FAHAMAN WAHABI TIDAK SESUAI DIAMALKAN DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR : Kerajaan menegaskan fahaman Muhammad bin Abdul Wahab (Wahabi), tidak sesuai diamalkan di negara ini walaupun ia tidak dikaitkan sebagai ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendirian itu selaras dengan hasil perbincangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1985, 1986, 1996, 1997 dan 1998.

”Ia tidak sesuai diamalkan kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Namun setakat ini penularan fahaman Wahabi adalah terkawal. Kerajaan berpandangan bahawa hal berkenaan merupakan isu khilaf di kalangan ulama,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang bertanyakan sejauh mana fahaman Wahabi telah meresap ke dalam masyarakat Malaysia dan langkah-langkah diambil untuk mencegahnya.

Jamil Khir dalam pada itu berkata, mesyuarat Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) juga memutuskan bahawa kumpulan yang mendokong fahaman Wahabi tidak terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Namun jelas beliau, apa yang mesti diatasi dan ditangani adalah isu-isu kontroversi yang berkait dengan cabang-cabang yang cuba dibangkitkan oleh mereka.

”Kesemua keputusan adalah menyekat penularan isu tersebut atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah (perbezaan pendapat mengenai isu fiqh) yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia.

”Bagaimanapun keputusan tersebut tidak mengaitkan fahaman Wahabi sebagai ajaran mahupun fahaman sesat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Nasharuddin Mat Isa (Pas-Bachok) mengenai ancaman yang boleh diwujudkan fahaman Wahabi, Jamil Khir berkata, beliau bersetuju bahawa ajaran itu mampu menimbulkan pandangan berbeza kepada masyarakat.

Namun katanya, demi menjaga kesejahteraan rakyat, kerajaan memberi pendekatan bahawa Ahli Sunnah Wal-Jamaah merupakan pegangan akidah dalam konteks negara Malaysia dan mazhab Shafie sebagai pegangannya

Petikan Utusan Online pada 30 Ogos 2016

#TANWIR – Anti Bida’ah

Artikel berkaitan: Bida’ah Hasanah

No Comments

    Leave a reply