‘GOVERNMENT OF THE DAY’ SETIALAH SAMPAI BERSARA

Frasa ‘government of the day’ begitu popular pada tahun lalu apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan. Ini tidak bermakna ia merupakan frasa baharu dalam pentadbiran awam. Bahkan frasa tersebut sentiasa diberikan penekanan apabila situasi politik negara cenderung berpihak kepada sesebuah parti politik atau gabungan parti politik.

Saya pernah mengenali istilah tersebut semasa mengambil kursus Pentadbiran Awam di tahun dua pengajian universiti kerana saya memilih bidang pengkhususan kecil ialah Sains Politik selepas pengkhususan utama Komunikasi Massa. Saya juga pernah ditugaskan untuk membuat perbincangan teori mengenai hubungan parti politik dan peranan penjawat awam kerana penjawat awam adalah kumpulan pelaksana kepada dasar-dasar pemerintahan, di mana dasarnya diputuskan elit politik yang berkuasa, sama ada berbentuk dasar di peringkat organisasi khusus ataupun kerajaan secara keseluruhan.

Setelah saya memasuki perkhidmatan awam pada tahun 1982, kebetulan ketika itu sedang bermulanya proses pembinaan Malaysia berdasarkan kerangka pentadbiran moden, yang bersangkut paut dengan kualiti pekerjaan dan kecepatan membuat keputusan atau melaksanakan arahan. Saya tidak berhadapan dengan banyak masalah di perinkat awal kerana mempunyai beberapa lapis lagi pegawai kanan yang sedia memberikan petunjuk dan bimbingan. Hanya sedikit bermasalah apabila berhadapan dengan pemimpin-pemimpin politik yang kadangkala bercakap berdasarkan rasional politiknya, bukan berbekalkan peraturan-peraturan yang mengikat penjawat awam.

Penjawat awam mempunyai kekangan sama ada berbentuk halangan birokrasi ataupun halangan pentadbiran (yakni tertakluk kepada Perintah Am dan Arahan Perbendaharaan). Bagi elit politik, ada ketikanya tidak perlu ‘tertakluk kepada buku’ kerana ianya boleh menyebabkan laba politiknya terjejas ataupun dilihat tidak merasionalkan kehendak rakyat.

Sistem politik Malaysia yang masih kekal dengan ‘politik penaungan’ telah meletakkan elit politik sebagai mereka yang boleh mempercepatkan sesuatu keputusan, walaupun pada asalnya tidak ada peruntukan ke atas sesuatu projek. Dalam bahasa mudah, elit politik mestilah bijak mencari peluang dan ‘menyesuaikan keadaan’ walaupun hanya sekadar janji akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Frasa ‘government of the day’ bermaksud kerajaan yang memerintah, yakni majikan kepada penjawat awam. Saperti diketahui umum, dalam prinsip berorganisasi, menghormati dan mematuhi kaedah berorganisasi adalah penting, kerana tanpa kesetiaan kepada organisasi maka organisasi itu akan runtuh atau bermasalah. Begitulah yang tersirat makna daripada apa yang diingatkan semula oleh Perdana Menteri kepada penjawat awam, iaitu berkecuali dari pendirian politik semasa melaksanakan sesuatu tugas, kerana bagi bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohamad Sidek Hasan penjawat awam mestilah melaksanakan tanggungjawabnya tanpa terikat kepada ‘warna kulit’ atau pilih kasih.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan ‘no color blind’? Frasa ini menjadi menarik kerana dalam politik pejabat, penjawat awam juga terbahagi kepada kumpulan-kumpulan tertentu, sama ada ia bersifat kategori perjawatan, orientasi tugas ataupun kelompok tertentu. Budaya kelompok turut membawa tafsiran bahawa penjawat awam turut membabitkan persoalan politik pejabat, yakni kelompok yang sentiasa melihat ‘boss always right’.

Ketua sentiasa betul dan setiap keputusannya wajar dihormati, kerana boss akan menilai sejauhmanakah prestasi seseorang itu. Situasi ini turut mengakibat konflik kerana sebahagian kecil boss mempunyai kecenderungan menjaga status, melibatkan protokol tertentu dan tidak boleh disanggah ideanya. Sebagai penjawat awam, saya pernah tersepit dalam ‘permainan politik pejabat’ kerana kebetulan saya ditempatkan di bawah pengawasan seorang ketua suka mencari populariti manakala ketua yang lain melihat populariti itu sebagai cabaran peluang kenaikan pangkatnya.

Begitu juga apabila kita bekerja secara langsung dengan elit politik, terutama dengan pegawai-pegawai yang dilantik secara peribadi oleh menteri dan timbalan menteri. Dalam banyak perkara, mereka tidak memahami ‘kekangan’ yang kita hadapai, yang penting bagi mereka ialah setiap arahannya dapat dilaksanakan dengan cepat dan tangkas. Kadangkala ada penjawat awam terjerat dengan keputusan elit politik sehingga menyebabkan penjawat awam menjadi mangsa ‘kerakusan elit politik’.

Elit politik dapat melepaskan diri manakala penjawat awam terpaksa mempertahankan diri turun naik mahkamah akibat keputusan yang dipertikaikan kemudiannya. Saya melihat sebahagian penjawat awam yang dikenakan dakwaan rasuah adalah disebabkan oleh perkara tersebut, walaupun bukan semua mereka yang dituduh menerima rasuah itu benar-benar melakukannya atas kehendak peribadi atau ‘konflik kepentingan’ sebagaimana dinyatakan oleh Dr Mahathir ketika di Melaka semalam.

Memang ada keingin penjawat awam hidup mewah, tetapi, perlu diingatkan bahawa kemewahan itu disebabkan elit politik pernah melakukan perkara yang sama. Setelah mengurus keinginan elit politik, maka penjawat awam akan memahami bahawa adalah lebih baik melakukan perkara yang sama sebab elit politik paling banyak menunjukkan teladan salah.

Secara jelasnya, elit politik akan mencari sumber kewangan bagi melangsungkan kerjaya politiknya. Kedudukannya dalam politik bergantung kepada sumber yang dimiliki, dan tanpa sumber kewangan yang besar, akan menyebabkan kedudukannya tergugat bila adanya proses pemilihan. Mahu tidak mahu, elit politik mencari ‘sumber’ dan sebahagian ‘sumber’ itu diperoleh dari Kementerian yang dipertanggungjawabkan.

Sebab itulah apabila semakin ramai lantikan politik dibuat, maka semakin banyaklah keinginan orang-orang di sekitarnya mencari peluang, termasuklah membawa masuk peniaga-peniaga tertentu atas alasan ‘mengumpul dana politik’ dan ‘melaksanakan aktiviti politik menteri.”

Sekiranya perkara ini dapat disekat oleh peraturan tertentu, ramai yakin bahawa masalah sebahagian besar penjawat awam dapat diatasi. Tekanan politik tidak timbul kerana elit politik bukan berusaha mencari peluang dan ruang untuk memperbanyakkan jaringan agar kelihatan lebih kuat dan bertenaga dari segi kewangan. Kita mungkin tahu, setelah beberapa tahun mempunyai kedudukan dalam politik, elit politik sudah berjaya membina kekayaan peribadi. Ada ketikanya mula menunjuk-nunjukkan ‘kelebihan material’ dengan pakaian berjenama, kereta mewah dan sesekali menggunakan jet peribadi yang dimiliki oleh proksi.

Kalaulah ini boleh berlaku dalam kalangan elit politik, maka sebahagian amalan tersebut akan menjangkiti penjawat awam. Sebabnya mudah, elit politik boleh bersengkongkol untuk merebut peluang dan sedia membahagi-bahagikan ‘keuntungan’ atas kerjasama yang terjalin, dalam frasa ’give and take’.

Nasib malang penjawat awam, apabila keinginan elit politik tidak dapat dilaksanakan, penjawat awam menjadi mangsa. Ada yang ditukarkan dalam tempoh 24 jam, dan tidak kurang pula yang dimasukkan dalam ‘kolam’ tanpa diberikan tanggungjawab beberapa bulan sebagai ‘langkah bertenang’ atau ‘proses pemulihan’. Agak malang juga ada penjawat awam, beberapa bulan sebelum bersara terpaksa dipindahkan ke tempat lain hanya kerana ada sedikit percanggahan dengan elit politik.

Mungkin kisah Ketua Pengarah Penerangan yang ditukarkan ke sebuah unit baharu di Jabatan Perdana Menteri boleh dijadikan contoh. Beliau bukan keseorangan dikenakan tindakan ditukarkan, bahkan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Untungnya, KSU tersebut adalah dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), pertukarannya tidaklah menjadi isu yang besar sedangkan perkhidmatan tertutup, ia menjadi ‘buah mulut’ yang sangat menjengkelkan.

Apakah benar dua pegawai kanan itu ditukarkan kerana mempunyai pandangan politik yang berbeza dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia? Tentunya, sedikit sebanyak hujahnya ada kaitan, kerana menteri adalah dari DAP, manakala kedua pegawai kanan tersebut adalah simpati atau penyokong BN. Itu adalah hak keduanya untuk menyokong BN, kerana pendirian politik seseorang dibenarkan oleh undang-undang, asalkan tidak secara jelas terbukti kecenderungan politiknya sehingga boleh menjejaskan tanggungjawab asas. Itulah yang sepatutnya diberikan penjelasan manakala satu peraturan yang mengikat elit politik daripada ‘kerakusan kuasa’ dan ‘keinginan merebut’ peluang perlu diadakan.

Jika peraturan untuk mendisiplinkan elit politik boleh diadakan, mungkin masalah dengan penjawat awam dapat diselesaikan. Akibat peraturan yang mengikat secara ketat itu tidak ada, maka sebahagian besar penjawat awam akan menjadi mangsa. Apatah lagi apabila berlakunya perubahan politik, maka elit politik yang membawa ideologi perjuangan yang berlainan dengan kerajaan sebelumnya tetap melihat, penjawat awam tidak sedia bekerjasama untuk menjayakan matlamat Malaysia Baru.

Malaysia Baru berusaha merombak dan mengubah banyak perkara. Sebahagiannya memerlukan perubahan peraturan dan melibatkan pindaan peraturan. Dalam tempoh peralihan, tidak semua peraturan dapat diubah dengan cepat, dan dapat disesuaikan dengan kehendak Malaysia Baru. Akibatnya, penjawat awam terus dimangsakan oleh perubahan orientasi politik dan dalam masa yang sama, penjawat awam tidak boleh melakukannya kerana terikat dengan “perintah am dan arahan perbendaharaan.”

Inilah sebenarnya dilemma penjawat awam bila berhadapan dengan elit politik. Dalam sisi yang lain, elit politik berusaha membentuk ‘koloni’nya yang tersendiri, dan hanya menggunakan penjawat awam apabila wujudnya kepentingan. Elit politik ada ketikanya tidak sedia berunding, tetapi lebih banyak mengarah. Akibatnya, penjawat awam tidak memahami kehendak sebenar elit politik, maka penjawat awam dianggap cuba mensabotaj Malaysia Baru. Malaysia Baru belum menjadi dasar yang lengkap, ia hanya suatu kalimat kosong dan penuh kelompongan.

Apa pun, penjawat awam memang menghormati ‘government of the day’ tetapi perlu diperhatikan dalam beberapa situasi, ada dua kerajaan yang berbeza. Bagi penjawat awam di peringkat negeri ‘government of the day’ ialah parti yang membentuk kerajaan di negeri berkenaan, maka hala tujunya akan menjadi sedikit bertentangan dengan kerajaan pusat kerana parti yang memerintah di peringkat pusat adalah berbeza. Itulah sebabnya, ada keadaan penjawat awam persekutuan yang bertugas di negeri perlu menyesuaikan orientasi dan tidak mudah untuk melakukannya, kerana negeri mempunyai matlamat politik yang berbeza.

Elit politik seharusnya tidak saperti ‘orang yang pulih daripada demam’. Mereka yang baharu pulih dari ‘demam’ biasanya akan makan amat berselera, kerana mengingatkan beberapa hari seleranya telah hilang. Itulah sebabnya, bila bertukarnya kepimpinan politik, elit politik baharu dilihat gelojoh, tidak mengambil pendekatan ‘berkawan’ dengan penjawat awam, tetapi melihat penjawat awam sebagai ‘budak suruhan’ yang boleh dipaksa dan dikerahkan. Inilah sindrom elit politik yang sepatutnya dihindari jika mahukan penjawat awam memberikan kerjasama yang baik, kerana manusia memerlukan hubungan yang mesra dan kemesraan itulah membawa sinergi.

Jika ada perasaan hormat menghormati, penjawat awam akan terus setia kepada ‘government of the day’ sehingga tiba masanya bersara. Tanpa rasa hormat itulah menyebabkan penjawat awam hilang kesetiaannya kepada ‘government of the day’. Rukun itu sudah diketahui umum, tetapi, amat sukar dibudayakan oleh elit politik kerana mereka adalah kumpulan yang mula merasainya ‘hebatnya kuasa’ dan ‘nikmatnya bila berkuasa.’

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply