GEMBALA KAMBING DAN U-TURN KERAJAAN PH

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah dedak. Dedak adalah haram.

1MDB ditubuhkan untuk mencuri duit.

GST dilaksanakan untuk membolehkan pemimpin BN berbelanja mewah. GST telah merompak wang rakyat dan kemudian dikembalikan kepada rakyat wang dirompak sebahagiannya.

Syarikat-syarikat China melabur dengan banyaknya di Malaysia dan akhirnya Malaysia akan tergadai kepada China.

Itu adalah perkara-perkara besar yang menjadi bahan kempen Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan BN dan seterusnya menuduh Najib sebagai kleptokrat. Sarawak Report telah menggunakan pelbagai maklumat untuk menjelaskan bahawa pentadbiran BN di zaman Najib mengamalkan rasuah, manakala Wall Street Journal terus mengutip, mencari dan menulis laporan-laporan mengenai skandal 1MDB sehingga membentuk persepsi buruk terhadap Malaysia.

1MDB menjadi fokus penyelewengan terbesar di peringkat antarabangsa sehingga mengalahkan skandal-skandal lainnya, termasuklah penipuan saham Wall Street, dan juga skandal BMF yang belum dimuktamadkan dengan jelas walaupun sudah berlaku lebih tiga puluh tahun lalu.

Hari ini, selepas memahami bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat pelaburan kerajaan yang dikembangkan daripada Terengganu Investment Authority, yang kemudiannya berusaha membangunkan Bandar Malaysia, tidak lagi menjadi bahan serangan politik kecualilah menunggu apa selanjutnya yang akan berlaku ke atas perbicaraan Najib.

FB_IMG_1555740454065

Pembangunan Bandar Malaysia akhirnya diakui oleh Kerajaan PH sebagai daya penarik yang terbaik oleh pelabur asing untuk berniaga di Malaysia. Dalam kenyataan terbaharu, Perdana Menteri melaporkan projek Bandar Malaysia akan diteruskan selepas digantung sementara sejak Julai 2018. Sebelumnya, Menteri Kewangan memuji pembangunan Razak Exchange (TRX) dalam kawasan Bandar Malaysia, kerana ia membuktikan ia berdaya maju.

Menariknya, selepas mengkaji secara serius pembabitan syarikat-syarikat dari China, Kerajaan PH sedar mengenai tuduhan mereka selama ini ‘Malaysia akan tergadai’ adalah pembohongan, kerana syarikat-syarikat tempatan turut terbabit sama. Bukan kesemua projek raksasa yang diputuskan oleh kerajaan terdahulu adalah dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat dari Tembok Besar itu.

Bagaikan ‘terngadah’ Dr Mahathir memberitahu, syarikat-syarikat daripada China bekerjasama dengan syarikat tempatan, iaitu kurang daripada 50 peratus. Rakyat mula membeliak memandang wajah Dr Mahathir, rakyat mula faham apa itu permainan politik Kerajaan PH pada suatu ketika adalah berbeza denga apa yang dilakukan sekarang.

Begitu juga dengan kisah ECRL yang berjaya dirunding semula, dengan melakukan downsizing, Kerajaan PH bersetuju kosnya adalah RM 44 bilion. Persetujuan itu tidak mengejutkan rakyat keseluruhannya, kerana rakyat sudah memahami bahawa Kerajaan PH memangnya akan ‘menjilat ludah sendiri’ dengan melakukan ‘u-turn’. Kali ini, dengan bangganya Kerajaan PH memberitahu, sebanyak RM 21.5 bilion ringgit dapat dijimatkan dan sebagai Ketua Perunding bagi pihak Kerajaan PH, Tun Daim Zainudin mengatakan ‘penjimatan’ itu boleh membina dua atau tiga lagi menara berkembar KLCC.

Wah! Cantik sekali penjelasannya. Tetapi, rakyat bukan ‘buta hati’ dan boleh telan bulat-bulat apa yang dikatakan ‘penjimatan’ kerana rakyat sudah mendengar mantera yang sama ketika MRT3 diputuskan untuk dilaksanakan semula. Ia bukan penjimatan dalam konteks sebenar, kerana pengurangan kos adalah disebabkan pengecilan skop, pengurangan stesen, ketiadaan laluan bawah tanah dan saiz gerabak.

Itulah juga yang berlaku bila ECRL dipersetujui semula. Dengan mengurangkan dua stesen di Kelantan, satu stesen di Pahang (Bentong), ditiadakan stesen Gombak dan pembinaan terowong merentasi Banjaran Kuartz, memendekkan landasan sebanyak 40 kilometer, kosnya ditetapkan kepada RM 44 bilion. Orang ramai bertanya, kenapa RM 44 bilion bukannya setakat RM 30 bilion sebagaimana digambarkan oleh ‘pakar-pakar keretapi’ daripada ‘gerobok PH’ ?

Rafizi yang cerdik dan handal membuat perbandingan pun tidak lagi bersuara dengan kos ECRL berjumlah RM 44 bilion. Semasa berada dalam ‘gerobok PH’, ramailah yang mendakwa, kos yang dianggarkan oleh kerajaan terdahulu sebanyak RM 65 bilion adalah mahal, kerana RM 30 bilion akan digunakan untuk menyelamatkan 1MDB. Maknanya, kos sebenar ialah RM 35 bilion, tetapi kenapa jadi RM 44 selepas pengurangan dan penjajaran semula dilakukan? Di manakah buktinya bahawa kerajaan terdahulu akan menggunakan RM 30 bilion daripada kontrak ECRL untuk menyelamatkan 1MDB?

Betullah apa yang disifatkan oleh Presiden PAS bahawa Kerajaan PH sebenarnya diterajui oleh Pak Pandir.

