Gila dunia, kuasa undang perpecahan ummah

Nasihat ini pernah disampaikan Rasulullah SAW kepada sahabat. Baginda menjelaskan umat Islam suatu hari nanti akan menjadi seperti buih di lautan. Mereka akan diratah oleh umat lain.

Sahabat bertanya: “Apakah umat Islam ketika itu sedikit?” Rasulullah menjawab: “Tidak.” Bahkan menurut hadis itu, umat Islam ketika itu ramai, cuma mereka seperti buih di lautan. Mereka dihanyutkan ke sana dan ke mari kerana jiwa lemah. Baginda menjelaskan apa yang menjadikan umat Islam lemah adalah kerana terlalu mencintai dunia dan takut mati.

Perhatikan di sini bagaimana Rasulullah SAW mendidik kita bahawa gilakan dunia dan kuasa pemerintahan, umat Islam boleh menjadi lemah serta binasa.

Melalui hadis itu, Rasulullah SAW memberikan amaran apabila umat Islam lemah, Allah SWT akan mencabut rasa takut musuh kepada umat Islam. Ini bererti, ummah akan dipandang rendah dan tidak dihormati.

Jika ditelusuri sejarah umat Islam, kita dapati perebutan kuasa menjadikan mereka sebagai umat berpecah dan lemah. Mereka lupa kuasa pemerintahan ialah amanah seperti diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abu Zar.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan umat terdahulu pernah menjadi binasa disebabkan pertelagahan dengan pemimpin mereka.

Mereka terlalu banyak mempersoalkan tindakan pemimpin dan bertelagah dengan pemimpin. Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku dalam kalangan umat Islam, Rasulullah SAW berpesan kepada kita bahawa: “Sesungguhnya umat terdahulu daripada kamu binasa atas perbuatan mereka yang banyak mempersoal serta bertelagah dengan pemimpin mereka.” (HR Muslim)

Menghayati hadis di atas, sebahagian sarjana Muslim amat bimbang untuk memegang apatah lagi berebut untuk menjadi pemimpin. Mereka sedar kuasa pemerintahan adalah amanah besar yang akan menyebabkan ummah terjerumus ke dalam kebinasaan, jika tidak ditangani dengan baik.

Atas dasar itu seorang tokoh sufi terkenal pernah berpesan, bahawa sifat gilakan kuasa ini akan merosakkan peribadi seseorang. Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang itu menjadi hasad dengki, bahkan suka mencari keaiban manusia lain.

Fudail Iyyad mengingatkan: “Tiada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepemimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”

Malah Imam Abu Daud al-Sijistani, tokoh hadis terkenal, melihat sifat ini sebagai antara penyakit atau menggelarnya sebagai syahwat tersembunyi.

Beliau pernah ditanya mengenai apakah yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyi. Lalu dia berkata: “(Mereka yang) cintakan kuasa.”

Atas dasar itu. Imam Abu Ayyub al-Sakhtiyani berpesan mereka yang cintakan kemasyhuran dan kepemimpinan adalah mereka yang sukar dipercayai.

Beliau berkata, “Tiada yang benar langsung buat si hamba yang mencintai kemasyhuran.”

Dalam situasi tidak menentu hari ini, pemimpin Muslim perlu mementingkan perdamaian dan kesatuan. Kesatuan umat Islam memberikan mereka kelebihan.

Bersepakat atas perkara yang memberikan kebaikan buat umat Islam adalah asas paling utama. Janganlah kita hanya mementingkan posisi dan kedudukan sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab yang paling utama bagi seorang pemimpin iaitu memelihara Islam dan Muslim.

Oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber : berita harian

No Comments

    Leave a reply