ETNIK ROHINGYA BUKAN PENGGANAS

Oleh: Monosin Sobri

Ketika masyarakat antarabangsa mula memberikan perhatian kepada percaturan politik di Myanmar ekoran melimpahnya ‘bot terapung’ yang bukan sahaja dikepung, dihalau dan ditembak oleh pihak tentera, pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1991, Aung Sang Syu Kyi, kaunselor dan pemimpin utama National League Democtaric (NLP) bersama Presiden, Htin Kyaw melabelkan etnik Rohingya sebagai ‘pengganas’ dan tiada bukti ‘penduduk asal Rakhine’.

Suu Kyi merupakan anak perempuan kepada nasionalis Burma, Jeneral U Aung San  manakala ibunya, Khin Yi adalah Duta Burma ke India (1960-1967) dan sebelumnya dilantik sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat (1953-1960).

Akibat dari pelabelan itu, Kementerian Hal Ehwal Kebudayaan dan Agama Myanmar akan menyerahkan ‘tesis’ yang membuktikan bahawa perkataan ‘Rohingya’ tidak pernah wujud dan mereka sedang mengumpul bukti sebelum dibukukan untuk bacaan umum dan diserahkan kepada kerajaan pimpinan NLP.

Satu kenyataan yang ditulis dalam bahasa Myanmar dan disiarkan menerusi Facebook pada 13 Disember 2016 memberitahu, pihaknya akan membuktikan bahawa etnik Rohingya bukan penduduk asal negara itu melalui pengumpulan maklumat sejarah, dan  apabila usaha pengumpulan maklumat itu selesai, ‘tesis’ berkenaan yang membuktikan perkataan ‘Rohingya’ tidak pernah wujud dalam dokumen sejarak sejak era penjajahan British ataupun sebelumnya.

Menurut kenyataan tersebut, perkataan ‘Rohingya’ mula digunakan dalam satu laporan yang dikeluarkan pada 20 November 1984 oleh seorang ahli parlimen berketurunan Bengali, Abdul Gafar kepada Menteri Dalam Negeri mengenai tragedi kapal karam yang dilaporkan berlaku pada suatu ketika. Bagaimanapun, tragedi itu hanyalah cerita rekaan untuk membolehkan keturunan etnik Bengali diterima sebagai warganegara Myanmar selepas negara itu melaksanakan pindaan undang-undang.

Etnik Rohingya diisytiharkan sebagai ‘pendatang asing’ . Hak mereka bukan sahaja dinafikan, bahkan kehidupan etnik Rohingya berada dalam situasi cemas dan menakutkan: ditangkap, dipukul, dirogol, dibunuh, dibakar dan rumah-rumah serta perkampungan mereka dibakar tanpa rasa bersalah dan simpati.

Berdasarkan sejarah, siri keganasan etnik yang membabitkan penduduk Rakhine sudah bermula sebelum kedatangan Inggeris ke Burma. Sejarah mencatatkan bahawa Rakhine berasal dari perkataan Pali, iaitu Rakhapur yang bermaksud ‘tanah rakyat raksaksa’ manakala Rakhanie pula bermaksud, ‘seseorang yang memelihara rasnya sendiri.’

Wilayah Rakhine pada asalnya dikenali sebagai Arakan. Islam dikatakan telah masuk ke negeri Arakan pada zaman pemerintaha Khalifah Harun ar-Rasyid, iaitu pada tahun 877. Antara tahun 1430 hingga 1784, Arakan diperintahkan oleh empayar Islam.

Pada tahun 1784, kerajaan Burma yang dibantu oleh penganut Buddha telah menakluki Arakan dan dari situlah bermulanya usaha untuk menghapuskan penduduk Islam yang dikenali sebagai Rohingya. Apabila British berusaha memperluaskan penaklukannya ke Burma setelah menguasai Pakistan Timur (Bangladesh atau Chittagong) menerusi Perjanjian Inggeris Belanda 1824 dan membolehkan etnik Rohingya kembali menduduki Arakan.

Sebelum kehadiran British, etnik Rohingya berhijrah ke Chittagong akibat takut dan disiksa oleh kerajaan Buddha yang memerintah Burma. Pemerintahan Burma yang dikuasai oleh  penganut Buddha, sentiasa mencari peluang untuk menghapuskan ‘etnik Rohingya yang beragama Islam’ dengan mendakwa etnik Rohingya sentiasa mencetuskan kekacauan dan bersikap ganas.

Peringkat awal nasionalisma Burma dapat dikesan pada tahun 1886 di mana beberapa pemberontakan yang digerakkan oleh Young Men Buddhist Association berusaha menghapuskan kuasa penjajahan dan tidak terkecuali  ke atas penduduk Rakhine yang beragama Islam.

Antara tahun 1930 hingga 1932, berlaku beberapa kali pemberontakan (Sanya San) yang disertai oleh para mahasiswa (Thakin), termasuklah kumpulan yang dipimpin oleh U Aung San. Februari 1936, Aung San diugut akan dipecat sebagai pelajar dan ketika itu beliau adalah pemimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Ranggon. Ancaman itu bagaimanapun ditarik balik apabila mendapat bantahan meluas persatuan pelajar dan nasionalis Burma.

Oktober 1938, Aung San meninggalkan pengajian undang-undangnya dan menyertai Dobama Asiayone (We Burmans Association). Bulan Ogos 1939, Aung San bergabung dengan beberapa buah pertubuhan untuk membentuk Parti Komunis Burma bersama Dr Ba Maw, pengasas Poor Man’s Party.

Semasa penjajahan Jepun, U Aung San mendapat latihan ketenteraan dan kemudiannya menubuhkan Burma Independence Army (BIA). BIA ditukar menjadi Anti-Fascist Peoples Freedom League (AFPFL) dan selepas Jepun menyerah kalah, U Aung San dilantik sebagai salah seorang perunding kemerdekaan Burma bersama-sama beberapa orang ketua agama Buddha.  Belum pun sempat mencapai kemerdekaan,  Aung San dibunuh oleh rakannya sendiri pada 19 Julai 1947.

Beberapa siri pembantaian etnik Rohingya seterusnya berlaku pada tahun 1942, 1968, 1992, 2012 dan 2015 sebelum insiden terbaharu pada Oktober lalu. Dalam insiden terbaharu, pihak tentera mendakwa etnik Rohingya telah merusuh di pos keselamatan dan mereka terpaksa bertindak untuk ‘memburu pengganas’. Perburuan itu turut disertai oleh ketua-ketua agama sehingga menyebabkan beberapa buah rumah penduduk dibakar manakala kanak-kanak dibunuh dan wanita dirogol sebelum dibunuh.

Akibat ‘tindakan ganas pihak tentera dan ketua agama’, etnik Rohingya terus mencari  tempat perlindungan dan cuba melarikan diri ke Chittangong.  Menurut seorang nelayan Bangladesh, Suma Das yang berjaya menyelamatkan seorang wanita ketika sedang menangkap ikan di Sungai Naf. Wanita itu merupakan salah seorang penumpang sebuah bot yang cuba menyeberangi sungai.

Bot berkenaan dilaporkan membawa seramai 31 orang penumpang. Kesemuanya adalah etnik Rohingya. Ketika berada dalam bot, pihak tentera mengepung mereka dan kemudiannya menembak bot itu sebelum tenggelam.  Kesemua penumpang dikhuatiri lemas dan beliau hanya sempat menyelamatkan seorang wanita setelah mendengar jeritan meminta tolong.(Utusan Malaysia, 6 Disember 2016).

Kerajaan Burma tidak mengiktiraf etnik Rohingya. Sebaliknya, etnik itu dikatakan sebagai ‘rakyat Bangladesh’ manakala ‘Bangladesh’ pula tidak mengakui mereka sebagai rakyatnya. Masalah etnik Rohingya terus menjadi polemik dan kerajaan Myanmar terus melabelkannya sebagai pendatang haram dari Bangladesh, yang berhijrah ke Rakhine selepas mencapai kemerdekaan.

Ketika penjajahan, pada tahun 1937 mendapat kerjasama penduduk beragama Buddha untuk menakluki wilayah Arakan sebagai sebahagian daripada proses pemisahan pentadbiran dari India. Ini mengakibatkan lebih 30,000 etnik Rohingya dibunuh sehingga tahun 1938.

Proses menyatukan Burma terpaksa dilakukan oleh British melalui kerjasama dengan ketua-ketua agama Buddha. British turut membiarkan etnik Rohingya dibeleasah oleh penganut Buddha dan menurut anggaran, sehingga tahun 1942, lebih 100,000 orang dibunuh manakala ratusan ribu meninggalkan Rakhine.

Ketika Burma sedang siap (1947) untuk mencapai kemerdekaan, British mengadakan satu pertemuan dengan semua kumpulan etnik yang terdapat di Burma, kecuali Rohingya. Dalam pertemuan itu, British berjanji kepada setiap ketua kaum bahawa Burma boleh mencapai kemerdekaan dalam tempoh sepuluh tahun.

Bagaimanapun British terpaksa menerima hakikat bahawa gerakan nasionalisma Burma tidak dapat disekat dengan mudah, maka beberapa siri perundingan dan persetujuan telah dicapai, tarikh kemerdekaan Burma ialah 4 Januari 1948. Berita gembira ini disambut oleh ketua-ketua agama dengan ‘menyerang’ etnik Rohingya dan meletakkan harapan ‘menghapus penganut Islam.’

Kudeta yang berlaku pada tahun 1962 dibawah pimpinan Jeneral Ne Win telah meneruskan ‘gerakan menghapuskan etnik Rohingya’  dengan mengusir lebih 300,000 orang ke Bangladesh. Pada tahun 1978, dilaporkan lebih setengah juta etnik Rohingya dihalau dari Burma  dan menurut UNHCR, lebih 40,000 orang telah meninggal dunia, iaitu dalam kalangan orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak. Kemuncaknya ialah pada tahun 1982, pihak tentera melakukan pindaan undang-undang untuk menafikan Rohingya sebagai warganegara menyebabkan kedudukannya sentiasa terancam.

Pada tahun 1988, lebih 150,000 orang etnik Rohingya terpaksa melarikan diri manakala penduduk Rohingya yang masih tinggal di Arakan telah dinafikan haknya untuk mendapat pendidikan, memasuki perkhidmatan awam dan bekerja kerana keseluruhan wilayah dikawal oleh pihak tentera.

Bulan Julai 2012, beberapa orang pemuda Budha melakukan seragan ke atas sebuah bas dan berjaya membunuh sembilan orang pemuda Muslim ekoran tersebarnya khabar angin mengenai penemuan mayat seorang wanita Buddha di sebuah kawasan hutan bakau akibat dibunuh dan dirogol oleh tiga orang penduduk Islam.  Tiga orang penduduk Islam keturunan Bengali itu kemudiannya berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa dan kumpulan pemuda Buddha yang berkumpul kemudiannya mendesak ‘tahanan’ itu diserahkan kepada mereka.  Bagaimanapun pihak keselamatan enggan berbuat demikian.

Ketika pihak keselamatan mengarahkan mereka bersurai, tersebar satu laporan bahawa sebuah bas yang sendat berisi penumpang dan sebahagiannya penganut Islam, perusuh beragama Buddha kemudiannya menuju ke terminal bas untuk ‘membalas dendam’. Pihak pengurusan bas mengetahui ‘peracangan perusuh’ telah mengarahkan bas berkenaan bertolak lebih awal. Walau bagaimanapun, kumpulan perusuh itu kemudiannya menyekat perjalanan bas berkenaan lalu menawan sembilan orang penganut Islam sebelum membakar bas.

Konflik tersebut tidak berakhir setakat itu. Perusuh akhirnya memasuki beberapa perkampungan penduduk Muslim dan menyerang serta membakar beberapa buah rumah. Insiden tersebut telah menyebabkan ribuan penduduk Rakhine melarikan diri sehingga menyebabkan beberapa buah negara terpaksa menerima ‘bot terapung’. Antara negeri yang menerima dan berusaha memberikan batuan kemanusiaan ialah Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Menurut laporan Pesuruhjaya Tinggi Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), lebih 120,000 etnik Rohingya sudah melarikan diri sejak rusuhan berdarah 2012. Dianggarkan terdapat sejumlah 7 hingga 10 juta penduduk Myanmar beragama Islam, di mana separuh daripadanya merupakan penduduk yang berasal dari Arakan. Di bahagian utara, Arakan bersempadan dengan Bangladesh (sepanjang 170 kilometer) manakala di sebelah barat ialah Laut Andaman.

Pada 6 Disember 2016, Pengerusi Suruhanjaya Penasihat Negeri Arakan,  Kofi Annan, yang juga bekas Setiausaha Agung PBB telah melawat Arakan untuk melihat sendiri kemusnahan yang telah berlaku ke atas etnik Rohingya.

Berdasarkan laporan yang dibuat oleh akhbar Burma, Kofi Annan telah mengesahkan ‘tiada keganasan, pembunuhan beramai-ramai dan tiada langsung Rohingya’. Bagaimanapun, Pertubuhan Suara Demokratik Burma (DVB) menyangkal laporan tersebut di mana tidak ada rekod pengesahan yang telah diberikan oleh Kofi Annan, sebaliknya beliau mengesyorkan agar Suu Kyi ‘melawat Rakhine untuk melihat dan meninjau sendiri kemusnahan’ yang berlaku akibat konflik keagamaan itu. Bahkan PBB telah mengeluarkan kenyataan, apa yang berlaku di Myanmar adalah ‘pembersihan etnik.’

Disebabkan oleh ‘agenda Rohingya’, kerajaan Myanmar memberi pandangan agar perkataan ‘Rohingya’ tidak digunakan kerana ia boleh merosakkan imej Myanmar setelah Suu Kyi gagal menanganinya selepas berjaya membentuk kerajaan pada bulan Mac 2016.

Akibat sikap membisunya, beberapa petisyen telah dilakukan merayu Kerajaan Norway ‘menarik balik Anugerah Nobel Keamanan’. Ekoran desakan dan  beberapa petisyen, Suu Kyi telah menangguhkan siri lawatannya ke luar negara yang sepatutnya dilakukan pada bulan Disember ini, termasuk ke beberapa buah negara Asia Tenggara.

Kesan daripada ‘sikap membisu Suu Kyi’, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan perhimpunan awam pada 4 Disember 2016 di Stadium Mini Titiwangsa yang meminta masyarakat antarabangsa memberikan perhatian serius kepada ‘krisis kemanusiaan’ di Myanmar. Malaysia melahirkan ketegasannya sendiri, akan berusaha membantu etnik Rohingya dan mendesak agar Myanmar menghentikan ‘pembantaian’ dan ‘menerimanya sebagai warganegara’ sebagai menghormati persetujuan dalam ASEAN mengenai hak asasi.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia bukan melakukan campur tangan dalam masalah dalaman Myanmar, tetapi Myanmar perlu selesaikan prinsip kebebasan hak asasi yang terdapat dalam piagam ASEAN. Malaysia berdiri tegas dengan kehendak piagam ASEAN .

Dato’ Sri Najib turut mengharapkan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Jokowi akan mengambil pendirian yang sama, bukan hanya sekadar membenarkan ‘unjuk rasa terhadap Ahok, juga lakukan untuk Rohingya’. Kira-kira 20,000 orang hadir dalam Himpunan Solidariti Rohingya itu, termasuk pemimpin PAS, NGO dan masyarakat Rohingya di Malaysia.

Sehari sebelum Himpunan Solidariti Rohingya (HSR) berlangsung, orang perseorangan Myanmar, akhbar-akhbar Myanmar dan penjawat awam menuduh Malaysia berusaha ‘campur tangan dalam negara Myanmar’. Sebagai reaksi balas, poster pemimpin utama Malaysia dikalungkan dengan selipar, termasuk potret Yang di Pertuan Agong.

Gambar tersebut kemudiannya ditularkan seluas-luasnya dalam media sosial untuk membangkitkan ‘kemarahan’ atau ‘memberi amaran’ agar HSR dibatalkan. Malaysia tidak berganjak dengan ancaman tersebut, malah Perdana Menteri bersedia hadir dan tidak takut dengan amaran tersebut.

Tidak terhenti setakat itu. Ketika Malaysia meraikan Keberangkatan Pulang YDPA ke-14 dan Keberangkatan Tiba YDPA ke-15, sekali lagi media Myanmar mengalungkan ‘selipar’ kepada potret YDPA sebagai ‘membantah.’ Sehari kemudiannya, Kerajaan Myanmar mengeluarkan kenyataan, tidak akan mengeluarkan ‘lesen’ kepada rakyat Myanmar yang berhasrat bekerja di Malaysia.

Pembatalan itu bagaimanapun belum diterima secara rasmi ‘antara kerajaan’. Malaysia, terutama dari perspektif industri’ tidak merasakan ‘terbeban’ dengan ketiadaan pekerja Myanmar, kerana Malaysia boleh mendapatkan ‘pekerja asing dari beberapa negara’ termasuk Bangladesh, Vietnam, Indonesia dan India.

Dianggarkan terdapat lebih 150,000 pelarian Myanmar (2015) di mana 56,000 adalah pemegang kad pelahiran UNHCR. Ini bererti, sekiranya Myanmar menyekat rakyatnya bekerja di Malaysia, beban ‘memberikan pekerjaan kepada rakyatnya’ akan menjadi lebih berat. Beberapa buah negara juga tidak bersedia menawarkan pekerjaan, termasuk negara-negara Arab yang bakal mengadakan resolusi ke atas Myanmar menerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dalam masa terdekat.

Myanmar dijangka berhadapan dengan ‘rempuhan emosi marah’ kerana gagal membangunkan sektor pekerjaan malah pertumbuhan ekonominya walaupun diramalkan dengan kadar 8.6 peratus pada tahun ini, ia akan sedikit tergencat akibat kewaspadaan negara-negara ASEAN untuk melabur.

Sekiranya ASEAN membuat keputusan untuk ‘menghentikan hubungan diplomatik’, Myanmar akan mengalami suasana ekonomi yang muram. Sebahagian besar pelaburan asing adalah dari negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia dan Singapura.

Menurut laporan (2011), China merupakan pelabur nombor satu di Myanmar dengan nilai pelaburan hampir AS$14 bilion (RM42 bilion) iaitu 34 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan asing di Myanmar, sekali gus mengenepikan Thailand dan lebih 31 negara lain. (rujuk http://ww1.utusan.com.my/utusan/ Luar_Negara/ 20120625/ lu_03/Konflik-etnik-dan-agama-jejas-pelaburan-asing-di-Myanmar#ixzz4T5dFABs4 )

Pendirian tegas Malaysia itu akhirnya mendapat ‘lampu hijau’ kerajaan Myanmar untuk menganjurkan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Yangon pada 19 Disember 2016 dan menurut  Menteri Luar,  Datuk Seri Anifah Aman, mereka akan berbincang untuk mencari penyelesaian secara adil, pantas serta berkekalan bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapi oleh etnik Rohingya di Rakhine  .

Katanya, Suu Kyi berjanji akan memberi taklimat kepada para menteri berkenaan tentang perkembangan terkini di wilayah tersebut pada permukiman itu. Ini merupakan kejayaan kepada Malaysia kerana akhirnya Myanmar menerima desakan dan ‘ pengakuan’ bahawa wujudnya masalah itu dan bersedia mencari penyelesaian terbaik.

Sebelumnya (27 November 2016), Anifah meminta supaya satu mesyuarat Menteri Luar ASEAN perlu diadakan dengan segera bagi membincangkan konflik di Rakhine. Apa yang berlaku itu amat membimbangkan dan keadaan kemanusiaan yang dahsyat serta memberikan kesan yang meluas terhadap negara-negara ASEAN, terutama Malaysia, Indonesia dan Thailand yang terpaksa menerima kebanjiran ‘penumpang bot terapung’. Lebih menyayat hati ialah ‘penumpang bot terapung’ tidak dapat sampai ke destinasi yang ditujuinya, tenggelam di kawasan perairan dan ditembak oleh pihak tentera.

Negara-negara ASEAN ‘terpaksa menanggung akibatnya’.  Dan, apa yang penting ialah ‘pembunuhan manusia yang tidak bersalah dan pengusiran penduduk dari kampong halaman mereka. Ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima. Malaysia akan menyeru semua pihak yang terlibat supaya mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.’

Anifah berkata pembunuhan manusia yang tidak bersalah dan pengusiran penduduk dari kampung halaman mereka adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dan Malaysia akan menyeru semua pihak terlibat supaya mengelak daripada mengambil sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Sebagai anggota pengasas ASEAN, kata Anifah, Malaysia berpegang sepenuhnya kepada prinsip penubuhan ASEAN, khususnya prinsip tidak campur tangan. Bagaimanapun, ‘kami juga percaya bahawa negara anggota ASEAN terikat dengan prinsip antarabangsa mengenai penggalakkan dan perlindungan hak asasi manusia, yang turut termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN.

“Semangat Komuniti ASEAN, yang memperjuangkan matlamat ASEAN untuk menikmati keamanan, keselamatan dan kestabilan berkekalan, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran berkekalan yang dikongsi bersama, patut membimbing kita dalam perkara ini,” kata beliau “ Malaysia sentiasa bersedia membantu Myanmar dalam mencari penyelesaian secara adil, pantas dan berkekalan terhadap isu yang berlarutan di negeri Rakhine”. (Utusan Online, 17 Disember 2016, yang memetik laporan BERNAMA).

Mungkinkah apa yang pernah menjadi ‘tujuan’ Emma Larkin, seorang wartawan Amerika Syarikat pada tahun 1995 ke Myanmar masih menjadi kenyataan selepas Burma ditadbirkan oleh pihak awam menerusi kemenangan NLP? Emma Larkin yang menganuti ‘orwellian’ berupaya menyelongkar ‘kekejaman pasukan polis’ dan ‘keganasan kuasa tentera’ di Myanmar. Semuanya dicatatkan dalam travelognya, Finding George Orwell in Burma (2005).

Emma yang boleh bertutur dan pernah belajar bahasa Burma berusaha mencari nilai-nilai ‘autoritarian elit politik yang berkuasa’ bersandarkan nukilan George Orwell (Eric Arthur Blair-1903-1950) dalam dua buah novelnya, Animal Farm (1945) dan Nineteen Eighty-Four (1949) dan sebuah buku catatan, Burmese Day (1932).  George Orwell menyertai India Imperial Police pada tahun 1922 dan dihantar ke Burma.

Setahun kemudian  Orwell mula tidak berminat dengan tugasnya kerana bencikan nilai-nilai imperialism yang dilakukan oleh British ke atas tanah jajahannya. Pada tahun 1927, mengambil keputusan pulang ke Britain dan bertekad menjadi seorang penulis.

Pengalamannya semasa bertugas di Burma dijadikan latar belakang kepada karya-karya tersebut di mana Animal Farm merupakan novel satira yang paling berjaya manakala Nineteen Eighty-Four sebagai novel politik dystophia, yang kemudiannya menjadi bahan kajian kerangka falsafah politik moden, berkait dengan konsep dominasi dan pengekalan kuasa.

Dengan cemerlangnya Emma bertemu dengan ‘George Orwell’ ketika menyelinap masuk ke beberapa kawasan di Burma yang digambarkan sebagai ‘kotor, jijik dan mual’ dengan kehidupan di kawasan perkumuhan, kemiskinan dan juga keangkuhan elit politik. Apakah, ketika ini ‘orwellian’ masih berbekas di Myanmar? Mungkin kita dapat memahami selepas menerima pandangan dan rumusan pemukiman Menteri Luar ASEAN nanti.

Seluruh dunia menantikan kaedah penyelesaian ‘krisis kemanusiaan’ dan ‘penghapusan etnik’ terhadap Rohingya yang dinafikan haknya sebagai penduduk dan warganegara. Rohingya bukan sahaja terpaksa ‘mengemis’ di negara sendiri, malah ‘kehidupannya terancam dan tersiksa’, hanya mengharapkan simpati masyarakat antarabangsa untuk ‘menerima atau memberikan ruang untuk bernafas’.

No Comments

    Leave a reply