Bermula dengan perkenan Pemangku Raja Pahang yang kini ialah Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 pada Istiadat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan 15 Mei lepas.

Sejak pelantikan yang tidak diduganya itu, Wan Rosdy tidak menoleh ke belakang lagi melainkan terus melakar strategi untuk mengisi secara berkesan jawatan yang diwarisi daripada ‘mentor’nya – Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah memimpin negeri hampir 19 tahun.

Pada sidang media hari pertama beliau clock-in sebagai Menteri Besar di Wisma Sri Pahang pagi Rabu, 16 Mei, beliau ditanya tentang matlamatnya yang menurutnya, beliau akan berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.

“Sistem yang ada sudah bagus cuma cuba pertingkatkan lagi, kita (cuba) memudahkanlah. Sebagai contoh, kalau (sesuatu urusan itu) mengambil masa, kita cuba percepatkan asalkan tidak lari daripada peraturan dan undang-undang,” katanya.

KATA DIKOTA

Ternyata, Wan Rosdy bukan seorang yang suka bermain dengan kata-kata. Apa yang dikata, dikotanya. Maka hanya pada 1 Ogos atau tak sampai pun tiga bulan kemudian, beliau umumkan penurunan kuasa bagi kelulusan kebenaran (consent) berkaitan pindah milik dan gadaian tanah.

Sebelumnya, kuasa bagi kelulusan kebenaran ini berpusat kepada Pihak Berkuasa Negeri/Menteri Besar, tetapi kini diturunkan hingga ke peringkat Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing.

Melalui pendekatan ini, kelulusan kebenaran pindah milik dan gadaian tanah boleh dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja bagi kebenaran pindah milik dan gadaian bagi tujuan kasih sayang yang melibatkan suami-isteri, anak-beranak dan juga waris qadim.

Manakala bagi kebenaran pindah milik dan gadaian yang melibatkan pindah milik kepada Melayu, dilaksanakan dalam tempoh 10 hari bekerja daripada tarikh dokumen lengkap diterima.

Inisiatif ini dilaksanakan selepas Wan Rosdy mendengar keluhan pelbagai pihak antaranya para peguam dan orang ramai yang terlibat dengan urusan pindah milik ini, yang dulunya memakan masa melebihi tiga hingga empat bulan, malah ada yang bertahun-tahun.

Selesai dengan masalah tersebut, Wan Rosdy memperkenalkan pelbagai inisiatif lagi termasuklah bagi meningkatkan hasil negeri, dengan antara lain menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi kutipan hasil tanah perlu mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus.

Inipun menampakkan kejayaan. Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini (antara Januari dan April), jumlah yang telah dikutip ialah kira-kira RM181.57 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas kira-kira RM140.21 juta atau lebih RM41.36 juta.

Sudah tentu beliau berterima kasih kepada jabatan-jabatan Kerajaan Negeri khususnya Pejabat Tanah dan Galian serta kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah, yang telah melaksanakan tata-kerja lebih berkesan dalam mengutip hasil-hasil ini yang antara lain ialah cukai tanah.

S-GLC JANA RM2.6 BILION

Beliau turut memberi fokus kepada peranan syarikat milik kerajaan negeri (S-GLC) terutamanya daripada segi tanggung jawab dan pendapatan tahunan yang diraih. Untuk tahun 2017 sahaja, kesemua lebih 40 S-GLC mencatatkan pendapatan kira-kira RM2.6 bilion dengan keuntungan kira-kira RM565 juta.

Sebuah badan khas dikenali Pahang Corporation pun ditubuhkan, yang berfungsi untuk antara lain, mengawal selia prestasi mereka dan beliau turut menetapkan bermula tahun ini, sebahagian daripada keuntungan tahunan S-GLC ini perlulah diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Ini bermakna, berdasarkan RM565 juta keuntungan yang diperoleh S-GLC untuk tahun 2017 itu dan katakan 15 peratus dikenakan sebagai bayaran, maka kerajaan negeri akan memperoleh hasil baharu kira-kira RM84.75 juta!

Dalam tempoh setahun ini juga, kepemimpinan Wan Rosdy juga terserlah dalam bidang politik. Sebagai Menteri Besar, beliau juga ialah Pengerusi, BN dan Badan Perhubungan UMNO negeri serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Atas kedudukan ini, beliau – dengan ketokohannya tersendiri dan ‘kurang bercakap’, turut berjaya mengetuai jentera parti pada Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan Cameron Highlands pada 26 Januari lepas dengan bergaya apabila calon BN menang besar.

Pada PRK inilah pertama kalinya pula – setelah perseteruan berdekad-dekad lamanya, telah wujud kerjasama real, jujur dan kukuh antara UMNO dengan Parti Islam SeMalaysia (Pas), yang menjadi antara faktor utama kemenangan tersebut.

Kerjasama ini terus menyerlah apabila pada 26 April pula, sebuah Himpunan Perpaduan Ummah Pahang melibatkan lebih 10,000 kehadiran di Padang MPK 1 di sini, berjaya diadakan, yang turut disertai oleh pemimpin-pemimpin utama UMNO dan Pas – Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Hadi Awang.

Oleh itulah, kepemimpinan Wan Rosdy selama setahun ini – sama ada daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahupun politik – tidaklah keterlaluan jika kita berikan Gred A kepadanya.