GHAIRAH MENJUAL PRODUK GHAIRAH

Penggunaan media sosial telah melangkaui kepada bidang perniagaan sehingga menyebabkan ada wanita berusaha menjual secara dalam talian produk khusus untuk ‘mengghairahkan lelaki’. Sesekali membaca terasa ada sesuatu yang tidak kena dalam keghairahan segelintir mereka yang berniaga dalam talian, dan apabila teguran dibuat, pihak yang mengendalikannya mendakwa ia adalah satu bentuk ‘sabotaj’ kerana berusaha menutup rezeki orang lain.

Saya cuba berkomunikasi dengan pengiklan ‘produk untuk lelaki’ yang menggunakan akaun facebook wanita muda di mana gambar yang dipaparkan bukan sahaja tidak menutupi aurat bahkan dimasukkan kata-kata ghairah. Dalam bidang periklanan, selain hiasan gambar yang menarik, perkataan yang dipilih juga boleh membantu penjualannya.
Seandainya bukan wanita atau perempuan muda berwajah seksi dan menarik mengiklankan ‘produk lelaki’, tidak ramai yang akan memberikan komen sama ada dalam bentuk negatif atau positif. Lebih mendukacitakan ialah apabila pengiklan wanita itu menyebut bahawa mereka yang membuat komen negatif adalah ‘mereka yang cuba menyekat rezeki yang diberikan oleh Allah SWT’.

Apabila ada yang menempah, wanita yang mengiklan produk berkenaan menulis: Alhamdullillah, hari ini mendapat pembelian yang bagus. Bulan ini sudah memperoleh tempahan yang baik dan lumayan’. Dari satu perspektif, ia membawa kepada ‘keyakinan dan kepercayaan’. Tetapi, apakah keyakinan dan kepercayaan itu akan kekal?

Produk lelaki yang diiklankan itu didakwa memberikan kesan yang menarik dalam ‘hubungan intim pasangan suami isteri’ walaupun dari segi farmaseutikal ia sudah disahkan mengandungi bahan terlarang, termasuk dadah merbahaya. Misalnya, suatu produk untuk meningkatkan ‘tenaga lelaki’ telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataannya pada 13 Februari 2017 mengandungi ‘tadafil’, pengiklan wanita berkenaan terus mengiklankannya.

Apabila ada netizen mempersoalkan ‘produk lelaki’ itu, pengiklan wanita memberikan jawapan bahawa barangan yang diiklankan adalah ‘produk asli’ manakala yang diharamkan ialah ‘produk klon’. Setelah disemak, ternyata produk berkenaan memangnya diharamkan walaupun dikatakan 100 peratus adalah produk herba, dan ia bukanlah bermakna semua herba boleh digunakan tanpa analisis kimia.

Pengeluaran ubat-ubatan banyak dilakukan menerusi proses bioteknologi dan ekstrak bahan herba. Dalam dunia perubatan, sebahagian herba tidak boleh diambil oleh manusia secara langsung, ia memerlukan proses ekstrak dan penilaian dari segi sukatannya, sebab itulah ada sesetengah bahan herba tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah diabetes dan juga hipertensi.

Lebih menyedihkan apabila pengiklan wanita dicabar oleh netizen lelaki akibat kata-kata promosi yang dipaparkan dalam facebook. Ada netizen lelaki ‘mengajak pengiklan wanita’ berkenaan untuk ‘sama-sama mencuba’ bagi membuktikan produk itu benar-benar berkesan atau mujarab. Bila keadaan itu berlaku, pengiklan wanita berkenaan mula ‘membelasah’ lelaki yang ‘mencabar’ maka terjadilah perdebatan yang panjang dalam facebook. Akibatnya, pengiklan wanita mula mengeluarkan ‘kata-kata yang kurang menyenangkan’, dan kembali bercakap mengenai adab dan moral.

Saya melihat situasi seperti ini sama dengan ‘pertikaian’ yang pernah berlaku antara ‘penjual vape’ dan pihak berkuasa. Pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan ‘vape’ adalah diharamkan manakala penjualnya mendakwa ia akan menyekat rezeki para penjual. Apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa ialah melihat kesan ke atas penggunaan vape. Menghisap ‘vape’ boleh memudaratkan kesihatan, apatah lagi apabila ‘cecair vape’ itu dicampur dengan pelbagai bahan terlarang untuk menghasilkan aroma ‘menakjubkan’ atau ‘lebih sedap’.

Begitu juga dengan iklan ‘produk lelaki’ walaupun ia tidak dikelasifikasikan sebagai ubat. Ia dikelasifikasikan sebagai ‘supplemen’ dan pengharamanya dilakukan setelah ujian makmal membuktikan ia mengandungi ‘bahan terlarang’ yang boleh meransang ‘ghairah seks’. Dalam jangka masa panjang, ‘bahan terlarang’ itu boleh menyebabkan kesan sampingan yang memudaratkan, termasuk boleh menyebabkan gangguan kepada jantung dan sistem pernafasan.

Beberapa tahun lalu (2011), terdapat laporan akhbar bahawa penggemar ‘kopi pacak’ atau dikenali kopi campuran peransang tenaga batin telah dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas akibat meminumnya bagi membangkitkan ghairah seks. Lelaki warga emas itu berjaya diselamatkan dan pihak berkuasa telah memberikan amaran agar tidak meminum ‘kopi pacak’ yang disahkan mengandungi bahan kimia merbahaya.

Bagaimanapun peristiwa sedemikian tidak ‘menyekat’ segelintir orang untuk berhati-hati mengambil ‘bahan supplemen’ bagi meransang ghairah seks walaupun pihak berkuasa telah mengharamkan penjualannya. Produk tersebut kebiasaannya tidak terdapat di farmasi, ia dijual oleh ‘penjual tidak berlesen’ sama ada di kaki lima ataupun dalam talian.

Kebiasaannya, bahan peransang seks mengandungi salah satu atau campuran beberapa bahan kimia yang boleh meningkatkan aliran darah dengan cepat. Antara bahan kimia yang dikenalpasti ialah tadalafil, sildenafil dan verdanafil. Di Malaysia, beberapa produk yang didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia ialah Viagra (mengandungi sildenafil), Cialis (tadalafil) dan Levitra (verdanafil). Setiap pil mengandungi sukatan yang dibenarkan dan sebelum dijual kepada umum, produk tersebut mengalami beberapa proses ujian makmal bagi menentukan tahap selamat digunakan.

Keadaan ini berlainan dengan beberapa produk yang didakwa sebagai ‘herba sepenunnya’ yang dijual di sekitar pasar malam, pasar minggu ataupun dalam talian sebagaimana diiklankan oleh pengiklan wanita ‘produk lelaki’. Setelah beberapa jam berkomunikasi menerusi chatting facebook, saya gagal mendapatkan nombor pendaftaran mengenai ‘produk lelaki’ bagi membolehkan semakan dibuat, sebaliknya, pengiklan wanita tersebut menunjukkan kemarahan yang besar.

Pengiklan wanita tetap mempersoalkan tindakan saya yang memaparkan produk yang dijual itu ada dalam senarai terbaharu yang diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, yang katanya, apa yang dijual adalah produk asli manakala yang diharamkan itu adalah produk klon. Sekali lagi saya membuat semakan, dalam kenyataan yang dikeluarkan, ‘produk lelaki’ itu tidak pun dinyatakan yang diharamkan adalah ‘produk klon’, asas yang dibuat ialah kerana mengandungi ‘tadalafil’ setelah diperiksa bahan kimianya oleh pakar.

Bahan herba yang dikomersialkan secara tradisi tidak dilakukan secara ‘selamat’ seperti ‘ujian makmal’ dan ‘ujian klinikal’. Kebanyakannya dicampurkan berdasarkan ‘pengalaman’ pengusahanya sedangkan dalam perubatan makmal, tahap campurannya dilakukan secara berperingkat-peringkat, dan disesuaikan menurut tahap kesihatan atau kesesuaian seseorang.

Bagi yang mengalami masalah jantung, pakar perubatan akan mengesyorkan pengambilan dalam tahap yang rendah manakala produk herba tidak memberikan anggaran yang tepat dan sepatutnya diambil oleh orang yang berbeza tahap kesihatannya. Kebanyakan produk herba mengesyorkan supaya diambil dalam tempoh yang panjang, kerana herba tidak mengandungi bahan kimia.