Betul juga apabila ada orang melihat Kerajaan PH sekarang adalah saperti kisah si gembala kambing, yang seronok apabila ramai orang datang untuk menolongnya dan menyelamatkan kambing-kambing setelah berteriak ‘Harimau! Harimau!’.Akibat seronok menipu, si gembala itu melakukan sekali lagi. Kali kedua, ada juga orang datang untuk membantu. Tetapi, bila diteriakkan hari-hari berikutnya, orang tidak lagi percaya dan datang membantu walaupun harimau benar-benar muncul pada hari berkenaan.

Kerajaan PH mencari simpati, sebab kerajaan terdahulu meninggalkan hutang lebih RM 1 trilion, maka sukarlah untuk melaksanakan janji-janji. Selepas kisah hutang yang besar itu dipersoalkan, Kerajaan PH menggunakan dalih ‘manifesto bukan kitab suci’ dan kerana itu ia tidak semestinya dilaksanakan, Lebih menarik, Dr Mahathir berkata, “malaikat pun membuat silap. Apabila malaikat sedar ada kesilapan, ia berpatah balik.’ Sekarang tahulah rakyat, kenapa Kerajaan PH semakin sibuk untuk berpatah balik atau u-turn.

Kerajaan PH menjilat semula ludahnya, kerana Dr Mahathir sedar, dedak mesti ada kalau mahu kekal berkuasa dan rakyat tidak ‘berguling-guling di atas jalan raya’ saperti Mat Sabu, Mujahid, dan Tian Chua lakukan pada suatu ketika. Dr Mahathir faham, rakyat sudah mula menuntut, rakyat sudah mula bertanya, mana tol yang akan dihapuskan, mana-mana-mana sejuta peluang pekerjaan yang dijanjikan.

Rakyat juga bertanya, kenapa terlalu lama ambil masa untuk menurunkan harga petrol? Kenapa kos sara hidup terus meningkat dan pendapatan rakyat semakin mengecil? Mana-mana-mana-mana itu dan ini :10 janji untuk 100 hari pertama, dan rakyat menjadi terlalu hiba apabila diminta untuk ‘mengikat perut’. Rakyat diminta berbuat demikian, tetapi menteri-menteri terus melakukan lawatan ke luar negara dengan alasan menarik pelaburan. Berapa banyak pelaburan yang sudah berjaya dibawa balik? Berapa banyakkah wang dibelanjakan untuk lawatan ke luar negara?

Bloomberg membuat kesimpulan, Malaysia bakal berhadapan dengan situasi sukar, bakal hilang dalam perniagaan pasaran saham, ringgit terus menyusut dalam jangka masa yang lama (dan masih belum pulih), dan bagi tahun 2018, kerugian sudah mencecah RM 157 bilion. Hiba rakyat mendengar Tabung Haji memberikan hibah sebanyak 1.25 peratus. Pencarum KWSP mula gelisah bila Menteri Kewangan mencadangkan majikan hanya mencarum 4 peratus sedangkan pekerja masih 10 atau 11 peratus.

Bila majikan mencarum lebih rendah daripada kadar biasa, bererti pekerja akan mempunyai wang persaraan yang lebih kecil di akhir perkhidmatannya. Majikan mendapat untung besar, kerana penjimatan daripada kadar caruman yang lebih rendah.

Dalam ‘hutang banyak’, Kerajaan PH terpaksa menjual aset-aset tertentu untuk mendapatkan wang, sebaliknya, rakyat semakin terhimpit bila harga kelapa sawit dan getah terus jatuh. Menteri membuat cadangan, kelapa sawit seharusnya digantikan dengan tanaman lain yang lebih berharga, saperti buluh dan buah-buahan. Nampak sangat menteri-menteri Kerajaan PH cuba lari daripada menyelesaikan masalah rakyat, dan lebih gemar menyalahkan kerajaan terdahulu. Akhirnya, rakyat sedar bahawa budaya politik hybris memang tebal dalam kalangan menteri-menteri Kerajaan PH.

Dan, sekali lagi kisah gembala kambing menjadi rujukan. Lagenda gembala kambing akan terus kekal selagi Kerajaan PH berdolak-dalik, menuding jari, membuat u-turn dan mengkhianati etika politik yang didendangkan sebelum memperoleh kuasa. Kini, selepas banyak kali melakukan u-turn, Kerajaan PH dilihat semakin bersiap sedia untuk meracuni diri sendiri apabila lebih gemar menjenamakan semula program-program tertentu dengan istilah Inggeris.

Menteri Pendidikan menjenamakan semula Program Permata Pintar kepada Genius. Menteri Belia dan Sukan menjenamakan 1M4U menjadi Impact Malaysia. Selepas ini, tentunya bersepahlah istilah-istilah Inggeris digunakan sebagaimana keghairahan Dr Mahathir menamakan jalan-jalan di Putrajaya, kawasan-kawasan pejabat dengan nama Precint, sehingga Prof Datuk Dr Salleh Yaapar sedih mendengar nama-nama itu. Antara bait-bait puisi itu ialah:

Kepada anak yang mula menggaru kepala, si bapa masih juga bercerita

Ha, itu pun LRT yang melengkar kota

Dari KL Sentral ia meluncur hingga KLIA

Tentunya sepanjang Multimedia Super Corridor

MSC, mercu tanda sains dan teknologi.

 

Sampai di Lembah Pantai akhirnya si anak bertanya

Bapa, tidak adakah apa-apa yang namanya dalam bahasa Melayu

Bahasa yang menurut guru sejarah saya pernah dianggap jiwa bangsa.

 

Bapa, bukankah di Muzium Negara, tanya si anak

Mungkin juga, jawab bapanya selamba.

(Balada Orang Kehilangan Jiwa Dalam Ceritera Merdeka)

 

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply