikan perhatian, juga sebagai ‘check and balance’ dalam kuasa politik di Selangor yang didominasi oleh PH.

Sekiranya PH kalah, kedudukan Kerajaan PH tidak berubah. PH masih ada 50 daripada 56 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri. Saperti hukum politik yang sudah diterima umum, sesebuah kerajaan yang terlalu kuat akan menyebabkan mereka menjadi semakin sombong dan terlupa, dalam kehidupan seringkali mengabaikan ‘titik buta’. Akibat terlalu kuat, tidak ada lagi pihak yang akan mengkritik, sehingga akhirnya kaedah pengurusan menjadi sedikit autokratik.

Banyak juga masyarakat menjadi ‘kebingungan’ apabila mendengar sahaja akan berlakunya PRK DUN Semenyih, begitu ramai menteri sedia bertemu orang ramai. Sebelumnya, tidak ada berita sejak selesai PRU ke-14, menteri berkejar di Semenyih untuk membuat tinjauan mahupun memantau apa yang berlaku berdasarkan portfolionya. Itu memang kebiasaan, itu memang budaya menteri-menteri, semuanya akan ikut serta untuk ‘memancing undi’.

Menarik lagi ialah apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin, yang terpalit dengan isu ijazah dari Universiti Singapura, menyatakan bahawa kementeriannya mempunyai ‘banyak peruntukan untuk diumumkan’ tapi bukan sekarang. Kenapa ketika hanya saat-saat akhir Zuraida berkata demikian? Apakah Zuraida saperti ‘ajak-ajak ayam’, yang tujuannya adalah memancing pengundi agar tidak mengundi calon BN?

Kenapa sejak dilantik menjadi menteri Zuraida tidak menyatakan dengan jelas perancangan kementeriannya agar penduduk Semenyih ‘merasa lega’ kerana persekitaran itu sekarang adalah begitu pesat membangun dengan taman-taman perumahan; sejak harga rumah di Kuala Lumpur, Bangi, Sri Kembangan, Putrajaya dan Salak Selatan hanya menjadi igauan sebahagian besar rakyat. Semenyih menjadi pilihan kerana harga rumah-rumah di situ masih dalam kriteria ‘mampu beli’ manakala di tempat-tempat lain, hanyalah ‘mampu tengok’.

Zuraida takut dirinya terperangkap salah sebagaimana seorang lagi menteri yang terpaksa menarik balik peruntukan sejumlah RM 80,000 untuk membaiki dan menyediakan kemudahan di sebuah dewan orang ramai dalam DUN Semenyih. Zuraida juga saperti Azmin, membawa mantra untuk menyihir pengundi DUN Semenyih ketika arah sentimen dikatakan sedang bergerak ke calon BN.

Pengundi DUN Semenyih tidak termakan dengan ‘habuan’ yang disediakan oleh Kerajaan PH secara mendadak, iaitu pemberian bantuan sara hidup kepada individu bujang dan pelajar institut pengajian tinggi. Dua habuan itu hanya terputus ketika menjelangnya PRK DUN Semenyih, tidak sebelumnya. Ini mungkin PH merasakan ia dapat membantu dan ini tidak dilakukan ketika PRK Cameron Highlands, sebab PH merasakan kedudukannya cukup kuat, boleh menang kerana telah berkuasa di peringkat persekutuan.

Mungkin senario di Cameron Highlands sedikit berbeza, dan perbezaan itulah menyebabkan PAS secara terbuka tidak menyatakan sokongan yang jelas untuk membantu calon BN, kerajaan negeri di bawah BN. Semenyih, kerajaan negeri adalah Kerajaan PH. Secara psikologinya, BN boleh ditewaskan dengan mudah, Kerajaan PH ada rantaian yang kuat, cengkaman kuasa yang gagah. BN dalam dua-dua keadaan, lebih mudah bekerja apabila kedudukanya dianggap ‘underdog’, maka kempen dan gerak kerja adalah lebih bersifat organic, sedangkan PH terlalu mekanistik.

Setiap aktivitinya mesti ada tokoh-tokoh besar dan iringan kumpulan-kumpulan tertentu. Secara organik, kempen BN lebih bersifat ‘jalanan’ dan santai, tanpa banyak protocol dan pengiring. Itu sudah cukup meyakinkan pengundi, dan kerana itulah setiap aktiviti dilihat berkesan. Ia menyebabkan ada pihak merasakan perlu dilakukan sesuatu, dan yang mendukacitakan ialah bila terpasang gegantung ataupun banner, calon BN akan membawa Rosmah sekiranya mereka menang.

Saperti sebuah ‘strategi badut’ dibuat, walhal realitinya bukan begitu. Calon BN tangkas membuat pemantuan, akhirnya melaporkan kepada pihak berkuasa, ia adalah satu tindakan mensabotaj atau persediaan mendikreditkan ‘keyakinan pengundi’. Terbaharu, berlegar pula sekeping surat bahawa PKR Semenyih tidak menyokong calon PH, dan surat itu ditanda tangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail. Sebelumnya, tersebar juga banner yang menjelaskan PAS menyokong kepimpinan Dr Mahathir, tujuannya untuk mengelirukan pengundi PAS agar tidak keluar mengundi atau jangan mengundi calon BN.

Walaupun tidak berlaku persetujuan peringkat atasan PAS memberikan sokongan dan kerjasama kepada BN, aktivis PAS Semenyih tetap bekerja untuk membantu kemenangan BN. Tetapi, disebabkan hegemoni politik, PAS diserang dengan dua berita mengejutkan: pembayaran sebanyak RM 1.4 juta sebagai balasan Sarawak Report tidak meneruskan penghakiman berkenaan dana RM 90 juta dan penyitaan kereta mewah dan akaun yang dimiliki oleh pemimpin PAS. Isu 1MDB terus dihidupkan dalam PRK DUN Semenyih.

Namun, secara intrinsiknya pengundi Semenyih melihat ia adalah suatu permainan politik oleh pihak yang memiliki kuasa. Asasnya tetap ada, beberapa hari sebelumnya SPRM mengumumkan tidak ada dana RM 90 dimasukkan ke dalam akaun PAS. Pengumuman itu menyebabkan Dr Mahathir tidak puas hati dan menyatakan SPRM tidak cukup maklumat, maka mungkinkan maklumat-maklumat baharu telah disalurkan sehingga berlakunya penyitaan?

Anwar, yang terpalit dengan dakwaan untuk melakukan ‘undi tidak percaya’ kepada Dr Mahathir membuat reaksi balas yang menyebabkan PAS terkapai-kapai. Anwar mengumumkan ada bukti bahawa PAS sudah membayar sejumlah RM 1.4 juta, dan semalam sekeping gambar cek atas nama seorang peguam ditular, manakala hari ini, peguam berkenaan, pemilik Sarawak Report sudah menunaikannya. Tersiar juga pengakuan, bayaran penyelesaian itu telah dibayar kepada Sarawak Report, kata pemiliknya, Clare Rewcastle-Brown.

Tentunya sedikit sebanyak perkembangan terakhir boleh mempengaruhi pola pengundian di PRK DUN Semenyih, maka esok adalah hari yang amat dinanti-nantikan kerana kerja keras selama dua minggu berhasil atau tidak. BN percaya boleh menang, PH percaya boleh kekalkan kerusi. Penentunya adalah pengundi. Esok adalah penentunya.

 

Mahanor Saleha.

 

 

No Comments

    Leave a reply