GAGASAN KEARIFAN ISLAM SEBAGAI KERANGKA BERFIKIR DAN BERTINDAK UMAT

Dunia menyaksikan bagaimana kemenangan Presiden Trump di Amerika Syarikat menandakan berakhirnya retorik Liberalisme Barat yang selama ini mencanangkan kebebasan, keadilan dan keamanan kehidupan manusia. Kemunculan gerakan-gerakan ultra-right, fasis, evangelis dan anarkis di Amerika dan Eropah yang terang-terang menentang Islam dan Muslim membuktikan Liberalisme Barat bukanlah benar-benar diterima oleh masyarakat Barat sendiri terutamanya bila jurang perbezaan politik, ekonomi dan sosial sesama mereka semakin membesar atas dasar-dasar liberalisme yang diamalkan disana lalu mengkambing-hitamkan Islam dan Muslim sebagai punca permasalahan.

Dunia juga menyaksikan bagaimana perlantikan Putera Mohamad Bin Salman (MBS) di Arab Saudi menandakan berakhirnya retorik Salafisme Wahhabisme yang selama ini dibanggakan kononnya mewakili ajaran Islam yang asli lagi tulin yang sebenarnya telah mengakibatkan pelbagai ketegangan dan percanggahan dalam negara Penjaga Dua Haramayn itu. Pelbagai rentetan peristiwa dari tindakan-tindakan dalam negara dan hubungan luar negara MBS membuktikan bahawa negara yang tidak memiliki Gagasan Pengisian dari Tradisi Keilmuan, Keruhanian dan Ketamadunan Islam yang panjang tidak akan berupaya memposisikan negara mereka secara bijaksana dalam dunia global semasa yang kompleks dan tidak wajar dijadikan ikutan oleh negara-negara Islam lain.

Berhadapan dengan dua cabaran besar PascaLiberalisme dan PascaSalafisme yang dalam banyak perkara akan mempengaruhi iklim geopolitik dunia dan suasana sosiopolitik umat, umat Islam memerlukan satu gagasan pemikiran dan tindakan yang jelas lagi tuntas yang berupaya mendepani kecelaruan dan kekeliruan cabaran-cabaran tersebut yang sedang melanda umat ketika ini. Ketika umat manusia mendambakan “wisdom” atau “hikmah” atau “kearifan” bagi menyelesaikan kemelut kehidupan mereka, mengapa tidak umat Islam menjenguk dan menggali semula Kearifan Islam yang pernah mereka miliki satu waktu dahulu.

Umat Islam hari ini memerlukan hikmah dan kearifan para pembina Pemikiran dan Peradaban seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi’e dan Imam Ahmad Ibn Hanbal dalam memandu kehidupan ubudiyyah dan amaliyyah mereka. Umat Islam hari ini memerlukan hikmah dan kearifan Imam Ash’ari, Imam Maturidi, Imam Tahawi, Imam Sanusi dalam menjelaskan hakikat keimanan dan ketauhidan mereka. Umat Islam hari ini memerlukan hikmah dan kearifan Imam Junayd, Imam Ghazali, Shaykh Ibn Arabi dan Mawlana Rumi dalam membimbing pembersihan jiwa dan perjalanan keruhanian mereka. Gagasan imaniyyah-amaliyyah-ruhaniyyah inilah yang menjadi teras atau tunjang hikmah dan kearifan bagi umat Islam untuk mendepani cabaran-cabaran kehidupan PascaLiberalisme dan PascaSalafisme.

Hikmah dan Kearifan Islam yang perlu dimiliki oleh umat Islam bagaimanapun tidak cukup dengan Gagasan imaniyyah-amaliyyah-ruhaniyyah malah mereka memerlukan hikmah dan kearifan Peradaban/Ketamadunan/Hadharah melalui tokoh-tokoh seperti Al-Farabi, Ibnu Sina, Al-Biruni dan Ibnu Khaldun. Justeru gabungan dan gemblengan Gagasan iman-amal-ruh-hadharah akan menyediakan umat satu kekuatan bukan kepalang dalam menghadapi sebarang cabaran yang mendatang dari dunia PascaLiberalisme dan PascaSalafisme ini.

Berbicara tentang kembali menggali hikmah dan kearifan silam Islam, bukan bermakna kita menjadi nostalgia atau sekadar mengimpikan utopia. Terbukti umat Islam Zaman Moden ini yang masih terumbang-ambing, tiada pedoman dan bimbingan dan sekadar meraba-raba menjalani kehidupan mereka dengan menyangka mereka boleh mengatur kehidupan tanpa merujuk kepada hikmah dan kearifan silam Islam. Abad ke 20 jelas membuktikan agenda dan program Muslim Modenis dan Muslim Salafis gagal membawa umat kemana-mana sehingga kehari ini sama ada dari sudut politik, ekonomi dan sosial apatah lagi dari dimensi intelektual, moral dan spiritual. Justeru sudah tiba masanya Generasi Umat Islam Abad ke 21 mencari alternatif baru Gagasan Masadepan mereka yang lebih meyakinkan dan terbukti berjaya dalam sejarah jatuh-bangun umat.

Pun begitu, Gagasan Kearifan akidah-shariah-akhlak-tamadun Islam yang ingin dihidupkan semula ini tidak bermakna kita akan terus terpaku atau terpasung pada teks dan tafsiran silam semata-mata sepertimana yang kadangkala difahami oleh segelintir Muslim Tradisionalis. Gagasan Kearifan Islam Silam yang kita maksudkan perlulah diberi nafas baru, dikontekstualisasi, diterjemahkan dengan segala penambahbaikan semasa. Yang jelas membezakan kita dengan Muslim Modenis dan Muslim Salafis ialah mereka ingin membuang jauh-jauh dan tidak langsung ingin dikaitkan dengan tradisi Kearifan Islam silam berusia lebih 1000 tahun itu. Muslim Modenis dan Muslim Salafis beranggapan umat Islam boleh melompat terus ke Zaman Rasulullah dan Para Sahabat melalui Al-Qur’an dan Al-Hadith tanpa perlu merujuk kepada tradisi Kearifan Islam yang telah membina peradaban Islam yang cemerlang dan gemilang tersebut.

Paling tidak umat Islam harus belajar dari Peradaban Barat yang bukan sahaja tidak pernah membuang Kearifan Silam mereka malah mereka cuba meneroka Kearifan Silam orang lain dalam pembinaan Peradaban mereka dari mula mereka mengenali Peradaban Yunani dari umat Islam dan mereka belajar dari Peradaban Islam juga Peradaban Timur yang lain. Sebalik nya umat Islam Generasi Abad ke 20 telah dimomokkan bahawa pencapaian sejarah Pemikiran dan Peradaban Islam yang membentuk tradisi Kearifan Islam bukanlah sebahagian dari Islam. Mereka merekacipta bahawa pemikiran Islam dan peradaban Islam bukan sebahagian dari akidah, shariah dan akhlak Islam justeru perlu dilupakan. Kecenderungan ini menjadikan Generasi Muslim Abad ke 20 buta sejarah dan Kearifan mereka.

Semua masyarakat dan negara-bangsa yang kuat dan berwibawa sentiasa mempertahankan jatidiri mereka dengan merujuk kepada tokoh-tokoh utama Pemikiran dan Peradaban mereka. Umat Islam jika ingin menjadi kuat juga negara kita Malaysia jika ingin menjadi negara-bangsa yang kuat dan berwibawa mestilah mengikuti jalan yang serupa. Pengenalan dan penghayatan terhadap pemikiran Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi’e, Imam Ahmad Ibn Hanbal, Imam Ash’ari, Imam Maturidi, Imam Tahawi, Imam Sanusi, Imam Junayd, Imam Ghazali, Shaykh Ibn Arabi dan Mawlana Rumi serta ramai lagi tokoh-tokoh tradisi kearifan Islam mestilah dimulakan dari sekarang. Pada merekalah terletaknya “wisdom”, “hikmah” dan “kearifan” yang hanya akan diperolehi oleh insan-insan yang mempunyai mata-hati dan berupaya “hidup” merentasi zaman dan lingkungan.

Umat Islam mesti mula memikirkan bahawa rahsia dan kelebihan dari “wisdom”, “hikmah’ dan “kearifan” dari tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam ini memiliki pelbagai dimensi yang tidak ternilai peranan dan kegunaannya dalam kita mendepani pelbagai kemelut kehidupan semasa. Justeru Gagasan Kearifan Islam sebagai Kerangka Berfikir dan Bertindak Umat sewajarnya menjadi Azam Tahun Baru 2018 bagi umat Islam khususnya di negara kita Malaysia.

Oleh Dr Amran Muhammad

No Comments

    Leave a reply