FENOMENA GELANDANGAN

Sejarah gelandangan telah muncul sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan golongan ini dikenali dengan istilah Banu Mudhar (golongan melarat). Berdasarkan riwayat, Nabi Muhammad SAW pernah terlihat kelibat Banu Mudhar ketika melintasi kawasan masjid pada suatu ketika. Melihat kepada kumpulan tersebut, Rasullullah SAW naik ke mimbar dan berseru kepada penduduk agar memperbanyak sedekah.

Pengajaran ini memberikan kita bahawa Islam tidak membenci “golongan melarat” bahkan mereka wajar dibantu untuk keluar daripada kehidupan yang serba daif dan kekurangan itu. Kaum yang melarat diminta supaya berusaha untuk berubah dan bertakwa kepada Allah SWT agar dimurahkan rezeki.

Atas prinsip tersebut ada pandangan untuk kita melihat bahawa golongan yang melarat itu sebenarnya ujian Allah SWT kepada manusia lain yang kedudukannya lebih baik agar sentiasa membantu. Bahkan, ada pendapat menjelaskan, sekiranya hendak menemui Tuhan, seseorang itu perlu menyelami kehidupan orang yang susah.

Berpuasa merupakan latihan fizikal untuk setiap umat Islam memahami erti kesusahan dan kefakiran harta benda. Dengan menahan lapar dan dahaga selama 14 jam selama sebulan di bulan Ramadhan mengajarkan setiap umat Islam mengenai getirnya hidup jika dalam kekurangan.

Berbeza dengan orang miskin. Menurut perspektif sosiologi, kaum gelandangan adalah mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mempunyai tempat tinggal. Orang miskin, walaupun mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap, masih mempunyai tempat tinggal walaupun amat sederhana dan boleh diibaratkan seperti reban ayam.

Fenomena gelandangan turut meningkatkan jumlah orang miskin di bandar-bandar besar manakala sebahagian besar golongan yang miskin berada di kawasan pedalaman ataupu  desa. Kemunculan gelandangan dalam era moden dikaitkan dengan pelbagai faktor, tetapi yang paling besar ialah perbandaran.

Gelandangan kebiasaannya merupakan mereka yang berhijrah dari daerah kemiskinan ke bandar-bandar dengan harapan dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik, iaitu memperoleh pekerjaan walaupun sebagai buruh kasar. Kesan daripada kemunculan migrasi ke bandar-bandar menyebabkan berlakunya tekanan kepada keperluan perumahan, dan tentunya sebahagian daripada kaum gelandangan tidak mampu untuk memiliki rumah ataupun membayar sewa rumah.

Gelandangan adalah masalah universal, termasuk di negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Australia.

Taburan Gelandangan Seluruh Dunia

Negara Tahun Jumlah
Amerika Syarikat 2008 1,370,000
Australia 2003 100,000
Brazil 2000 20,000
Eropah 2010 3,000,000
Filipina 2008 1,200,000
Finland 2010 7,600
German 2010 254,000
Greece 2010 20,000
India 2003 78,000,000
Indonesia 2001 3,000,000
Jepun 2006 25,296
Kanada 2008 200,000
Malaysia 2011 1,387
Rusia 2008 5,000,000
Scotland 2008-2009 40,123
Sepanyol 2010 39,650
United Kingdom 2004 4 daripada setiap 1000

Sumber: UNHCR 2005 dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) 2011 (dipetik dari Rafiza Mohamed, Gelandangan Antara Tret Personaliti & Religiositi, K.Lumpur: ITBM, 2015: 4-5)

Mereka memilih untuk tinggal di kawasan-kawasan perkumuhan, lorong-lorong kecil dan menumpang tidur di kaki lima bangunan perniagaan atau di bawah jambatan yang terdapat di sekitar bandar besar. Itulah sebabnya, kita mudah menemui mereka jika rajin bersiar-siar di dalam bandar pada lewat malam atau awal pagi.

Kita akan dapat menemui mereka tidur di kaki lima beralaskan kertas kotak, akhbar ataupun di bawah jambatan. Di Kuala Lumpur, kita boleh menemui mereka di lorong-lorong gelap seperti Chow Kit ataupun sepanjang Sungai Kelang. Bahkan, kekotoran air Sungai Kelang tidak menjadi halangan untuk mereka mandi ataupun membasuh pakaian.

Gambaran kehidupan masyarakat gelandangan pernah dirakamkan dengan baik oleh Iwan Simatupang dalam novel yang bersifat eksentialisme, Merahnya Merah (1968), simbol perlawanan dengan arogansi kota. Gelandangan juga melakarkan corak kehidupan yang terlalu kabur, kabur dengan harapan dan masa depannya.

Bagi Iwan Simaputang, gelandangan bukan terhad kepada masalah ekonomi dan sosial, ia melangkaui faktor kemanusiaan masyarakat moden yang hidup dalam kesombongan kota.

Kesombongan juga terbina dalam diri kumpulan yang mendakwa dirinya sebagai pemimpin. Pernah berlaku dalam sejarah Kuala Lumpur, seorang menteri seperti mengherdik dan membenci mereka yang bergelandangan. Kumpulan yang menyediakan makanan untuk kaum gelandangan, dilarang untuk meneruskan bantuan kerana andaiannya ialah akan menggalakkan lebih ramai lagi gelandangan memasuki bandar raya Kuala Lumpur, yang sentiasa berazam menjadi sebuah bandar raya yang bersih dan bebas setinggan, kutu rayau dan orang yang “jijik dan kotor.”

Ia berbeza dengan semangat Perdana Menteri. Beliau sanggup “turun padang” untuk meninjau kehidupan gelandangan. Hasilnya, diminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur agar dapat menyediakan “tempat bermalam” kepada kaum gelandangan. Datuk Bandar Kuala Lumpur mencari tempat sesuai, penghujung tahun 2015 atau awal tahun 2016, akan dibukalah salah satu penempatan sementara gelandangan berhampiran bulatan Pahang. Dua lagi penempatan sementara kaum gelandangan sedang disiapkan dan tentunya, memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang mengharapkan adanya “tempat bermalam.”

Premis-premis kepunyaan agensi awam sepatutnya dibuka untuk kemudahan golongan gelandangan untuk “menginap”. Tetapi sayangnya, sebahagian agensi awam masih melihat gelandangan bukanlah golongan yang wajib mereka bantu. Pintu penginapan itu tertutup, kerana premis berkenaan hanya dikhususkan untuk tujuan tertentu misalnya, mereka yang baharu memeluk Islam (muallaf). Kalaupun muallaf tidak ada, agensi berkenaan sanggup membiarkan ruang-ruang itu kosong dan tidak sanggup menjaga kebajikan kaum gelandangan.

Awal bulan November 2015, menjadi viral dalam media sosial mengenai kelakuan biadab seorang pekerja kedai makanan segera yang menyimbah air seorang gelandangan yang melintasi laluan “drive-thru.” Penghinaan itu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa. Meskipun insiden berkenaan tidak berlaku di Malaysia, ia menggambarkan betapa pudarnya nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia, sedangkan dalam perkara lain mereka lebih menghormatinya. Misalnya, ada sekumpulan aktivis lantang memperjuangkan nasib haiwan, jarang kedengaran lantang memperjuangkan nasib gelandangan.

Sesekali di Malaysia kedengaran pihak tertentu berusaha untuk meringankan beban kaum gelandangan. Pembelaan itu di lihat sekadar bermusim. Tidak sanggup melaksanakannya secara berterusan, tetapi yang bermusim itulah gemanya kadangkala meriuhkan dengan kata-kata “kongsi keperitan gelandangan.”

Kajian Rafiza Mohamed, terdapat 17 punca gelandangan di Kuala Lumpur sebagaimana dilaporkan dalam profil awal ke atas 1,837 orang. Golongan yang tidak mempunyai pekerjaan menduduki tangga teratas (46.6 peratus) dan diikuti kemiskinan.

Faktor Terjadinya Fenomena Gelandangan

Faktor Peratus
Tiada Pekerjaan 46.6
Miskin dan berpendapatan rendah 17.7
Miskin, tua, sebatang kara 10.5
Penagihan dadah 4.8
Pengabaian 4.4
Miskin dan tua 3.6
Masalah mental 2.2
Sakit melarat 2.1
Tiada tempat tinggal 1.9
Bekas banduan 1.2
Ketidakupayaan 1.1
Lari dari rumah 1.0
Masalah keluarga 0.6
Kemurungan 0.5
Penagihan arak 0.5
Warga asing terdampar 0.4
Tidak diterima keluarga 0.2

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2010 (dipetik dari Rafiza Mohamed, Gelandangan Antara Tret Personaliti & Religiositi, K.Lumpur: ITBM, 2015: 17

Dibawah program kebajikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menubuhkan Anjung Singgah di Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. Anjung Singgah menjadi pusat sehenti bagi memberi peluang dan membantu gelandangan hidup berdikari. Ianya ditadbirkan oleh Yayasan Kebajikan Negara. Anjung Singgah dirasmikan pada 23 Mac 2011.

Sehingga Jun 2014, terdapat empat buah Anjung Singgah di Malaysia, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sarawak dan Pulau Pinang. Pulau Pinang mempunyai penghuni seramai 200 orang.

Sehingga Mei 2011, terdapat sejumlah 117 orang gelandangan berumah di situ, iaitu 105 orang lelaki dan 12 wanita.  47 orang telah mendapat pekerjaan di pelbagai syarikat. Anjung Singgah dilengkapi dengan 38 buah bilik dan menyediakan makanan percuma kepada 1,699 orang gelandangan setiap hari Selasa, Rabu dan Sabtu. Juadah makanan ini dibiayai oleh Kenchara Soup Kitchen.

Kajian Rofiza ke atas 10 orang gelandangan muslim yang bermastautin di Anjung Singgah menemukan adanya neurotisme yang disebut emosi tidak stabil, seperti perasaan cemas, bimbang, muram dan berasa tidak selamat.

Jelas Rofiza, dari segi tabiat responden tidak mempunyai komitmen dalam  dalam satu-satu pekerjaan. Mereka sering bertukar-tukar kerja.

Gelandangan juga kekurangan dorongan (ragu-ragu, bertindak secara spontan, akur dan suka kepada kebiasaan) dan   kerana itulah mereka tidak cermat, tidak bertanggungjawab dan tidak sistematik.

Berdasarkan penemuan tersebut, Rofiza berpendapat “mereka perlu dipupuk dalam persekitaran yang membolehkan mereka ditarik keluar daripada tret semulajadi yang kurang baik kepada pembentukan tingkah laku yang positif dan diterima oleh masyarakat.” (hal. 127).

Dari perspektif agama gelandangan “dilihat amat kurang. Kefahaman dan penghayatan tentang rukun Iman masih samar-samar…Malah terdapat responden yang tidak memahami langsung tentang rukun tersebut.”

Ertinya, golongan agama perlu mendekati mereka untuk membolehkan gelandangan yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu di Kuala Lumpur sedar apa sebenarnya tujuan hidup mereka, bukan hanya sekadar mencari sesuap nasi, tempat tinggal dan memuaskan nafsu.

Lebih mendukacitakan ialah apabila kita berjalan-jalan di lorong gelap, orang gelandangan dan anak-anak mereka mencari sisa makanan di kawasan timbunan sampah. Lebih malang lagi apabila ada anak gelandangan tidak ketahui siapakah keluarga sendiri, kecualilah ibunya sahaja.

Kuala Lumpur juga mencatatkan sejarah, seorang ibu melahirkan lapan orang anak yang wajah dan irasnya berlainan sama sekali. Pelbagai sosok budaya dan petunjuk keturunan, pelbagai bangsa. Akhirnya, ibu berkenaan setelah sekian lama menjadi “pekerja seks” berhadapan dengan situasi gangguan mental. Anak-anak tersebut dipelihara oleh seseorang, tetapi orang di sekelilingnya hanya berkata “anak-anak haram.”

Anak-anak tersebut tetap manusia. Mereka perlu diberikan perhatian, tetapi kerana kesilapan orang tua, anak-anak itu terpalit “dosa” dan “kutukan”. Mereka tidak pernah meminta dilahirkan, tetapi lahir juga sebagai “anak manusia”. Mereka perlukan kasih sayang, perhatian dan pembelaan, maka itulah sebabnya setiap daripada kita wajib menolong dan menyediakan setiap keperluannya.

Dengan pertolongan itu, suatu hari nanti mereka boleh hidup sebagai orang yang berjaya dan tidak mengulangi “dosa kelahiran”. Islam menuntut setiap orang membantu orang yang dalam kesusahan, termasuklah mereka yang kita kenali sebagai gelandangan dan anak-anak jalanan.

Catatan: Mahanor Saleha

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply