GERAKAN GULEN YANG GAGAL

Tarikh 15 Julai 2016 menyaksikan cubaan rampasan kuasa untuk kali ke 3 sepanjang sejarah Turki Moden. Namun kali ini ia berbeza sama sekali dengan rampasan kuasa yang pernah berlaku sebelumnya di mana ia berakhir dengan status gagal. Rampasan kuasa kali ini juga adalah cubaan untuk menjatuhkan kehendak rakyat dan kepimpinan negara yang dibina di atas demokrasi.

Kejadian tembak menembak tetap juga berlaku dan membawa kepada kematian lebih dari 160 orang terdiri dari anggota keselamatan dan orang awam. Ia merupakan cubaan terancang oleh sekumpulan tentera yang berfikiran sekular yang mendapat sokongan oleh gerakan Gulen (Gulen Movement). Gerakan gulen yang dipimpin oleh Fethullah Gulen yang merupakan  agamawan dalam buangan yang menetap di Amerika Syarikat sejak 40 tahun yang silam.

Setelah parti AKP memegang tampuk pemerintahan beliau ditawarkan pulang untuk membantu membangunkan Turki bersama-sama rakyat jelata namun beliau enggan. Beliau yang mempunyai pengaruh dalam kalangan tentera dan polis telah menggunakan kesempatan tersebut untuk membentuk negara dalam negara di Turki namun idea ini telah ditolak oleh Kerajaan Turki.

Gerakan Gulen terus membentuk pengaruh di luar negara menerusi berbagai program kemasyarakatan untuk memenangi sokongan orang Islam di dunia Islam dan penduduk minoriti muslim. Kenyataan Kerajaan Turki telah jelas menunjukkan terdapat pakatan sulit US, Mossad dan Gulen dalam usaha kudeta ini. Berbagai bukti yang tidak dapat disangkal lagi telah dikemukakan sekaligus membuktikan siapakah dalang di sebalik kudeta ini ditambah pula dengan pengakuan oleh tentera dan polis yang terlibat dalam peristiwa berdarah tersebut.

Erdogan telah mendapat sokongan penuh rakyat bila mana rakyat Turki telah berbondong-bondong keluar ke jalan raya menyekat kudeta tersebut diiringi oleh azan dan selawat di serata masjid di seluruh Turki. Orang awam sendiri telah melakukan tangkapan dan sekatan awam yang luar biasa sekaligus membuktikan sifat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyat Turki terhadap negara mereka.

Yildirim, Perdana Menteri Turki yang baru telah berjanji untuk menghukum mereka yang terlibat dan membersihkan negara dari anasir kudeta ini manakala ketua turus angkatan tentera Turki telah memberikan kenyataan bahawa kudeta kali ini telah pun ditamatkan namun masih terdapat saki baki yang belum dikesan. Kudeta yang berstatus gagal di Turki ini telah mendapat kutukan seluruh dunia Islam kecuali beberapa kenyataan di Barat yang menyokong rampasan kuasa yang tidak bermaruah ini.

Sehingga 17 Julai 2016 ratusan ribu rakyat Turki telah keluar beramai-ramai menunjuk perasaan secara aman di seluruh Turki terutama di Ankara, Izmir, Antalia dan Istanbul, sebagai menyatakan sokongan mereka kepada negara dan pemimpin mereka Erdogan di samping menunjukkan bantahan kepada golongan anti demokrasi. Tunjuk perasaan kali ini amat unik di mana hanya bendera Turki sahaja yang dijulang dan tiada laungan dan slogan kepartian dan NGOs yang kedengaran.

Jika diperhatikan mereka yang menyertai tunjuk perasaan ini kita tidak akan dapat membezakaan antara golongan islamist dan sekular, mereka melaungkan satu slogan dan satu keinginan iaitu kestabilan untuk Turki, keamanan untuk Turki dan kejayaan untuk Turki. Akhbar Turki senada pada hari ini mengutuk kudeta tersebut dan menuntut mereka yang terlibat dijatuhi hukuman bunuh.

Greece telah bersetuju mengembalikan mereka yang terlibat kepada kerajaan Turki setelah mereka melarikan diri ke negara tersebut untuk mendapatkan perlindungan politik. Permohonan ekstradisi terhadap Fethullah Gulen telah di buat oleh Ankara kepada kerajaan Amerika Syarikat. Satu persoalan yang perlukan jawapan dari Gulen dan pengikutnya; kenapa sepanjang pemerintahan sekular beliau tidak melakukan kudeta seumpama ini dan ia hanya dilakukan ketika Turki dibawah pemerintahan yang tulus dan demokrasi, ketika Turki telah keluarkan diri dari perhambaan Barat, ketika Turki menjadikan Allah sebagai matlamat dan ketika Turki menjadi tempat dunia Islam mengadu nasib?.

Kita juga akan menyaksikan apa lagi helah Amerika dalam menghadapi isu ini apakah ia akan menyerahkan musuh Turki dalam peliharaannya ini dibawa pulang ke Turki dan bakal mendedahkan pekung US atau akan menghadapi kekeruhan hubungan dengan negara Islam terkuat di dunia itu?

Ulasan Rasmi:

Prof. Madya Dr. Ibnor Azli Ibrahim

Pengerusi, Kelab Al-Quran Al-Karim Malaysia.

Keluarga Risale i-Nur Malaysia.

Setiausaha, Persatuan Kebudayaan Malaysia-Turki.

No Comments

    Leave a reply