Guru:GUIDE, UNIQE, RAPPORT AND UNDERSTANDING

Seorang guru adalah seorang pembimbing. Dia membimbing murid-muridnya agar menjadi seorang yang baik, berguna dan melakukan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan peribadi dan bermasyarakat. Dengan bimbingan, seseorang yang dianggap nakal boleh berubah menjadi seorang yang menghormati orang lain dan bersedia memaafkan kesalahan orang lain.

Seorang yang menghabiskan keseluruhan hidupnya hanya dengan satu profesyen adalah seorang yang unik. Guru adalah manusia yang unik, kerana selepas menghabiskan seluruhnya masanya untuk mendidik dan membimbing, ia akan tetap dikenang dan dipanggil guru. Seorang guru adalah seorang yang unik, kerana dalam dirinya lahir rasa kekaguman untuk melihat setiap anak muridnya berjaya, bahkan melebihi apa yang dimilik oleh dirinya sendiri.

Seorang guru tidak pernah memendam rasa kecewa dan iri hati terhadap anak murid. Dia mempunyai jiwa yang luhur, setia kawan dan tidak pernah bosan melayani keraneh anak murid walaupun kadangkala mencabar budaya. Seorang guru tetap bersabar, dan sedia memberikan semangat tanpa jemu. Setiap kata-katanya adalah percikan api kebangkitan dan lantuman perasaan menuju kejayaan.

Rapport adalah perkataan bahasa Inggeris yang diambil daripada perkataan Perancis, rapporter yang bermakna membawa balik.  Oxford Compact Advanced English-Malay Dictionary (2007) mentakrifkan: hubungan yang bertimbang rasa dan seia sekata; serasi. Tentunya dalam pemahaman kita sebuah hubungan yang bertimbang rasa bukan sahaja berlaku atas dasar simpati, tetapi ia terjalin kerana adanya keinginan untuk membina situasi harmoni.

pelajar

Ini bermakna, guru bukan sahaja mengalirkan rasa hatinya kepada tingkahlaku yang baik, bersinergi dan hubungan yang baik dengan para pelajar, sesama guru dan dengan ibu bapa pelajar. Ia berusaha mencari keserasian agar suasana pembelajaran menjadi kondusif, pelajar bukan sahaja menghormati dan menyukai kepada apa yang diajar, bahkan guru dapat memberikan suatu penjelasan yang baik dan dapat difahami oleh pelajar. Kerana itulah ramai pelajar akan merasa bersemangat untuk belajar, dan amat merasai ‘kehilangan’ bila guru berkenaan bersara ataupun bertukar ke sekolah lain selepas dinaikkan pangkat atau berpindah atas sebab-sebab tertentu.

Guru tersebut dianggap sangat memahami dan disayangi oleh para pelajar. Ia adalah seorang yang guru yang mampu mempengaruhi dan amat berkesan ketika mengajar dalam kelas. Guru sedemikianlah yang menjadi dambaan setiap pelajar kerana banyak membantu membentuk jiwa pelajar yang kental dan ingin melihat setiap pelajar memperoleh kejayaan.

Ketika saya belajar, belum ada nilai komersial dalam dunia pendidikan. Tidak ada buku-buku aktiviti, hanya ada ialah soalan-soalan latihan yang diberikan oleh guru yang terpaksa di salin sendiri oleh para pelajar. Guru menulis soalan-soalan untuk kerja rumah atau latihan di papan hitam atau hijau, para pelajar tekun menyalinnya dalam buku latihan.

Latihan sedemikian mengingatkan saya betapa gigihnya para guru menyediakan bahan pengajaran dan latihan untuk memastikan setiap pelajar memahami apa yang diajar di dalam bilik darjah. Bila latihan tidak dapat disiapkan, pelajar akan didenda, berbeza dengan persekitaran pendidikan sekarang.

Saya pernah didenda untuk menulis perkataan yang tidak dapat diterima oleh ibu bapa zaman sekarang, ‘saya bodoh’ melebih seribu kali. Denda itu menyebabkan saya tidak ingin ‘bodoh’ selama-lamanya, maka setiap hari saya menghabiskan masa antara tiga atau empat jam mengulangkaji.

Akhirnya saya lulus peperiksaan awam pertama, iaitu Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1972. Dengan kelulusan itu, saya dinaikkan ke tingkatan empat, walaupun akhirnya saya memilih untuk ke sekolah anika jurusan, bukannya sekolah beraliran sains.

Menariknya, salah seorang guru yang pernah menghukum para pelajar yang tidak lulus peperiksaan penggal termasuk saya, sama-sama mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu di USM pada sesi 1978/1979. Hanya berselang beberapa orang di belakang saya, saya mendengar suara yang mengingatkan tentang seseorang. Saya menoleh ke arahnya, akhirnya saya memanggil namanya.

Beliau masih mengenali saya. Saya mengucapkan terima kasih kerana hukuman yang diberikan akibat tidak lulus mata pelajaran geografi, ia menguatkan pencapaian saya dalam Sijil Tinggi Pelajaran, dengan mencapai prinsipal dalam Geografi. Mungkin itu juga menjadi kriteria yang membolehkan saya diterima memasuki universiti walaupun terlewat setahun.

Selepas satu semester, saya mendapat berita bahawa guru berkenaan sudah membuat keputusan untuk menukarkan mood pengajian, daripada sepenuh masa kepada pengajian luar kampus. Pengajian luar kampus adalah pengajian separuh masa, di mana para pelajar tidak perlu meninggalkan profesyen atau mengambil cuti belajar sepanjang pengajian, yang ketika itu USM memperkenalkan sistem semester empat tahun.

logo guru

Guru berkenaan hanya perlu berada di kampus selama dua atau tiga minggu setahun, iaitu di semester terakhir, yang ketika itu pelajar sepenuh masa bercuti panjang. Ketika saya berada di tahun tiga, saya bertemu kembali dengan guru tersebut, dan akhirnya beliau menceritakan bahawa ‘home sick’nya begitu kuat, sebab itulah tidak sanggup berjauhan dengan keluarga dan menukarkan mood pengajian.

Selepas saya lulus pada tahun 1982, saya tidak bertemu dengan guru berkenaan sehinggalah pada satu ketika saya diarahkan bertukar ke Kementerian Pendidikan sebagai Pegawai Perhubungan Awam. Saya menemui guru berkenaan ialah ketika majlis Sambutan Hari Guru pada tahun 2000, iaitu di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Damansara. Majlis sambutan yang begitu sederhana itu mengingatkan saya kepada banyak perkara, pada tahun 1999, Datuk Sri Najib hampir tewas di Pekan dan KPM sedang berperang dengan isu pemindahan siaran tv pendidikan dari RTM ke Astro.

Sebagai pegawai perhubungan awam, saya ditugaskan memberikan penjelasan mengapa siaran tersebut terpaksa menggunakan kemudahan syarikat penyiaran swasta, sedangkan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan melihat ia adalah sesuatu yang tidak kena. KPM perlu membelanjakan wang yang banyak untuk membayar masa siaran. Akhbar-akhbar menghentam keputusan berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai persepsi.

Akhirnya masyarakat memahami. KPM bukan sengaja memilih syarikat penyiaran swasta, tetapi disebabkan desakan daripada pihak pengurusan RTM sendiri, yang ketika ini menganggarkan jika masa siaran dikembalikan akan menjana pendapatan iklan lebih banyak. Siaran tv pendidikan melalui RTM bukanlah tidak dikenakan sebarang kos, bahkan bayaran sewaan satelit Palapa turut ditanggung oleh KPM.

