FALSAFAH KORBAN MENURUT ISLAM BUKAN ‘MENEPIS TOHMAHAN’

Tersiar sebuah berita, DAP ‘dijangka agih daging korban pada wakil rakyat—Lim Guan Eng’ menyebabkan ada yang beranggapan bahawa ia adalah ‘pseudo politik’, ‘politik bombastic dan hipokrit dalam UMNO PAS dll’. Ia berpunca daripada kenyataan saya menolak untuk menerimanya kerana bagi Lim Guan Eng, ‘sebagai suatu langkah menepis tohmahan pembangkang bahawa DAP sebuah parti rasis dan mengutamakan kaum Cina’.

Kenyataan itu jelas bertujuan politik, iaitu menjadikan rakyat Malaysia mempercayai bahawa DAP bukanlah sebuah parti rasis apabila mengambil bahagian dalam ‘mengagihkan’ daging korban. Kenapakah baharu sekarang DAP beriya-iya untuk melakukannya sedangkan DAP sepatutnya berbuat demikian sejak parti itu ditubuhkan bagi membuktikan tidak rasis.

Bagi mereka yang berpandangan bahawa kenyataan saya adalah bersifat ‘politik pseudo’ ataupun politik bombastik, sebaiknya  merenung apakah makna falsafah korban yang dianjurkan oleh Islam. Pendirian saya untuk terima daging korban yang bakal diagihkan menerusi mekanisme DAP kerana keraguan terhadap niat sebenar ianya dilaksanakan, bukannya bermakna hanya saya yang sepatutnya melakukan ‘korban dan makan sendiri, tanpa diagih-agihkan kepada fakir miskin. Makan hingga pecah perut.’

Istilah korban berasal dari bahawa Arab, iaitu qurban, bukan bermakna ‘qurban’ sebagaimana sebuah tajuk filem Hindi keluaran 1980 lakonan Feroz Khan, Vinod Khanna, Zeenat Aman, Amjad Khan, Shakti Kapoor, Aruna Irani dan Amrish Puri dan Kadar Khan. Filem Qurbani itu adalah adaptasi dari filem Itali bertajuk The Master Touch (1972).

Qurban yang berasal dari perkataan berbahasa Arab membawa maksud: menghampirkan diri atau mendekatkan diri dalam bentuk ketaatan kepada Allah SWT. Ini bermakna, perkataan qurban sinonim dengan perkataan al-Udhhiyah, yang bermaksud sembelihan. Dari perspektif syarak, penyembelihan ke atas binatang dikhususkan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah yang dilakukan pada waktu tertentu. Nah! Niat sebenar ‘agihan daging korban’ yang akan dilakukan oleh Lim Guan Eng sudah tersalah iktikadnya, iaitu ‘menepis tohmahan pembangkang’.

Saya tidak mempersoalkan mengenai siapa yang akan menyembelihkan ‘binatang ternakan’ tetapi niat DAP laksanakannya. Biarpun binatang ternakan itu disembelih oleh orang Islam yang ada dalam DAP ataupun bukan ahli DAP, kerana niatnya yang salah itulah menyebabkan saya berpendirian ‘tidak boleh menerima daging tersebut’ kerana selama inipun saya tidak pernah mengharapkan bantuan DAP, biarpun saya mempunyai hubungan akrab dengan Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP sejak tahun 2008.

Korban dalam Islam adalah bentuk ibadat tetapi ia berbeza dengan kalimah sedekah yang juga adalah ibadat. Sedekah perlu dilakukan tanpa mempunyai niat yang lain selain membantu orang-orang yang dalam keadaan ‘kesusahan’ atau ‘perlu dibantu’. Sedangkan korban ialah tanda kesyukuran di atas nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT agar kita dapat menyahkan rasa sombong, bongkak di atas rezeki yang diberikan. Ia membawa pengertian ‘kesejahteraan akal fikiran dan agama’ bukan untuk ‘menepis persepsi bahawa DAP adalah parti rasis.”

Umat Islam melakukannya sejak peristiwa pengorbanan Nabi Ismail a.s. dan diadaptasikan semula oleh RAsullullah SAW menurut syariat yang ditetapkan. Allah SWT menjelaskan mengenai syariat ibadah korban itu di dalam firman-Nya yang bermaksud: Maka sembahlah Tuhan engkau dan berkorbanlah’, (Surah al-Kauthar.)

Kalimah ‘berkorban’ atau wanhar itu bermaksud sembelihan yang dilakukan selepas sholat Aidil Adha dan Allah memerintahkan perintah korban itu selepas perintah sembahyang. Ini menunjukkan bahawa melakukan korban adalah penting seiring dengan kewajipan bersembahyang, bukan ‘menyembah kepada persepsi’ atau pseudo politik dan politik bombastik.

