GAJAH SAMA GAJAH BERJUANG, PELANDUK MATI DI TENGAH-TENGAH

Kebelakangan ini, dilihat perselisihan dan pertelagahan pandangan dalam kalangan golongan agamawan makin menjadi-jadi. Lebih menyedihkan apabila mereka bertelagah mengenai perkara-perkara furu‘ (cabang) dan khilafiah dalam agama seperti kedudukan selawat ke atas Nabi SAW antara solat Tarawih, bilangan rakaat solat Tarawih, tazkirah ketika solat Tarawih, tahlil, talkin, bacaan doa qunut dan sebagainya.

Asalkan sahaja terdapat sesuatu perkara yang disampaikan oleh seseorang agamawan lain yang berbeza dengan ‘aliran’ atau ‘mazhab’ yang dipegangnya, mulalah timbul pertelagahan dan pertelingkahan. Para peringkat awal, pertelagahan berlaku dalam bentuk ceramah-ceramah dan video-video yang dimuat naik dalam media-media sosial. Jika masih berlanjutan dan tidak memuaskan hati, timbul pula tindakan sindir-menyindir dan saling cabar-mencabar melalui undangan berdebat.

Hal ini bertambah meruncing apabila ada dalam kalangan agamawan yang sanggup melemparkan pelbagai tohmahan, kutukan, cacian, makian, hinaan dan sebagainya terhadap rakan ‘pendakwahnya’ yang lain seolah-olah dia seorang yang betul dan berilmu, malah orang lain semuanya salah, tidak berilmu dan bodoh. Tidak cukup dengan itu, diserang pula peribadi mereka yang tidak sehaluan pandangan dengannya.

Persoalannya kenapakah orang-orang agama bersikap begini? Bukankah makin berilmu, kita makin berakhlak dan bersikap merendah diri (tawaduk)? Cukup-cukuplah berfiqah dan berhadis. Sekarang sudah tiba masanya golongan agamawan berkhlak pula. Tiada guna berilmu tinggi jika tidak akhlak kita runtuh dan punah.

Jika pertelagahan dalam kalangan golongan agamawan ini terus menerus berlaku, ia amat merugikan. Ramai masyarakat yang sentiasa menanti-nantikan ilmu dan mutiara kata daripada golongan agamawan, akan mulai terkeliru. Mereka terpinga-pinga mana satu pandangan yang betul dan patut diikuti. Bagi yang mempunyai sikap taksub, mereka akan berpecah-pecah kepada puak-puak kecil, malah bertindak sebagai ‘batu api’ bagi mengeruhkan lagi pertelagahan yang berlaku.

Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah atau peribahasa Melayu “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”. Pepatah atau peribahasa ini memang tepat untuk menggambarkan senario yang mewarnai kehidupan dalam masyarakat Islam hari ini. Apabila orang-orang yang berilmu tidak lagi menggunakan kebijaksanaan mereka ke arah jalan yang benar; dan apabila ulama yang yang sepatutnya menggalas tanggungjawab menyatukan ummah tidak menjalankan kewajipan dan amanah Allah SWT dengan seikhlasnya, maka akhirnya Allah SWT menurunkan bala dan bencana kepada kita dengan pelbagai bentuk dan suasana.

Salah satu bala yang Allah SWT datangkan kepada masyarakat kita hari ini ialah keruntuhan akhlak terutama dalam kalangan para remaja. Jangan hanya menuding jari menyalahkan institusi kekeluargaan dan kerajaan semata-mata apabila berlakunya keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Tidak mustahil ia juga berpunca daripada sikap golongan agamawan yang sering bertelagah dan memperjuangkan pandangan masing-masing sehingga mengabaikan amanah dan tanggungjawab Allah SWT kepada mereka.

Masalah keruntuhan akhlak merupakan agenda utama dan penting untuk sama-sama kita tangani. Lebih malang lagi segala masalah keruntuhan akhlak remaja hari ini seperti penagihan dadah, pembuangan bayi, budaya samseng, derhaka ibu-bapa, keruntuhan moral dan banyak lagi, diungguli oleh remaja Melayu yang sudah semestinya beragama Islam. Kita boleh melihat data-data dan statistik tentang masalah ini sama ada melalui laman-laman internet atau akhbar-akhbar yang terpampang jelas dan saban tahun mengalami peningkatan dari segi jumlahnya. Sesuatu yang menakutkan tetapi realiti yang perlu dihadapi.

Mana mungkin kita hendak membimbing anak-anak remaja kita kembali kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah sedangkan golongan agamawan sendiri sering bercakaran dan berselisih faham sesama mereka. Bagaimana kita hendak meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dan menjadi cara hidup sedangkan pihak yang dipertanggungjawabkan sendiripun tidak memenuhi tuntutan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bagaimana kita hendak menyelesaikan dan menangani masalah keruntuhan akhlak remaja sedangkan pada waktu yang sama kita menunjukkan contoh dan teladan yang buruk serta menjijikkan.

Apa tidaknya, lihatlah hari ini para agamawan yang melaung-laungkan slogan sebagai pembela agama dan umat Islam, pada masa yang sama telah memungkiri dan menodai kata-kata tersebut. Sesetengah golongan agamawan yang hebat sering bercakaran antara satu sama lain berkaitan sesuatu perkara khilafiah yang tidak sepatutnya diperdebatkan. Para agamawan dan penyokong fanatik mereka tidak habis-habis melepaskan dendam kesumat, caci-mencaci dan lebih memalukan memaki hamun antara satu sama yang lain. Masing-masing mendabik dada mengatakan pandangannya lebih benar kerana selari dengan hadis, manakala pandangan orang lain tidak mengikut hadis. Hal ini seolah-olah mereka telah meneliti dan menguasai semua hadis Rasulullah SAW dengan sesuatu kajian yang dijalankan. Apakah benar begini?

Sepatutnya sebagai orang yang memiliki ilmu agama yang tinggi, kita perlu melihat apakah agenda sebenar kita sebagai pendakwah, iaitu menyelesaikan masalah ummah dan bukannya bercakaran sepanjang masa hinggakan terlupa menunaikan amanah dan tanggungjawab yang sebenar. Berdamai dan bersatulah atas nama rasa kasih sayang sesama Islam. Jangan sama sekali biarkan sifat mazmumah hidup subur dalam hati kita. Begitu juga hindarilah benih-benih negatif ini supaya ia tidak tercambah pula dalam diri para pengikut kita benih-benih mazmumah ini dan akhirnya mereka turut mempunyai sifat buruk seperti kita.

Selalunya orang-orang awam tertanya-tanya, mengapa kita tidak boleh bersatu. Kita punyai Islam sebagai sandaran, al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai pegangan, tetapi kadangkala perlakuan dan sikap kita lebih buruk dan teruk daripada golongan yang tiada pendirian agamanya.

Sempena hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini, diharapkan para golongan agamawan dapat bersatu dan bermuafakat demi kebaikan ummah. Lupakan pertelagahan dalam perkara-perkara khilafiah kerana ia sangat merugikan. Berlapang dada dan bersikap rendah dirilah dengan pandangan yang tidak selari dengan pandangan kita. Buang segala perangai buruk seperti caci-mencaci, hina-menghina, dan sindir-menyindir antara satu sama lain kerana hal ini sangat memalukan kita sebagai umat Islam yang dikatakan sebagai umat yang terbaik dan terunggul.

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply