Euporia Kemenangan dan Malaysia Baru yang keliru

Ketika Pakatan Harapan (PH) mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14, sebahagian besar rakyat Malaysia dilanda euporia politik yang belum pernah terjadi sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Apa tidaknya. Euporia itu jelas ditunjukkan dalam sebahagian besar warga maya dengan rasa bangga dan perasaan sinis menyindir BN yang terpaksa menerima kekalahannya buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia merdeka. Pemerintahan Perikatan dan BN yang berteraskan dominasi UMNO berakhir. Pengakhiran itu menyebabkan semakin sehari UMNO semakin bercelaru. Begitu juga BN.

PH yang diharapkan dapat membantu mengubah persekitaran politik dan pembinaan semula negara daripada pelbagai kerosakan akhirnya terpaksa mengakui kelemahannya. Kelemahan pertama ialah tidak dapat menunaikan janji mengikut garis masa yang ditetapkan. Ia disebabkan oleh banyak perkara. Antaranya beban hutang negara yang besar, tidak cekap menghayati tanggungjawab dalam kalangan anggota kabinet dan keserasian dengan penjawat awam.

Penjawat awam yang sebati dengan pendekatan BN, masih merasakan bahawa untuk melaksanakan tanggungjawab, mereka tidak boleh tunduk kepada perubahan politik yang berlaku. Ini kerana, parti-parti Melayu bukan lagi merupakan parti yang dominan dalam jentera pentadbiran Malaysia Baru. Meskipun tiga parti berteraskan Melayu, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap berpengaruh, peranan DAP tidak boleh diperkecilkan.

PPBM hanya menang 13 kerusi dan PAN sebanyak 6 kerusi Dewan Rakyat. PKR bukan sebuah parti yang seratus peratus keahliannya adalah orang Melayu, walaupun mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar wajib menghormati kesepakatan yang terbina dalam Majlis Pakatan Harapan.

Sebagai contohnya, Pengerusi PPBM adalah orang yang paling dipercayai boleh mengubah lanskap politik Malaysia dan kerana pengalaman, wawasan dan kebijaksanaan politiknya dipersetujui sebagai Perdana Menteri ke-7 walaupun sudah dianggap terlalu tua untuk memimpin. PH akan bersetuju dan menghormati Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan bersetuju sesiapa sahaja yang dipilih untuk menganggotai kabinet dengan syarat tidak mengetepikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kesepakatan itu tidak begitu sulit untuk dilaksanakan. Yang lebih sulit ialah apabila sebahagian jentera pentadbiran kerajaan masih mempunyai hubungan yang kuat dengan kerajaan terdahulu, terutama di peringkat pengurusan tertinggi. Walaupun Ketua Setiausaha Negara memberikan amaran agar bertindak secara professional dan menghormati prinsip ‘government of the day’, perubahan yang diharapkan tidak begitu licin. Masih ada hal yang mengjengkelkan.

Atas prinsip ‘prerogatif’, Perdana Menteri membuat keputusan drastik tidak sampai sebulan daripada tarikh mengambil alih jawatan. Prerogatif itu ialah meletakkan dasar bahawa tidak ada pelantikan politik dalam agensi-agensi yang berkaitan kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), universiti awam dan badan berkanun.

Dasar itu telah menyebabkan Majlis Profesor Negara, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan lain-lainnya dimansuhkan. Pegawai yang dilantik secara kontrak akan diberhentikan manakala penjawat awam yang ditukar sementara, dipinjam dan mempunyai status lantikan tetap akan diserapkan ke lain-lain agensi kerajaan.

Perubahan tersebut menyebabkan penyokong dan pengundi PH melonjak kegembiraan, ia suatu tindakan yang betul kerana selama ini mereka yang terbabit banyak menghabiskan masa untuk mempromosikan politik dan tokoh-tokoh tertentu dalam pentadbiran kerajaan. Dianggarkan lebih 17,000 orang penjawat awam kontrak.

Bagaimanapun dasar tersebut dipertikaikan apabila Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras dan juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan dilantik sebagai Duta Malaysia ke China. Sebelumnya beberapa orang duta yang dilantik dari kalangan ahli politik BN telah ‘dipaksa’ meletakkan jawatan, termasuk Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim. Kontraknya ditamatkan empat bulan lebih awal.

Tidak setakat itu, beberapa orang ketua pegawai eksekutif (CEO) GLC turut melepaskan jawatan atas desakan politik. Dr Mahathir saperti ‘tidak sudi’ jika mereka terus berkhidmat sehingga tempoh pelantikan tamat dengan berkata, gaji mereka adalah lebih tinggi dan tidak setimpal dengan hasil yang diperoleh. Antara yang heboh diperkatakan ialah gaji CEO Telekom Malaysia Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly (RM 2.45 juta bagi tahun 2017), Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Datuk Seri Abdullah Ahmad (RM85,000 sebulan).

Menurut Dr Mahathir prestasi mereka adalah tidak setimpal dengan gaji yang diterima dan kerana itu “Masa untuk syarikat eksekutif berkaitan kerajaan (GLC) dibayar gaji yang besar tanpa mengira prestasi syarikat kini sudah berakhir”.

Heboh itu tidak berakhir di situ. Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik menjadi bahan kritikan warga maya apabila menerima pelantikan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim. Mazlee pada 7 Jun 2018 memberikan jaminan bahawa tidak akan menyalahgunakan UIAM untuk kepentingan politik.

Pada 2 Oktober 2018, Mazlee saperti terlupan dengan janjinya tidak akan menyalahgunakan UIAM untuk kepentingan politik apabila berkata akan kembali ke universiti itu selepas berada dalam politik selama sepuluh tahun. Ramai yang sangsi, bagaimana beliau boleh tidak menyalahgunakan UIAM kerana dirinya juga adalah Menteri Pendidikan, yang turut bertanggungjawab mengawalselia universiti-universiti awam.

Akibatnya Mazlee didesak meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM oleh pelbagai pihak, dari mahasiswa hinggalah ahli politik dalam PH. Mazlee memahami dan menerima desakan tersebut. Akhirnya berjanji akan melakukannya apabila menemui calon yang sesuai dan layak.

Bukan setakat itu, Mazlee turut dilihat tidak banyak menterjemahkan aspirasi Malaysia Baru apabila bersetuju untuk melantik Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 18 Jun 2018 untuk tempoh selama dua tahun. Wan Saiful tewas kepada calon PAS dalam PRU ke-14.

Terbaharu, dua orang aktivis politik dari Parti Amanah Nasional dilantik mengetuai sebuah badan penyelarasan dakwah yang ditubuhkan pada tahun 1974. Bekas calon PAN bagi Dewan Undangan Negeri Cempaka, Pengkalan Cepa, Nik Omar Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Yang di Pertua manakala Ketua Hal Ehwal Syariah PAN, Zolkharnain Abidin al-Abyadhi sebagai Timbalan Yang di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Rentetan pelantikan ahli politik, sama ada mereka yang tewas dalam PRU ke-14 ataupun mengetuai biro politik parti yang bergabung dalam PH menduduki jawatan utama agensi kerajaan, GLC mahupun universiti awam telah menjejaskan imej kerajaan. Kerajaan PH yang berusaha membentuk nilai-nilai baharu melalui slogan Malaysia Baru tidak konsisten dengan iltizam yang dilafazkan.

Kalau manifesto dianggap ‘bukan kitab suci’ yang boleh dicapatikan, dasar tidak akan membuat lantikan politik dilanggar, Malaysia Baru sebenarnya tidak ada perbezaan dengan Malaysia Lama. Kerajaan yang diterajui oleh PH boleh dianggap hanya bermain dengan retorik. Nilai Malaysia Baru seumpama old wines in new bottles. Sikap dan budaya politik lama tidak berubah, yang berubah hanyalah jenama dan kaedah pembungkusannya sahaja.

Euporia kemenangan PH dalam PRU ke-14 tidak diperteguhkan dengan budaya politik baru yang lebih segar dan menarik. Ia hanya mengulangi kesilapan budaya politik sebelumnya. Akhirnya Malaysia Baru membesar dan subur dalam banyak kekeliruan. Ia akan bertambah keliru apabila keinginan untuk membina kekuatan kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat dilakukan dengan ‘membawa masuk’ wakil rakyat dari parti yang dicemoh dan diperlekehkan dalam sepanjang kempen PRU ke-14.

Oleh Ibnu Majid

Tags: , , ,

No Comments

    Leave a reply