KONTRI lge

Buktinya, dalam firman-Nya yang lain, Allah menjelaskan (bermaksud): “Sesungguhnya sholatku, sembelihanku, hidupku serta matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam’ (surah al-An’am:163). Niatnya sudah berbeza, kerana agihan daging korban oleh DAP adalah untuk ‘menepis tohmahan pembangkang bahawa DAP adalah parti rasis’.

Korban disyariatkan berdasarkan falsafah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan mengalirkan darah ‘binatang sembelihan’ itu. Ini bermakna konsep korban dalam Islam sebagai satu bentuk ibadat mengandungi ta’abbudiyah (memperhambakan diri kepada Allah) dan bukannya untuk menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP.

Secara prinsipnya, setiap syariat, hukuman atau perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT ada tujuan dan matlamatnya yang sukar untuk difahami secara mudah (simplistik). Begitu juga ibadah korban itu adalah ibadat yang diwajibkan bagi mereka yang berkemampuan, dan tentunya orang yang berkemampuan itu dimaksudkan ialah orang Islam.

Ibadah korban turut menjadi ukuran ketakwaan seseorang sebagai hamba kepada Yang Maha Esa, sebagaimana maksud firman-Nya: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertaqwa”(surah al-Maidah:27) dan “Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan kamulah yang dapat mencapainya’ (Surah al-Hajj:37).

Pengakuan kepatuhan dan ketaan kepada Allah SWT pula dikaitkan dengan firman-Nya yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanku ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah diri kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang tunduk patuh (kepada Allah).” (surah al-Hajj:34).

Sebab itulah ibadah korban perlu dilakukan dengan penuh ketaatan, ketakwaan dan keikhlasan agar ia mendapat ganjaran berlipat ganda dari Allah SWT. Rasullullah SAW bersabda dengan maksudnya: Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah). Sebab itulah ketika di akhirat kelak, setiap binatang ternak yang kita korbankan akan menjadi saksi terhadap ketaatan kita sepanjang hayat kita di dunia.

Inilah perbezaan antara amalan ibadat orang Islam dan bukan Islam. Sembelihan juga turut dilakukan oleh bukan Islam, tetapi iktikadnya bukanlah kerana Allah SWT. Pernah kita melihat ada amalan agama dan budaya mempersembahkan binatang korban untuk ‘menyogok’ dewa agar tidak menghuru-harakan keadaan seperti dilanda ombak tsunami, ditimpa bencana kemarau atau banjir besar. Niat mereka ialah mengumpan dewa-dewi, sedangkan dalam Islam ibadat korban diniatkan kerana Allah SWT, bukan untuk ‘menyogok Allah’ tetapi sebagai ketundukan dan ketakwaan di atas anugerah-Nya. Ia untuk diberikan kepada mereka yang tidak bernasib baik, bukannya dipersembahkan kepada dewa-dewi.

Maksud firman Allah SWT: Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku (korbanku), hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam, tiada sekutu baginya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah).” (surah al-An’am: 162-163).

Tradisi yang dimulakan dengan pengorbanan nabi Ismail a.s. itu dihidupkan sehingga sekarang dan didalamnya mengandungi erti ketaatan dan ketakwaan kepada perintah dan suruhan Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda : Berkata kepada kami Muhammad bin Khalaf al-Asqalani, berkata kepada kami Adam bin Abi Iyas, berkata kepada kami Sullam bin Miskin, berkata kepada kami ‘Aidzullah, dari Abu Daud, dari Zaid bin Arqam, dia berkata: Berkata para sahabat Rasullullah SAW: Wahai Rasulullah, haiwan korban apa ini?. Baginda bersabda” Ini adalah sunnah Nabi Ibrahim”. Mereka berkata” Lalu pada haiwan itu, kami dapat apa wahai Rasullullah?. Baginda menjawab: Pada setiap bulu ada satu kebaikan. Mereka bertanya lagi: “Bagaimana dengan shuf (bulu)?” Baginda bersabda: “Pada setiap bulu shuf ada satu kebaikan.” [HR Riwayat Ibnu Majah).

Ibadat korban juga mempunyai signifikan dengan kepentingan sosial dan ekonomi. Ia boleh difahami melalui agihan daging korban meliputi seluruh strata sosial, dan dapat memupuk semangat kesepaduan umat Islam dan dapat mempertingkatkan hubungan silaturrahim antara umat.

Atas sebab itulah saya tetap menolak agihan daging korban oleh DAP, walaupun ia dilakukan oleh sebahagian kecil ahlinya yang beragama Islam, ia tidak menepati falsafah korban itu sebenarnya, sekiranya amanat Lim Guan Eng itu menjadi faktor dan keutamaan. Saya berdasarkan apa matlamat sebenarnya ibadat korban itu dilakukan oleh DAP, dan asasnya juga jelas, hanya untuk ‘menepis tohmahan’ maka bagi saya tidak wajar memperalatkan ibadat tersebut untuk kepentingan politik.

Itu sahaja persoalannya. Jika ‘tersalah lapor’ perbetulkanlah kenyataan itu.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply