Gubal undang-undang jenayah syariah ke atas pelaku homoseksual

PERBUATAN homoseksual atau fenomena hubungan seks sesama jenis tidak sepatutnya berlaku jika kita memahami hakikat kenapa manusia dijadikan Allah SWT. Manusia dijadikan berbeza, termasuk jantina. Perbezaan jantina membuktikan adanya hasrat untuk hidup bersama, berkongsi sesuatu yang tidak dipunyai oleh jantina yang berlawanan.

Semuanya itu dicipta dengan asas dan tujuan yang satu, menjadikan hidup manusia bermasyarakat, beretika dan menghormati perbezaan. Allah SWT mencipta manusia lelaki dan perempuan, dan kerana itu tidak ada kelainan jantina selain daripada itu.

Seorang lelaki dapat merasai nikmat apabila hidup bersama seorang wanita dalam konteks perkahwinan yang sah. Ketika itulah manusia mungkin sedar fungsi kekeluargaan, antara lelaki dan wanita akan menambah zuriat. Zuriat inilah yang menjadikan kelangsungan umat.

Apabila lelaki hanya boleh hidup bersama lelaki, ia sudah melanggar hukum alami ciptaan Allah SWT. Kita mungkin tidak mahu masyarakat menghadapi masalah sosial sebagaimana berlaku pada zaman Nabi Nuh a.s.

Kita mungkin juga tidak lupa sejarah kuno yang berlaku di Yunani, iaitu sebuah bandar yang lahir dari sebuah tamadun tinggi. Bandar Pompei masih memberikan kita pengajaran jelas, akibat penduduknya leka dan mengamalkan hubungan seks sesama jenis. Allah SWT menurunkan bala letusan gunung berapi kepada mereka sehinggalah kehidupan mereka musnah.

Kita semua patut berasa malu apabila baru-baru ini seorang pengawal keselamatan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menyiarkan gambar tidak senonohnya melakukan hubungan sejenis dengan lelaki lain di Internet.

Pada hujung Mei 2010. Pihak berkuasa pernah menangkap sebilangan pelanggan sebuah spa dan urut untuk golongan homoseks di Cheras, Kuala Lumpur. Sebahagian besar daripada pelanggan itu juga berbangsa Melayu dan beragama Islam. Setelah itu, tujuh lelaki lagi ditahan di Pulau Tikus, Pulau Pinang kerana disyaki terlibat dengan gejala serupa. Perilaku ini semakin berkembang.

Nampaknya sesuatu perlu dilakukan segera untuk membendung gejala homoseks yang sedang ganas melanda negara ini. Ia sudah terlalu parah. Justeru, ubat untuk merawatnya juga perlulah kuat, keras dan mendalam.

Undang-undang jenayah syarie juga kurang jelas, kerana pasangan sesama jenis yang berada dalam keadaan yang mencurigakan tidak boleh didakwa atas tuduhan khalwat. Takrif khalwat hanya terhad kepada pasangan lelaki dan wanita, tidak tertakluk kepada pasangan sesama jenis.

Begitu juga peraturan-peraturan kecil yang diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Pasangan sejenis yang berdua-duaan secara mencurigakan di tempat awam, terlepas daripada tuduhan melakukan khalwat, maka atas kelemahan itu menjadikan perilaku ini semakin berkembang.

Secara institusinya, kita memerlukan satu peraturan yang tegas. Kita perlukan pindaan, kalaupun tidak sebuah akta yang baru. Kita perlu mentakrifkan semula ‘makna berdua-duaan secara mencurigakan’ kerana pengkhususan khalwat hanya terpakai dalam aksi antara lelaki dan wanita.

Justeru, perlu ada peruntukan di bawah kesalahan jenayah syariah di mana kita boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang terhadap pasangan sejenis yang berada dalam situasi yang mencurigakan seperti yang kita telah peruntukan undang-undang terhadap kesalahan berkhalwat.

Tanpa rasa khuatir dan takut menerima tekanan kelompok ini, penggubal undang-undang mesti berani beriltizam untuk tidak menyemarakkan budaya yang bercanggah dengan etika, moral dan nilai agama. Kita mungkin boleh menjadikan apa yang pernah berlaku semasa zaman Nabi Nuh a.s sebagai pengajaran.

Apa yang sedang berlaku kini amat memalukan. Bagaimanapun, tanpa disedari, sebenarnya kita sendiri menjadi punca sehingga menyebabkan golongan homoseksual semakin membiak dan berani.

Pelik, mengapakah golongan ini terus wujud dan semakin berkembang biak walaupun mereka tahu bahawa perbuatan itu dikutuk oleh agama dan bercanggah dengan undang-undang?

Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu bertindak cepat, tegas dan agresif dalam menanganinya kerana majoriti yang terlibat dengan gejala homoseks tersebut adalah anak-anak muda Melayu yang beragama Islam.

Islam juga menganjurkan supaya mengajak saudara-saudara kita supaya menjauhi perbuatan yang dilarang agama. Jika usaha itu berjaya, kita akan mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Tetapi jika membiarkan saudara-saudara kita itu terus bergelumang dengan dosa dan membiarkan bumi ini dicemari gejala tersebut, maka tunggulah malapetaka daripada Allah. Apabila malapetaka itu diturunkan, ia tidak akan memilih mangsa.

Justeru, Allah menegaskan dalam surah al-Isra’ ayat 16 yang bermaksud: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesuatu tempat dan negeri itu, akan Kami arahkan mereka yang melampau dalam semua perkara, lalu mereka melakukan kerosakan dalamnya (kampung dan negeri itu), maka berhaklah negeri itu untuk dibinasakan, lalu Kami hancurkannya dengan sehancur-hancurnya.”

Oleh Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply