Fenomena politik Mahathirokrasi

PERTEMBUNGAN dan juga pembaharuan sistem yang sedang berlaku ini boleh dinamakan sebagai Mahathirokrasi, iaitu penelitian ke atas peranan dan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai aktor yang kini seolah-olah salah satu institusi penting yang tersendiri dalam mencorakkan peristiwa dan formula dalam kehidupan demokrasi Malaysia.

Dalam konteks perubahan dan fenomena politik yang berlaku pada 2020, corak pemikiran dan tindakan yang dilakukan Dr Mahathir jelas memaparkan bahawa kedudukannya dalam demokrasi Malaysia itu terjalin secara kukuh dan memainkan peranan penting dan jitu.

Peletakan jawatan Dr Mahathir jelas petunjuk kepada usaha beliau mahu merubah kedudukan kerajaan dan membina sebuah kerajaan dengan Kabinet yang baharu bagi membantu memajukan Malaysia.

Ketika ini pun dapat kita lihat bagaimana proses untuk menamatkan perkhidmatan Kabinet dan keseluruhan kuasa pentadbiran itu diletakkan sepenuhnya kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri dan Kabinet yang baharu untuk mentadbir negara.

Saya berharap Dr Mahathir tetap meneruskan perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri walaupun gagasan parti yang bergabung sebagai pemerintah bukan lagi Pakatan Harapan (PH). Dr Mahathir jelas masih diperlukan sebagai tokoh strategis negara bagi membina Kabinet dengan menteri yang boleh bekerja bersungguh-sungguh dan diyakini rakyat.

Kedudukan dan kepemimpinan Dr Mahathir kini jelas mendapat kepercayaan Yang di-Pertuan Agong. Secara signifikannya, ia menunjukkan institusi istana juga tetap menjadikan Dr Mahathir sebagai pilihan dalam meneruskan pentadbiran negara pada ketika kerajaan terbubar. Ini lambang pengiktirafan peranan Mahathirokrasi dalam politik pentadbiran Malaysia.

Kecekapan Dr Mahathir mentadbir negara juga jelas terpapar pada ketika krisis politik yang memuncak kini, apabila keseluruhan wakil rakyat dan kepemimpinan pelbagai parti kelihatan memberi kepercayaan penuh kepada Dr Mahathir dan tidak menjadikan beliau musuh atau sasaran politik.

Peranan Tun Dr Mahathir jelas sebagai pengimbang antara tokoh pelbagai parti hinggakan tawaran dan sokongan dikemukakan pemimpin pelbagai parti untuk beliau kembali sebagai Perdana Menteri.

Dalam konteks ini juga, peranan birokrat tadbiran awam pelbagai peringkat daripada Ketua Setiausaha Negara bersama Ketua Setiausaha di setiap kementerian hingga ke tadbiran awam di segenap pelosok negara tetap memainkan peranan menyokong kepemimpinan Dr Mahathir dalam meneruskan urusan pentadbiran harian negara tanpa perlu diberikan cuti khas disebabkan situasi rencatan sistem politik yang melanda, jelas tanda keteguhan sistem tadbiran yang selama ini disusun atur Malaysia.

Kukuhnya peranan birokrat, pada saat Malaysia tiada menteri pun urusan tadbir urus negara dan rakyat masih boleh bergerak atas landasan kukuh tanpa sedikit pun terjejas. Ini lambang kecekapan urus tadbir negara dan peranan penting birokrat serta kakitangan awam.

Fenomena politik Mahathirokrasi juga menjadikan Dr Mahathir dan Malaysia satu-satu tokoh dan negara yang unik dalam demokrasi dunia. Apa yang berlaku ialah fenomena yang menuntut proses transisi jawatan atau peralihan kuasa Perdana Menteri berubah menjadi satu fiesta sokongan penuh semua parti politik yang ingin menubuhkan kerajaan diberikan kepada Dr Mahathir.

Ikrar setia kepada Tun Dr Mahathir ini sedang membawa satu lagi cabaran besar buat negarawan ulung negara untuk memilih mana-mana parti atau membentuk kelompok Ahli Parlimen penyokong bagi membina sebuah gagasan politik baharu dalam menubuhkan kerajaan. Ini satu perkara unik dan memerlukan seni penelitian yang teliti dari sudut perundangan, sistem berparlimen dan juga tata urus negara.

Tindakan Mahathirokrasi ini juga membawa sama kesan limpahan kepada beberapa negeri yang terbabit dalam keperluan mewujudkan kerajaan baharu serta pertukaran ketua kerajaan. Bahkan keperluan utama, iaitu mewujudkan sebuah gabungan parti kerajaan yang cukup bilangan ahli Dewan bagi penubuhan kerajaan baharu.

Ini cabaran yang masih belum muktamad secara sah di sisi perundangan. Kesan politik kepada Kedah, Perak serta Johor dan Melaka diharap dapat diselesaikan secara baik bersama perubahan pada peringkat Persekutuan.

Kita harapkan kesan fenomena Mahathirokrasi ini akan menjadi satu kebaikan kepada negara dan mewujudkan kesan baik dalam tadbir urus negara serta kepada rakyat secara menyeluruh.

Oleh Md Shukri Shuib Pensyarah Kanan, Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Sumber : bharian.com.my

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply