Perkara ini tercatat dalam Surah 22 (al-Haj):5 yang mana Allah menjelaskan peringkat proses kejadian manusia di dalam rahim ibu dan juga perkembangan fizikal manusia setelah dilahirkan di dunia ini. Sebahagian manusia dimatikan dalam jangka masa tertentu dan sebahagian pula dipanjangkan umur sehingga menjadi nyanyuk.

Manusia yang terlalu menumpukan perhatian kepada kenikmatan kehidupan di dunia tidak akan dapat merasai kebahagiaan hakiki walaupun mereka memiliki kuasa dan kemewahan. Pera­saan gelisah dan tamak akan menghantui pemikiran sehingga tindak tanduk mereka tersasar daripada landasan etika kemanusiaan.

Manusia yang terlalu mencintai kehidupan dunia merasai takut menghadapi proses penuaan kerana pertukaran bentuk fizikal boleh menyebabkan kecantikan dan kehebatan fizikal mereka berubah. Perasaan ini menyebabkan mereka sanggup membe­lanjakan wang yang banyak untuk mengekalkan keremajaan kulit dan kekuatan fizikal sehingga terlupa perubahan fizikal adalah fitrah kejadian manusia.

Rasulullah SAW menjelaskan kepada umat Islam dengan sabdanya: “Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usia mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepada-Nya. Bila usia mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya.

Jika usia mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapuskan amal keburukannya. Dan bila usia mencapai 90 tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang lalu, Allah juga akan memberi pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi.” (Hadis riwayat Ahmad).

Pemakanan dan minuman yang baik dan halal boleh memelihara kesihatan fizikal dan mental. Apabila umat Islam prihatin terhadap makanan dan minuman serta tata cara kehidupan sebagai hamba Allah yang beriman maka secara tidak langsung dapat melambatkan proses penuaan.

Rasulullah SAW menasihati umat Islam memelihara kesihatan diri seperti sabdanya: “Janganlah sekali-kali makan dan minum terlalu kenyang karena sesungguhnya hal ini dapat merosak tubuh dan dapat menyebabkan malas mengerjakan solat, dan bersederhanalah dalam kedua hal tersebut, karena sesungguhnya hal ini lebih baik bagi tubuh, dan menjauhkan diri daripada sifat israf (berlebihan).” (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan kepada penjelasan tersebut maka usahlah membelanjakan wang secara keterlaluan untuk menghindari penuaan kerana manusia tidak mungkin dapat menghindari penentuan dan kekuasaan Ilahi.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).