Anggapan bahawa herba tidak mengandungi bahan kimia adalah suatu dakwaan yang bertujuan untuk memberikan jaminan palsu kepada pengguna. Sebahagian besar perubatan moden menggunakan herba untuk dijadikan bahan asas dalam ubat-ubatan, tetapi, setiap proses yang dilakukan ialah secara berhati-hati dan memerlukan penyelidikan yang lama. Perlu difahami bahawa herba atau tumbuh-tumbuhan turut mengandungi ‘dadah’ termasuklah sejenis dadah yang terkenal, morphine. Morfin dihasilkan menerusi proses lanjutan daripada getah pokok popi, yang kemudiannya boleh ditingkatkan kepada penghasilan heroin.

Morfin pada asalnya digunakan untuk menghilangkan ‘rasa sakit’ ketika pakar perubatan melakukan proses pembedahan, dalam ubat bius. Morfin juga digunakan sebagai ‘ubat penahan sakit’ dan penggunaan dikawal oleh pakar perubatan. Sekiranya pesakit dibenarkan mengambil ubat-ubatan, pakar perubatan akan memberikan nasihat bagaimana cara pengambilannya, setelah memeriksa tahap kesihatan yang dihadapi. Inilah berbeza dengan produk herba yang didakwa bebas seratus peratus bahan kimia, termasuk ‘produk lelaki’ yang didakwa berasaskan herba.

Kementerian Kesihatan beberapa kali mengeluarkan kenyataan bahawa ‘tidak mudah percaya’ dengan pengeluar produk herba yang menggunakan pelbagai bentuk testimonial bagi melariskan jualan. Produk berkenaan kadangkala diiklankan mampu mengubat pelbagai jenis penyakit, termasuklah masalah yang dihadapi oleh lelaki berusia ataupun mereka yang tidak mengamalkan budaya hidup sihat, lebih percayakan kepada penggunaan ubat-ubatan daripada mengambil langkah pencegahan sebelum menderita ‘lemah tenaga’.

Gaya hidup moden telah memberikan tekanan kepada kesihatan mental yang akhirnya boleh menjejaskan ‘tenaga kelelakian’. Ia dipercepatkan dengan pengambilan alkohol, merokok, makanan yang mengandungi kalestrol dan tidak melakukan aktiviti senaman secara konsisten. Kita sepatutnya boleh mengelakkan ‘pelbagai penyakit’ termasuk ‘lemah tenaga’ apabila kita mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa bersenam. Untuk membolehkan kita berstamina, kita memerlukan latihan yang berterusan dan bukannya mengharapkan seratus peratus kepada ‘produk lelaki’ sebagaimana diiklankan secara tidak bersopan.

Permintaan terhadap ‘produk lelaki’ telah menyebabkan pelbagai produk dihasilkan dengan cara yang tidak selamat, termasuk dengan mencampurkan pelbagai ramuan dalam minuman ataupun makanan tambahan. Ia seperti ‘gula-gula’. Pengambilan yang berterusan boleh mengancam nyawa, tetapi ramai yang tidak serik.

Keadaan ini menyebabkan pelbagai ‘produk lelaki’ semakin banyak diiklankan dalam media social dengan menggunakan perkataan berbau ‘motivasi seks’, visual ghairah dan testimonial tertentu. Bagaimanapun, kandungan sebenar bahan yang digunakan tidak nyatakan dengan jelas, kecualilah hanya menyebutnya beberapa nama herba, seperti tongkat ali (long jack), gingko dan biji-bijian tertentu (sky fruits).

Berdasarkan analisis kimia, sesetengah bahan yang dicampurkan itu boleh menyebabkan kesan buruk kepada pengguna, termasuk kerosakan hati, buah pinggang dan gangguan mental. Kombinasi dengan bahan nitrat yang terdapat di dalam produk lain boleh menyebabkan kesan kardiovaskular, sehingga boleh menyebabkan mati mengejut.

Bagi menyakinkan orang ramai, pengeluar atau pengiklan melakukan promosi dengan memaparkan testimonyi ‘palsu’ misalnya ‘isteri bertambah sayang’, ‘kerukunan rumah tangga berkekalan’, dan lebih membingungkan ialah ‘kehangatan malam seperti malam pertama’. Ungkapan tersebut jelas menggambarkan ‘pembohongan’ atau misleading kerana kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga bukan semata-mata bersandarkan kepada ‘keperluan seks’. Meskipun seks itu penting dalam kehidupan manusia, testimoni yang dipaparkan membawa kesimpulan, tanpa seks manusia tidak akan hidup bahagia dan aktiviti seks menguasai seluruh prasyarat rumah tangga.

Keghairahan baharu ialah dengan memaparkan ‘akaun wanita muda’ yang seksi, menarik dan mempunyai ‘tarikan seks’. Pedihnya ialah wanita yang dikatakan sebagai ‘peruncit’ atau ‘penjual’ tersebut menerima pelbagai mesej nakal daripada lelaki nakal. Mesej yang dipaparkan dalam ‘chatting’ menyebabkan ‘wanita muda’ terasa dirinya dipersendakan, menerima persepsi buruk dan tidak kurang mengajak untuk membuktikan ‘kemujaraban makanan tambahan’ yang diiklankan itu.

Bahaya ini berpunca daripada ‘wanita muda’ yang berusaha menggunakan ‘mesej ghairah’ untuk menarik pelanggan. Ertinya, jika tidak diiklankan sedemikian, kecenderungan menerima ‘ancaman’ tidak mungkin berlaku. Hal ini berlaku kerana ‘wanita muda’ sering memperoleh likes yang tinggi walaupun hanya sekadar memberi salam ataupun ucapan selamat pagi. Jumlah likes menjadi petunjuk populariti. Populariti semakin menjadi sumber ekonomi, ia menarik kemasukan iklan.

Sebab itulah semakin ramai ‘wanita muda’ terperangkap dalam teknik pemasaran ‘produk lelaki’ walaupun tidak memahami kandungannya dengan jelas. Contohnya, apabila dikomen, ‘pengiklan wanita’ menjawab: Saya hanya nak membantu mereka yang bermasalah, bukan melakukannya. Saya hanya menjual produk, tidak memberikan perkhidmatan. Saya tidak mencuba, tapi ramai yang memberitahu, produk ini amat berkesan.

Produk tersebut sebahagiannya diseludup dari negara jiran seperti China, India, Thailand dan Indonesia. Produk tersebut dihasilkan sebagai ‘makanan tambahan’ dalam bentuk minuman seperti extend-up energy drink atau mental candy. Sebahagiannya, produk-produk tersebut dibungkus kembali dengan jenama yang lain bagi mengabui mata pihak berkuasa dan menarik minat golongan yang ‘kekurangan tenaga’ .

Pengambilannya boleh juga menyebabkan tekanan darah rendah di mana pengguna akan merasa pening dan hampir pitam. Ini kerana bahan aktif yang diubahsuai dan tidak didaftarkan termasuk dalam kategori ‘racun berjadual’ ataupun ‘dadah’ yang dikawal di mana penggunaannya adalah atas nasihat atau perakuan doktor perubatan. Penjual produk tidak berdaftar hanya mementingkan keuntungan dan atas kepentingan itulah mereka sanggup mengambil pelbagai pendekatan untuk melariskan produk.

Pembelian produk “peransang seks” dan juga ‘makanan tambahan’ melalui internet, orang perseorangan, kaki lima, pasar malam, pasar tani dan kedai-kedai yang tidak berlesen (dihantar menerusi parcel atau secara pos) boleh membahayakan diri kerana produk yang dijual adalah tidak dijamin dari segi mutu dan keselamatannya.

Hati-hatilah, iklan seperti itu lebih banyak mudarat dan pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas. Suatu peraturan yang lebih keras perlu digubal, kerana ia boleh mengancam nyawa lebih ramai orang. Undang-undang juga perlu untuk menyekat ‘iklan’ produk seumpamanya, kerana sebahagian besar ‘perniagaan dalam talian’ mengarahkan kepada penjualan barangan yang tidak berdaftar dan mendapat kelulusan.

No Comments

    Leave a reply