Benar, menggunakan saluran ASTRO ibu bapa terpaksa membayar yuran langganan untuk menontonnya di rumah. Tetapi, KPM membayar yuran langganan untuk sekolah-sekolah manakala decoder dan piring satelit dijual dengan harga istimewa manakala kos pemasangannya ditanggung oleh ASTRO. Ini bermakna, dalam jangka masa panjang, KPM boleh menjimatkan perbelanjaan berbanding menggunakan RTM di mana yuran langganan satelit mencecah RM 20 juta.

Ketika RTM menerima balik waktu siaran tv pendidikan, ekonomi negara masih dalam proses pemulihan manakala stesen penyiaran swasta percuma sedang meningkat naik. RTM semakin kehilangan sumber iklan dan penajaan kepada TV 3. RTM terpaksa menerima hakikat bahawa siaran RTM lebih diminati oleh golongan berusia. Persaingan itu kemudiannya menyebabkan program-program RTM semakin kurang ‘menyengat’ dan tidak lagi mewah dengan penajaan dan iklan, yang sebahagiannya dimasukkan ke dalam Tabung Amanah.

Setiap tahun, pada 16 Mei telah diisytiharkan sebagai Hari Guru. Tarikh tersebut dipilih kerana pada tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran, yang kemudiannya dikenali sebagai Laporan Razak. Bagaimanaun, sambutan perayaan Hari Guru mula dijadikan acara tahunan pada tahun 1972, dan pada tahun ini, ia memasuki edisi ke-48. Edisi kali ini adalah edisi kedua disambut dalam situasi politik yang berbeza, selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Tahun lalu, sambutan Hari Guru disambut amat sederhana sekali kerana proses pembentukan kerajaan selepas PH memenangi PRU ke-14 masih belum selesai. Pada tahun ini, ia adalah sambutan pertama yang membabitkan kepimpinan politik dan tentunya lebih meriah berbanding tahun 2018. Tahun ini disambut di SPICE ARENA, Pulau Pinang, yang menjadi salah satu mercutanda baharu dengan hiasan lampu warna-warni.

Sebagai seorang yang pernah terbabit dalam membantu perayaan Hari Guru, saya masih terkenang-kenang bagaimana sebulan sebelum tarikh 16 Mei, kami terpaksa merancang pelbagai bentuk publisiti dan promosi. Promosi berskala besar pertama kali dilaksanakan pada tahun 2013, iaitu selepas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilancarkan, iaitu deraf awal pada 11 September 2012. Setahun kemudian, PPPM dimantapkan dengan memasukkan beberapa pindaan terbaharu selepas mengkaji pandangan dan ulasan pelbagai pihak.

travelog keniogan

Kali terakhir saya terbabit dengan sambutan Hari Guru ialah 2017, di mana ketika itu diadakan di Iskandar Puteri, Johor Baharu. Tahun 2016, sempena Hari Guru dengan kerjasama TV 3 diterbitkan sebuah dokumentari khas mengenai usaha meningkatkan pendidikan dalam kalangan masyarakat Penan di Sarawak. Untuk memperlihatkan bahawa kerajaan tidak mengetepikan kumpulan etnik yang tinggal di kawasan pedalaman, dan untuk itu penggambaran dilakukan di Sekolah K9 di Long Bedian dan kemudiannya ke SK Long Luteng dalam daerah Baram. Cabaran kami ketika membuat penggambaran di Sarawak ialah dalam bulan puasa, dan terpaksa meredah perjalanan menggunakan pacuan empat roda selama empat jam untuk ke Long Bedian dari Miri. Selepas selesai membuat penggambaran di sekolah model khas K9, kami meneruskan perjalanan selama empat jam lagi untuk ke SK Long Luteng.

Pada tahun 2017, penggambaran dokumentari khas Hari Guru dilakukan di SK Keniogan, sebuah pulau yang terletak sejam perjalanan dengan bot laju dari Muara Beluran, Sandakan. Pulau Keniogan dihuni oleh sekitar 1,000 orang masyarakat Bajau, dan ketika itu, ia termasuk dalam zon perintah berkurung. Kami tidak dibenarkan mundar-mandir di luar kawasan sekolah selepas jam 7 malam.

Pulau Keniogan mempunyai keluasan sekitar 1000 ekar dan lebih 90 peratus kawasan diliputi oleh pokok bakau. Tidak ada pemandangan pantai yang pasirnya puteh, dan setiap gigi airnya adalah berselut. Tetapi, yang menyeronokkan kami ialah kemesraan penduduk setempat. Mereka sama-sama membantu, berbual dan melayan sebahagian daripada kami yang mata enggan terpejam walaupun jam sudah menunjukkan detik dua belas malam.

Kami juga ikut beberapa orang penduduk menangkap ikan dengan menggunakan bot kecil dan pukat yang ringkas. Ketika itu, musim udang harimau dan udang kaki merah atau kuning. Pastinya, kami turut teruja melihat udang lipan yang begitu besar dan bagi menjamin kesegarannya, ia dimasukkan ke dalam botol air mineral sehingga ada yang mencapai saiz 10 inci.

Tentunya, bagi penggemar udang lipan, sanggup membayar walaupun harga seekor yang masih hidup sekitar RM 30 di Pulau Keniogan. Ada pemborong yang datang mengambilnya, kerana ia mendapat permintaan tinggi di restoran makanan laut di Sandakan. Udang-udang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sangkar untuk dipelihara sementara oleh pemilik restoran sebelum dipilih oleh peminatnya.

Walaupun saya bukanlah seorang guru, hampir sepertiga daripada masa saya sebagai penjawat awam bergaul secara langsung dengan guru-guru, termasuklah mereka yang kemudiannya menjadi pentadbir di KPM dan JPN. Kami sentiasa berurusan, dalam banyak perkara, tetapi yang lebih menarik ialah menguruskan pelbagai aduan yang diterima tentang apa sahaja yang berkaitan dengan bidang pendidikan.

Selamat Hari Guru, kerana bagi saya guru itu adalah pembimbing atau pemandu (guide); unik dalam profesyennya dan kerana itulah saya tidak melihat ianya sejiwa dengan kecenderungan walaupun pada awalnya pernah bercita-cita menjadi guru; seorang yang sentiasa berhikmah dan berhemat dalam menunaikan tanggungjawab, iaitu tidak mudah marah dan beremosi bila berkali-kali membantu para pelajar dengan masalah yang sama (rapport);  dan yang tidak kurang penting ialah sikap understanding yang ditunjukkan sepanjang tempoh saya bertugas di KPM.

Walaupun ada ketikanya masyarakat menuding jari; bagi saya mereka yang berbuat demikian adalah dalam kalangan yang lupa diri dan ego. Mereka tidak memikirkan bahawa tanpa seorang guru yang mengajar ABC dan 123, belum tentu apa yang dinikmatinya dalam kerjaya kolar putih yang hebat itu boleh diraih dengan mudah. Mereka merupakan kumpulan yang sedang membentuk ‘jejak berlumpur’ dalam pembinaan generasi dan proses pendidikan bukanlah semudah mencicipkan wang belanja semata-mata. Ia memerlukan kesabaran, dedikasi dan empati.

Dalam apa pun, kita memerlukan seseorang sebagai pembimbing dan pemandu. Mereka adalah guru. Biarpun sudah kita tamat pendidikan tinggi, kita masih tetap memerlukan seorang guru, walaupun namanya ialah fasililator, penyelia mahupun pembimbing, tanpa rasa hormat kepada mereka kita tidak dapat belajar sesuatu yang baharu dan memberi faedah untuk kehidupan sendiri mahupun kehidupan sejagat.

Selamat Hari Guru.

Kamarun KH.

No Comments

    Leave a reply