Haji disekat, Masjidil Haram ditutup 40 kali

SETELAH dunia dikejutkan dengan wabak coranivirus (COVID-19) yang membimbangkan hingga membawa kepada kes kematian, kerajaan Arab Saudi mengumumkan halangan sementara memasuki Makkah dan Madinah untuk melaksanakan ibadah umrah.

Sudah tentu keputusan itu menarik perhatian umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi kurang dua bulan lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan dinanti-nantikan, iaitu Ramadan.

Pada masa sama, musim haji juga bakal bermula pada Julai ini. Pastinya kebimbangan ini dapat dirasakan sekiranya halangan itu tidak ditarik mahupun diputuskan awal.

Namun, keputusan itu bukanlah disengajakan. Ia langkah segera yang berani dan tepat bagi mengekang risiko penularan COVID-19 di dua kota suci umat Islam itu.

Selain menghalang jemaah seluruh dunia termasuk rakyatnya sendiri daripada melaksanakan umrah, kerajaan Arab Saudi juga menghalang pemberian visa kepada pelawat dari negara berisiko tinggi terkena virus dengan mengeluarkan senarai negara-negara terbabit. Selain Malaysia, turut dihalang ialah pelancong dari China, Itali, Singapura, Kazakhstan, Korea dan Jepun.

Sekalipun sekatan ini sangat memberi kesan kepada semua pihak khususnya syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan dan ekonomi, ia keputusan berat yang perlu diterima semua pihak dengan hati reda.

Bagaimanapun, tiada apa perlu dirisaukan. Keputusan ini hanya sementara, bahkan kerajaan Arab Saudi hanya meneruskan tradisi yang pernah dilakukan kerajaan Islam sebelum ini yang menjaga dua kota suci yang turut dipanggil al-Haramain itu.

Kalau ditelusuri catatan sejarah Masjidil Haram, hakikatnya sudah 40 kali masjid itu ditutup bermula 865 hingga 1987 akibat pelbagai sebab seperti peperangan, kebakaran dan wabak penyakit, selain proses baik pulih.

Ertinya, halangan ini bukan pertama kali. Maka, tiada alasan untuk kita risau dan panik, sebaliknya ia proses untuk menjaga maslahat ummah.

Apatah lagi sejarah pernah mencatatkan wabak taun yang melanda tanah suci pada 1814 mengorbankan 8,000 jemaah haji. Begitu juga pada 1831, tiga perempat jemaah haji tahun berkenaan terkorban akibat wabak yang dipercayai datang daripada India.

Sudah tentu peristiwa itu menjadikan penguasa Makkah ketika itu lebih berhati-hati. Kesannya mereka mengambil satu keputusan besar untuk menutup Masjidilharam daripada kehadiran jemaah haji untuk melaksanakan ibadat berkenaan pada 1850, 1865 dan 1883 apabila berlakunya penyebaran wabak penyakit.

Malah pada 1837, sekali lagi wabak penyakit berlaku hingga menyebabkan ibadat haji untuk tiga tahun berikutnya tidak diadakan, iaitu 1838, 1839 dan 1840.

Pada 1864, pernah 1,000 orang penziarah al-Haramain terkorban dalam sehari kerana wabak penyakit yang sangat berbahaya hingga menyebabkan ibadat haji dikecualikan pada tahun berikutnya.

Ini antara peristiwa besar penutupan Masjidil Haram dan pengecualian ibadat haji yang pernah tercatat dalam lipatan sejarah.

Maka keputusan kuarantin diambil pemerintah al-Haramain bukanlah suatu baharu. Bahkan bertepatan dengan ajaran Islam seperti disarankan Nabi Muhammad SAW. Islam melarang umatnya daripada mengunjungi tempat dilanda wabak bagi melindungi daripada terkena kemudaratan itu.

Bagi mereka yang menetap di kawasan dilanda wabak, Islam melarang mereka daripada keluar atau meninggalkan kawasan terbabit bagi mengelak daripada penularan.

Ini berdasarkan hadis mengenai Khalifah Umar al-Khattab RA yang ingin bermusafir ke Syam tetapi dimaklumkan mengenai wabak taun yang sedang merebak di sana.

Lalu Abdul Rahman Auf RA menasihatkan beliau: “Sesungguhnya aku mempunyai ilmu mengenai ini. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sekiranya kamu mendengar sesuatu wabak di tempat tertentu, maka janganlah kamu memasukinya. Dan sekiranya wabak itu melanda suatu tempat, maka jangan pula meninggalkan tempat tersebut.” (HR Bukhari)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang menghuraikan hadis itu dalam kitab Fath al-Bari, Muslim tidak boleh mendedahkan diri dalam kemudaratan dan kebinasaan. Ia sebahagian maqasid syariah yang mesti diutamakan, iaitu memelihara jiwa atau nyawa.

Ini selaras dengan perintah Allah SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Malah, pada peringkat global, sudah banyak negara mengambil langkah berjaga-jaga agar memastikan kesihatan rakyatnya terjamin kerana ia keutamaan tidak boleh dikompromi.

Oleh Aizudin Kamarul Zaman Konsultan Pelancongan, Haji dan Umrah

Sumber : Berita Harian

No Comments

    Leave a reply